Thursday, December 20, 2007

UMNO ibarat suami yang zalim

Pemimpin dalam parti politik UMNO hanya pandai bercakap, menggertak dan menekan bangsanya sahaja. Jika tidak mendesak, mereka hanya akan mendiamkan diri melihat bangsa mereka menjadi hamba politik di Malaysia. Samada dihambakan oleh UMNO atau oleh sistem dan dasar yang diwujudkan.

Lihat kes Zahid Hamidi, Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir, Rais Yatim dan berpuloh lagi. Mereka adalah sekadar beberapa bekas orang kuat dalam UMNO sendiri yang pernah melawan arus. Lanjutan melawan arus, pemimpin dalam UMNO yang masih 'ada gigi' dan dari golongan penyokong membabi buta, menghentam golongan ini seolah-olah Melayu jenis melawan arus tidak berguna dan perlu dikembalikan kealam lain.

Lain pula dengan keturunan Cina dan India. Lihat sahaja isu bahasa di sekolah Cina. Bukan sahaja mereka yang di dalam MCA tetapi yang berada di dalam parti Gerakan, DAP dan NGOnya bersatu membela bahasa ibunda mereka. Malah mereka sanggup melakukan apa sahaja jika kerajaan di bawah BN yang berketuakan pemimpin-pemimpin yang lembik tidak mendengar dan memenuhi pandangan dan tuntutan mereka.

Begitu juga dengan kaum India. Samy Vellu yang bermasalah dan gagal menangani masalah kaumnya, akhirnya kelihatan bersetuju dengan cadangan dan pandangan Hindraf.

Kerajaan di bawah pemimpin yang bertonggakkan ketua dari UMNO terpaksa akur dengan pelbagai tuntutan kaum India sekarang. Menubuhkan jabatan yang menjaga hal ehwal orang bukan Islam, perkhidmatan awam yang dikatakan tidak memberikan perhatian kepada kaum India, masalah kuil Hindu yang dirobohkan, pengaruh politik MIC dalam pendakwaan di mahkamah terhadap 31 orang Tamil yang sebelum ini dituduh cuba membunuh dan beratus masalah kaum India mahu tidak mahu perlu dilayani.

Apa terjadi dengan dakwaan terhadap dua mangsa peluru hidup di Batu Burok ?

Apa jadi dengan orang Melayu ? UMNO lebih takut kepada Cina dan India. UMNO sanggup melenyekkan bangsanya sendiri demi survival politik dungu mereka. UMNO sanggup menjadi suami yang zalim dengan bermadukan MCA, MIC dan Gerakan. UMNO sanggup mengganas terhadap isteri pertama dan anak-anaknya.

Mereka sanggup menjadikan politik mengatasi agama dan mengatasi perasaan kasih sayang sesama bangsa mereka. Dalam hal ini, UMNO boleh dan sedangpun menekan bangsa mereka sendiri. Lihat sahaja Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikatakan gagal memartabatkan Melayu. Dasar kroni dan pilih bulu yang diamalkan sejak dahulu lagi, menyusah dan menjadikan bukan sahaja Melayu tetapi lain-lain bangsa mengemis dan merempat.

Adakah kita dapat mencari wakil rakyat UMNO yang terang-terangan membela bangsanya ? Tambahan pula untuk mengharapkan pembelaan belakang tabir adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

UMNO sanggup diperkudakan oleh MCA, MIC dan Gerakan demi mengekalkan kuasa segelintir pemimpin mereka yang hilang pedoman.

Akhirnya bukan sahaja bangsa Melayu akan hilang apa yang masih ada di tangan, bangsa-bangsa lain di Malaysia akan menjadi mangsa UMNO yang rakus kuasa dan yang semakin hilang agendanya.

Apa lagi yang hendak diharapkan kepada UMNO ? Dengan MCA, MIC dan Gerakan di "tanah" Melayupun ia sudah tidak dapat bersuara, jauh sekali untuk meng'angkasa'kan Melayu dengan harapan dan visi palsu.

No comments: