Friday, January 25, 2008

Bomoh : Omongan Kosong Sahaja

Bomoh-bomoh yang mendakwa boleh mengubati pesakit, mengetahui di mana orang hilang, manaikkan kedudukan orang tertentu dan pelbagai lagi terutama sekali dari kalangan orang Islam di Malaysia bukan sahaja memalukan umat Islam malah menjatuhkan moral mereka sendiri dipandangan umum.

Bomoh, pawang atau perawat secara tradisional pada mulanya menggunakan ayat-ayat Quraan dan tumbuh-tumbuhan untuk rawatan tetapi kini terlalu ramai bomoh yang mengambil kesempatan di atas penderitaan orang lain untuk menipu. Mereka bukan sahaja menggunakan kuasa roh, kuasa alam sekeliling, kuasa jin dan sebagainya, malah mereka mengambil peluang merosakkan akidah orang ramai.

Ada kalangan bomoh yang tidak menunaikan solat. Melakukan kerja kebomohannya bermula dari waktu asyar hinggalah kelarut malam tanpa berhenti menunaikan solat.

Bukan setakat itu, ada yang menjadikan pesakit sebagai mangsa seks mereka. Ada pula yang mengambil kesempatan memeras wang pesakit. Ada yang meminta pelbagai barang untuk tujuan rawatan. Banyak masa pesakit dihabiskan tanpa pulangan. Kebanyakkan bomoh-bomoh terkenal menggunakan pengaruh orang ternama untuk melariskan ke'boh-mau' mereka.

Memang, penentu segala-galanya adalah Allah swt. Malangnya, ramai masyarakat Malaysia diperbodohkan oleh bomoh. Pulangan langsung tidak ada.

Bagi saya, lebih baik cara rawatan moden di hospital-hospital atau rawatan ayurvedic, homeopathy dan sebagainya. Ada juga nampak keberkesanannya. Kita boleh lihat dan tahu dari segi saintifik, punca penyakit, cara rawatan dan impaknya kepada pesakit. Semua rekod-rekod rawatan mudah diperolehi.

Apa yang dapat bomoh buktikan. Menipu dan tidak telus sepanjang masa dengan memberikan contoh-contoh dan andaian palsu yang direka-reka. Menuding jari dan menyalahkan jiran-jiran dan saudara-mara sebagai punca masalah.

Jika kita minta mereka buktikan atau tunjukkan pesakit yang berjaya dipulihkan, mereka akan memberitahu tidak ada alamat, percaya dan yakinlah untuk menerima kejayaan rawatan, jangan banyak menyoal dan pelbagai tipu daya yang digunakan.

Jika dibiarkan khidmat bomoh berterusan, tunggulah saat kehancuran akidah dan kerosakkan akhlak masyarakat. Sembilan puloh sembilan peratus (99%) bomoh di Malaysia bercakap sahaja. Tidak dapat membuktikan apa-apa jika di minta.

Jika mereka benar, sudah tentu mereka dapat buktikan kejayaan mereka secara saintifik atau secara hitam putih.

Bolehkah penyakit parkinson's dirawat secara berurut ? Adakah pankreas dapat dipulihkan dengan jampi serapah ? Berapa ramai pesakit barah payu dara boleh dipulihkan dengan sireh yang dimentera ? Tulang yang patah bolehkah disambung dengan mengurut?

Tidak ada bukti. Hanya omongan kosong sahaja.

Bomoh-bomoh di Malaysia sepatutnya mencari kerja lain. Mereka perlu ingat bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja terhadap diri mereka sendiri tetapi juga kepada anak isteri, masyarakat dan Allah swt.

No comments: