Friday, June 29, 2007

Perginya ' Bush Poodle' Pengganas Dari Britain


Tony Blair penjenayah bersekutu Bush ( Amerika ) meletakkan jawatan pada 27 Jun 2007 yang lalu setelah menjadi Perdana Menteri England selama satu dekad bermula 1997-2007. Blair dikatakan Perdana Menteri termuda bagi negaranya.

Blair 54 tahun merupakan ketua Parti Buruh yang dikecam hebat oleh rakyatnya sendiri kerana dasar luarnya terhadap Asia Barat terutama sekali terhadap Iraq dan juga Afghanistan.

Blair yang dikenali sebagai 'anjing Bush' (Bush Poodle) meninggalkan persada politik negaranya sebagai pengganas yang berlumurkan darah rakyat Iraq.
Kini, kediaman bernombor 10 Downing Street diisi pengganti Blair, Gordon Brown. Sama-sama kita tunggu dasar baru luar negaranya.

Thursday, June 28, 2007

Negara Kita Tanpa Ketua Bermaruah

Negara seperti didefinisikan mestilah mempunyai empat elemen penting seperti berikut.

  • rakyat atau penduduk
  • wilayah
  • organisasi atau kerajaan
  • kedaulatan


Manakah yang lebih terpenting?


Kerajaan dibentuk oleh satu kumpulan majoriti orang yang berlindung di bawah satu payung atau bumbung untuk mencapai matlamat tertentu secara bersama. Kerajaan kemudiannya menggubal undang-undang untuk memagarkan ruang lingkup aktiviti negaranya. Undang-undang yang bagaimana ?


Di dalam kebanyakkan negara di dunia ini termasuk di Malaysia, sering terjadi di mana kumpulan orang-orang atau kerajaan itu lebih dipentingkan dari rakyat, wilayah dan kedaulatan . Maksud saya kerajaan atau ahli kabinet Barisan Nasional atau kerajaan PAS itu lebih dipentingkan dari orang yang melantik kerajaan, lebih penting dari sempadan negara dan dari maruah atau kedaulatan penduduknya.


Sedangkan kerajaan adalah satu cabang dalam sebuah negara atau satu faktor yang menjadikan negara. Orang-orang dalam kerajaan ini boleh datang dan pergi. Boleh dipilih semula dan digantikan.


Dan yang tinggal adalah elemen rakyat biasa seperti kita. Wilayah adalah seperti sempadan Kelantan, Perlis, Johor, Kedah dan seterusnya Malaysia. Akhirnya elemen kedaulatan yang menentukan maruah sesuatu negara dan penghuninya.


Namun akibat kesilapan rakyat memilih kumpulan orang yang menggelarkan dirinya sebagai ketua dan pemerintah yang seterusnya menjadikan diri mereka sebagai kerajaan bukan sahaja akan menghancurkan harapan dan cita-cita murni penduduk atau rakyat sesuatu negara, malah seperti berlaku di beberapa negara di dunia, penghuni buminya kehilangan wilayah dan kedaulatan serta hidup tanpa negara dan arah.


Contoh orang-orang yang dipilih di Malaysia adalah seperti Tun Dr Mahathir, Tengku Razaliegh, Anwar Ibrahim, Tn Guru Hj Hadi Awang, Tn Guru Nik Aziz Nik Mat, Abdullah Badawi, Lim Kit Siang dan Samy Vellu. Sekadar beberapa nama. Siapa yang disilap pilih?


Adakah wilayah yang menentukan. Adakah kedaulatan yang menentukan. Atau, adakah kita sebagai penduduk iaitu rakyat yang menentukan kesilapan atau sebaliknya dalam memilih mereka?


Apakah negara dengan dua elemen lain iaitu wilayah dan kedaulatan boleh datang dan pergi seperti kerajaan ? Tidak semestinya. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Palestin. Ada rakyat dan kerajaan. Kerajaannya silih berganti. Sehingga kini belum dapat dipastikan apakah bentuk wilayahnya apatah lagi kedaulatannya.


Begitu jua, dari sebuah negara yang mempunyai rakyat, wilayah, kerajaan dan kedaulatannya, Iraq kini seperti seorang manusia yang telah dilondehkan. Itulah ibaratnya.


Itu jika kita lihat apa yang berlaku berjauhan dari kita. Di Malaysia, siapakah yang berhak menentukan supaya kewujudan empat elemen penting ini berterusan ?


Perlantikkan satu kumpulan orang secara majoriti yang berpayungkan di bawah satu fahaman untuk mencapai cita-cita dan masa depan anak bangsa bermula dari peringkat cawangan, bahagian, negeri dan kebangsaan. Tidak kira perlantikkan sebagai ahli biasa, AJK, ketua cawangan, AJK Bahagian, peringkat negeri dan kebangsaan.


Percayakah ?. Percayakah kesilapan dalam memilih atau melantik mereka sebagai kerajaan mungkin menjadikan kita seperti di Palestin dan Iraq. Sanggupkah kita mewariskan kepimpinan rapuh lagi busuk kepada anak cucu kita ? Apalah maknanya wilayah, kerajaan dan kedaulatan tanpa kita sebagai elemen penentunya ? Mahukah kita berangan-angan atau terawang-awang dengan negara yang tanpa berwilayah dan berdaulat ? Kita boleh hilang wilayah dan kedaulatan bukan semata-mata kerana peperangan sahaja tetapi kerana digadai dan dijual khazanah, semangat dan roh elemen-elemen tersebut termasuk cara penggubalan dan pelaksanaan undang-undang manusia terhadap negara.

Wednesday, June 27, 2007

Adik Datuk D menggertak

Sebaik sahaja solat maghrib pada 24 Jun yang lalu, saya menerima panggilan telefon dari adik kepada seorang Datuk dari KL. Biarlah si adik ini dikenali sebagai FA. Kata FA kepada saya, “hang kena berhati-hati. Sejak kebelakangan ini aku nampak hang dok kerap menulis cerita mengenai abang aku. Hang tak perlu dan hang tak layak menulis ceritanya”.


Abang FA ini sejak kecil lagi dikenali dan mesra dengan panggilan ‘dracula’ di kalangan saudara-maranya. Biar orang lain panggil dia Datuk A ke, Datuk B ke, Datuk J ke, Datuk K ke, Datuk R ke, saya gelar dia Datuk D (Dracula).


Adik Datuk D ini menggertak untuk menghapuskan saya secara halus jika tidak dapat melakukannya secara fizikal. Saya secara bersopan memintanya menghubungi setiap penulis yang menulis cerita tentang abangnya itu sepertimana yang ia lakukan kepada saya. Saya juga memintanya memperbetulkan saya jika mana-mana komen saya yang tidak tepat mengenai abangnya. Namun ia gagal memaklumkan kepada saya.


Saya tidak menulis hal peribadinya. Apa yang dimakan dan apa yang diminumnya. Apa kelayakkan professional yang ia ada. Apa kelayakkan yang ia dakwa memiliki. Siapa ibubapanya, adik beradiknya, kegemarannya, sikapnya, perhubungan, anak-isterinya dan sebagainya. Apa sebenar pendirian politiknya. Saya cuma menulis tentang dirinya sebagai ‘public-figure’. Itu sahaja.


Mahu dirasakan membuat laporan polis terhadap ugutan menghapuskan yang ia buat terhadap saya. Namun, saya masih waras. Saya anggap ianya sebagai siasah kehidupan.


Jangan kita seronok apabila kita mengata, menulis dan memburukkan orang lain, tetapi perkara betul terhadap diri kita apabila digambarkan untuk tujuan muhasabah diri, tidak dapat diterima.

Jika kita berhak dan boleh mengkritik serta menghina orang lain, inikan cuma satu kritikan yang membina. Bukan penghinaan. Jadilah manusia yang berfikir secara rasional dan beradab.

Saturday, June 23, 2007

Ditiduri teman lelaki ibu

Semuanya berlaku dalam sekelip mata.


Anne, gadis berusia 16 tahun itu masih lagi penuntut di tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Butterworth. Bapa dan ibu telah berpisah hampir 14 tahun yang lalu. Ketika itu usia Anne baru dalam lingkungan dua tahun.
Anne mempunyai seorang abang dan seorang kakak. Masing-masing telah berkahwin dan menetap di Kuala Lumpur. Segala perbelanjaan rumah adalah hasil dari pendapatan ibu yang bekerja sebagai GRO di sebuah karaoke di bandar ini. Ibu Anne mendapat bantuan kewangan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Suatu hari ketika lawatan rutin dibuat oleh pekerja sosial ke rumahnya, Anne berada dalam keadaan kusut, letih, tidak bermaya dan keadaan dalam rumahnya berselerak. Pekerja Sosial (PS) mengambil kesempatan bertanyakan khabarnya.


Dengan linangan air mata, Anne menceritakan, “sudah tiga hari ibu tidak balik ke rumah. Katanya nak pergi ziarah nenek di Taiping . Saya tidak mempunyai nombor telefon atau apa-apa untuk menghubunginya. Kami baru di sini. Saya kurang mengenali jiran”.


Tambahnya lagi sambil menangis, “kelmarin datang seorang lelaki bertanyakan ibu. Dia seperti tahu di mana ibu. Saya mempelawanya masuk ke dalam rumah. Saya memberitahunya tidak pergi ke sekolah. Dia menghulurkan wang kepada saya. Tapi… dia mengambil kesempatan merogol saya. Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya tidak memberitahu sesiapa tentang peristiwa ini. Semuanya berlaku di dalam sekelip mata”.


Anne diselamatkan menurut kehendak Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 (ketika itu) dan dibawa ke Hospital Butterworth. Mangsa telah dibantu untuk membuat laporan polis. Ibunya juga dapat dikesan. Rupa-rupanya , akibat tekanan darah tinggi, ia pengsan dan dimasukkan ke wad di daerah tempat nenek Anne berada.


Siasatan dilakukan, didapati lelaki tersebut adalah teman kepada ibu Anne. Ia pernah bermalam dengan ibu Anne di tempat kerjanya. Ia tahu ibu Anne mempunyai masalah kesihatan dan dimasukkan ke wad. Ia diberitahu oleh keluarga nenek tentang keuzuran ibu Anne melalui talian tangannya supaya memaklumkan kejadian kepada Anne. Akhirnya…

(KISAH BENAR DARI FAIL PEKERJA SOSIAL)

Friday, June 22, 2007

Mat Rempit : Mana Nak Dibawa Mereka Ini..



Mat Rempit (MR) satu istilah yang sudah tidak asing lagi bagi warga Malaysia. Sebut sahaja MR, terbayanglah Melayu, anak-anak muda, motosikal, keterlibatan dalam jenayah, polis, kemalangan, hospital, kes mahkamah dan pelbagai lagi.


Terbaru, MR membayangkan juga Putera UMNO, Datuk Azeez Rahim, Kutub Utara, penganugerahan pingat dan lain-lain.


MR didefinisikan sebagai penunggang haram motosikal. Mereka majoritinya terdiri dari kalangan anak-anak Melayu yang masih muda, menunggang dengan cara yang membahayakan bukan sahaja diri mereka tetapi pengguna lain jalanraya. Menunggang sambil berdiri, meniarap, bertukar penunggang, angkat tayar hadapan dan pelbagai aksi menakutkan. Golongan MR dikatakan tidak mengikut undang-undang apabila kebanyakkan mereka tidak memiliki lesen dan seringkali motosikal mereka tidak mempunyai cukai jalan serta adalah kenderaan yang dicuri atau diubahsuai dengan komponen alat yang dicuri.


Tindakan seronok mereka diikuti atau menjadi idola pelajar-pelajar sekolah yang akhirnya menyusahkan diri mereka, ibubapa, keluarga, masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya.


