Monday, April 26, 2010

Pesakit Parkinsons diberi status kurang upaya

Rayuan ditolak, naib canselor UUM didenda RM5,000

25 April, 2010 18:29 PM

Persatuan Gesa Pesakit Parkinson Diberi Status Kurang Upaya

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Persatuan Penyakit Parkinson Malaysia (MPDA) menggesa pesakit Parkinson diberikan status kurang upaya bagi membolehkan mereka menerima bantuan yang diberikan kepada golongan itu.

Presiden MPDA Sara Lew berkata penyakit Parkinson memberikan kesan yang besar terhadap ekonomi, bukan sahaja terhadap pesakit tetapi juga keluarga mereka.

"Kami percaya sebahagian besar masyarakat perlu besama-sama mencari jalan untuk mengurangkan bebanan kesan daripada penyakit Parkinson terhadap kualiti hidup bukan sahaja kepada mereka yang menghidap Parkinson, tetapi juga semua mereka yang kurang upaya dan menghidap penyakit kronik," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Hari Parkinson Dunia yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Lew berkata sebagai kumpulan sokongan Penyakit Parkinson, MPDA mengakui pentingnya kerjasama dan merapatkan jurang antara penghidap Parkinson, penjaga pesakit, agensi kerajaan, pemimpin politik dan penyedia penjagaan kesihatan, khususnya dalam penyelidikan bagi penyembuhan dan penjagaan mereka yang menghidap Parkinson.

Beliau berkata MPDA, sebagai pertubuhan bukan kerajaan pertama dan organisasi berasaskan pesakit, ditubuhkan untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada pesakit Parkinson dan penjaga mereka di negara ini, telah menandatangani Deklarasi Penyakit Parkinson Global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lew berkata berdasarkan statistik tidak rasmi, penyakit itu dihidapi lebih 25,000 orang di Malaysia dan bilangannya terus bertambah.

-- BERNAMA

No comments: