Thursday, December 31, 2009

Ambulan Hospital Alor Setar tertelan duit pesakit ?

Ambulan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar Kedah tertelan wang pesakit berjumlah RM2500.00.

Betulkah ? Betul apa ?

Dakwaan itu atau penafian itu. Jika tak betul, dakwa pesakit itu.

Jika betul, kasihan pesakit itu. Ibarat - sudah jatuh ditimpa tangga, terpijak tahi, digigit anjing pula. Jangan apa-apakan ambulan itu !

Jika rajin, baca di sini.

Wednesday, December 30, 2009

Pengundi PP mahu Lim Guan Eng

Rata-rata pengundi Cina Pulau Pinang mahu agar kerajaan kepimpinan Lim Guan Eng diberi masa sekurang-kurangnya tiga penggal untuk melakukan perubahan.

Begitu juga dengan pengundi pelbagai keturunan di Pulau Mutiara itu.

Jika Pakatan Rakyat Pulau Pinang dapat membuktikan keupayaan dan janji-janji mereka, nescaya pengundi akan terus memberikan sokongan untuk PR memerintah selamanya.

Itu seperti yang diberitahu oleh beberapa bekas pemimpin MCA Sungai Petani kepada saya.

Kata mereka lagi, dahulu akhbar Cina memainkan sentimen bahawa PAS tidak boleh dipercayai, akan melaksana undang-undang Islam, melarang penjualan babi dan arak serta pelbagai lagi.

Kini masyarakat Tiong Hua sudah tidak mempercayai dakyah akhbar-akhbar berkenaan kerana kaum kerabat mereka sudah ada pengalaman manis di negeri Kelantan.

Mereka membawa saya melihat pondok Rukun Tetangga dan Gelanggang Futsal di belakang Central Square Sungai Petani tempat yang pernah kaum Cina menyambut Chap Goh Me dan acara Tahun Baru Cina.

"Sekarang kita tidak boleh membuat apa-apa sambutan di sini. Adakah ini mungkin angkara pihak berkuasa tempatan yang adakalanya tidak sehaluan dengan kerajaan negeri ?" tanya mereka.

Isu tempat sembelihan babi, rumah mayat, perkuburan Hindu dan beberapa isu lain di Kedah masih boleh ditelan oleh masyarakat bukan Islam dengan perkiraan bahawa pihak PBT tidak sehaluan dengan kerajaan negeri.

Seorang Exco Kerajaan memaklumkan bahawa projek di belakang Central Square tersebut bukan di dalam bidang kuasa kerajaan negeri tetapi di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Kedah perlu memberikan penerangan tepat tentang perkara ini supaya mereka juga menerima peluang memerintah bukan sahaja selama satu atau dua penggal tetapi untuk selamanya seperti mana masyarakat pengundi Pulau Pinang berjanji untuk berbuat demikian terhadap Lim Guan Eng.

Sunday, December 27, 2009

Rais Yatim mahu Tun M selamat

Adakah Rais mahu supaya Najib selamatkan Tun M dalam kes pembaziran wang RM100 B seperti yang didakwa ?

Nazri Aziz : Kamilia patut cabar Muhyiddin letak jawatan

Nazri Aziz menteri yang dipertanggungjawabkan tentang Parlimen mahukan Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim menghalakan cabarannya itu supaya Ketua Whip meletakkan jawatan kepada Muhyiddin Yasin dan tidak kepadanya.

Katanya, beliau bukan ketua whip.

Tegas Nazri, sepatutnya ahli parlimen yang tidak hadir meletakkan jawatan beramai-ramai.

Baca di sini.

Bagimana pula dengan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang tidak hadir pada sesi itu?

Saturday, December 26, 2009

Alor Setar : Sesak di Bangunan Persekutuan Anak Bukit

Kakitangan perkhidmatan awam jabatan-jabatan persekutuan di Alor Setar yang diarah berpindah ke Bangunan Persekutuan Bandar Muadzam Shah Anak Bukit melahirkan kekesalan kerana terpaksa tunggu lama untuk masuk semula ke kawasan pejabat berkenaan semasa hendak memulakan tugas pada waktu pagi.

Mereka terpaksa ke 'pusingan u' sejauh satu kilometer ke hadapan dan berpatah balik dalam jarak yang sama sebelum dapat masuk ke kompleks pentadbiran tersebut.

(Sila klik gambar untuk melihat pandangan sebenar. Kenderaan bertali-arus di pusingan u untuk berpatah balik. Kompleks pejabat membelakangi gambar)

Kesesakan sejauh satu hingga dua kilometer itu sering menatijahkan kad perakam waktu mereka merah.

Mereka berharap agar pihak Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri sebagai penyelaras projek berkenaan mengambil tindakan pantas untuk samada membina jejambat susur keluar ke bangunan itu atau memasang lampu isyarat.

"Walaupun sejak dua minggu ini ada polis trafik yang diminta membantu, namun kami percaya ianya adalah penyelesaian untuk jangka waktu pendek sahaja" kata Abdullah Ali yang bertugas di Jabatan Perangkaan.
(Foto:alkerohi)

Friday, December 25, 2009

Keluarga MB Kelantan mencetuskan malu pada PAS


Waktu Ariffahmi mahu dilantik menjadi orang besar Perbadanan Menteri Besar Kelantan, tidak ada sesiapa yang menasihati Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besarnya supaya tidak berbuat demikian.

Ini termasuklah Penasihat Undang-Undang Negeri yang ada pengetahuan tentang undang-undang.

Itu seperti yang didakwa oleh Menteri Besar Kelantan. Bermakna MB itu tidak sedar kemungkinan boleh berlakunya conflict of interest.

Namun sejak isu ini tercetus, bukan seorang malah terlalu ramai yang menasihatkan MB Kelantan itu termasuk menasihati menantu kesayangannya Ariffahmi agar segera meletakkan jawatannya di perbadanan yang diketuai oleh mertuanya.

Perbadanan tersebut bukan milik individu mertua Ariffahmi tetapi adalah milik rakyat.

Siapalah Hj Mahfuz Omar, Pemuda PAS dan penasihat-penasihat lain dihadapan Ariffahmi dan Nik Amalina (gambar di atas).

Masuk angin keluar asap. Masuk telinga kiri keluar ikut telinga kanan. Mencurahkan air didaun keladi. Bikin tak serupa cakap. Dua kali lima dengan UMNO dan BN - sesuai agaknya ?

Nampaknya, sesudah dinasihati oleh orang dalam dan di luar parti, kasih sayang Nik Aziz kepada Ariffahmi suami kepada Nik Amalina Nik Abd Aziz mengatasi prinsip perjuangan demokrasi apatah lagi prinsip yang kononnya PAS perjuangkan.

Sudah pasti 2010 akan membuka tirai dengan bahan jenaka Ariffahmi, Nik Aziz, Nik Amalina, demokrasi dan Islam ala PAS.
(Foto:Malaysiakini)

Wednesday, December 23, 2009

Tentera meniru gaya politikus Malaysia ?


Ramai yang beranggapan Malaysia kini berada dalam kemelesetan ekonomi yang sangat teruk biarpun parti yang memerintah mencanang disebaliknya.

Kesannya bukan sahaja dirasakan rakyat biasa tetapi juga oleh penjawat awam, tentera dan polis.

Apa tidaknya jika pagar yang diharapkan untuk mengawal kedaulatan negara kini juga b
oleh dibolosi di merata tempat dengan begitu mudah.

Al Maunah di Perak, kes prebet Adam yang mahu menembak Sultan, kecurian senjata di kem-kem tentera, hilangnya C4, pembelian dan kualiti senjata dan kapal perang tentera yang dipertikaikan, dan terbarunya hilangnya enjin F5E yang bernilai RM100 juta.

Pilihanraya Bagan Pinang seperti yang disedari kerajaan menunjukkan kedahagaan projek untuk pihak-pihak tertentu dan ianya telah di'susu'kan.

Apakah kerana tidak adanya tindakan terhadap ahli politik di Malaysia yang terlibat dalam pelbagai isu dan skandal, sedang membuka pintu baru kepada pelbagai golongan masyarakat termasuk penjawat awam, tentera dan polis men
iru gaya dan tabiat buruk politikus ini ?

Di Cina, golongan perosak negara baik dari kalangan ahli politik, pentadbir awam dan rakyatnya dikira sebagai pengkhianat negara dan mereka akan dihukum bunuh. Baru beberapa bulan yang sudah, peracun susu kanak-kanak dilabelkan sebagai pengkhianat negara lalu dihukum mati.

Di Malaysia, masyarakatnya semakin bimbang kerana golongan seperti ini masih bebas disebabkan ada kepercayaan bahawa kebanyakkan syarikat-syarikatnya dikuasai oleh istana, menteri, isteri, anak cucu dan kaum kerabat.

Kebimbangan itu wajar adanya kerana masyarakat biasa sudah mula terasa hilangnya hak-hak mereka seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

Di Malaysia juga pada hari ini rakyat sudah mula menjadi seperti 'hamba dan pekerja' untuk wakil rakyat. Wakil yang dilantik dalam pilihanraya terutama sekali yang ada kuasa memerintah sudah mula menjadi 'tuan'.

Bagi orang Melayu dan Islam, ini adalah sesuatu yang perlu direnungkan. Apakah ini juga dikategorikan sebagai qada dan qadar.

Sampai bila ?

Tuesday, December 22, 2009

Malaysia kaya rakyatnya susah

52 tahun Malaysia merdeka. BTN UMNO dan Barisan Nasional tentu gembira.

Produkmu merogol pribumi sendiri. Enjin pesawat F5E bernilai RM50 juta hilang ? Istana berharga RM12 juta menggunakan wang rakyat milik siapa ? C4 mana diguna untuk meletupkan wanita Mongolia ?

Kadar tol menghisap darah warga Malaysia. BTN menangis menghirup air mata darah rakyatkah ?

Penjawat awam Malaysia kurang bermoral ?

Malaysia kaya dengan hasil buminya. Wang petroleum hilang di antara laut dan darat. Pemimpin UMNO dan BN serta kroni mereka hidup mewah.

Rakyat juga yang menderita. Harga barang makanan naik setiap bulan secara senyap. Sekolah dan universiti menjadi tempat perniagaan.

Penduduk Keroh, Gua Musang, Cerok Tok Kun, Bukit Wang dan Sabah serta Sarawak apa khabar?

Perak masih menangis kerana demokrasinya dirogol bergilir-gilir oleh institusi yang dikatakan menjadi pagar rakyat.

Inilah undang-undang dan keadilan cara kerajaan sedia ada.

PDRM, SPRM, SPR dan mahkamah diikat tangan lalu ditunjukkan dua jalan. Satu untuk pemimpin dan satu untuk rakyat.

Melayu BTN sudah gagah di Nusantara ? Malaysiaku perkasa di seluruh dunia ?

Namun rakyatnya tidak mengecapi kemakmuran itu. Kenapa ?

Minda dan fizikalnya ditambat ditiang autokrasi !

Sunday, December 13, 2009

Shahanim mahu Puteri menerajui blog


Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menerusi Naib Ketua Kebangsaannya Shahanim Bt Mohamad Yusoff nampaknya berusaha bersungguh-sungguh memberikan semangat kepada ahli pergerakan itu supaya mempelajari cara membuat blog.


Beliau dan jawatankuasanya mengadakan bengkel selama tiga hari di Merdeka Beach Resort Sungai Petani Kedah semata-mata bagi merealisasikan hasrat dan harapannya itu.


Dalam pertemuan singkat dengan Shahanim, beliau memberitahu, “Saya menaruh harapan agar dapat menganjurkan kursus penulisan blog kepada anggota dan kepimpinan pergerakan Puteri di semua tempat supaya memudahkan kita menangkis tohmahan atau fitnah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang”.


“Saya juga berharap sangat agar kita boleh bersiap sedia menghadapi segala suasana perang siber sebelum pilihanraya umum ketiga belas akan datang” kata Shahanim lagi.


Beliau juga menggalakkan ahli pergerakan itu samada di Kedah atau seluruh Malaysia mengadakan blog sendiri bagi menyampaikan maklumat dan berita terkini kepada komuniti setempat.


Walaupun pertama kali berjumpa dengan Shahanim, saya nampak semangat dan visinya untuk membawa pergerakan yang diterajuinya ke alam siber iaitu satu media baru, berpengaruh dan berkuasa buat masa ini sangat berkobar dan berwawasan.


Beliau menyatakan cita-cita dan harapannya itu akan dimulakan di Kedah sendiri iaitu negeri perintis perjuangannya.

Saturday, December 12, 2009

Kes Ahmad Ismail, Gerakan ditipu sekupang tiga ?

September tahun lepas, Ahmad Ismail dari Pulau Pinang digantung selama tiga tahun oleh UMNO kerana pandangan 'kelompok atau suku perantau'nya terhadap Gerakan dan masyarakat Cina.

Namun tiba-tiba pergantungan itu ditarik balik.

Seolah-olah Gerakan dan MCA telah bersetuju bahawa dakwaan Ahmad pada tahun lepas adalah benar.

Ada yang berkata, UMNO sudah tipu Gerakan. Koh Tsu Koon dijual 'sekupang tiga' di Lorong Kulit.

Apapun, itu adalah masalah dalaman Barisan Nasional.

Terasa hiba dan habanya.

Kepada UMNO dan Gerakan, jika kasihkan padi, buangkanlah rumput-rumput itu. Jika tidak, biarkan saja lalang yang tumbuh.

Friday, December 11, 2009

Rakyat Malaysia susah, pemimpin senang-lenang

Sudah lebih 5o tahun negara mencapai kemerdekaan, namun banyak prosidur pentadbiran dan kewangan jabatan-jabatan kerajaan warisan penjajah masih diamalkan.

Kerenah birokrasi rasanya tidak dapat diubah selagi kerajaan yang ada masih memerintah. Tidak nampak jalan keluar. Seolah-olah rakyat Malaysia dijajah dan perlu melalui proses penapisan yang cukup ketat.

Bukan sahaja masyarakat kampung, malah kakitangan kerajaan sendiri merungut dengan kelemahan yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Cuba bayangkan, seorang pesakit kronik diminta tunggu berbulan-bulan di hospital-hospital kerajaan dengan pelbagai alasan yang sangat 'bangang'.

Mesin tidak ada, mesin tidak cukup, peralatan belum sampai, pekerja mahir untuk mengendalikan alat tidak ada, kakitangan berkenaan bercuti, budget tak dapat , kerenah 'biasa' tabung penyakit kronik dan sebagainya.

Kroni pemimpin dapat projek berpuloh juta seorang. Untuk kesihatan rakyat, kerajaan tidak ada wang.

Bagi mereka yang ada kenalan atau saudara-mara di hospital kerajaan, prosidur sebegini jarang dilalui.

Ramai yang maut ketika berada dalam senarai menunggu. Banyak kali saya menulis, orang Melayu lebih suka menyerahkan perkara seperti ini kepada qada dan qadar. Sampai bila ?

Seorang pesakit jantung di Hospital Sultanah Bahiyah memberitahu saya, beberapa bulan yang lalu, beliau dirujuk untuk membuat MRI di Hospital Pulau Pinang. Sampai sahaja temu janji selepas tiga bulan itu, ia pun ke sana lalu diberitahu mesin MRI rosak.

Dia terpaksa balik ke Alor Setar dalam keadaan kerugian wang, masa dan keletihan, biarpun sebelum ini ada meninggalkan nombor telefon rumah dan tangan kepada pihak hospital.

Ia diminta menunggu lagi tarikh baru pula.

Beberapa pesakit dari Hospital yang sama dirujuk untuk menjalani engiogram di Hospital Pulau Pinang (HPP). Dimasukkan ke wad sehari awal. Keesokkan harinya, mereka diminta pulang ke rumah masing-masing di Alor Setar dan Kangar kerana pihak HPP cuma dapat menjalankan rawatan pemeriksaan untuk lima atau enam pesakit sahaja.

Masalahnya, pesakit yang dipanggil pada hari berkenaan mencecah sehingga 14 - 16 orang.

Ketika menghubungi pihak Hospital Sultanah Bahiyah kelmarin, saya diberitahu sudah ada unit kardiologi di sana sejak dua bulan yang lalu tetapi pengendali mesin tertentu pula masih belum ada.

Berlainan pula dengan beberapa orang kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman kenderaan melalui jabatan masing-masing memberitahu terpaksa menunggu sehingga enam bulan untuk mendapat wang membeli kenderaan.

"Berbanding dengan bank, hanya memerlukan masa tiga hari. Kita mohon pinjaman untuk kenderaan jenama A, tetapi boleh beli jenama B kerana kerenah birokrasi jabatan yang terlalu lama sehingga ada jenama baru yang keluar" kata kakitangan Jabatan Pembangunan Negeri Kedah.

Masyarakat sebagai pelanggan jabatan-jabatan kerajaan terutama sekali di hospital-hospital dilayan seperti peminta sedekah di negara merdeka. Kenapa boleh jadi begini ?

Perdana Menteri, kabinet, politikus BN dan mereka yang kroni - tidak pernah menjejakkan kaki ke hospital-hospital kerajaan. Apa yang mereka tahu. Menteri Kesihatan tak habis-habis dengan politik dalaman MCA. Mana ada masa memikirkan soal kebajikan rakyat.

Kasihan penjawat awam yang dedikasi. Mereka juga terpaksa melalui kerenah birokrasi zaman penjajah yang memerlukan 'scanning' yang ketat.

Satu Malaysia pasti mengalami kenangan pahit bila berurusan dengan birokrasi Malaysia yang bebal ini.

Thursday, December 10, 2009

Politik Kelantan : Tanam delima tumbuh peria ?

Utusan Malaysia melaporkan bahawa "Nik Aziz menyifatkan Mahfuz memandai-mandai".

PAS baru memegang satu negeri. Belum satu negara.

'Kalut' tak habis-habis dengan politik keluarga. Sekejap Menteri Besar Kelantan, sekejap anak lelakinya Nik Abduh, sekejap anak perempuannya Nik Amalina dan kerap menantunya Ariffahmi.

Pemerhati politik berpendapat, Menteri Besar Kelantan terjerat dalam isu keluarganya.

Menuding jari pada UMNO dan Barisan Nasional sangat mudah dan dibolehkan tetapi janganlah berbuat begitu pada PAS parti yang dipimpin oleh 'orang-orang dari langit'.

Sebelah tangan jarinya lima
Dua tangan jari sepuloh
Niat di hati tanam delima
Sampai masa peria yang tumbuh.

Sayang Mahfuz pada Tok Guru, sayang lagi Amalina, Abduh dan Ariffahmi pada bapa dan mertua mereka.

Monday, December 7, 2009

Ariffahmi akan jatuhkan Nik Aziz

Abdul Ariffahmi Ab Rahman Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang juga menantu kepada Menteri Besar Kelantan seolah-olah susah sangat meletakkan jawatan lantikan mertuanya di Perbadanan itu.

Ariffahmi membuka ruang yang luas kepada pengkritik demokrasi, lebih-lebih lagi pengkritik PAS dan mertuanya untuk 'membelasah' Menteri Besar Serambi Makkah itu.

Betullah seperti kata orang. Pangkat, harta, wanita dan wang susah dipisahkan dari pemimpin korup.

Adakah Ariffahmi korup mindanya ?

Tindakannya yang melambatkan perletakkan jawatan itu sudah tentu akan membuatkan Nik Aziz Nik Mat kelihatan 'bikin tak serupa cakap'.

Sudah tentu menantu MB Kelantan ini adalah penyebab musibah kekalutan politik Kelantan kini.

Menantu ini diminta meninggalkan PMBK dan bukannya meninggalkan Nik Amalina.

Tidak silap jika masyarakat menganggap, jika dibiarkan, sudah tentu dia akan menjadi penjatuh Menteri Besar Kelantan.

Saturday, December 5, 2009

Doa sama untuk hakim yang tidak amanah

Berkaitan doa yang disyorkan oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan terhadap kezaliman yang dilakukan oleh Mohd Najib Tun Razak kepada penduduk Kelantan, ramai yang bersetuju sangat.

Malah ulama memberikan contoh bahawa doa seperti ini pernah dipanjatkan oleh Rasulullah ketika baginda dizalimi oleh kaum Quraish.

Bukan setakat itu sahaja, ramai yang mahukan agar doa yang serupa dipohon untuk hakim-hakim yang mengendalikan kes-kes di mahkamah-mahkamah rendah dan sehingga ke mahkamah-mahkamah tertinggi di Malaysia.

Nampaknya politik di Malaysia sudah tidak mengikut lunas kemanusiaan apatah lagi mahu digunakan budi bicara.

Politik Malaysia merestui melanggar perjanjian, membiarkan pembunuh Altantunya bebas, melabelkan syuhada Memali sebagai penjenayah, pemimpin pengkhianat sebagai wira, perasuah anak didik UMNO dan BN sebagai pelapis pemimpin, perogol sebagai pembela ekonomi bangsa. SPRM dan PDRM yang khianat dan menzalimi rakyat sebagai pembela Ketua UMNO dan BN, wang dan harta negara yang dilarikan penjenayah dikekalkan sebagai menteri dan bermacam lagi.

Apakah golongan ini sebagai penjenayah-penjenayah mahu rakyat mendoakan supaya mereka terus bermaharajalela dan masuk syurga ?

Akhirnya kepada Allah swt jua kita mengadu dengan berdoa.

Friday, December 4, 2009

Nik Aziz : Doa sampai pecah perut

Doa sampai pecah perut.

Itu kata Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan.