Wednesday, April 2, 2008

MB Kedah: Bersikap terbuka dan reconcillation

Alor Star, 1 April - Menteri Besar Kedah YAB Ustaz Azizan Abdul Razak melahirkan rasa beryukur keahdrat Allah swt kerana Kerajaan Negeri Kedah berjaya diwujudkan dengan sokongan dan dokongan semua lapisan masyarakat selepas pilihanraya umum kedua belas baru-baru ini.

Beliau gembira kerana kakitangan kerajaan memberikan sokongan dan sangat prihatin dengan kerajaan baru negeri Kedah. Begitu juga semua lapisan masyarakat tanpa mengira keturunan telah menunjukkan satu perubahan sikap dalam menerima pentadbiran baru politik negeri Kedah selepas pilihanraya.

YAB Menteri Besar turut bersyukur kerana hubungan beliau dan kerajaan negeri dengan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah adalah sangat baik dan mesra. Beliau memaklumkan bahawa pihak istana sangat-sangat terbuka dalam menerima kerajaan baru PAS.

Bagi beliau, era kebangkitan rakyat telah membuktikan bahawa mana-mana kerajaan boleh datang dan pergi.

Apa yang paling utama tegas beliau ialah, “kita tingkatkan ibadah kepada Allah swt melalui pentadbiran kerajaan yang ada. Kita perlu amanah, simpati dan jangan melakukan maksiat setelah adanya kuasa”.

YAB Menteri Besar juga mengingatkan supaya , “jadikan tanggungjawab ini sebagai tempahan tiket ke syurga. Lagi banyak kita bertaqwa dengan lebih banyak peluang pemerintahan yang diberi maka lebih lama lagilah Allah swt meberikan peluang berkhidmat kepada rakyat”

Ustaz Azizan juga menegaskan, “kita sangat berterimakasih kepada kawan-kawan dalam pentadbiran awam yang memahami dan membantu kita. Saya mengambil sikap terbuka dan reconcillation (perdamaian). Tidak ada tindakan balas dendam kepada mana-mana pihak. Yang lepas itu kita jadikan sebagai pengajaran. Sekarang adalah masa bagi kita membina ummah dan masyarakat yang lebih cemerlang”

Beliau berucap dalam satu majlis kesyukuran malam tadi yang diadakan bersebelahan Masjid Derga iaitu di perkarangan kediaman Ustaz Abd Hamid Abdul Rahman yang berasal dari keluarga Al Jarumi dan merupakan bapa saudara kepada Almarhum Ustaz Fadhil Md Noor bekas Presiden PAS Malaysia.

YAB MB berkata majlis ini juga merupakan satu tanda ingatan kasih kepada Almarhum Ustaz Fadhil Noor dan keluarga yang juga merupakan sahabat seangkatan beliau dalam perjuangan PAS di negeri Kedah ini.


No comments: