Jika pada hari ini kerajaan persekutuan yang mengiktiraf Harakah, ini bermakna kerajaan itu sudah tentunya kerajaan Pakatan Rakyat. Namun, adakah kerajaan rakyat dari lima negeri iaitu Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah sudah memberikan satu pengiktirafan kepada Harakah tentang peranan dan keberkesanannya?
Walaupun saya percaya rata-ratanya tidak dinafikan bahawa pemimpin politik kerajaan, ketua-ketua-ketua jabatan, badan-badan sukarela dan individu-individu yang ramai menjadi pelanggan tetap Harakah juga merupakan satu pengiktirafan tersembunyi.
Tulisan Saudara Ahmad Lutfi Othman Ketua Pengarang Harakah menarik perhatian saya. Sesungguhnya Saudara Lutfi melahirkan harapan dan cabaran-cabaran yang perlu dilalui oleh sebuah media kecil tetapi diminati ramai.
Harakah satu media politik secara berkala yang diterbitkan dua kali sebulan disifatkan Lutfi sebagai mendapat sambutan yang mengalakkan sejak kebelakangan ini apabila cetakkannya yang berlipat ganda dan kunjungan yang malangkau beratus ribu di laman webnya.
Pada saya, selagi akhbar itu agak bebas dan demokratik, ianya akan menepati citarasa pembaca pelbagai keturunan yang kini sudah semakin terbuka mentaliti mereka dalam menerima dan membezakan apa yang boleh dikatakan sebagai longggokan berita.
Saya tertarik dengan ulasan Saudara Lutfi. Harakah tidak boleh 'membatu' ditahap lama.
Perjuangan sudah bermula. Ibarat sudah merdeka walaupun belum sepenuhnya dalam kriteria mengisi kemerdekaan itu. Namun lima negeri yang sudah ada di tangan Parti Rakyat perlu diisi kemerdekaannya agar rakyat yang memilih kerajaan tersebut tidak dikecewakan dan beralih arah.
Jika kita lihat pejabat-pejabat Harakah di kebanyakkan negeri, didapati ianya berada pada tahap lama dan adalah berpatutan bagi saya mengatakan berada pada tahap yang dhaif.
Bukan sahaja pejabatnya berada di pinggir-pinggir bandar dan ada yang beroperasi dari rumah, hatta peralatan di dalam pejabatnya pun agak tidak sempurna jika dibandingkan dengan suasana pejabat media yang lain.
Impresi pertama pengunjung pejabat Harakah lebih-lebih lagi selepas kemenangan pilihanraya umum kedua belas perlu diubah.
Lima negeri sudah berkerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan lima negeri ini pada hemat saya bolehlah menghulurkan apa-apa bantuan sekadar kemampuan mereka. Tidak kiralah samada secara terus, melalui anak-anak syarikat atau apa- cara lain. Biar dalam bentuk tempat, dana dan sebagainya.
Malah, jutawan dan dermawan dalam gerakan siasah juga boleh membantu akhbar Harakah dalam melaksanakan tugas harian akhbar kerdil ini yang telah memberikan impak yang positif selama ini.
Apa yang diketahui, secara umumnya, akhbar mendapat pulangan dari pengiklanan dan langganan pembaca. Namun adakah pengiklanan Harakah dapat menampung kos penerbitan, utiliti, gaji kakitangan dan sebagainya.
Saya berpengalaman bekerja dengan akhbar tabloid seperti Harakah. Asam garamnya terlalu perit namun kerana azam, cita-cita dan mungkin juga sumbangan kecil ke arah perjuangan, itulah yang dapat dilakukan.
Difahamkan akan ada akhbar harian yang sedang diperjuangkan oleh kerajaan lima negeri. Namun, Harakah perlu diteruskan kerana jasanya kepada masyarakat bukan kecil.
Dalam pada itu saya mencadangkan agar satu think tank diwujudkan dalam bidang maklumat dengan peranan utama boleh dimainkan oleh Harakah dengan kerjasama Setiausaha-Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar dan Ketua Menteri di
lima buah negeri.
Saudara Lutfi saya kira boleh membantu mengadakan perjumpaan dengan blogger-blogger dan penulis media yang sehaluan dengan citarasa Barisan Rakyat.
Kursus yang lebih kerap perlu diadakan agar misi dan visi kerajaan baru dapat disampaikan kepada rakyat. Bengkel penulisan kepada anak-anak muda di bawah "Akademi Harakah"contohnya, boleh diwujud dan dilaksanakankan.
Apa yang saya lihat setakat ini, masa honeymoon pemimpin Parti Rakyat hampir sama dengan masa yang diambil Abdullah Ahmad sebelum ini. Parti rakyat tidak boleh mengikuti rentak BN. Itulah diantara sebabnya BN terkejut dengan kekalahan. Mereka ibarat orang yang hilang arah. Saban hari mereka tuduh menuduh dan londeh melondeh sesama mereka.
Parti Rakyat sepatutnya sudah berada di posisi. Peperangan sudah lama bermula. Tidak ada noktah selagi tiada kemenangan total dicapai.
Begitu juga Harakah. Kira-kiranya ia tidak boleh 'berpatung' ditahap lama lagi. Semuanya sudah canggih.
No comments:
Post a Comment