Monday, May 26, 2008

Ezam tidak ke mana

Jika pada tahun 1998 suara reformasi bergema di seluruh Kuala Lumpur ibukota Malaysia, maka Anwar Ibrahim dan anak-anak muda yang mengidolakannya adalah penyebabnya.

Diantara anak muda terkenal dengan gerakan reformasi pada ketika itu ialah Ezam Md Noor yang kini sudah mencecah 40 tahun.

Bekas Ssetiausaha Politik Anwar Ibrahim itu memilih untuk berjuang bersama-sama Anwar yang dipecat oleh Tun Dr Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998.

Ezam, Azmin Ali dan beberapa reformis lain mengepalai suara keramat yang dipelajari mereka dari Anwar. Bandar-bandar besar di Malaysia menyaksikan satu permulaan titik perubahan bukan sahaja akan siasah Melayu tetapi juga politik pelbagai kaum.

Hatta Rahim Noor bekas Ketua Polis Negara terancam dengan perarakan besar-besaran rakyat yang akhirnya memaksa ia memukul Anwar sebaik sahaja mantan Timbalan Perdana Menteri itu berada di dalam tahanannya.

Ezam pula dengan enam kotak surat rahsianya sanggup merengkok di dalam penjara setelah dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Demi perjuangan seperti yang seringkali tersembur dari mulut Ezam, ia keluar dari Parti Keadilan Rakyat. Peranan yang dimainkan Azmin, seorang lagi bekas setiausaha (sulit) Anwar dijadikan isu oleh Ezam.

Anwar mendiamkan diri bairpun ia dituduh oleh Ezam sebagai diktator. Malah Ezam menyamakan Azmin semacam Khairy Jamaludin, menantu Abdullah yang ‘gila’ mahu menggantikan mertuanya itu.

Baru-baru ini, Ezam mengosongkan Gerak satu wadah membasmi rasuah yang ditubuhkannya pada tahun 2003.

Terkini, heboh pula bahawa bekas Ketua Pemuda PKR ini akan kembali kepada UMNO. Parti politik yang menjadi musuhnya, parti yang dimomokkannya sejak sekian lama dan parti yang disinonimkannya dengan rasuah.

Juak-juak di dalam UMNO seperti Nazri Aziz, Muhammad Taib, Adnan Yaakob, Hishamuddin Tun Hussin dan beberapa orang dari mereka seperti sudah tahu akan keputusan yang bakal Ezam lakukan.

Entah benar atau perang psikologi dan propaganda.

Dengan tangan terbuka, mereka menggamit Ezam pemuda yang pernah mereka ‘hantu’kan.

Betulkah UMNO parti yang akan disertainya setelah musuh lamanya Tun Mahathir sudah tiada ?

Bukan sahaja Tun, malah Abdullah juga pernah disergahnya. “Saya mempunyai fakta kukuh untuk mengheret bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke mahkamah atas dakwaan penyalahgunaan kuasa semasa memerintah” kata Ezam kepada Harakah beberapa bulan yang lalu.

Mampukah Ezam yang selama ini dianggap sebagai idola reformis anak-anak muda PKR, membawa perubahan dari dalam UMNO.

Saya percaya Ezam akan hilang segala-galanya apabila ia memilih UMNO. “Dia sudah bertikam lidah, sudah lama tidak sehaluan dan adakah ia akan menjilat apa yang sudah diludahkan” tanya pemerhati politik.

Husam Musa, orang kanan PAS sudah mempelawa Ezam menyertai parti mereka.

Sudah dapat diagak, Nakhaei Haji Ahmad, Zahid Mat Arip, Ruslan Kasim dan beberapa serpihan siasah yang tercarik dan bersatu ke dalam UMNO pastinya merupakan cerminan dan bayangan hari mukanya jika Ezam kembali ke pangkuan UMNO.

Serpihan ini sudah lama tidak berperanan dan dilupakan.

Apakah sejarah Anwar dibaluti ‘tahi UMNO’ sudah dilupakan juga? Anwar berada di dalam UMNO sebagai ‘orang yang kalah'.

Atau, Ezam akan menunggu Anwar di gerbang UMNO sebagai satu strategi mereka untuk memperkasakan apa yang hampir tiada?

Harapan untuk bergayut kepada Abdullah semakin pudar kerana Abdullah sendiri sudah bergayut di pelbagai tiang rapuh yang sudah dimakan anai-anai.

Bagi saya, hala tuju Ezam - komited dengan perjuangan tanpa ada pendirian, ibarat masuk angin keluar asap.

Untuk kembali kepada PKR bukanlah mustahil tetapi mungkin sedikit sukar bagi Ezam. Tetapi menyahut pelawaan PAS lebih-lebih lagi parti yang diterajui oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah disifatkan Ezam sebagai pentadbiran paling bersih, ibarat mengantuk disorongkan bantal.

3 comments:

ikan said...

nasihat buat ezam,

apakah ezam yang dulu pernah mengagongkan anwar, mahu menentang anwar semula dari dalam umno? Apakah ezam dulu pernah menuduh umno bapak rasuah ingin menyertainya semula? dollah badawi, najib dan menteri-menteri umno jelas dan nyata kaki rasuah, ezam mahu bersama-sama mereka? DIMANA MARUAH EZAM???????

ikan said...

salam buat ezam,

DIMANA MARUAH EZAM? apakah ezam tidak ada maruah? Dulu ezam pemimpin muda yang disegani.. sebut saje ezam semua orang gerun samada kawan mahupun lawan walaupun dia orang muda sama seperti gerunnya pada anwar.. semua kejahatan umno dibongkarnya.. keburukan umno dikutuknya.. umno pernah mengurungnya dalam penjara? apakah ezam akan maafkan umno?

AFRAR YUNUS said...

salam sdra ikan
akhirnya ezam telah membuat keputusam. kembali menjilat apa yang telah diludahkan. seperti di tulisan saya, "Bagi saya, hala tuju Ezam - komited dengan perjuangan tanpa ada pendirian, ibarat masuk angin keluar asap". Kepentingan peribadi telah mengatasi segala-galanya.