Thursday, June 28, 2007

Negara Kita Tanpa Ketua Bermaruah

Negara seperti didefinisikan mestilah mempunyai empat elemen penting seperti berikut.

  • rakyat atau penduduk
  • wilayah
  • organisasi atau kerajaan
  • kedaulatan


Manakah yang lebih terpenting?


Kerajaan dibentuk oleh satu kumpulan majoriti orang yang berlindung di bawah satu payung atau bumbung untuk mencapai matlamat tertentu secara bersama. Kerajaan kemudiannya menggubal undang-undang untuk memagarkan ruang lingkup aktiviti negaranya. Undang-undang yang bagaimana ?


Di dalam kebanyakkan negara di dunia ini termasuk di Malaysia, sering terjadi di mana kumpulan orang-orang atau kerajaan itu lebih dipentingkan dari rakyat, wilayah dan kedaulatan . Maksud saya kerajaan atau ahli kabinet Barisan Nasional atau kerajaan PAS itu lebih dipentingkan dari orang yang melantik kerajaan, lebih penting dari sempadan negara dan dari maruah atau kedaulatan penduduknya.


Sedangkan kerajaan adalah satu cabang dalam sebuah negara atau satu faktor yang menjadikan negara. Orang-orang dalam kerajaan ini boleh datang dan pergi. Boleh dipilih semula dan digantikan.


Dan yang tinggal adalah elemen rakyat biasa seperti kita. Wilayah adalah seperti sempadan Kelantan, Perlis, Johor, Kedah dan seterusnya Malaysia. Akhirnya elemen kedaulatan yang menentukan maruah sesuatu negara dan penghuninya.


Namun akibat kesilapan rakyat memilih kumpulan orang yang menggelarkan dirinya sebagai ketua dan pemerintah yang seterusnya menjadikan diri mereka sebagai kerajaan bukan sahaja akan menghancurkan harapan dan cita-cita murni penduduk atau rakyat sesuatu negara, malah seperti berlaku di beberapa negara di dunia, penghuni buminya kehilangan wilayah dan kedaulatan serta hidup tanpa negara dan arah.


Contoh orang-orang yang dipilih di Malaysia adalah seperti Tun Dr Mahathir, Tengku Razaliegh, Anwar Ibrahim, Tn Guru Hj Hadi Awang, Tn Guru Nik Aziz Nik Mat, Abdullah Badawi, Lim Kit Siang dan Samy Vellu. Sekadar beberapa nama. Siapa yang disilap pilih?


Adakah wilayah yang menentukan. Adakah kedaulatan yang menentukan. Atau, adakah kita sebagai penduduk iaitu rakyat yang menentukan kesilapan atau sebaliknya dalam memilih mereka?


Apakah negara dengan dua elemen lain iaitu wilayah dan kedaulatan boleh datang dan pergi seperti kerajaan ? Tidak semestinya. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Palestin. Ada rakyat dan kerajaan. Kerajaannya silih berganti. Sehingga kini belum dapat dipastikan apakah bentuk wilayahnya apatah lagi kedaulatannya.


Begitu jua, dari sebuah negara yang mempunyai rakyat, wilayah, kerajaan dan kedaulatannya, Iraq kini seperti seorang manusia yang telah dilondehkan. Itulah ibaratnya.


Itu jika kita lihat apa yang berlaku berjauhan dari kita. Di Malaysia, siapakah yang berhak menentukan supaya kewujudan empat elemen penting ini berterusan ?


Perlantikkan satu kumpulan orang secara majoriti yang berpayungkan di bawah satu fahaman untuk mencapai cita-cita dan masa depan anak bangsa bermula dari peringkat cawangan, bahagian, negeri dan kebangsaan. Tidak kira perlantikkan sebagai ahli biasa, AJK, ketua cawangan, AJK Bahagian, peringkat negeri dan kebangsaan.


Percayakah ?. Percayakah kesilapan dalam memilih atau melantik mereka sebagai kerajaan mungkin menjadikan kita seperti di Palestin dan Iraq. Sanggupkah kita mewariskan kepimpinan rapuh lagi busuk kepada anak cucu kita ? Apalah maknanya wilayah, kerajaan dan kedaulatan tanpa kita sebagai elemen penentunya ? Mahukah kita berangan-angan atau terawang-awang dengan negara yang tanpa berwilayah dan berdaulat ? Kita boleh hilang wilayah dan kedaulatan bukan semata-mata kerana peperangan sahaja tetapi kerana digadai dan dijual khazanah, semangat dan roh elemen-elemen tersebut termasuk cara penggubalan dan pelaksanaan undang-undang manusia terhadap negara.

No comments: