Friday, June 22, 2007

Mat Rempit : Mana Nak Dibawa Mereka Ini..



Mat Rempit (MR) satu istilah yang sudah tidak asing lagi bagi warga Malaysia. Sebut sahaja MR, terbayanglah Melayu, anak-anak muda, motosikal, keterlibatan dalam jenayah, polis, kemalangan, hospital, kes mahkamah dan pelbagai lagi.


Terbaru, MR membayangkan juga Putera UMNO, Datuk Azeez Rahim, Kutub Utara, penganugerahan pingat dan lain-lain.


MR didefinisikan sebagai penunggang haram motosikal. Mereka majoritinya terdiri dari kalangan anak-anak Melayu yang masih muda, menunggang dengan cara yang membahayakan bukan sahaja diri mereka tetapi pengguna lain jalanraya. Menunggang sambil berdiri, meniarap, bertukar penunggang, angkat tayar hadapan dan pelbagai aksi menakutkan. Golongan MR dikatakan tidak mengikut undang-undang apabila kebanyakkan mereka tidak memiliki lesen dan seringkali motosikal mereka tidak mempunyai cukai jalan serta adalah kenderaan yang dicuri atau diubahsuai dengan komponen alat yang dicuri.


Tindakan seronok mereka diikuti atau menjadi idola pelajar-pelajar sekolah yang akhirnya menyusahkan diri mereka, ibubapa, keluarga, masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya.


Kegiatan MR selalu dikaitkan dengan pengangguran, kes-kes jenayah termasuk dadah, mencuri, vandalisma, ponteng sekolah, langgar lari, melawan sesama sendiri, kepandaian memujuk dan membonceng awek, membawa senjata tajam, tiada lesen, seronok melanggar undang-undang dan sebagainya.


Sejak kebelakangan ini Ketua Putera UMNO Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pula dikaitkan dengan isu ini kerana didapati terlalu empati dengan MR dan mahu membawa mereka ke pangkal jalan mengikut cara dan acuan Putera UMNO Malaysia. Cara yang bagaimana ?


Membawa beberapa orang dari kumpulan ini bagi melakukan penerjunan di Kutub Utara.
Ramai yang melahirkan kekesalan terhadap tindakan Putera UMNO ini. Dari kalangan penyesal-penyesal ini, ada yang menyuarakan supaya kesemua MR ini dilibatkan dalam penerjunan di kutub utara. Kenapa hanya beberapa kerat sahaja ?


Bagi saya, beberapa cadangan berikut perlulah diambil kira oleh pihak kerajaan, oleh parti politik, NGO atau individu yang berminat dengan masalah MR ini.


Pertamanya, MR dibawa secara berkumpulan ke masjid, surau-surau, tanah perkuburan, dewan orang ramai dan tempat-tempat awam untuk dilakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Membersih, membuang sawang, mengecat, bantu memperbaiki bangunan awam dan sebagainya. Di masa yang sama mereka dapat memanafaatkan ilmu untuk diri mereka dengan rasa keinsafan.


Kedua, mereka dibawa ke rumah-rumah atau sekolah kebajikan kerajaan atau swasta yang berselerak di seluruh negara mengikut daerah atau negeri masing-masing. Di sini diperlihatkan kepada mereka kenapa masih ada orang tua yang sanggup ditempatkan di rumah orang tua, kenapa ada kanak-kanak yang didera, apakah nasib dan masa hadapan kanak-kanak cacat yang tidak mempunyai anggota badan, lemah daya pemikiran, juvana yang ditempatkan di institusi pemulihan seperti di Sekolah Tunas Bakti, Henry Gurney dan sebagainya. Diinteraksikan mereka dengan penghuni di sini sambil meminta mereka melayan dan membantu melakukan kerja-kerja penghuni di rumah-rumah kebajikan.


Ketiganya, melibatkan mereka dengan gotong-royong dan kenduri kendara di komuniti tempatan. Ajarkan mereka nilai-nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan disamping menjalinkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang.


Keempat, berikan mereka peluang mengadakan acara kesukanan sesama mereka dan bersama masyarakat setempat. Ini termasuklah acara lumba motosikal di trek-trek yang dibina khas di tempat–tempat berkenaan dengan seberapa kerap yang boleh. Agensi seperti Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Agama, NGO dan sebagainya boleh memberikan input yang diperlukan.


Kelimanya, skim latihan sambil bekerja di Giat Mara, Institusi Vokasional yang lain seperti Kolej Komuniti dan sebagainya diperluaskan kepada golongan ini untuk mengasah bakat dan menimba ilmu jika tidak kepada orang ramai, memadai untuk diri sendiri. Memperbaiki motosikal, kenderaan lain dan kepelbagaian latihan yang diminati oleh golongan MR ini perlu diwujudkan.


Saya bimbang jika projek Kutub Utara nanti menjadi projek gajah putih. Atau jadi semacam Pusat Serenti (Pusat Pemulihan Dadah). Rata-ratanya anak Melayu Islam, penglibatannya asyik-asyik orang itu, belanja terlalu besar, wang rakyat dan negara disalurkan kepada satu projek yang membawa manafaat (?) cuma kepada beberapa orang sahaja, masa yang begitu banyak terbuang, kesannya tidak seberapa dan balik-balik dok merempit serupa tu juga.


Akhirnya menjadi bebanan kepada negara. Apa tidaknya, belanja besar, masa dan sebagainya yang boleh digunakan ke sasaran lain, digunakan oleh agensi kerajaan dalam cubaan memulihkan MR-MR. Hospital, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Belia, mahkamah, syarikat insuran, keluarga, masyarakat dan negara dikerah untuk tujuan tersebut. Tahun melawat Malaysia dicemari dengan aktiviti yang tidak senonoh. Lebih-lebih lagi menjadikan sistem pendidikan negara sebagai kambing hitam yang melahirkan indidvidu dan kumpulan yang sentiasa tidak stabil. Akhirnya menudingkan jari ke arah Islam sebagai kerangka ilmu, kepimpinan dan negara yang kucar-kacir akibat tindakan MR-MR ini.

No comments: