Sunday, January 20, 2008

Keroh Perlu Bertukar Pemimpin Dan Parti

Separuh abad mendengar kalimat kemerdekaan. Namun apa itu merdeka ?

Penduduk Keroh, Perak seolah-olah memahami kemerdekaan apabila kerajaan yang ada membekalkan air, elektrik dan jalanraya kepada mereka. Dua puloh tahun yang lalu, pekan kecil Keroh ini dikenali sebagai Pekan Komunis atau tempat jin bertendang.

Sejak merdeka ia diperintah oleh wakil rakyat dari kerajaan Barisan Nasional. Tidak banyak perubahan fizikal yang ada di sini. ADUNnya sekarang adalah juga Menteri Besar Perak. Dato’ Tajol Rosli Ghazali dikatakan orang kesayangan istana Perak. Bapanya merupakan bekas Menteri Besar Perak yang pernah berbakti dan banyak jasanya kepada istana.

Tajol seorang yang taat setia kepada sesiapa sahaja yang menjadi ketua atau Perdana Menteri. Beliau diibaratkan seperti ‘lalang’. Tidak mempunyai prinsip pentadbiran atau halatuju politik. Banyak rungutan yang diterima daripada penduduk Keroh. Segala projek yang ada di sekitar Perak termasuk di Keroh, asyik-asyik diberikan kepada 'kenalan' yang sama. Penerima habuan sudah menjadi jutawan tetapi rakyat biasanya masih seperti dua puloh tahun yang lalu. Malah, dihebohkan juga, kakitangan awam di Perak tidak sehaluan dengan dasarnya. Banyak arahan-arahan Tajol tidak diendahkan mereka.

Keroh kini tertinggal dalam banyak segi. “Sepatutnya jalan dari Baling ke Gerik ada susur keluarnya ke pekan ini. Tetapi kerana lembutnya MB sekarang, beliau tidak dapat membuat apa-apa. Perniagaan atau pembangunan ekonominya sudah tidak serancak seperti dulu” merungut Hj Ali seorang penduduk lama di sini.

Penduduk Keroh mahukan perubahan. “Masyarakat asli di sini merupakan penyokong kuat yang digula-gulakan oleh BN demi mendapatkan undi mereka. Begitu juga undi tentera dan pasukan PGA yang memihak kepada parti pemerintah” kata Maniam seorang pemandu teksi yang sudah empat kali mengundi.

Parti politik alternatif iaitu PAS telah beberapa kali meletakkan calon dalam pilihanraya yang lalu tetapi tidak berjaya. “Tidak ada strategi baru dari PAS. Orang Cina, penduduk asli dan anggota badan beruniform masih belum dapat dimesrakan” kata Abdul Halim dari Kg Air Panas.

Masyarakat di sini memerlukan berita-berita dan perkembangan baru. Mereka berharap agar kekerapan kedatangan pemimpin alternatif dapat membuka mata pengundi di sini.

Penduduk lama Keroh juga mengharapkan anak-anak tempatan yang berhijrah demi mencari rezeki di perantauan, dapat balik dan mengundi dalam pilihanraya kali ini. “Sudah tiba masanya perubahan dilakukan” kata mereka.

Hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Rata-rata penduduknya gembira mendengar berita bahawa Tajol tidak akan bertanding lagi di dalam pilihanraya kedua belas ini. Namun bagi mereka, pemimpin BN adalah ibarat, "keluar mulut buaya, masuk pula kemulut naga ".

No comments: