Sunday, December 23, 2007

Naib Ketua Pemuda Gerakan dan Daim Zainuddin

Sehingga pagi ini, kenyataan empat muka surat daripada Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy masih boleh dikira hebat dan ada ‘jantan’nya.

Peristiwa perhimpunan 25 November 2007 oleh kaum Tamil Malaysia anjuran Hindraf dijadikan rujukannya. Sebagai Naib Ketua Pemuda sebuah parti yang menganggotai Barisan Nasional , peranan dan tugasnyanya adalah sama seperti Khairy Jamaludin menantu Perdana Menteri Malaysia yang paling lemah itu.

Paranjothy membidas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Ali Rustam, Khairy Jamaludin, Pemuda UMNO Tanjong, Hishamuddin Keris, Utusan Malaysia, Straits Times dan merumuskan bahawa UMNO menjadi punca tertinggalnya kaum India dalam pelbagai hal.

Beliau juga bertanya "adakah Pemuda Barisan Nasional mendapat permit untuk mengadakan perhimpunan atau demonstrasi. Pernahkan permohonan mereka untuk mendapatkan permit telah ditolak oleh pihak berkuasa".

Musa Hassan Ketua Polis Negara sepatutnya membuktikan secara hitam putih kelulusan terhadap permohonan yang dibuat oleh pemuda-pemuda dari BN. Itupun jika ada. Jika tidak ada permohonan, lebih baik Musa yang sudah menjadi sampah masyarakat dan bebanan kepada rakyat, memikirkan jalan untuk tidak menghabiskan wang negara. Eloklah tinggalkan perkhidmatan PDRM yang sudah mengarut di bawah pengurusannya itu.

Dalam masa yang sama, bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin secara tiba-tiba menyuarakan pandangan bahawa Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berada di dalam keadaan yang bahaya bagi BN dari segi politik.

Nampaknya, politik Malaysia semakin kucar-kacir dengan kehadiran Abdullah Ahmad, Khairy Jamaludin, Kalimullah Hassan, budak-budak tingkat empat, Kamaludin Abdullah, Zainuddin Maidin, keluarga PM Malaysia dan kroninya sekarang.

Bagi saya, kita tunggu apa reaksi rakyat dalam membuat keputusan pada kertas undi.

Kelmarin, beberapa anggota bahagian risikan memberitahu, kedudukan BN goyah dan ini membuatkan Abdullah menangguhkan pilihanraya yang sepatutnya sudah dijadualkan pada penghujung 2007. Kata mereka lagi, pengundi terutama sekali pengundi Cina dan India mahu mengikuti majoriti pengundi Melayu memberikan satu peluang kepada pembangkang untuk memerintah.

Abdullah dan keluarganya bukan sahaja menjadi bebanan kepada UMNO, malah kepada Barisan Nasional dan rakyat serta negara.

Kedudukan politik Malaysia kini memberikan makna bahawa tempoh pemerintahan Abdullah sepatutnya disatu penggalkan sahaja seperti juga cadangan mantan PM, Tun Dr Mahathir.

Jika tidak, ini akan membahayakan penduduk Malaysia.

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.

Friday, December 21, 2007

Luah Perasaan Pada Yang Empati ?


Anyone can become angry - that is easy, but to be angry with the right person, to the right degree, at the right time, for the right purpose, and in the right way - that is not easy -
Aristotle

Thursday, December 20, 2007

UMNO ibarat suami yang zalim

Pemimpin dalam parti politik UMNO hanya pandai bercakap, menggertak dan menekan bangsanya sahaja. Jika tidak mendesak, mereka hanya akan mendiamkan diri melihat bangsa mereka menjadi hamba politik di Malaysia. Samada dihambakan oleh UMNO atau oleh sistem dan dasar yang diwujudkan.

Lihat kes Zahid Hamidi, Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir, Rais Yatim dan berpuloh lagi. Mereka adalah sekadar beberapa bekas orang kuat dalam UMNO sendiri yang pernah melawan arus. Lanjutan melawan arus, pemimpin dalam UMNO yang masih 'ada gigi' dan dari golongan penyokong membabi buta, menghentam golongan ini seolah-olah Melayu jenis melawan arus tidak berguna dan perlu dikembalikan kealam lain.

Lain pula dengan keturunan Cina dan India. Lihat sahaja isu bahasa di sekolah Cina. Bukan sahaja mereka yang di dalam MCA tetapi yang berada di dalam parti Gerakan, DAP dan NGOnya bersatu membela bahasa ibunda mereka. Malah mereka sanggup melakukan apa sahaja jika kerajaan di bawah BN yang berketuakan pemimpin-pemimpin yang lembik tidak mendengar dan memenuhi pandangan dan tuntutan mereka.

Begitu juga dengan kaum India. Samy Vellu yang bermasalah dan gagal menangani masalah kaumnya, akhirnya kelihatan bersetuju dengan cadangan dan pandangan Hindraf.

Kerajaan di bawah pemimpin yang bertonggakkan ketua dari UMNO terpaksa akur dengan pelbagai tuntutan kaum India sekarang. Menubuhkan jabatan yang menjaga hal ehwal orang bukan Islam, perkhidmatan awam yang dikatakan tidak memberikan perhatian kepada kaum India, masalah kuil Hindu yang dirobohkan, pengaruh politik MIC dalam pendakwaan di mahkamah terhadap 31 orang Tamil yang sebelum ini dituduh cuba membunuh dan beratus masalah kaum India mahu tidak mahu perlu dilayani.

Apa terjadi dengan dakwaan terhadap dua mangsa peluru hidup di Batu Burok ?

Apa jadi dengan orang Melayu ? UMNO lebih takut kepada Cina dan India. UMNO sanggup melenyekkan bangsanya sendiri demi survival politik dungu mereka. UMNO sanggup menjadi suami yang zalim dengan bermadukan MCA, MIC dan Gerakan. UMNO sanggup mengganas terhadap isteri pertama dan anak-anaknya.

Mereka sanggup menjadikan politik mengatasi agama dan mengatasi perasaan kasih sayang sesama bangsa mereka. Dalam hal ini, UMNO boleh dan sedangpun menekan bangsa mereka sendiri. Lihat sahaja Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikatakan gagal memartabatkan Melayu. Dasar kroni dan pilih bulu yang diamalkan sejak dahulu lagi, menyusah dan menjadikan bukan sahaja Melayu tetapi lain-lain bangsa mengemis dan merempat.

Adakah kita dapat mencari wakil rakyat UMNO yang terang-terangan membela bangsanya ? Tambahan pula untuk mengharapkan pembelaan belakang tabir adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

UMNO sanggup diperkudakan oleh MCA, MIC dan Gerakan demi mengekalkan kuasa segelintir pemimpin mereka yang hilang pedoman.

Akhirnya bukan sahaja bangsa Melayu akan hilang apa yang masih ada di tangan, bangsa-bangsa lain di Malaysia akan menjadi mangsa UMNO yang rakus kuasa dan yang semakin hilang agendanya.

Apa lagi yang hendak diharapkan kepada UMNO ? Dengan MCA, MIC dan Gerakan di "tanah" Melayupun ia sudah tidak dapat bersuara, jauh sekali untuk meng'angkasa'kan Melayu dengan harapan dan visi palsu.

Wednesday, December 19, 2007

Thursday, December 13, 2007

ISA dan DEB yang gagal dan menindas

Masyarakat Tamil India di Malaysia keliru bilamana mereka cuba mempersoalkan dan menjadikan Islam sebagai ‘kambing hitam’.

Sebenarnya kemiskinan ada di mana-mana. Bukan sahaja di Malaysia tetapi di merata pelusok dunia. Bukan sahaja mencengkam Tamil Malaysia bahkan Cina Malaysia, Melayu Malaysia dan semua keturunan lain di Malaysia.

Pengikut Cina dari parti MCA juga bermasalah. Tetapi orang Cina tersebut masih memendam perasaan.

Jerejak besi pemati suara rakyat

Jerejak besi tidak dapat memadamkan kebangkitan rakyat. Jerejak besi juga tidak dapat mematikan suara rakyat. Dasar Apartheid di Afrika masih membuatkan Nelson Mandela berdiri gah.

Samada bunuh seorang pemuda Melayu atau Tamil, membolehkan Barisan Nasional terus dapat memerintah, adalah satu persoalan lain.

Apa yang pasti, pada setiap kematian pemuda tersebut, akan lahir berpuloh pemuda-pemuda berhatikan singa.

ISAkan semua pemimpin

Tangkap Mat Sabu di bawah ISA, tangkap Lim Kit Siang di bawah ISA, tangkap Anwar Ibrahim, tangkap Uthayakumar, tangkaplah setiap ahli pembangkang, akan berbondong-bondong manusia bersimpati dan menuju kearah golongan tertindas.

Islam yang sebenar memberikan hak kepada rakyatnya termasuk kepada yang bukan Islam.

Islam penindas Hindu ?

Pada saya Hindraf cuba menelanjangkan Samy Vellu dan Abdullah Ahmad di mata dunia. Olehkerana Abdullah seorang Islam, maka Islamnya disimpul dan dilabelkan sebagai penindas penganut Hindu.

Samy Vellu ibarat ayam hitam terbang malam. Licik dan sentiasa terlepas. Bila lagi kaum Tamil akan mengajarnya. Seperti kata Tamilselvan, seorang kawan saya dari Keroh Perak, “Dahulunya Samy dianggap sebagai tuhan masyarakat India di Malaysia”.

Samy sebenarnya gagal memajukan kaumnya. Samy hidup mewah berbanding masyarakatnya menderita. MIC gagal mengagendakan masyarakat India. MIC satu parti tanpa ada pengganti ketuanya sebelum Hindraf muncul untuk mengangkat dirinya sebagai bakal pemimpin kaum Tamil India di Malaysia. Itu yang menjadi masalah kepada Samy dan MIC walaupun pada hemat saya kebanyakkan tuntutan Hindraf dipersetujui Samy dan MIC.

Bagi Samy, tuntutlah apa sahaja, asalkan bukan jawatan dalam MIC.

Kuburkan politik Samy

Samy memperlekehkan bangsanya sendiri. Samy sepatutnya dikuburkan politiknya.

Memenjarakan pemimpin Hindraf bukan peneyelesai masalah. Sepertimana juga memenjarakan Anwar Ibrahim tempohari. Anwar kembali sebagai hero dan sudah pastinya Uthayakumar juga akan kembali kepangkuan bangsanya sebagai hero.

Kita bimbang jika fungsi mahkamah terbiar begitu sahaja dalam kes-kes seperti ini. Kita juga bimbang jika masyarakat bukan Islam menjadikan Abdullah dan Islam Hadharinya sebagai contoh keseluruhan Islam penindas, zalim dan tidakadil.

Abdullah bukan contoh

Sebenarnya Abdullah bukan pemimpin contoh. IPCMC menjadi temberangannya. Peranan menantu dalam pentadbiran negara cuba diselindungkannya. Krisis kehakiman cuba ditutupnya. Seksyen 10 perlembagaan Malaysia membenarkan rakyat menyuarakan pendapat, membenarkan rakyat berhimpun dan berpersatuan tetapi Akta Polis digunakannya untuk mematikan hak-hak tersebut di atas nama, “saya mempunyai telinga yang besar”. Rasuah yang berleluasa. Kenaikkan harga barang tanpa kawalan. Beratus isu lain cuba ditelannya di atas nama cucu ulamak. Apa yang ada pada dirinya untuk dicontohi ?

Dasar Ekonomi Baru diwujudkan untuk keadilan ekonomi dan sosial orang Melayu dan Bumiputra. Berapa kerat orang Melayu yang mendapat kemakmuran dan kebahgiaan dari DEB itu ?

Melayu dari parti pembangkang sudah terkeluar dari senarai ini. Melayu yang menyepikan diri juga terkeluar. Melayu UMNO yang tidak sehaluan dengan pemimpin mereka juga terkeluar dari senarai ini. Melayu yang bukan kroni juga terkeluar. Berapa kerat Melayu sahaja yang mendapat keuntungan DEB ?

Siapa untung dengan DEB

Hindraf sepatutnya tidak mengelirukan penyokongnya hanya kerana gagal atau tidak memahami masalah ketidakseimbangan sosial ini.

Abdullah melalui Islam Hadharinya bukan sahaja menindas dan zalim terhadap kaum Tamil, Cina, Kadazan, Murut dan yang lain, malah bangsanya sendiri terpinggir di atas nama Dasar Ekonomi Baru.

Orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Murut, tunggu apa lagi ?

Saturday, December 1, 2007

PM: I'm aware of complaints

Itulah diantara lain tajuk utama beberapa akhbar perdana pagi ini.

Beberapa orang Tionghua yang ditemui mengatakan, "itu PM bagus. Tengok..." sambil menunjukkan tajuk utama akhbar. "Dia tau punya apa orang tak puas hati. Dia tau orang ada apa susah" kata lelaki berusia 50'an itu.

"Lepas itu Hindraf sudah jalan ramai-ramai, PM cakap dia mau dengar apa orang punya problem" sambung Maniam penjual akhbar.

Selama ini apa yang Abdullah buat ?

Ramai yang beranggapan bahawa kata-kata Abdullah itu adalah sebagai melepaskan batuk ditangga sahaja. Mereka yakin, PM Malaysia itu hanya bercakap dan terus akan bercakap selepas ada ubat baru (demonstrasi) yang ditemui untuk membuka mulutnya. Tidak akan ada apa-apa tindakanpun untuk mengubah nasib rakyat.

Abdullah banyak bergantung kepada budak-budak berhingus dalam politik. Di antara lainnya ialah kepada menantunya sendiri Khairy Jamaludin, budak-budak di tingkat empat seperti kata Tun Mahathir, ketua-ketua media termasuk Timbalan Pengerusi NSTP Kalimullah Hassan yang mangkak politik dan kaum keluarga Abdullah sendiri.

Kelmarin ketika berada di Kota Bharu Kelantan, beberapa orang rakan memberitahu bahawa sudah ada permulaan yang baik dalam perancangan politik diantara Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin dan beberapa tokoh politik veteran untuk berhadapan dengan Abdullah Ahmad yang dikira sebagai PM yang paling kurang upaya dalam sejarah Malaysia.

Tambah orang Tionghua tadi, "dia dengar, dia tau dan dia cakap dia sedar tapi kita banyak heran dia tak boleh bikin apa-apa. Mau cakap dia tidur, dia cakap dia tau. Mau cakap dia bodoh, itu Doktor Mahathir saja tau....."

Kanak-kanak seusia tujuh dan lapan tahun apabila ditanya, siapa Perdana Menteri Malaysia sekarang, mereka menjawab, "Pak Lah kaki lena!"

Apa lagi Abdullah ? Turunlah cara yang terbaik.

Wednesday, November 28, 2007

Abdullah Ahmad, Tinggalkan Peta Politik Malaysia

Sewaktu Khairy Jamaludin, menantu Perdana Menteri Malaysia sekarang, 'menjadi' hero di kalangan mereka dengan menghimpunkan beribu pemuda UMNO untuk menentang kehadiran Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice, tidak ada sesiapa yang bersuara bahawa 'ada orang yang mahukan ISA".

Pada 10 November yang lalu, perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur mendapat tentangan segelintir pemimpin UMNO. Kebanyakkan kepimpinan lain membisu sahaja.

Perhimpunan pada 25 November membuatkan Hindraf dikecam begitu hebat dan sudah kedengaran bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akta dracula yang dipuja oleh pemimpin UMNO dan BN akan digunakan untuk menangani situasi seperti itu.

Saya tidak bercadang untuk mengulas hasrat tersirat Hindraf tetapi biarlah apa-apa perhimpunan secara aman dibenarkan.

Jika ISA akta kesayangan pemimpin BN terus mahu digunakan, biarlah menantu Perdana Menteri menjadi orang pertama yang ditahan di bawah akta tersebut.

Biarlah ketua-ketua media yang memberikan sokongan terhadap perhimpunan yang dianjurkan oleh menantu Abdullah Ahmad itu menjadi orang-orang kedua yang ditahan di bawah ISA.

Mungkin ajaran Islam Hadhari anjuran Abdullah cucu 'ulama' membenarkan penangkapan tanpa bicara.

Sebenarnya Perdana Menteri lupa atau lena. Tuntutan rakyat bukanlah mahukan ISA tetapi rakyat mahu supaya Abdullah Ahmad disingkir secepat mungkin dengan apa cara sekalipun. Mereka tidak mahu bencana politik yang sedang melanda rakyat dan negara berterusan.

Rakyat mahu Abdullah mengikuti rakan sejawatnya dari Australia. Meninggalkan terus peta politik Malaysia.

Friday, November 23, 2007

Mahu apa Adnan Yaakob dan Annuar Musa

Hebat, prihatin dan baik sungguh MB dan Exco Pahang !


Dua exco Pahang tarik diri bida plat CCC 8, CCC 3
23-11-2007

KUANTAN: Dua anggota Exco negeri Pahang yang dilapor membida nombor pendaftaran CCC 8 dan CCC 3 untuk kereta masing-masing bernilai RM62,400 telah menarik diri dari bidaan itu.

....Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ketika membuat bidaan untuk kedua-dua nombor itu, mereka tidak mengetahui harga sebenar nombor terbabit.

Adnan berkata ...Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membida nombor pendaftaran CCC 1 dan CCC 2 masing-masing bernilai RM76,600 dan 37,000.

Beliau berkata laporan itu memberi gambaran negatif kepada Exco kerajaan negeri Pahang seolah-olah mereka mempunyai duit yang banyak. BERNAMA

Inilah dikatakan politik. Semasa Zakaria Md Deros memohon tanah kerajaan dan berjaya memperolehinya, MB Selangor tidak pernah pun menghebohkannya kepada orang ramai.

Baru-baru ini isteri Zakaria pula memohon tanah kerajaan bersebelahan 'istana' mereka. Jika bukan ketua pembangkang di Selangor Teng Chang Khim yang mendedahkannya, tidak ada pemimpin kerajaan yang akan memberitahu kepada rakyat tentang kehebatan ini.

Itu juga terjadi apabila Annuar Musa, Ahli Parlimen Kok Lanas, yang 'bangang politik' di Kelantan berteriak mengatakan bahawa Kelantan tercicir dari segi pembangunan sejak 17 tahun yang lalu.

Siapakah yang memerintah Kelantan sebelum ini ?

Adakah PAS yang mengambilalih pemerintahan selepas BN telah memusnahkan pembangunan dan tamadun di Kelantan ? Itukah yang cuba dimaksudkan oleh Annuar.

Sepatutnya Kelantan sudah maju di bawah pemerintahan sebelum PAS. Pada hemat saya, Annuar sebenarnya irihati dengan kemajuan yang semakin pesat di bawah kepimpinan PAS berbanding di bawah BN.

Teriakkan dan tuduhan Annuar adalah ibarat meludah kelangit yang akhirnya memalukan diri mereka sendiri.

Itupun jika orang macam Annuar ada perasaan malu.

Sudahlah skandal peruntukan bantuan PPRT di Kelantan tiada penghujung, kini Annuar cuba mempamerkan dirinya sebagai sutera putih.

Adnan Yaakob mahu apa dengan pendedahan pembidaan CCC 8 dan CCC 3 itu ?

Sudahlah Adnan !

Thursday, November 22, 2007

Wartawan anjing, Hospital membunuh ?


Wartawan anjing di Tawar, Baling Kedah.
Siapa betul ? Wartawan atau Polis?

Lagi kematian yang disifatkan sebagai boleh dielakkan di hospital. Kini di Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang pula.

Kematian adik Subashini, masyarakat India berpiket di hadapan hospital

Mohd Sabri Said
Thu | Nov 22, 07 | 9:38:21 am MYT

PERMATANG PAUH, 22 Nov (Hrkh) - Seramai 70 orang masyarakat India yang diketuai oleh aktivis sosial Alternatif Action Team (NGO), Kalai Vanar mengadakan piket aman semalam di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) menuntut Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan hospital yang lalai menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan kematian.


Lagi-lagi hospital. Apa sudah jadi. Lihat di sini.

Tuesday, November 20, 2007

Usah dibeza PM Malaysia dan Presiden Iran


Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad tidak perlu dibeza atau dibandingkan dengan mana-mana pemimpin dunia lebih-lebih lagi dengan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadenijad.

Masing-masing ada gaya pemerintahan tersendiri.

Ahmadenijad tidak suka kepada pembaziran. Presiden Iran itu tidak terlibat dalam apa-apa kejadian memegang atau menyentuh wanita. Pejabatnya dikatakan tidak memerlukan protokol ketat yang menyusahkan bukan sahaja menterinya malah menyusahkan orang ramai untuk bertemu dengannya.

Pemimpin Iran itu juga dikatakan enggan menggunakan jet mahal untuk kegunaaannya. Beliau lebih suka kepada kesederhanaan. Malah memadai baginya memiliki sebuah kenderaan lama dan rumah peninggalan bapanya seorang tukang besi.

Perlantikkan menterinya bersyarat. Sebagai pemimpin kepada umat Islam di Iran, beliau mahu ketelusan dalam pentadbirannya . Pengistiharan harta penjawat awamnya, terutama sekali oleh menterinya adalah wajib.

Bukan sahaja beliau tidak mahu 'tanggungjawab bersama' kepada rakyat diabaikan, namun baginya amanah daripada Allah swt adalah sesuatu yang sangat berat untuk diuruskan. Beliau tidak mahu dirinya dan menterinya terlibat dalam rasuah, tidak merompak harta negara, tidak menjadikan hak awam sebagai hak persendirian, tidak melulus dan menganugerahkan khazanah negara untuk anak,menantu dan kroni mereka.

Mahmoud sentiasa memikirkan bagaimana mahu memartabatkan rakyatnya. Bagaimana rakyatnya dapat hidup dalam suasana seorang hamba yang taat kepada penciptanya. Bukan menjadikan rakyatnya hamba dan fakir kepada satu sistem yang ketinggalan.

Berbeza sungguh Mahmoud dan PM Malaysia. Bagai langit dan bumi.

Di Malaysia, tidak perlu mengistiharkan harta bukan sahaja oleh PMnya tetapi juga oleh anak, menantu dan kabinetnya.

Satu ketika dahulu, menantunya Khairy Jamaluddin menjadi pegawai peribadi merangkap ketua protokol di Jabatan Perdana Menteri. Sesiapa sahaja yang ingin berjumpa mertuanya mestilah melalui KJ. Ibarat JPM sebagai rumah milik keluarga anak dan cucu ulama.

Dikatakan, akibat teguran Rais Yatim tentang cakap-cakap berlakunya conflict of interest, KJ melepaskan jawatan tersebut.

Sebenarnya, untuk menulis dan membandingkan dua tokoh ini, membuatkan timbul rasa malu.

Apa tidaknya. Dunia Islam mengamanahkan Malaysia menggerakkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tetapi masyarakat antarabangsa baru sedar bahawa pengerusinya kaki tidur.

Untuk mengayuh Malaysia sahaja dalam jangkamasa empat tahun, beliau sudah menjadi kurang upaya. Bagaiamana pula mahu memandu 57 negara di dalam OIC yang sudah berumur 38 tahun ?

Tempoh jawatan Malaysia sebagai pengerusi OIC sangat-sangat merugikan umat Islam.

Bagi mereka yang menaruh harapan yang tinggi kepada PM Malaysia, usahlah membuang masa memikirkan apakah perubahan yang akan dan boleh dilakukannya.

Fikirlah, apakah cara yang ada untuk menggayang dan menyahkannya dari politik negara ini supaya kemusnahan yang sedang beliau, anak, menantu dan kroni lakukan, tidak membuatkan rakyat Malaysia hilang terus maruah mereka dan hilang pula bumi yang dipijak.

Ramai yang ketawakan MIC kerana tidak mempunyai pemimpin pelapis. Kini Malaysia pula diketawakan kerana tiada pelapis yang boleh menggantikan Abdullah Ahmad.