Kegiatan MR selalu dikaitkan dengan pengangguran, kes-kes jenayah termasuk dadah, mencuri, vandalisma, ponteng sekolah, langgar lari, melawan sesama sendiri, kepandaian memujuk dan membonceng awek, membawa senjata tajam, tiada lesen, seronok melanggar undang-undang dan sebagainya.


Sejak kebelakangan ini Ketua Putera UMNO Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pula dikaitkan dengan isu ini kerana didapati terlalu empati dengan MR dan mahu membawa mereka ke pangkal jalan mengikut cara dan acuan Putera UMNO Malaysia. Cara yang bagaimana ?


Membawa beberapa orang dari kumpulan ini bagi melakukan penerjunan di Kutub Utara.
Ramai yang melahirkan kekesalan terhadap tindakan Putera UMNO ini. Dari kalangan penyesal-penyesal ini, ada yang menyuarakan supaya kesemua MR ini dilibatkan dalam penerjunan di kutub utara. Kenapa hanya beberapa kerat sahaja ?


Bagi saya, beberapa cadangan berikut perlulah diambil kira oleh pihak kerajaan, oleh parti politik, NGO atau individu yang berminat dengan masalah MR ini.


Pertamanya, MR dibawa secara berkumpulan ke masjid, surau-surau, tanah perkuburan, dewan orang ramai dan tempat-tempat awam untuk dilakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Membersih, membuang sawang, mengecat, bantu memperbaiki bangunan awam dan sebagainya. Di masa yang sama mereka dapat memanafaatkan ilmu untuk diri mereka dengan rasa keinsafan.


Kedua, mereka dibawa ke rumah-rumah atau sekolah kebajikan kerajaan atau swasta yang berselerak di seluruh negara mengikut daerah atau negeri masing-masing. Di sini diperlihatkan kepada mereka kenapa masih ada orang tua yang sanggup ditempatkan di rumah orang tua, kenapa ada kanak-kanak yang didera, apakah nasib dan masa hadapan kanak-kanak cacat yang tidak mempunyai anggota badan, lemah daya pemikiran, juvana yang ditempatkan di institusi pemulihan seperti di Sekolah Tunas Bakti, Henry Gurney dan sebagainya. Diinteraksikan mereka dengan penghuni di sini sambil meminta mereka melayan dan membantu melakukan kerja-kerja penghuni di rumah-rumah kebajikan.


Ketiganya, melibatkan mereka dengan gotong-royong dan kenduri kendara di komuniti tempatan. Ajarkan mereka nilai-nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan disamping menjalinkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang.


Keempat, berikan mereka peluang mengadakan acara kesukanan sesama mereka dan bersama masyarakat setempat. Ini termasuklah acara lumba motosikal di trek-trek yang dibina khas di tempat–tempat berkenaan dengan seberapa kerap yang boleh. Agensi seperti Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Agama, NGO dan sebagainya boleh memberikan input yang diperlukan.


Kelimanya, skim latihan sambil bekerja di Giat Mara, Institusi Vokasional yang lain seperti Kolej Komuniti dan sebagainya diperluaskan kepada golongan ini untuk mengasah bakat dan menimba ilmu jika tidak kepada orang ramai, memadai untuk diri sendiri. Memperbaiki motosikal, kenderaan lain dan kepelbagaian latihan yang diminati oleh golongan MR ini perlu diwujudkan.


Saya bimbang jika projek Kutub Utara nanti menjadi projek gajah putih. Atau jadi semacam Pusat Serenti (Pusat Pemulihan Dadah). Rata-ratanya anak Melayu Islam, penglibatannya asyik-asyik orang itu, belanja terlalu besar, wang rakyat dan negara disalurkan kepada satu projek yang membawa manafaat (?) cuma kepada beberapa orang sahaja, masa yang begitu banyak terbuang, kesannya tidak seberapa dan balik-balik dok merempit serupa tu juga.


Akhirnya menjadi bebanan kepada negara. Apa tidaknya, belanja besar, masa dan sebagainya yang boleh digunakan ke sasaran lain, digunakan oleh agensi kerajaan dalam cubaan memulihkan MR-MR. Hospital, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Belia, mahkamah, syarikat insuran, keluarga, masyarakat dan negara dikerah untuk tujuan tersebut. Tahun melawat Malaysia dicemari dengan aktiviti yang tidak senonoh. Lebih-lebih lagi menjadikan sistem pendidikan negara sebagai kambing hitam yang melahirkan indidvidu dan kumpulan yang sentiasa tidak stabil. Akhirnya menudingkan jari ke arah Islam sebagai kerangka ilmu, kepimpinan dan negara yang kucar-kacir akibat tindakan MR-MR ini.

Wednesday, June 20, 2007

Iraq : Siapa Jahil

Syiah, Sunni, Arab atau siapa

Iraq, 19 Jun 2007 - Nyawa penduduk Iraq tidak berharga. Mati mereka seperti mati katak. Setiap hari ada saja kejadian letupan bom berani mati. Syiah dan Sunni. Bila lagi ? Bertamadunkah ? Di negara penduduk bukan Arab, kematian ayam, itik, kambing dan segala binatang lainnya sangat membawa kesan. Apatah lagi bila melibatkan nyawa manusia.

Syiah dan Sunni di negara Arab itu jahil ? Atau Arab itu sendiri yang jahil ?

Tuesday, June 19, 2007

UM : Khazanah apa, robekkan saja

Sahabat lama menelefon bertanyakan pendirian saya tentang isu Universiti Malaya walaupun kami pernah belajar bersama tetapi bukan di universiti tertua itu. Sebenarnya saya ada membuat komen dalam blog Gerbang Ruhanie. Di sini, saya insan yang kerdil perturunkan coretan hati dengan sedikit pembetulan huruf.


Salam Datuk,


Mungkinkah ini yang dikatakan testing the market. Mana mungkin seorang taukeh berani mewarwarkan ideanya yang jika menjadi kenyataan, bakal merobekkan khazanah negara, tamadun ilmu, sejarah bangsa - maruah agama, bangsa dan negara. Terbinanya UM merupakan hasil dari perjuangan ikhlas rakyat dan pemimpin dahulu yang kantung mereka bocor berbanding dengan poket pemimpin hari ini yang melimpah untuk keluarga dan kroni mereka.


Adakalanya dirasakan orang-orang kita ini bila didedah, dicurah dan dibentangkan dengan segala kelemahan dan kecurangan sehingga berkilo-kilometer jauhnya, akhirnya tidak ke mana jua- seperti mencurahkan air didaun keladi.


Bila lagi, bila lagi maruah kita yang semakin berkarat dapat dikikis. Bila lagi dapat dibangunkan semula hasrat, keazaman dan cita-cita murni yang hampir lupus. Mana mungkin taukeh dapat meneriakkan penggadaian dan kehormatan sesuatu negara dan kedaulatannya tanpa ada individu yang menjadi tali barut atau 'barua'nya.


Lupakah kita sejarah Perlis ?


4:17 PM

II (16 Jun 2007)


Apa dia orang bising-bising sangat. Jualkan saja tapak UM tu. Ade ke patut hutan dan bukit dalam bandaraya KL. Serah saja kepada tauke-tauke yang tengah nganga tu. Khazanah apa? Kita tukarkan saja dengan tanah di Sepang. Tak cukup kita minta tanah di Kepala Batas pula.


Tamadun ilmu apa Datuk? Tamadun tu kan boleh dibina kembali. Runtuhkan saja yang dah lama. Jika boleh jual, sebelum kemerdekaan yang ke 50 ini lagi baik. Jadikan sejarah kehebatan Perdana Menteri ke 5.


Anak cucu kita nanti takkanlah nak belajar di UM yang lama dan lapuk tu. Bina saja pusat perniagaan di tapak tu.
Pejabat Naib Canselornya - makcik Rafeah tu (dengar kata ada hubungan dengan KJ) jadikan tandas untuk orang ramai. Tak payahlah kenakan bayaran.


Lepas ambik UM, tengok-tengoklah muzium negara, bangunan parlimen, istana negara lama tu, bangunan Sultan Abdul Samad - mana lagi? Sapu semua. Lepas jual, kita pakat-pakat lena. Puas hati. Professor Ungku pun tak payah susah hati. Apa ada dengan sejarah. Sejarah - kita isikan kemudian. Itupun jika kita masih ada tapak dan udara untuk bernafas.

9:57 PM

Saturday, June 16, 2007

Kalimullah Hassan : Tunggu Telor Emas Keluar Dari Mulutnya


Keroh sehingga kini masih dikenali sebagai tempat sejuk kerana ianya terletak di atas tanah tinggi. Flora dan faunanya masih asli. Namun ia tidak dapat lari dari kejutan cuaca panas dunia. Bahang kehangatan dunia turut dirasakan di sini.

Begitu juga bahang pembohongan Kalimullah Hassan yang mendakwa berasal dari Keroh turut dirasakan tempiasnya. Rencana 11 Jun yang ditulisnya di NST berkaitan Tun Dr Mahathir sudah terang lagi disuluh pembelitan faktanya. Jika tidak, siapa temberang ? Pak Lah atau Tun?

Setalah disaman RM100 juta oleh Matthias Chang, bekas setiausaha politik Tun, maka ketika memfailkan affiadavit di mahkamah, Kalimullah mengatakan seperti ini pula.
Lihat surat pegawai Tun yang baru sahaja dihantar kepada Kalimullah.

Kini sudah setahun lebih, kita sama-sama menunggu samada permohonan maaf bertelurkan emas akan keluar dari mulut Kalimullah.

Ketika berada di Pekan Keroh, beberapa penduduk lamanya bertanya kepada saya, yang mana satu Kalimullah Hassan ? Orang sinikah dia ?

Friday, June 15, 2007

Majlis Peguam Malaysia Bisu, Pekak dan Buta

Bila melibatkan ahli mereka, terus membisu, memekak dan menjadi buta?. Tiada respon.
Di manakah hak kami sebagai pengguna. Kami memerlukan penjelasan berkaitan prosidur anda. Berapa ramai ahli anda yang dipenjara. Berapa ramai yang digantung kerja dan diberhentikan. Berapa ramai pengguna di Malaysia yang ditipu oleh ahli anda ? Mana statistik anda sejak 15 tahun kebelakangan ini ?

s.k. Majlis Peguam Malaysia council@malaysianbar.org.my

Apalah makna datuk atau dato'

Ada kawan-kawan menceritakan tentang pemberian 5 datuk kepada seorang hamba Allah itu. Dia mendapat Datuk Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Persekutuan dan Perak. Pernah orang berjumpa, mengadu hal dengan datuk ini dan minta bantuan buah fikirannya dalam perkara tertentu. Apa datuk itu kata ?

"Hampa irihati lihat aku mendapat Datuk". Dan tanpa segan silu memberitahu, "Datuk yang aku dapat adalah kerana dua sebab :
1.Hasil dari kerja titik peluh aku
2.Hubungan baik aku dengan sultan
Bukan untuk tolong orang ".

Untuk dirinya, hasil dari titik peluhnya, kerana hubungan baiknya dengan sultan (pembesar negeri). Tidak lebih dari itu.

Nah... lihat apa kata mereka.
Apa pula pandangan saudara RPK.

Sejak mendengar cerita Datuk 5 tempat itu, kawan-kawan tadi seperti sudah melabelkan dan menaggap Datuk sebagai 'tidak bermakna'. Samada 'datuk' atau 'dato' yang secara rasmi sudah tidak bererti lagi kepada mereka kecuali datuk di kampung yang menjadi pasangan nenek mereka.

Bagi saya - bukan semua datuk atau dato' itu tenging seperti datuk 5 tempat tersebut. Dalam kes di atas, pemberinya bertujuan baik tetapi disalah atau disilap letak. Seperti dihadiahkan kereta mewah kepada seorang yang dhaif rohani dan fizikalnya, sebatang kara, serba-serbinya tidak tahu dan yang tidak berkeupayaan memperolehi lesen memandu pula.
Atau mudah kata, seperti kera mendapat bunga.