Sunday, April 6, 2008

Apa lagi Mahdzir bekas MB Kedah?


Isu dua imam, tanah perkuburan yang berlainan, khutbah dua edisi dan sebagainya sudah tentu masih dalam ingatan kita.

Beberapa tahun yang lalu, isu-isu ini dicipta oleh UMNO dan media pengampu kerajaan persekutuan bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di Terengganu dan di Kedah.

Selepas pilihanraya umum kedua belas, Kedah dimandatkan oleh rakyatnya untuk diperintah oleh Barisan Rakyat yang diketuai PAS. Barisan Rakyat mendapat 22 kerusi manakala BN mendapat 14 kerusi DUN.

Bekas Menteri Besarnya, Mahdzir Khalid seperti kera digigit tebuan. Tidak dapat menerima kekalahan tersebut. Rata-rata penduduk di Alor Star memberitahu, "inilah balasan kepada mereka yang sombong dan bongkak. Bercakap dengan rakyat tanpa memandang muka mereka".

Mahdzir telah mengumumkan bahawa kesemua Ahli Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik semasa zaman pemerintahan BN hendaklah meletakkan jawatan bermula 1 April 2008.

Pada Februari 2008 yang lalu, Mahdzir juga ada mengumumkan untuk membayar tungggakan elaun kepada Pengerusi dan JKKK ini. Difahamkan elaun Pengerusi JKKK adalah RM500.00 sebulan manakala elaun Setiausahanya ialah RM200.00 sebulan.

Bagi saya, bukan sahaja ahli PBT dan JKKK sahaja yang perlu meletakkan jawatan.

Apa sahaja kedudukan yang berkaitan dengan bidang kuasa pentadbiran negeri hendaklah mengambil tindakan yang sama. Ini termasuklah Imam-imam yang hanya boleh membaca khutbah (bukan berkhutbah), Pengerusi dan jawatankuasa Yayasan Kemiskinan Negeri Kedah, Pegawai Peribadi Exco-Exco, perlantikan politik bagi anak-anak syarikat di Negeri Kedah dan sebagainya.

Bagi pegawai-pegawai lantikan politik dari kerajaan BN, mereka tidaklah dipecat atau dibuang kerja. Mereka boleh balik dan berkhidmat semula ke agensi lama sebelum dipinjamkan di atas dasar politik.

Di Amerika, apabila Presiden barunya mengangkat sumpah, maka ia akan membawa bersama ketua-ketua pentadbirnya dari kalangan orang mereka. Di Malaysia, Ketua Pentadbirannya tidak terganggu.

Apapun, jika dibiarkan idealisma bertentangan untuk menentukan arah sebuah kapal, nescaya keharmonian dan kemakmuran tidak dapat dikecapi. Biarlah yang lainnya menjadi penumpang sahaja. Bukan semua boleh menjadi nakhoda.

Apa guna mahu dikekalkan jika tidak dapat bekerja secara bersama. Apa guna mahu menerima gaji rakyat jika tugasan tidak dilakukan. Kita perlulah faham tugas dan peranan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Saya teringat isu dua imam dan tanah perkuburan yang berlainan apabila bekas MB Kedah Mahdzir Khalid yang mengarahkan JKKK meletakkan jawatan, tetapi di dalam masa yang sama masih mahu mengekalkan fungsi mereka di tempat lama dengan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Apakah ini semua ?

Siapa bakal pemecah belah masyarakat di Kedah jika isu seperti ini dibiarkan? Bukan UMNOkah?

Orang yang sepatutnya membuat keputusan di peringkat negeri adalah Ustaz Azizan Abdul Razak.

Mahdzir sepatutnya sudah sedar bahawa dia bukan lagi Menteri Besar Kedah. Bukan lagi keputusan Mahdzir, UMNO atau BN yang perlu dipakai kerana mereka sudah ditolak rakyat.

No comments: