Saturday, January 31, 2009

Erdogan, Gaddafi dan Anwar

Pertikaman lidah diantara Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Israel Shimon Peres berkaitan jenayah peperangan di Gaza merupakan satu permulaan yang baik bukan sahaja untuk masa hadapan Palestin tetapi juga untuk negara-negara umat Islam.

Foum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos menyaksikan keberanian Erdogan menempelak Israel yang menyebabkan lebih 1,300 rakyat Palestin terkorban. Erdogan menyifatkan tindakan Israel itu sebagai tidak bertamadun.

Erdogan berusia 55 tahun merupakan Pengerusi Parti Pembangunan dan Keadilan di Turki. Menjadi Perdana Menteri Turki sejak Mac 2003.

Di dalam forum tersebut Erdogan cuma diberi masa 12 minit untuk berucap atau memberikan pandangan sedangkan Peres diberikan masa 25 minit.

Tindakan Erdogan membuatkan saya teringatkan Muammar Gaddafi pemimpin Libya yang mula berkuasa di negaranya pada tahun 1969. Rampasan kuasa dilakukan oleh Gaddafi yang akhirnya menggulingkan Raja Idris.

Gaddafi sangat bersemangat pada tahun 1970-an dan pada tahun-tahun 1980-an. Malah dia dikira diantara pemimpin Arab yang begitu berani dan lantang menentang Amerika.

Entah apa terjadi. Saya kira Gaddafi kecewa dengan sikap dan tindakan pemimpin-pemimpin negara bangsa Arab yang lain dalam menangani isu negara-negara Arab dan Islam sehingga membuatkannya menjadi 'lesu'.

Gaddafi juga pernah mencadangkan supaya 'negara-negara Islam' mentadbir dan menguruskan dua tanah suci iaitu Makkah dan Madinah. Katanya ketika itu, Arab Saudi tidak boleh dibiarkan bersendirian dalam menguruskan tempat ibadah umat Islam tersebut kerana kerajaan Saudi mempunyai banyak kelemahan.

Apapun, saya mengharapkan gabungan idea dan tenaga mereka ini termasuk pemimpin dari Malaysia iaitu Anwar Ibrahim untuk melakukan sesuatu terhadap masa depan yang lebih baik bukan sahaja bagi negara-negara Islam tetapi dunia keseluruhannya.

Apakah silap bagi saya untuk mengatakan bahawa selagi belum mendapat kuasa sebagai pemerintah - Anwar belum berkeupayaan untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk mengetuai kepimpinan ke arah itu ?

(Foto:AFP)

Friday, January 30, 2009

Pencegahan rasuah masuk era baru

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk ke era baru ?

Dulu-dulunya, biasalah bila kedengaran ahli pembangkang dibelasah ketika dalam tahanan. Sekarang ahli-ahli pro kerajaan juga dibelasah.

Adakah kerana ianya perlu dilihat sebagai mengimbangi tindakan yang sudah dilakukan. Atau kerana ada usaha membalas dendam.

Ataupun ini menunjukkan zaman kerajaan sediada hendak berlalu dan mahu digantikan dengan zaman pembangkang sediada sebagai pemerintah ?

Thursday, January 29, 2009

Evolusi : Bush kepada Obama

Teori evolusi Charles Darwin. "The Origin of Species".









Diharap evolusi itu tidak daripada sikap dan tindakan kepimpinan lama.




Wednesday, January 28, 2009

Rithauddeen : Mansuh sayap atau kebumikan UMNO

Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail Pengerusi Lembaga Disiplin Umno yang baru-baru ini dituduh pelbagai pihak termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai menyimpan beratus aduan akar umbi dalam UMNO tanpa bertindak, kini bersuara pula.

Kata beliau, "perlukah ada Putera dan Puteri ni. Mereka lagi banyak main duit. Pemuda dan Wanita juga perlu dipertimbang untuk dimansuh".tengku ahmad rithauddeen

Bermakna Azeez, Noraini, Rafidah dan Hishamuddin tidak perlu ada pun tak apa. Itu yang dibayangkan oleh Riathauddeen.

Katanya lagi, jika UMNO benar-benar serious hendak menghapuskan gejala politik wang, maka sayap-sayap dalam UMNO itu perlu dihapuskan.

Pada hemat saya, bukan sahaja budak-budak Putera dan Puteri itu perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran, mereka perlu belajar beribadah, perlu belajar berdiri sendiri, belajar menjaga keluarga sendiri, jangan pentingkan wang dan projek, belajar menghormati masyarakat, jangan memberikan muka kepada mat-mat rempit dan sebagainya.

Rithauddeen berkata lagi, bahawa sistem kuota dalam UMNO pun perlu dimansuhkan.

Selepas kekalahan demi kekalahan, selepas rakyat naik meluat dengan UMNO, selepas rakyat nampak pengisian tembolok oleh pemimpin-pemimpin UMNO, selepas kelihatan anak-anak pemimpin dihantar belajar di luar negara, selepas rasuah berleluasa, selepas sistem negara diperkosa, selepas jenayah semakin menjadi-jadi, selepas kroni bermaharajalela dan selepas kelihatan anai-anai sedang memakan tiang-tiang negara - maka lahirkah rasa penyesalan dan taubat di dalam diri mereka ?

Masih belum. Ini baru cubaan membelit rakyat semula dengan menanam tebu dibibir. Memfantasiakan rakyat dengan akademi UMNO yang sudah usang.

Cadangan Tengku Ahmad Rithauddeen itu dikira beberapa pihak dalam UMNO sebagai terbaik. Iaitu memansuhkan semua cabang-cabang Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri.

Namun yang lebih terbaik ialah - bukan sahaja Azeez, Noraini, Rafidah dan Hishamuddin tidak perlu wujud tetapi mansuhkan sahaja UMNO itu. Semua akan menjadi aman dan sejahtera dengan pengkembumian parti tanpa roh itu.

Apa kata kita mencuba parti baru? Beri satu peluang kepada mereka.
(Foto:Malaysiakini)

Bantah PPSMI di KL

Ceramah Pelancaran Membantah PPSMI (Pelajaran Sains dan matematik dalam B.Inggeris )

Tarikh : 1 Februari 2009
Jam : 9 malam( Ahad )
Tempat : Markas Tarbiah Pas, Taman Melewar, Kuala Lumpur

Penceramah : Hj Mohamad Sabu (Naib Presiden PAS)
Prof Dr Shaharil (Kumpulan Prihatin)

Semua dijemput hadir.

Tuesday, January 27, 2009

Tajol Rosli : Ku tak ingin menangis lagi, biarkan ku pergi

Apa jadi dengan Tajol Rosli di Perak? Tajol yang berjaya menjutawankan lima penduduk di Keroh. Tajol Rosli mantan MB Perak. Tajol yang menjadi pengerusi BN di Perak. Tajol yang dibiarkan menangis bersendirian. Tajol yang tidak sempat serah tugas kepada Nizar Menteri Besar baru Perak.

Kini Nasaruddin meninggalkan parti yang Tajol mengepalainya di Perak.

Ramai penduduk Keroh menujukan lagu ini khas untuk Tajol.

Gaza : Petisyen Untuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Gaza satu nama yang tidak dapat dipisahkan dari kita rakyat Malaysia. Tiba-tiba sahaja, Gaza menangis diambang muharram 1430H. Ramai kanak-kanak, warga tua, kaum wanita dan mereka yang tidak berdosa terkorban angkara keganasan Israel Laknatullah.

Dari jauh, kita menyantuni usaha sahabat-sahabat dalam memberikan bantuan kepada saudara-mara di sana. Biar dalam apa bentuk pun.

Blogger Talk Only aka cakapaje dengan kerjasama A Malaysian Blog sedang berusaha untuk mengumpul persetujuan petisyen yang akan dihantar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa bagi menyiasat jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di Gaza.

Sekadar yang termampu oleh kita, semoga usaha tersebut mendapat kerjasama saudara-saudari InsyaAllah.

Klik cakapaje untuk tandatangan.

Monday, January 26, 2009

Isu Kugan :Syabas Murugiah dan Devamany

Bagi saya diantara contoh wakil rakyat Barisan Nasional yang membuat kerja ialah T Murugiah dan K Devamany.


Dengan kehadiran mereka di Hospital Serdang, memang betul seperti kata Ketua Polis Selangor, akan berubah bukti. Bukti yang bagaimana ?

MCA pun melahirkan sokongan supaya kes Kugan diadili dengan sebaik mungkin. Bagi PAS, Keadilan, DAP dan Majlis Peguam, mereka sudah menyuarakan agar satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan.

Di mana pemuda Umno ? Tidak kelihatan atau kedengaran apa-apa kenyataan jantan daripada mereka dalam isu ini. Kepada merekakah orang Melayu perlu bergantung harap ?

Syabas kepada Murugiah dari parti PPP dan Devamany dari MIC. Andaikan jika Dolah yang berada ditempat Kugan ?

Nak harapkan pemuda Umno membantu, ibarat mimpi disiang hari. Oleh kerana Dolah itu beragama Islam, seluruh keluarga, masyarakat dan negara akan diminta untuk menelan isu Qada dan Qadar.

"Apa boleh buat, sudah sampai ajal. Kita terima sajalah. Usah disalahkan sesiapa".

Saya hampir-hampir percaya dengan kenyataan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar bahawa bukan polis yang terlibat dalam kejadian itu.

Walaupun saya tidak suka dengan perangai Samy Vellu dalam banyak hal tetapi dalam isu ini saya berharap partinya tidak akan melepaskan 'binatang' yang mengerjakan Kugan.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Jan di lokap Balai Polis Taipan di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kecurian kereta mewah di Kajang, mati semasa disoal siasat oleh pihak PDRM.

Hospital Serdang pula apa hal ?

Jika ada sijil kematian yang sudah dikeluarkan, bolehkan dipaparkan untuk umum ? Saya berasa hairan juga kerana ada Timbalan Menteri, ketua parti politik dari komponen BN, pemimpin-pemimpin pembangkang dan majoriti masyarakat seperti tidak percaya dengan Hospital Serdang?

Kenapa agaknya ?

Sunday, January 25, 2009

UMNO Perak hilang satu kerusi DUN

UMNO hilang satu lagi kerusi DUN di Perak.

Aduhai ! Apa kata Dato' Tajol ?

Pukulan Zahid Hamidi agaknya.

Saturday, January 24, 2009

TNB rugi : Tunggu apa lagi, cari jalan

TNB rugi RM944.1 juta ?

Baca berita Bernama.

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd mengalami kerugian bersih RM944.1 juta bagi suku tahun pertama berakhir 30 November, 2008, selepas mengambil kira kerugian pertukaran asing RM1.439 bilion.

Jika tidak kerana kerugian pertukaran asing itu, TNB yang membekalkan elektrik kepada 7.3 juta pelanggan, sepatutnya mencatatkan keuntungan bersih RM495.6 juta.

Leo Moggie dan Khalib tunggu apa lagi ?

Syarikat yang tiada persaingan, dapat sokongan kerajaan seratus peratus, kadar tarif elektrik dinaikkan membebankan pengguna, gaji eksekutif berpuloh ribu sebulan, cakap berdentum - rupa-rupanya kerja tak menjadi. Carilah jalan keluar dari TNB. Berilah peluang kepada orang lain yang ada 'skill' pula.

Friday, January 23, 2009

Nik Aziz : Bukan ketuanan Melayu tetapi ketuanan Islam

Apa kata Mursyidul Am PAS (Dari Siasah),

“Selagi sebut ketuanan Melayu, hidup Melayu, hidup Melayu, Cina nak letak di mana, India nak letak di mana?” tanya beliau. Tetapi, "kalau disebut ketuanan Islam, ada juga Cina dan India yang beragama Islam"

Ini kerana orang Arab pun tidak semestinya dapat memasuki syurga.

"Bapa saudara nabi bernama Abu Lahab adalah orang Arab. Tapi dinyatakan dalam Quran, Abu Lahab akan masuk neraka kerana tidak memperjuangkan Islam".

"Jadi sebagai bapa saudara nabi, orang Arab yang faham bahasa Arab, yang faham Quran pun tak masuk syurga, apa lagilah orang Melayu yang tak faham bahasa Arab dan Quran,” ujarnya.

Kempen : SELAMATKAN PENGHUNI LOKAP PDRM

Semakin hari semakin menjadi-jadi. Kes-kes yang mati di dalam lokap-lokap polis di Malaysia.

Perlukah kempen SELAMATKAN PENGHUNI LOKAP-LOKAP PDRM ?

Jangan tunggu sampai anak cucu kita menjadi mangsa di lokap-lokap PDRM.

Thursday, January 22, 2009

Kes Ananthan : Angkara 'athma' atau 'binatang'


Matinya Kugan Ananthan 22 tahun pemuda India di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya ketika dalam tahanan polis Malaysia menimbulkan pelbagai tandatanya.

Kata ibu mangsa, kematian mengerikan anaknya itu masih belum membuatkan keluarga mereka untuk menerima alasan Ketua Polis Selangor.

Gambar pun sudah ada. Kesan penderaan pun sudah dirakamkan.

Matinya dikatakan oleh Khalid Abu Bakar Ketua Polis Selangor itu sebagai "setelah minum segelas minuman dan setelah diserang 'athma'". Bermaksud dikala 'athma' menyerangnya, seluruh badannya menjadi seperti dihiris-hiris menggunakan benda tajam dan seperti dihentam menggunakan sesuatu. Begitukah ?

Hebat sungguh diagnosis KP Selangor itu.

Andaikan diagnosis itu tidak betul, siapakah binatang yang cuba merobek dan mengoyakkan badan Kugan ?

Bukan sahaja Abdullah Ahmad Perdana Menteri, malah Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Selangor adalah orang yang bertanggungjawab dalam malapetaka ini.

Penafian awal polis tanpa siasatan sangat-sangat memalukan rakyat Malaysia. Polis cuba mengibaratkan rakyat Malaysia sebagai 'orang utan' yang tidak mempunyai pemikiran.

Jika diagnosis KP Selangor adalah salah, rakyat Malaysia wajib mencari binatang mana yang melakukan kerja ini ?

Wednesday, January 21, 2009

Tuesday, January 20, 2009

Lebai yang macamana ?

Mengikut tafsiran Kamus Dewan, 'lebai" adalah gelaran bagi orang yang mengetahui hal-hal agama atau orang yang taat kepada agama. Untuk mengenal lebai dengan mudah, definisi itu dilebarkan pula kepada, bibirnya bergerak-gerak bagai lebai membilang tasbih.

Ada juga ikan dan daun yang bernama 'lebai'.

Ada juga 'lebai kelarah' - lebai yang busuk hati dan suka mengumpat. Pun begitu kamus tersebut mendefinisikan 'lebai ketayap ' kepada mereka yang menyangka dirinya mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama tetapi sebenarnya tidak.

'Lebai malang' pula ialah orang yang selalunya sial. Lebai yang suka menerima jemputan kenduri tetapi enggan datang untuk beribadat pula digelar 'lebai pulut' atau 'lebai tembolok'.

Polis di Kelantan menahan seorang remaja bernama Ahmad Nasir Darus berusia 28 tahun dan mendakwanya menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. Nasir cuma mengenakan serban 'lebai'nya.

Mahkamah di Kota Baharu menjatuhkan hukuman denda RM90.00 atau dua hari penjara. Nasir berpandangan bahawa memakai serban adalah sunnah Rasulullah dan oleh itu ia tidak patut mengaku salah di mahkamah.

Oleh itu Nasir memilih untuk dipenjarakan selama dua hari.

Sebenarnya, undang-undang Reid di Malaysia tidak mempunyai roh. Ia berjalan seperti mayat yang diusung. Terpulanglah kepada siapa pengusung mayat itu.

Dalam hal ini, polis di Kelantan menjadi pengusung mayat. Agaknya dia tidak dapat membezakan Nasir tergolong dalam kumpulan lebai yang mana ?

Lebai agama, lebai ikan, lebai daun, lebai ketayap, lebai malang atau lebai tembolok.

Atau polis tersebut merasakan bahawa ini merupakan kes baru iaitu kes 'lebai motosikal'.

Mahkamah Majistret di Kota Baharu berpandukan tafsiran 'lebai' mengikut pandangan pendakwa dan pembela di mahkamah itu.

Apa pula kata Ketua Polis Negara Musa Hassan:

KUALA LUMPUR 20 Jan. — Tindakan polis menyaman seorang pelajar pondok di Kota Bharu, Kelantan yang tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal bagi mengelak wujudnya trend pelajar sekolah menjadikan alasan sama untuk tidak memakai topi keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, semakin ramai pelajar khususnya dari sekolah agama yang cenderung untuk tidak memakai topi keledar dengan alasan memakai serban.

Beliau berkata, seharusnya perkara tersebut tidak berlaku kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa pengguna semasa di jalan raya. - Utusan Malaysia.

Di Kedah, Ketua Agamanya, Sultan Kedah memberikan kelonggaran kepada jamaah Jumaat yang menunggang motosikal dari memakai topi keledar pada waktu pergi dan balik solat Jumaat.

Dahulu, kecoh isu seperti ini di England dan di beberapa negara lain bilamana kaum Sikh memakai 'turban' dalam hal yang sama.

Akhirnya mereka menang di mahkamah negara-negara tersebut.

Agaknya definisi agama, ikan, daun, turban, malang atau tembolok tidak ada dalam kamus di negara-negara itu.

Apapun, kita tunggu mahkamah yang lebih tinggi di Malaysia membuat keputusan tentang definisi atau istilah 'lebai' ini. Bukankah Malaysia diwar-warkan sebagai negara Islam ?


Membiarkan polis menafsirkan undang-undang sudah tentu akan membawa kerosakkan dalam perjalanan negara.

Sunday, January 18, 2009

Keputusan rasmi : P 36 Kuala Terengganu


Sila klik
Keputusan rasmi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu (P36).
(Malaysiakini)

Saturday, January 17, 2009

PAS menang pilihanraya kecil Kuala Terengganu


Sesuatu yang memang sudah dijangka walaupun sedikit kegusaran sentiasa ada tentang keputusan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu (P36) pada hari ini.


Rakyat Terengganu berjaya membawa paradigma apabila memberikan sokongan dan menghargai kerja keras PAS, Keadilan dan DAP.


Lebih-lebih lagi bersedia menerima kepimpinan dan manifesto Pakatan Rakyat.


Kemenangan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut terhadap Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoiriti 2,631 undi ini sudah dikira membawa harapan baru kepada Pakatan Rakyat.


Pada pilihanraya kedua belas yang lepas, Dato’ Hj Razali B Ismail dari Barisan Nasional berjaya memperolehi 32,562 undi mengalahkan Mohamad Sabu (PAS) yang memperoleh 31,936 undi dan Maimun Yusof (Bebas) 685 undi. Undi majoriti adalah 628.


Pada ketika itu 66,132 dari 80,325 orang yang keluar mengundi iaitu kira-kira 82.45% yang mendaftar sebagai pengundi. Undi rosak ialah 931.


Menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pilihanraya kecil ini menyaksikan peratusan yang keluar mengundi ialah lebih 79%.


Dengan kepuutusan ini bermakna PAS menambah satu kerusi parlimen dari 23 kepada 24. Secara keseluruhannya Pakatan Rakyat menambah satu kerusi iaitu dari 82 kepada 83 kerusi.


Apapun seperti kata Dr Mahathir, menang satu undi pun dikira menang.


Namun bagi parti pemerintah yang hampir 52 tahun menerajui kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, yang mendakwa parti Islam yang terbesar, parti yang mendapat sokongan pelbagai kaum, parti yang dibarisi oleh ketua-ketua yang berpengalaman, melimpahkan projek di sana-sini dan sebagainya - Umno dan BN sepatutnya insaf dan sedar bahawa ‘rumah sudah kata pergi, kubur kata mari’.


Fahamilah erti gundah gulana orang lain. Tertarung kaki boleh diinai, tertarung hati susah ubatnya.

(Peta :Mypolitician)

Friday, January 16, 2009

Tun Dr M tidak mahu Farid di KT

Apa kata Tun Dr Mahathir mantan Perdana Menteri tentang calon Umno di Kuala Terengganu bagi pilihanraya kecil yang bakal diadakan esok - 17 Januari 2009 ?


"UMNO pula tak tahu pilih calon. Yang dipilih ialah bekas Setiausaha Politik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jelas pilihan calon UMNO tidak memperdulikan sentimen rakyat" kata Tun.

Tun memberitahu calon Umno ini cumalah pilihan Abdullah Ahmad Perdana Menteri sekarang. Calon ini bernama Farid. Ia tidak disokong oleh orang Umno, orang bukan Umno dan termasuk dirinya yang tidak mempunyai parti.

Tun mengatakan bahawa Farid yang menjadi pilihan Abdullah terkenal sebagai seorang yang sombong dan tidak tahu beramah mesra dengan orang.

Tun juga berpendapat, "dalam Pilihanraya kecil ini pengundi Kuala Terengganu berhadapan dengan dilema" setelah Umno dan BN tersalah pilih calon yang bernama Farid.


Ramai pengundi yang ditemui mengaku akan kenyataan Tun Dr Mahathir. Mereka berpendapat calon yang dikemukakan PAS, Wahid Endut adalah pilihan yang tepat untuk semua orang.

Pengundi di Kuala Terengganu boleh menerima idea Tun Dr Mahathir untuk tidak memilih Farid yang dikatakan sombong itu.


Mukhriz juga pening kepala dengan calon ini. Najib awal-awal lagi tidak mahu Farid. Zaid Ibrahim bantu PAS dan Keadilan di Kuala Terengganu. Ramai penyokong Umno dan BN berjanji akan memberikan sokongan kepada Wahid.


Bila lagi perubahan akan dilakukan ? Lakarkan sejarah di mata dunia bahawa Kuala Terengganu boleh mencipta nama seiring dengan kebangkitan rakyat.

Tiada Elektrik : Parti dan MB Perak yang mana

Siapa tidak pernah mendengar nama Ghazali Bin Jawi di Perak. Beliau merupakan mantan Menteri Besar Perak dan ayahanda kepada Tajol Rosli, Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak sekarang yang juga bekas Menteri Besar Perak.


Tajol yang pernah menangis bersendirian selepas kekalahan partinya dalam pilihanraya kedua belas yang lalu masih merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu - N1 (Keroh).

Sejak 1 Februari 1948, Perak diperintah oleh Parti Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional. Pemerintahan mereka genaph 60 tahun 01 bulan 01 minggu sehingga pada pilihanraya 08 Mac 2008 yang lalu.

Bermula dengan Abdul Wahab B Toh Muda Abdul Aziz pada 1 Feb 1948 diikuti oleh Mohamed Ghazali B Jawi, Shaari B Shafie, Ahmad B Said, Kamaruddin Mohd Isa, Mohamed Ghazali B Jawi sekali lagi, Wan Mohamed B Wan Teh, Ramli Ngah Talib dan Tajol Rosli Mohd Ghazali yang mengakhiri zaman pemerintahannya pada 16 Mac 2008.

Kini, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan ialah Mohd Nizar Jamaluddin dari parti PAS yang mewakili Pakatan Rakyat . Beliau mewakili DUN Pasir Panjang N51 sejak 17 Mac 2008.

Baca ruangan forum akhbar BH . Masuk akalkah dengan jawapan kepada aduan pengguna dari Keroh ini:

TENAGA Nasional Berhad (TNB) merujuk laporan pada 30 Disember lalu mengenai Kampung Simpang Perak, Air Panas, Pengkalan Hulu (Keroh), Perak ketiadaan bekalan elektrik.

Walaupun penempatan itu tidak jauh dari jalan raya, ia terletak jauh dari sistem bekalan TNB sedia ada.

TNB prihatin di atas kesulitan dialami penduduk Kampung Simpang Perak, Air Panas dan sentiasa berusaha agar bekalan elektrik dapat disalurkan kepada semua masyarakat.

JURUCAKAP TNB,
Pembahagian, TNB Perak.

Enam Menteri Besar Perak dipercayai berasal dari Hulu Perak. Sesudah 60 tahun pengguna elektrik di Keroh masih belum disediakan bekalan tersebut.

Siapa yang harus dipertanggungjawabkan. TNB atau Tajol yang berjaya menjutawankan lima penduduk di Keroh ?

Tajol masih mahu kembali menduduki kerusi Menteri Besar di Perak. Untuk apa lagi Tajol ? Sudahlah !

Tuesday, January 13, 2009

Hudud : Gelagat penghuni di bawah tempurong


Dunia entah sudah ke mana, Malaysia sudah banyak meninggalkan pemikiran lama, pemimpin-pemimpin alternatifnya sudah banyak berpengalaman namun dua kawan ini masih dalam dilema tentang hudud.

Usah disalahkan mereka.

Jika pemimpin Umno yang sudah 51 tahun memerintah Malaysia, masih belum faham atau berpura-pura tidak faham tentang hudud walaupun mereka juga mengaku mengikuti peredaran zaman, inikan pula mereka.

Anak cucu pasti terpegun dengan gelagat lama mereka tetapi amat pasti tidak akan jadikan ia sebagai ikutan. Jika ragu-ragu, mereka tidak akan menjadi penghuni di bawah tempurong.

Sekurang-kurangnya anak cucu akan belajar sesuatu yang baharu walaupun bukan untuk menjadikan yang baharu itu sebagai ikutan.

Percayalah, mereka berdua bukan sahaja tidak dapat menyentuh hudud apatah lagi untuk mengapa-apakannya.

Keinginan dan usaha mereka ibarat mencurah air didaun keladi. Itu sahaja.
(Foto:MStar)

Monday, January 12, 2009

Hj Mahfuz ceria selepas pembedahan

Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap Ketua Penerangan PAS Pusat Hj Mahfuz Omar ceria selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star pada hari Sabtu yang lalu.


“Saya dimasukkan ke wad pada hari Khamis 8 Januari 2009 dan dibedah dua hari selepas itu” kata Hj Mahfuz semasa saya sampai ke bilik bernombor 25 tingkat tujuh wad Bunga Raya hospital tersebut petang tadi.


Beberapa orang tetamu yang datang menziarah turut terkejut kerana tidak tahu masalah yang dihadapinya dan mengambil peluang bertanyakan khabar beliau.


Hj Mahfuz memberitahu beliau tidak dapat hadir sesi khas parlimen petang tadi oleh kerana masalah tersebut.


Beliau dijangkakan akan keluar wad pada hari Khamis ini. Hj Mahfuz yang berada di Kuala Terengganu pada hari penamaan calon berkemungkinan besar tidak dapat hadir ke pilihanraya kecil itu pada 17 Januari akan datang.


Walaupun begitu kata beliau, “saya berharap pilihanraya akan berjalan lancar. Saya merayu kepada pengundi supaya membuat pilihan yang bijak. Berilah tanggungjawab kepada calon kita untuk berkhidmat kepada masyarakat Kuala Terengganu”.


Dalam keadaan yang memerlukan rehat, beliau masih ceria menjawab pertanyaan wartawan yang menghubunginya melalui telefon bertanyakan pandangannya tentang peristiwa di Gaza.


Beliau mengucapkan terimakasih kepada pengunjung dan sampaikan salam kepada semua ahli PAS, Pakatan Rakyat dan penyokong-penyokongnya serta berharap mereka mendoakan akan kesihatannya.

Kedah : Kes setubuh paling banyak

Statistik kes rogol membabitkan pelajar di Kedah sepanjang tahun lalu berada pada tahap yang membimbangkan dengan 226 kes direkodkan yang kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar.

Ketua Polis Kedah Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kes rogol membabitkan pelajar merupakan masalah sosial yang harus dibendung dan memerlukan pendekatan menyeluruh bukan saja dari aspek undang-undang malah perlu melibatkan institusi keluarga dan pendidikan, lapor Bernama.

Katanya daripada 226 kes itu, sebanyak 187 kes membabitkan pelajar berusia 12 hingga 16 tahun, manakala 39 kes lagi membabitkan pelajar berusia 17 hingga 18 tahun.

"Jumlah kes rogol membabitkan pelajar itu adalah kira-kira 74 peratus daripada keseluruhan kes rogol sepanjang tahun lalu di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di Alor Star hari ini.

"Jenayah rogol membabitkan pelajar itu berpunca daripada kerelaan gadis terbabit yang mengikut teman lelaki," katanya - Sumber :Malaysiakini.

Sebenarnya bukanlah kes rogol. Pada saya ianya lebih kepada kes suka sama suka atau bersetubuh.

Apabila penjaga kanak-kanak adalah tok imam, guru, tok siak, pesara kerajaan dan sebagainya yang gagal mengambil tindakan undang-undang - maka bayangkanlah jika penjaga kanak-kanak adalah orang kampung biasa yang kurang pengetahuan undang-undang.

Saya nak tanya Ketua Polis Kedah, diantara 226 kes tersebut, berapa keskah yang telah berjaya diselesaikan sehingga 'perogol' menerima hukuman ?

Saya bimbang jika kes-kes seperti ini ditutup fail ditengah jalan. Adakah ?

Friday, January 9, 2009

Nasrallah dan Hosni di bumi Arab

Hosni Mubarak dari Mesir salah seorang pemimpin bangsa Arab yang sudah lama menguasai pemerintahan Mesir - sejak 1981. Tidak kira ianya dengan cara autokrasi atau demokrasi.

Tangannya banyak membantu Israel dalam memusnahkan bangsanya sendiri. Banyak telah dilakukan oleh rakyat Mesir untuk me'nyah'kannya dari peta politik Arab hatta beberapa percubaan membunuhnya turut gagal.

Hosni menggantikan Anwar Sadat sebagai Presiden. Agaknya Hosni lupa Anwar telah ditembak mati oleh musuh-musuh politiknya.

Di rantau Arab, bukan seorang sahaja pemimpin bangsa Arab yang tangannya bermandikan darah rakyat mereka sendiri seperti Hosni tetapi bilangannya ramai.

Ramai yang mengatakan bahawa bangsa Arab memerlukan pemimpin seperti Sayyid Hassan Nasrallah pemimpin Hizbullah yang menewaskan Israel dalam peperangan pada tahun 2006 yang lalu.

Namun, Nasrallah lahir dari acuan Syiah yang menjadikan Ayatollah Ruhullah Khomeini sebagai ikutannya. Sedangkan pemimpin bangsa Arab fobia dengan cara pentadbiran Khomeini.

Jika pemimpin bangsa Arab kekal dengan mereka yang sedia ada, tidak kemanalah politik Palestin.

Setiap hari akan berlaku malapetaka di bumi Arab. Amerika dan Israel pasti gembira dengan situasi itu.

Thursday, January 8, 2009

Tun Mahathir : PAS tidak boleh dipercayai

Dalam tulisan terbaru diblognya, Tun Mahathir menyatakan bahawa pilihanraya kecil Kuala Terengganu adalah tidak penting.


“Samada BN menang atau kalah, kerajaan Terengganu tak akan berubah” kata Tun Mahathir.



Mungkin Tun sudah lupa keputusan pemilihan pada tahun1987. Beliau cuma menang 43 undi melawan Tengku Razaleigh merebut jawatan Presiden Umno. Ketika itu beliau berkata, “menang satu undipun, dikira menang”.



Beliau menulis, PAS sebuah parti yang tidak boleh dipercayai kerana tidak berpegang kepada prinsip. “PAS sanggup membelakangkan prinsip kerana nak jaga hati komponen Pakatan”.



Beliau memberikan contoh berkaitan isu babi. Katanya, bagi PAS, menternak, menyentuh dan menjual babi tidak menjadi apa-apa hal kerana perkara itu tidak disebut di dalam Al Quraan.

Tulis beliau lagi, “PAS tidak boleh dipercayai oleh sesiapa. Ia sanggup "bend backwards" untuk kepentingan politik semasa”.



PAS dikatakan Tun Mahathir sebagai sanggup memberikan tanah Kampung Baru semata-mata untuk menarik undi kaum Cina.



Terdapat 8,787 pengundi Cina yang dikatakan sedang menghantui Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.



Berkaitan anggapan Tun terhadap calon BN di Kuala Terengganu, Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad pula berkata berkata, “Dr Mahathir boleh kata apa sahaja kerana ia tidak releven kepada BN”



Jika betul pilihanraya kecil ini tidak penting, adalah lebih baik BN tidak meletakkan calonnya. Buat apa menghabiskan wang rakyat yang begitu banyak?



Beberapa kawan dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah terutama sekali dari agensi KEMAS yang berkampung di Kuala Terengganu memberitahu saya, “sukar bagi BN menang. Kaum Tiong Hua tidak mahukan BN. Orang Melayu pula mahukan calon PAS”.


Tetapi, ramai pula ahli PAS di Kedah percayakan Tun Mahathir.


Namun ada juga yang berkata, tunggulah masanya, takkanlah Tun nak biarkan kampungnya Kedah terus dikuasai PAS.