Tuesday, October 6, 2009

Kakitangan Awam Seperti Minta Sedekah

CUEPACS SYOR SEMAK GAJI KAKITANGAN AWAM LIMA TAHUN SEKALI

(Kenapa agaknya kerajaan mendiamkan diri terhadap tuntutan CUEPACS ? - alkerohi )

Berita Harian
Oleh Sariha Mohd Ali

29/9/2009

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan melakukan semakan gaji 1.2 juta kakitangan awam setiap lima tahun sekali bagi membolehkan penyelarasan dibuat berdasarkan kos sara hidup semasa.

Semakan gaji terbaru yang dilakukan kerajaan pada 1 Julai 2007 dibuat selepas tempoh 25 tahun dan gaji yang diperoleh dengan kadar kenaikan antara 7.5 peratus hingga 35 peratus itu hanya mampu menampung kos sara hidup mereka sehingga tahun depan.

Pada masa ini, kakitangan awam khasnya bagi kumpulan sokongan hanya menikmati kenaikan gaji tahunan antara RM30 hingga RM70 setahun.

Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs sudah menghantar memorandum kepada kerajaan berhubung perkara itu sebelum ini, malah Majlis Jawatankuasa Kerja Semakan Gaji Anggota Sektor Awam yang diwujudkan pihaknya akan mengatur perbincangan dan menghantar satu lagi memorandum terbaru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kegagalan melakukan semakan gaji yang perlu dilakukan tahun depan, bakal menjadikan kira-kira 200,000 daripada 600,000 kakitangan awam kumpulan sokongan dua berada dalam kategori rakyat termiskin dengan purata pendapatan keseluruhan kira-kira RM1,100 sebulan.

"Sudah tiba masanya gaji kakitangan awam disemak setiap lima tahun sekali dan jika formula itu dilaksanakan, ia mampu menyeimbangkan pendapatan mereka dengan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat.


"Sebenarnya, gaji diperoleh kakitangan awam sejak 2007 hanya mampu menampung kehidupan mereka sehingga tahun depan dan semakan gaji wajar dilakukan semula pada 2011," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Omar berkata, gaji asas bagi pekerja kumpulan sokongan dua yang memiliki kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) ialah RM647 sebulan dan mereka mampu memperoleh purata RM1,100 sebulan selepas ditambah dengan elaun termasuk bagi perkhidmatan dan cola.

Beliau berkata, kehidupan di kota besar dengan kos sara hidup tinggi menyebabkan sebahagian besar kakitangan awam melakukan kerja sampingan.

"Unjuran peratusan kenaikan gaji dicadang dalam semakan itu akan dirujuk kepada perunding supaya kadarnya bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa," katanya.

Isa Samad ayam pencen

Kata orang, apa yang disemai itulah yang dituai.

Jangkauan 52 tahun pilihanraya dan mengisi merdeka di Malaysia, semaian UMNO dan Barisan Nasional terhadap masa depan politik, ekonomi, sosial dan lebih-lebih lagi tarbiah agama sudah mula menampakkan hasil taburan benih sepanjang lima dekad itu walaupun tidak secara sepenuhnya.

Masyarakat dan negara telah cuba dibangunkan di atas satu tonggak yang rapuh tanpa bersandarkan pada sistem kerohanian secara penuh dan sempurna.

Demokrasi pun tidak, teokrasinya lagilah jauh.

Pemimpin politik dan kaum kerabat terlibat dengan gejala rasuah, arak, palacuran, mengaut kekayaan negara, moral yang bercelaru, memperkosa agensi negara, sistem pendidikan dan bina insan yang lemah serta mempunyai agenda yang sangat kabur.(Gambar lembu: Negeri Sembilan terkenal dengan ladang babi)

Lebih merimaskan ialah apabila mereka yang sepatutnya dijadikan payung rakyat juga terlibat dalam kepupusan nilai sosial seperti itu.

Pengamal politik sering menghujjahkan bahawa matlamat mereka adalah tidak lain tidak bukan, melahirkan masyarakat adil, bebas, aman dan bahagia.

Al Mawardi pernah mengatakan untuk mencapai keadilan, rakyat dan hak-haknya perlu dihormati.

ISA, Akta Rahsia Rasmi, Akta Percetakkan, kerakusan polis, ketidak percayaan rakyat terhadap SPRM, sewelnya SPR, tanggungjawab sosial kerajaan seperti elektrik, air, jalanraya, tol, dan pelbagai lagi dimilik keluargakan, hak wakil rakyat dipijak – adakah ianya menghormati dan melunaskan tanggungjawab pemimpin kepada rakyat ?

Di Malaysia, orang seperti Isa Samad yang sudah sepatutnya pencen seperti ayam daging atau ayam telur, maruahnya dipertikaikan rakyat sebaliknya masih menjadi pilihan utama pemimpin parti politik UMNO, MCA, MIC dan Gerakan.

Soal prestasi dan kewibawaannya dipertikai, dipersoal dan dihujjahkan bukan hanya dalam satu isu, namun Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak berkata, itulah calon utama yang mereka ada.

Pentadbirannya telah diuji dan meninggalkan lebih impak negatif berbanding ketelusan yang perlu ada pada seorang wakil rakyat.

Sebenaranya pemimpin-pemimpin seperti ini perlu dipimpin dan bukan memimpin. Wajarkah pilihan dan penonjolan ‘calon yang ada’ pada Najib diterima rakyat pada hal ahli-ahli UMNO dan kepimpinan bahagian dan negerinya sendiri khuatir dengan pencalonannya.

Di negara yang rakyatnya bermaruah, bukan sahaja calon seperti itu hatta pemimpin sedia ada lagi ditolak rakyat.

Entahlah kiranya pengundi di Bagan Pinang termasuk tenteranya mempunyai percaturan tersendiri.

Semailah yang terbaik untuk tuaian anak-anak !


Monday, October 5, 2009

Hospital Sg Petani patahkan tangan bayi ?

Hospital tidak serik-serik menyusahkan orang ramai. Kenapa agaknya ?

(Gambar: Ismail Merican Ketua Pengarah Kesihatan yang dikatakan gagal berfungsi)

Kerana:
1.Masyarakat Melayu dan Islam percaya kejadian itu adalah qada dan qadar
2.Hospital dan pegawai perubatan sering terlepas dari tindakan undang-undang
3.Ada pengarah hospital menyelesaikan kejadian melalui 'pintu belakang'.
4.Pegawai perubatan takut ke mahkamah
5.Sesama mereka, pegawai perubatan enggan melawan kes di mahkamah
6.Peguam kurang terlatih dalam kes sebegini
7.Persatuan Pengguna dan NGO kurang pengetahuan dan kewangan untuk membantu
8.Kerajaan tidak peduli dengan rungutan rakyat

Baca di sini -
Hospital cuai, bayi saya dilahirkan patah tangan: Ibu
Jika rajin, baca - Hospital Cuai Rakyat Bayar RM7 juta

Saturday, October 3, 2009

Bagan Pinang : PAS lwn UMNO

PORT DICKSON, 3 Okt (Bernama) -- Hanya dua calon iaitu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dari Barisan Nasional (BN) dan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS menyerahkan borang pencalonan masing-masing apabila tempoh penamaan calon selama sejam bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang berakhir pada pukul 10 pagi Sabtu.

Calon bebas Shahruddin Abdul Hamid, yang turut berada di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sejak pukul 9.20 pagi telah meninggalkan tempat itu kira-kira lima minit kemudian dan tidak muncul semula selepas itu.

Semasa meninggalkan dewan itu, Shahruddin memberitahu pemberita yang berada di pusat penamaan calon itu bahawa beliau sedang mencari seorang penyokong dari kawasan DUN itu untuk menyokong pencalonannya.

Selepas tempoh pencalonan ditutup, tempoh bantahan selama sejam lagi kini berjalan dan pengawai pengurus pilihan raya kecil itu Abdul Wahab Shamsuddin kemudiannya akan membuat pengumuman bagi memuktamadkan calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu yang djadualkan pada 11 Okt ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyadangnya Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 Sept lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Azman berjaya menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

-- BERNAMA

H1N1 : Harakah dan Malaysiakini dicadang kumpul maklumat

Saya tertarik dengan laporan Harakah tentang kes H1N1. Apakah benar mangsa H1N1 kekal 77 sahaja ?

Tiga hari sebelum Eidul Fitri, saya mengambil kesempatan menziarah saudara di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.

Ketika sedang menunggu untuk masuk ke wad, saya terdengar perbualan seorang pegawai perubatan yang sedang memberitahu kawannya bahawa , kes H1N1 masih menyebabkan kematian pada setiap hari atau selang sehari di Malaysia.

Olehkerana kerajaan tidak mahu wujudkan keadaan panik dikalangan orang ramai, maka angka atau statistik kematian dirahsiakan.

Betulkah ?

Saya mencadangkan media alternatif seperti Harakah atau Malaysiakini memainkan peranan meminta orang ramai yang ahli keluarga atau kenalan mereka yang meninggal akibat H1N1 melaporkan terus ke media ini.

Tidak kira dari daerah atau negeri mana mangsa itu, asalkan kita sebagai masyarakat dan pengguna tahu apa yang sedang berlaku di Malaysia.

Sudahlah Kementerian Kesihatan gagal mengawal penyebaran penyakit ini sejak awal lagi, kini menimbulkan tandatanya dan keresahan di kalangan orang awam tentang kesahihan maklumat mereka.

Bagi media tersebut yang saya kira sangat berpengaruh, ini juga bakal merupakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat kita.

Macamana ?

Friday, October 2, 2009

Bagan Pinang : SPR perlu lebih telus

Pemerhati politik membayangkan kaedah undi pos yang dijalankan di Malaysia sudah tidak relevan lagi.

Oleh itu, adalah diharapkan agar Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) perlu lebih telus dalam mengendalikan kaedah undi pos tidak kira di kawasan manapun jika ianya tetap mahu dilaksanakan bagi masa terdekat ini.

Sebagai contohnya di Bagan Pinang, PAS salah satu dari parti politik yang bertanding mendakwa bahawa 70% dari 4,604 pengundi berdaftar pos di DUN itu adalah tentera yang telah bersara dan tidak lagi tinggal di Kem Sirusa.

DUN Bagan Pinang dimenangi oleh BN pada pilihanraya yang lepas dengan majoriti 2,333 undi.

Dijangkakan UMNO dan PAS akan sedaya upaya cuba menawan DUN ini. Bagi UMNO, secara tradisi ianya adalah kubu mereka.

02 Oktober, 2009 17:11 PM

PAS Dakwa 70 Peratus Pengundi Pos Bagan Pinang Pesara Tentera

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- PAS mendakwa 70 peratus daripada 4,604 pengundi pos yang berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, adalah anggota tentera yang telah bersara dan tidak lagi tinggal di kawasan itu, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Berikutan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula kaedah atau mekanisme yang boleh diambil dalam menangani isu tersebut bagi mengelakkan timbulnya persoalan sama ada daftar pemilih itu benar-benar bersih atau sebaliknya.

"Melalui semakan yang dibuat, kita dapati mereka (pengundi pos) yang benar-benar tinggal di Kem Sirusa (di kawasan Bagan Pinang) ialah sekitar 1,200 orang sahaja.

"Daripada senarai yang dikeluarkan (SPR), memang 4,604 orang tetapi hasil semakan mendapati hanya 1,200 orang yang masih tinggal (di kem itu) dan kita akui 1,200 ini memang berhak mengundi. Tetapi persoalannya mengapa senarai itu boleh menjadi 4,604 orang," katanya pada sidang akhbar di pejabat PAS Pusat di sini pada Jumaat.

Semalam, Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik dilaporkan berkata bahawa pilihan raya kecil itu mencatatkan jumlah undi pos paling ramai setakat ini - BERNAMA

(Foto:Calon PAS/Malaysiakini)

Thursday, October 1, 2009

Mahathir jilat ludah siapa

Baru beberapa hari yang lalu, mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed berkeras mengatakan bahawa UMNO dan Barisan Nasional tidak seharusnya memilih kaki rasuah mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Isa Samad dikatakan oleh Mahathir sebagai perasuah.

Tiba-tiba hari ini Mahathir dikatakan menjilat balik ludahnya dengan kenyataan bahawa beliau akur dengan keputusan parti.

Bermakna Mahathir tidak ada pendirian dan sudah boleh menerima perasuah mewakili UMNO.

Ramai yang tertanya-tanya, betulkah Dr Mahathir berkata sedemikian dan sudah menerima Isa Samad seperti yang tertulis di mStar itu.

Jika ya 'tuntu' Samy Vellu merupakan orang yang pertama menyambut baik pendirian berubah-ubah itu.

Samy Vellu boleh ketawa berguling-guling melihat telatah Mahathir. Pada fikirannya, 'dia saja kasi tunjuk yek sama saya. Itu action saja. Kita surpa la..'