Tuesday, October 6, 2009

Kakitangan Awam Seperti Minta Sedekah

CUEPACS SYOR SEMAK GAJI KAKITANGAN AWAM LIMA TAHUN SEKALI

(Kenapa agaknya kerajaan mendiamkan diri terhadap tuntutan CUEPACS ? - alkerohi )

Berita Harian
Oleh Sariha Mohd Ali

29/9/2009

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan melakukan semakan gaji 1.2 juta kakitangan awam setiap lima tahun sekali bagi membolehkan penyelarasan dibuat berdasarkan kos sara hidup semasa.

Semakan gaji terbaru yang dilakukan kerajaan pada 1 Julai 2007 dibuat selepas tempoh 25 tahun dan gaji yang diperoleh dengan kadar kenaikan antara 7.5 peratus hingga 35 peratus itu hanya mampu menampung kos sara hidup mereka sehingga tahun depan.

Pada masa ini, kakitangan awam khasnya bagi kumpulan sokongan hanya menikmati kenaikan gaji tahunan antara RM30 hingga RM70 setahun.

Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs sudah menghantar memorandum kepada kerajaan berhubung perkara itu sebelum ini, malah Majlis Jawatankuasa Kerja Semakan Gaji Anggota Sektor Awam yang diwujudkan pihaknya akan mengatur perbincangan dan menghantar satu lagi memorandum terbaru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kegagalan melakukan semakan gaji yang perlu dilakukan tahun depan, bakal menjadikan kira-kira 200,000 daripada 600,000 kakitangan awam kumpulan sokongan dua berada dalam kategori rakyat termiskin dengan purata pendapatan keseluruhan kira-kira RM1,100 sebulan.

"Sudah tiba masanya gaji kakitangan awam disemak setiap lima tahun sekali dan jika formula itu dilaksanakan, ia mampu menyeimbangkan pendapatan mereka dengan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat.


"Sebenarnya, gaji diperoleh kakitangan awam sejak 2007 hanya mampu menampung kehidupan mereka sehingga tahun depan dan semakan gaji wajar dilakukan semula pada 2011," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Omar berkata, gaji asas bagi pekerja kumpulan sokongan dua yang memiliki kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) ialah RM647 sebulan dan mereka mampu memperoleh purata RM1,100 sebulan selepas ditambah dengan elaun termasuk bagi perkhidmatan dan cola.

Beliau berkata, kehidupan di kota besar dengan kos sara hidup tinggi menyebabkan sebahagian besar kakitangan awam melakukan kerja sampingan.

"Unjuran peratusan kenaikan gaji dicadang dalam semakan itu akan dirujuk kepada perunding supaya kadarnya bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa," katanya.

No comments: