Sunday, February 10, 2008

Osama B Laden dan Sharlinie

Amerika mendakwa pasukan keselamatan mereka paling cekap di dunia. PM Malaysia Abdullah pula mendakwa PDRM pasukan yang tercekap di Malaysia.

Namun, Osama masih bebas dan adik Sharlinie pula entah dimana. Osama bebas di pergunungan Pakistan dan Afghanistan, manakala Sharlinie dipercayai hilang diantara pusat bandar di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Kes mereka tidak sama. Tetapi isu kehilangan dan dicari pasukan keselamatan yang cekap adalah serupa.

Walau apa pun, PM Malaysia perlu mengarahkan satu jawatankuasa khas menerima aduan orang ramai, meneliti dan mengkaji serta mengubahsuai peranan PDRM. JK khas ini hendaklah ditubuhkan di setiap daerah untuk memantau kesudahan atau penyelesaian setiap laporan polis yang dibuat oleh orang ramai. Apa jadi dengan laporan Polis tersebut?

Selesai, disimpan atau dibakulsampahkan ? Ramai yang mendakwa, tidak sampai pun 40% kes yang dapat diselesaikan oleh PDRM. Angka yang dikeluarkan oleh PDRM dan Johari Baharom, menteri yang menjaga polis jelas menunjukkan tiada persamaan.

IPCMC temberangan Abdullah belum nampak apa-apa. Itulah sebabnya PDRM dan Musa Hassan kelihatan selalu gembira.

Saturday, February 9, 2008

Padamkan Abdullah Dalam Pilihanraya Ini


Lagi-lagi Islam dijadikan sandaran.

“It is God’s will that I become the Prime Minister of Malaysia and I am very conscious that I have to serve the people although I personally do not benefit even one bit because of this,” he said.

He said in fulfilling his responsibility, he has to be fair to all Malaysians, irrespective of their ethnic background.

Jika cakap serupa bikin dan menjadikan Islam sebagai sandaran, itu memanglah dituntut. Namun keadaan PM Malaysia sekarang sudah diketahui umum. Kaki tidur yang enggan mengaku kelemahannya. Lain yang dicakap, lain yang dibuatnya.

Sebagai ketua negara yang dilantik, ia kini bagaikan nakhoda yang membiarkan kapalnya belayar tanpa arah tuju. Dipukul ombak ke sana kemari.

Masa yang diberikan kepadanya sejak pilihanraya kesebelas yang lalu sangat-sangat merugikan rakyat Malaysia dan juga kepada OIC. Tiada banyak yang dapat dilakukannya. Bergambar dan bermesra dengan isteri barunya dikhalayak ramai untuk membuktikan kasih sayang adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan.

Jika semua menteri kabinetnya mula melakukan perkara sebegitu, jika semua ketua jabatan mula bertindak sedemikian. jika semua guru-guru mengikuti langkah PM tersebut dan jika semua rakyat Malaysia mula berbuat demikian, bayangkanlah masalah sosial yang sedang melanda negara. Sudahlah yang ada tidak dapat ditangani, masing-masing warga Malaysia akan menjadikan PM sebagai ikutan.

Bukan setakat itu sahaja, 'apabila bapa kencing berdiri, maka anak-anak akan kencing berlari".

Seorang AJK Bahagian Pokok Sena Kedah memberitahu, "saya sudah meluat dengan kerenah Pak Lah ini. Malu saya dibuatnya. Sudahlah di dalam politik menantu dia menjadi ketua. Dalam bidang sosial pula, PM berlebih-lebihan pula dengan isteri barunya dikhalayak ramai".

"Undi saya kali ini bukan untuk BN" katanya.

Bukan sahaja pembangkang, malah ahli UMNO sendiri meluat dengan cara pentadbiran PM Abdullah Ahmad.

Pada hemat saya, Abdullah, keluarga dan kroninya perlu diberi satu pengajaran yang tidak pernah diterima oleh mana-mana PM sebelum ini. Jika masyarakat di Malaysia hanya bercakap berdentum di merata kampung sahaja, ianya adalah tidak memadai.

Buktikan dengan tindakan sewaktu pilihanraya keduabelas ini. Sebagai pengundi, kuasa agung melantik PM adalah ditangan kita.

Api sewaktu kecil menjadi kawan, apabila besar ia menjadi lawan. Padamkan api itu sebelum ia menjadi lawan.

Friday, February 8, 2008

Terimalah Rayuan dan Ampunilah Kami

Berkat kesabaran dan kekuatan azam untuk meneruskan kehidupan melalui jalan yang ditentukanNya, serta sokongan dan kasih sayang isteri dan tiga orang anak yang mempunyai iltizam yang tinggi, kami sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar ummi kepada anak-anakku dikembalikan kesihatannya yang sudah dua belas tahun berikhtiar melawan penyakit parkinson'snya.

Hari ini, usia penulis bertambah setahun lagi dalam menghadapi liku-liku kehidupan yang wajib dilalui.

Lirik nasyid ITO Lara, sahabat satu kelas ketika di ITM :

RAYUAN HAMBA

Ku rebahkan keakuan yang terpaksi
Meredakan kekalutan dalam diri
Tuhan ganjarkan upaya
Untukku menyusuri jalanMu
Agar tak tersasar haluan kiblatku
Oh Tuhan

Ku dambakan kasih Mu
Rahmatilah hidupku
Hamparkan cintaMu buatku, oh Tuhan

Ku rindukan sayang Mu
Redhailah diriku
Di situ letaknya syurgaku, oh Tuhan

Hanya Dikau tempatku mengadu
Dengarkanlah sendu rayuku
Tiada aku tanpaMu oh Tuhan
Berkati hidupku di dunia dan akhirat

Siapalah diriku
Dihadapan KudratMu
Insan yang tidak berdaya oh Tuhan

Ku pohonkan dari Mu
Perkenankan doaku
Ampunilah dosa hambaMu oh Tuhan

Hingga sampai waktuku berundur
Kesaksian tetap dijunjung
Hidup mati kernaMu oh Tuhan
Limpahan maghfirah yang amat ku harapkan

Lagu : Manisman
Lirik : ITO Lara

Thursday, February 7, 2008

KSN Malaysia Pemalu : Tidak Layak Berunding

Tindakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan seperti yang dilaporkan berkaitan kenyataan Presiden CUEPACS tentang tuntutan kesatuan itu adalah sangat memalukan.

Omar Osman, Presiden CUEPACS dilaporkan sebagai kecewa dengan kenyataan KSN yang 'segan' membincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad tentang permohonan kesatuan itu untuk mendapatkan honorarium RM2,000 .

Ramai kakitangan awam didapati kesal dengan tindakan KSN yang dianggap membelakangi arahan PM sendiri.

Rata-rata mereka berpendapat KSN sedang bersandiwara dan berpolitik. Lanjutan dari kenyataan KSN itu kakitangan perkhidmatan awam mengandaikan bahawa:

1. KSN sedang bersandiwara seolah-olah beliau adalah satu-satunya pekerja di dalam sektor awam yang malu untuk meminta kenaikkan gaji dan bonus
2. KSN dianggap sebagai mengingkari arahan PM sendiri untuk membincang dan melaporkan permintaan CUEPACS kepada PM dan kabinet
3. KSN juga dikatakan sebagai mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya untuk menjadi perantara diantara kerajaan dan kakitangan perkhidmatan awam
4. Ramai yang berpandangan, KSN wajar memaklumkan keseluruhan pendapatan yang diperolehinya setiap bulan termasuk gaji, elaun rumah, elaun perkhidmatan awam, elaun keraian dan lain-lain elaun termasuk TNTnya supaya rakyat dan keseluruhan kakitangan awam dapat mengetahui pendapatan sebenar KSN ini.
5. Ada juga kakitangan mengandaikan ianya adalah acara tarik tali diantara PM dan KSN dimana KSN dijadikan kambing hitam. Tangan ghaib cuba menunjukkan bahawa KSN tidak suka dan segan dengan tuntutan CUEPACS yang akhirnya sebelum pilihanraya ke 12 ini, PM akan dianggap sebagai wira kerana sudah pasti akan mengumumkan honorarium tersebut. Dari segi politik, PM akan memperolehi lonjakan pengundi.
6. Ada yang mencadangkan agar KSN tidak menerima apa-apa sumbangan yang akan diumumkan PM sebelum pilihanraya ini.

Apa pun jika kenyataan KSN tersebut adalah betul, kakitangan perkhidmatan awam mengaggap KSN sebagai tidak layak menjadi orang tengah dan wajib diganti dengan pegawai lain.

Mereka tidak mahu pelakon drama membincangkan satu tuntutan pengurusan yang serious tentang masa hadapan penjawat awam.

Dalam mana-mana organisasi, orang yang pemalu, pemalas, penyegan dan pelakon hanya layak 'diarah' berbanding 'memberikan arahan'.

Cuepacs kesal KSN segan bincang isu honorarium

KUALA LUMPUR: Cuepacs semalam menyatakan rasa kecewa dengan sikap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang ‘segan’ mahu membincangkan permohonan kesatuan itu untuk mendapatkan honorarium RM2,000 dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil menegaskan Cuepacs sudah terlalu lama menunggu, Presidennya, Omar Osman mahu kerajaan mengumumkan segera keputusan sama ada memberi atau menolak permohonan honorarium kepada kakitangan sektor awam.

“Kita juga berharap KSN segera bawa permohonan kesatuan mengenai honorarium dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mendapatkan restunya.


“Selama ini Cuepacs menjangkakan perkara ini sudah pada peringkat perbincangan dengan Abdullah dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan, sebaliknya kami kecewa apabila mendapat tahu ia langsung tidak dibawa kepada Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Sidek semalam bahawa beliau belum berbincang dengan Perdana Menteri mengenai pembayaran honorarium untuk kakitangan awam.

Mohd Sidek berkata demikian ketika menjawab soalan penonton dalam program `Bicarawara: Bersama Ketua Setiausaha Negara’ yang disiarkan secara langsung di RTM1, semalam.

Tuesday, February 5, 2008

Wakil Rakyat atau Pengundi : Siapa Tuan

Untuk menjadi pembangkang bagi jangkawaktu yang panjang adalah sesuatu yang membosankan. Bagaikan pemain simpanan pasukan bolasepak yang sentiasa direhatkan di dalam kebanyakkan perlawanan.

Pengurus Pasukan dan Jurulatih sepatutnya mencuba seseorang pemain simpanan agar dapat menunjukkan kewibawaannya di dalam mana-mana perlawanan.

Begitulah halnya, sebagai pengundi kita adalah pengurus dan juga jurulatih. Tiada salah mencuba bakat mereka yang belum pernah menunjukkan prestasi. Manalah tahu dengan satu cubaan tersebut, pasukan akan mendapat kejayaan dan nama.

Alternatif seperti menurunkan harga petroleum, tidak mengenakan caj penggunaan air dan bermacam pakej lain yang ditawarkan, sepatutnya merupakan satu anjakan sosial dan politik yang perlu diterima oleh pengundi sebagai satu promosi.

Jika alternatif yang ditawarkan tidak menepati citarasa, bukankah kita sebagai pengurus dan jurulatih mempunyai kuasa mutlak.

Apa yang merisaukan ialah, kita tidak tahu samada kita pengurus atau pemain. Apa kuasa dan hak yang ada pada kita.

Dalam hal ini, pengundi disamping menjadi tuan, juga adalah pengguna. Jika tidak berkenan dihati dan penawaran yang dibuat tidak berpatutan, bukankah hak menerima atau menolak barangan ditangan kita.

Jangan biarkan pekerja atau wakil rakyat menjadi tuan. Sebenarnya pengundi itu adalah ‘tuan’. Wakil rakyat adalah pekerja untuk pengundi. Bila sudah masuk ke stadium atau kegelanggang , jangan jadi “alah menang tak tahu, bersorak boleh”. Kita kena ada pendirian. Pasukan mana idaman kita dan siapa yang perlu disokong.

Adakah wakil yang ‘macam ular kekenyangan’ dapat melakukan kerja dan membantu rakyat mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Mereka yang sudah kenyang dengan projek, wang, pangkat, wanita dan sebagainya tidak akan boleh membuat apa-apa kecuali direhatkan diluar padang pula. Sudah terang lagi bersuloh.

Jangan biarkan pasukan yang sepatutnya menang dan berjasa untuk negara, terpinggir hanya kerana tersilap percaturan atau tekanan tertentu.

Atau membiarkan sipelaku digelanggang mengatur sendiri perlawanan tanpa mengambil kira hak pengurus, jurulatih atau pengundi.

Kerana kealpaan jurulatih atau pengurus sebagai individu yang memilih, sebelas pemain sepasukan yang mewakili kita dan negara sudah pasti akan gagal dan mengecewakan.

Lebih-lebih lagi mereka sebagai pemain bekerja makan angin dan menghabiskan wang rakyat. Kita sebagai pengundi pun akan turut terpalit dan menjadi cercaan.

Monday, February 4, 2008

Stem Sel : Rawatan Abad Ini

Kaedah rawatan abad ini, sel stem dijangka mampu memulihkan 70 jenis penyakit, InsyaAllah. Mengikut laporan dari barat, ini bermakna jangkahayat manusia juga akan bertambah.

Dengan rawatan abad ini beratus juta manusia akan berjaya dipulihkan.

Sama-samalah kita mendoakan.

Sabda Rasulullah saw bermaksud, “setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati”.

Friday, February 1, 2008

Pemimpin BN Berkarat

Barisan Nasional dan UMNO perlu dibersihkan. Itulah diantara harapan dan gesaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Apa yang memuskyilkan ialah, ruang mana yang perlu dibersihkan. Semuanya kelihatan berkarat. Ketua BN kaki tidur. Tidak tahu apa-apa. Rakyat dibiarkan menderita dengan kenaikkan harga barang. Terlalu banyak kelemahan cucu ulama ini untuk dituliskan. Awalan lantikannya sebagai PM adalah ‘indah khabar dari rupa’.

Timbalan ketua BN dikaitkan dengan komisyen pembelian kapal selam. Juga dengan pelbagai tuduhan termasuk akhlaknya yang rendah seperti yang dijaja oleh puak Timbalan Ketua Pemuda UMNO.

MCA pula baru sahaja mengorbankan Chua Soi Lek kerana karat seks. Belum lagi isu-isu lain termasuk isu Zon Bebas Pelabuhan Kelang yang dihebohkan sebagai karat wang.

Samy Vellu Ketua MIC yang sudah berusia 71 tahun masih belum nampak jalan keluar dari politik. Selepas kejutan dari Hindraf, agaknya mahu namanya terpahat sebagai ahli politik yang kerja sampai mati dan akan gembira bila kerandanya diusung keluar ketika sedang berkhidmat di arena politik.

Kepimpinan politik Sabah dan Sarawak yang bergelumang dengan rasuah. Harta negara dibahagi sana-sini.

Tidak termasuk puak kroni dan tali barut mereka di peringkat cawangan, bahagian dan sebagainya. Diandaikan seorang mendapat projek satu juta . Setiap cawangan dan bahagian sudah berapa jumlahnya ?

Susu pekat naik harga RM0.80 sen setin. Bawang naik harga RM2.00 sekilo. Tepung naik harga RM1.00 sekilo. Belum masuk cabai, ayam, daging, ikan dan lain-lain. Tahu dan sedarkah sikaki lena itu ?

Belum lagi Khairy Jamaludin seorang penganggur dari kediaman Perdana Menteri Malaysia yang didakwa mampu membeli nombor pendaftaran kereta KJ 10 daripada seorang penduduk di Sungai Petani Kedah dengan balasan yang tinggi.

Mantan Perdana Menteri yang kini mula bersuara pernah juga digelar maha firaun. Musa Hitam pula pernah dipalitkan dengan isu pembunuhan di Memali Kedah. Tengku Razaleigh pula sekejap bergayut di sana dan sekejap pula bergayut di sini.

Siapa yang tidak berkarat ?

BPR dan Polis yang diharapkan dapat memperbetulkan keadaan tetapi mereka juga bergelumang dengan karat. Siapa yang bersih ?

Di England, satu pertiga dari gaji bulanan pekerja biasanya membolehkan mereka membeli sebuah komputer. Di Malaysia, gaji tiga bulan pekerjanya perlu dihimpunkan untuk membeli sebuah komputer.

Di Thailand, lebuhrayanya bermula dari Danok sehinggalah ke utara tidak bertol. Di Malaysia, dari Bukit Kayu Hitam sampai ke Kuala Lumpur perjalanan sehalanya perlu membayar harga hampir RM60.00. Keuntungan yang terlalu banyak untuk syarikat tol.

Negara-negara seperti Finland, Norway, Sweden dan banyak lagi, pendidikan rendahnya sehinggalah ke peringkat universiti dibiayai kerajaan. Di Malaysia, ‘orang politik parti pemerintah dan kroni’ menghantar anak-anak belajar ke luar negara setelah memeras harta negara dan rakyat. Penduduk Malaysia yang lainnya perlu membayar apa yang sepatutnya percuma hasil dari tanggungjawab sosial pemerintah.

Pengundi yang masih leka tidak seharusnya menggadaikan masa hadapan anak cucu dengan memberikan mandat kepada orang yang sudah terbukti gagal dan cuai dalam melaksanakan amanah.

Usah matikan hak-hak kita selagi kehidupannya masih boleh diteruskan. Usah mengaku kalah sebelum berjuang di medan pertempuran.

Wednesday, January 30, 2008

Kaunselor terkenal senget pemikiran

Pakar psikologi atau pakar kaunseling, mereka juga adalah manusia biasa. Mereka dilahirkan di dalam satu keluarga yang kita tidak tahu samada kaya, miskin, berpecah, bermasalah, dididik atau sebagainya.

Masa dan peluang telah menentukan mereka berjaya secara material dan berada pada kedudukan tertentu. Apatah lagi apabila media memberikan publisiti kepada mereka. Sedangkan ada lebih ramai manusia normal yang berwibawa dan berbakat tetapi tidak ditonjolkan.

Adakalanya sebagai orang yang sedang mencari identiti, manusia termasuk kaunselor juga terpengaruh dengan pelbagai gejala. Gejala seperti pengaruh rakan sebaya, gejala wang, rasuah, keegoan, menganggap diri sebagai paling cerdik dan bermacam lagi. Seperti juga mereka yang bekerja dipelbagai profesion lain . Termasuk juga ustaz dan ulama duniawi.

Teringat saya akan diri seorang kawan yang bekerja sebagai kaunselor di sebuah Pusat Pemulihan Dadah. Dia seorang wanita. Lama-lama mengadakan sesi kaunseling, akhirnya ia terpikat dengan 'kaunseli'nya yang banyak idea. Akhirnya pandangan dan nasihat kawan-kawan lain tidak didengarinya. Apa jadi kemudiannya ? Bukanlah bertujuan menghina. Tetapi biarlah bertempat memberikan pandangan atau bertindak membicarakan sesuatu maslahat dikhalayak umum.

Begitu juga, ada kaunselor yang beria-ia cuba membantu pelanggannya yang bermasalah, pelanggan yang 'senget pemikirannya' , pelanggan yang tidak mengenal diri sendiri dan bermacam lagi.

Sudahnya, bila terlalu banyak bercakap dan nasihat serta membimbing menggunakan kaunseling barat tanpa mengamalkan cara deen, akhirnya kaunselor itu pun boleh menjadi senget pemikirannya.

Apa yang boleh kita harapkan daripada orang semacam ini ?

Ego mengatasi segala-galanya. Bila orang seperti ini dilantik mengetuai mana-mana organisasi hanya kerana 'public figure' atau gaya politikusnya tanpa melihat ilmu yang ada padanya, tunggu dan lihatlah saat-saat kelingkupan organisasi tersebut.

Tuesday, January 29, 2008

Potong Semua Tapi Masih Mahu

Dari Utusan Malaysia.

Kata seorang kawan, jika potong semuapun, mereka dari kalangan Barisan Nasional masih mahu menjadi pemimpin sedangkan mereka layak dipimpin.

Masalah utama bukan ADUN atau Ahli Parlimen. Masalah besar adalah pengundi.

Ada pengundi kawasan tertentu, letak sahaja sesiapapun hatta 'lembu' dan 'kerbau', mereka tetap akan memangkah lembu dan kerbau.

Apa hendak jadi dengan pengundi berkenaan ?

It's not the voting that's democracy; it's the counting -
Tom Stoppard

Friday, January 25, 2008

Bomoh : Omongan Kosong Sahaja

Bomoh-bomoh yang mendakwa boleh mengubati pesakit, mengetahui di mana orang hilang, manaikkan kedudukan orang tertentu dan pelbagai lagi terutama sekali dari kalangan orang Islam di Malaysia bukan sahaja memalukan umat Islam malah menjatuhkan moral mereka sendiri dipandangan umum.

Bomoh, pawang atau perawat secara tradisional pada mulanya menggunakan ayat-ayat Quraan dan tumbuh-tumbuhan untuk rawatan tetapi kini terlalu ramai bomoh yang mengambil kesempatan di atas penderitaan orang lain untuk menipu. Mereka bukan sahaja menggunakan kuasa roh, kuasa alam sekeliling, kuasa jin dan sebagainya, malah mereka mengambil peluang merosakkan akidah orang ramai.

Ada kalangan bomoh yang tidak menunaikan solat. Melakukan kerja kebomohannya bermula dari waktu asyar hinggalah kelarut malam tanpa berhenti menunaikan solat.

Bukan setakat itu, ada yang menjadikan pesakit sebagai mangsa seks mereka. Ada pula yang mengambil kesempatan memeras wang pesakit. Ada yang meminta pelbagai barang untuk tujuan rawatan. Banyak masa pesakit dihabiskan tanpa pulangan. Kebanyakkan bomoh-bomoh terkenal menggunakan pengaruh orang ternama untuk melariskan ke'boh-mau' mereka.

Memang, penentu segala-galanya adalah Allah swt. Malangnya, ramai masyarakat Malaysia diperbodohkan oleh bomoh. Pulangan langsung tidak ada.

Bagi saya, lebih baik cara rawatan moden di hospital-hospital atau rawatan ayurvedic, homeopathy dan sebagainya. Ada juga nampak keberkesanannya. Kita boleh lihat dan tahu dari segi saintifik, punca penyakit, cara rawatan dan impaknya kepada pesakit. Semua rekod-rekod rawatan mudah diperolehi.

Apa yang dapat bomoh buktikan. Menipu dan tidak telus sepanjang masa dengan memberikan contoh-contoh dan andaian palsu yang direka-reka. Menuding jari dan menyalahkan jiran-jiran dan saudara-mara sebagai punca masalah.

Jika kita minta mereka buktikan atau tunjukkan pesakit yang berjaya dipulihkan, mereka akan memberitahu tidak ada alamat, percaya dan yakinlah untuk menerima kejayaan rawatan, jangan banyak menyoal dan pelbagai tipu daya yang digunakan.

Jika dibiarkan khidmat bomoh berterusan, tunggulah saat kehancuran akidah dan kerosakkan akhlak masyarakat. Sembilan puloh sembilan peratus (99%) bomoh di Malaysia bercakap sahaja. Tidak dapat membuktikan apa-apa jika di minta.

Jika mereka benar, sudah tentu mereka dapat buktikan kejayaan mereka secara saintifik atau secara hitam putih.

Bolehkah penyakit parkinson's dirawat secara berurut ? Adakah pankreas dapat dipulihkan dengan jampi serapah ? Berapa ramai pesakit barah payu dara boleh dipulihkan dengan sireh yang dimentera ? Tulang yang patah bolehkah disambung dengan mengurut?

Tidak ada bukti. Hanya omongan kosong sahaja.

Bomoh-bomoh di Malaysia sepatutnya mencari kerja lain. Mereka perlu ingat bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja terhadap diri mereka sendiri tetapi juga kepada anak isteri, masyarakat dan Allah swt.