Thursday, May 22, 2008

Telinga besar gajah perlu heret Agong?

Kemelut Tun Dr Mahathir Mohamed dan Abdullah Badawi adalah masalah dalaman politik UMNO. Kenapa pula hendak membabitkan Yang di Pertuan Agong?

Veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa seperti hilang arah tuju. Apakah kerana ianya melibatkan dua pemimpin UMNO, maka isu ini wajar dianggap sebagai masalah Melayu sedunia.

Nampaknya pemimpin-pemimpin UMNO belum dapat menerima kekalahan yang lambat laun akan memaksa mereka menjilat ludah sendiri. Saban hari media perdana digunakan untuk menjatuhkan air muka parti pembangkang. Sebelum pilihanraya dan masih lagi sehingga sekarang.

Kini tiba masanya giliran dua puak di dalam UMNO pula untuk menilai etika kewartawanan media perdana Malaysia.

Saya bimbang jika parti MCA mula meminta campurtangan YDP Agong. Mereka mahu istana menentukan pula adakah Chua Soi Lek betul-betul dianiaya oleh pemimpin tertinggi parti terbesar Cina itu satu masa dahulu dalam skandal seks bersama temanitanya.

Samy Vellu pula akan meminta YDP Agong menjadi orang tengah dan menentukan bahawa hanya dia menjadi wakil masyarakat India Malaysia selama-lamanya berbanding Hindraf yang mula mendapat sokongan masyarakat Tamil.

Mat Sabu dari NGO Bersih akan melompat mahukan keadilan dalam hal seperti ini. Kenapa hasrat mereka berjumpa YDP Agong pada Oktober 2007 dihalang dengan kekerasan oleh polis Malaysia.

Sedangkan mengikut veteran UMNO yang sudah kepupusan idea dan akan kehilangan penyokong dalam tempoh terdekat ini, YDP Agong perlu campur tangan dalam isu UMNO yang sedang terlantar cedera akibat pertembungan politik dengki dan kroni ciptaan sendiri.

Jika betul YDP Agong yang menjadi payung negara akan diheret dalam isu politik UMNO yang tidak laku ini, wajarkah YDP Agong menjadi orang tengah diantara Parti Rakyat dan Parti BN?

Raja-raja Melayu sepatutnya boleh campur tangan dalam semua perbalahan rakyat. Raja-raja adalah payung negara tetapi bukan payung kepada UMNO sahaja.

Veteran UMNO perlu memahami, pada zaman dahulu jalanraya untuk rakyat Malaysia menggunakan kenderaan adalah sempit dan dibenarkan dengan kelajuan tiga puluh atau lima puluh kilometer sejam sahaja.

Apabila lebuhraya dibuka dengan kelajuan 110 km/j, kenapa UMNO dan BN sahaja yang terbabas, bertembung sesama sendiri dan hampir-hampir terbunuh.

Apakah mereka sudah lupa daratan, hilang kewarasan, tidak mengikut peraturan, hilang rasa hormat dan malu, mampu membeli kenderaan yang kelajuannya tidak boleh kurang dari 200 km/j atau mahu mengikuti adat apa?

Kenapa apabila UMNO sudah ibarat 'rumah kata pergi dan kubur kata mari', maka isu Melayu pula didendangkan. Sedangkan Melayu dalam PAS, Keadilan dan DAP tidak menjadi Mat Rempit yang bertembung sepanjang siang dan malam hari di landasan yang sama.

Dr Mahathir berkata Abdullah membutakan mata dan memekakkan telinganya melihat kemerosotan kepercayaan pengundi terhadap BN.

Abdullah menempelak pula dengan mengatakan 'telinganya besar' mungkin sebesar 'badan gajah'. Apa guna telinga sebesar itu, jika ia tidak berupaya berfungsi.

UMNO dan BN perlu belajar cara rehabilitasi berbanding pembangkang yang sudah lama dididik untuk dihabilitasikan dengan kemunduran demokrasi ala Malaysia.

2 comments:

kulatlapok said...

salam alkerohi,

Nampaknya benar bagai dikata hidup ini ibarat roda yang berputar. Sekejap diatas dan sekejap dibawah.Apa yang pastinya putaran itu tetap mengenai mangsanya.

Sejarah itu tidak buta. Dia boleh dipelajari dan boleh diambil pengajaran. Mmasin ingatkah kita semua? Bapa kemerdekaan kita dahulu diakhir kehidupanya sering mengkriktik Tun Mahathir.

Kini senario yang sama juga dihadapi oleh Tun apabila dia pulak mengkritik Pak Lah. Lazimnya orang yang sudah meningkat usia akan mengalami siptom 'nyanyuk' seperti yang pernah Tun lemparkan pada Allahyarham Bapa Kemerdekaan kita dahulu.

Kini yang mengkritik Pak Lah pun banyak yang dah lanjut usia termasuklah atuk saya Tan Sri Aziz Tapa tu.Walaupun banyak pengalaman bimbang nanti golongan veteran ini terpesong dari landasannya dan terus sah 'NYAYUK'

Wallahualam.
http://www.kulatlapok.blogspot.com

AFRAR YUNUS said...

salam kulatlapok,
betul kata sdra. putaran roda kehidupan diantara mereka yang beramal dengan perintahNya dan diantara mereka yang tidak mengamal perintahNya adalah berbeza. tetapi bagi politikus kita spt yg pernah dialami oleh YTM Tunku dan Dr Mahathir, serta Tun Hussin - membuktikan bahawa sejarah tidak akan melepaskan mereka. sepatutnya mereka bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan lebih-lebih lagi kepada penduduk malaysia.