Wednesday, May 30, 2007

Muktamad Di Mahkamah - Kes Azlina Jailani

Lina Joy

Azlina Jailani wanita yang menganut agama Kristian pada tahun 1988 berusia 26 tahun ketika itu. Berkahwin dengan pemuda berlainan agama dengan agama keluarganya, Islam. Isu ini menjadi kontroversi sejak tahun 1999 setelah Azlina memfailkan kesnya di mahkamah.

Pada hari ini Mahkamah Persekutuan Putrajaya telah membuat keputusan mengenai permohonannya.

Bagi yang mempunyai kefahaman ad-deen- Alhamdulillah.




Perbincangan Iran dan USA Selepas 1980

Selepas 27 tahun, perbincangan pertama pada peringkat tinggi diadakan terus diantara Iran dan Amerika Syarikat. Duta Amerika di Iraq, Ryan Crocker bertemu rakan sejawatnya dari Iran Hassan Kazemi-Qomi di zon hijau di Baghdad membincangkan keselamatan Iraq.

Tuesday, May 29, 2007

Majlis Peguam Malaysia : Berapa Ahli Yang Dipenjara ?

Kita menyokong NGO (Badan Kebajikan Sukarela) dan pressure group (kumpulan pendesak) memainkan peranan menegakkan nilai-nilai demokrasi di Malaysia. Kita juga menyokong Majlis Peguam (MP) memainkan peranan aktif membangkitkan isu-isu awam dan mengenakan tekanan terhadap kerajaan dalam hal-hal sebegini. Namun, kita tidak dapat menerima alasan MP apabila mereka memberitahu kepada masyarakat Malaysia bahawa MP tidak mempunyai kuasa mengenakan tindakan terhadap ahli-ahlinya yang menipu dan memecah undang-undang.


KUALA LUMPUR, May 27 (Bernama) -- Bar Council Vice-President Ragunath Kesavan said no action can be taken against the errant lawyers on a police wanted list for alleged criminal breach of trust as they have been struck off the roll of legal practitioners, had quit the profession or did not renew their practising certificates.


Bilakah pelanggan mula ditipu oleh ahli Majlis Peguam ? . Semasa bekerja atau selepas berhenti kerja. Semasa masih dalam pejabat atau sesudah pejabat mereka 'bungkus'. Kenapa terlalu lama masa diambil oleh MP untuk melakukan siasatan ? Kenapa MP tidak menghebahkan perkara ini dan tidak melaporkan kepada pihak Polis?


Seperti mereka sahaja yang mengetahui dan pihak lain adalah dungu undang-undang. Sebagai organisasi yang dipimpin oleh manusia, MP juga mempunyai banyak masalah dalaman.


Kelemahan peguam atau MP ?


Apa tidaknya. Pengalaman melaporkan kes seorang peguam yang saya kira cuba menipu ibu saya sendiri. Kes ini telah saya laporkan kepada MP hanya setelah ibu saya meninggal dunia kerana pada waktu itu saya dilantik memegang kuasa pentadbiran pesaka keluarga. Saya tidak pasti samada MP sekarang sama seperti MP dahulu atau ianya sudah lebih cekap dan bermutu. Ibu saya berurusan dengan peguam berkenaan hampir 22 tahun lamanya. Kesnya cuma adalah untuk memindahmilikkan nama di geran tanah. Setiap kali ibu saya ke pejabat peguam itu untuk bertanyakan khabar, yuran perkhidmatan akan dikenakan. Kerjanya tidak juga berganjak .


Apa tindakan MP selepas aduan saya ? Mereka menghantar surat kepada peguam berkenaan dan meminta penjelasan. Surat itu disalinankan kepada saya. Seolah-olah memberikan peluang kepada ahlinya untuk bersedia dengan apa-apa yang boleh, menukar dan merancang apa-apa tindakan pembetulan yang perlu. Itu yang saya anggap dalam kes saya.


Kenapa ? Mereka tidak bertindak pantas seperti yang mereka mahu kepantasan dari pihak lain. Seperti kepantasan yang mereka desak dari kerajaan . Seperti yang mereka mahu Badan Pencegah Rasuah pantas menjejaki segala aduan dan bukti. Seperti yang mereka teriak sebelum ini seolah-olah teriakkan ‘malaikat’.


Apabila peguam berkenaan mengetahui bahawa aduan ada difailkan terhadapnya oleh saya, maka mulalah ia mengembalikan satu persatu dokumen-dokumen yang ibu saya pernah serahkan kepadanya dengan memberikan alasan "seperti yang tuan minta”. Sedangkan saya tidak pernah meminta apa-apa dokumen darinya. Apa yang saya mendesak dan ingatkan kepada peguam ini adalah, saya mahu kes saya segera diselesaikan . 22 tahun bukan satu masa yang singkat. Jika isteri peguam itu melahirkan anak, sudah tentu anak itu telah tamat pengajian peringkat ijazahnya.


Adakah kita diminta untuk mempercayai bahawa MP tidak menerima aduan dan tidak mengetahui bahawa ahlinya menipu semasa mereka masih bekerja dan membuka pejabat. Apakah tindakan mereka ketika itu. Kenapa sampai ahli mereka tutup pejabat dan kenapa setelah pihak PDRM membongkarkan masalah mereka ini baru ada tindakbalas memaklumkan kepada masyarakat.


Majlis peguam perlu memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap badan itu. Saya kira sudah lama mereka mengetahui kepincangan dalaman mereka. Takkanlah KLCC di depan mata mereka tidak nampak tetapi pejabat buruk peguam di Baling Kedah kelihatan dari KL. Mereka boleh nampak penyelewangan Polis, mereka nampak ketidakcekapan BPR, mereka nampak kerajaan tidak betul dalam hal kebebasan agama, mereka boleh nampak indeks rasuah, mereka tahu tribunal yang membicarakan Tun Salleh Abbas tidak mengikut peraturan, kempen kesedaran tentang salahlaku polis, mendesak penubuhan IPCMC, tahu kepincangan kerajaan tempatan, kelembapan agensi kerajaan, memberikan pandangan tentang 'sexist remarks unconstitutional', masalah pertukaran agama, malah mereka seperti superior dalam hal orang lain – tetapi ahlinya yang menyeleweng, mereka kelihatan seperti bisu, pekak dan buta. Adakah mereka menjadi organisasi cacat apabila melibatkan ahli MP?


Dalam kes ibu saya, sudahlah masa 22 tahun diambil, mahkamah disalahkan apabila pertanyaan bertubi-tubi saya gagal dijawab secara sempurna oleh peguam tersebut. Saya kemudiannya menulis kepada Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan untuk mendapatkan penjelasan. Apa yang mengejutkan saya ialah, surat Pendaftar Mahkamah dengan jelas mengkhilafkan peguam ini.


Hampir RM7000.00 wang ibu saya yang di’mentakedarah’nya juga tidak dikembalikan.


MP kemudiannya menutup kes dengan alasan tiada apa-apa bukti tentang penyelewengan peguam ini. Apa yang MP siasat ?


Kes ini sudah lama. Sudah berada di dalam lipatan sejarah. Biarlah ibu saya dipekenakan oleh peguam ini. Saya tidak mahu orang lain menjadi mangsa. Saya ingin mencadangkan beberapa perkara kepada MP supaya penipuan seperti ini boleh dielakkan. Diantaranya:


  1. Semasa persetujuan perlantikkan peguam, klien hendaklah dimaklumkan secara bertulis, berapakah anggaran kos khidmat peguam sehingga kes berkenaan selesai. Boleh dikatakan 85% kes sudah boleh di’baca’ perbelanjaannya. Jika ada perubahan kos, hendaklah dinyatakan secara bertulis kemudiannya.
  2. Klien hendaklah dimaklumkan secara hitam putih, jangkaan berapa lama sesuatu kes dapat diselesaikan. Memang kita tahu ianya tidak objektif dan jika ditanya MP - ianya sukar dilaksanakan kerana bergantung kepada banyak pihak. Tetapi hendaklah ada satu panduan mengenainya sepertimana amalan peguam secara lisan selama ini yang menjanjikan masa jangkaan sesuatu kes dapat diselesaikan
  3. Sebab atau kenapa sesuatu kes diubah atau ditetap kepada tarikh lain di mahkamah hendaklah dimaklumkan secara hitam putih kepada klien dengan nota ringkas. Selalunya peguam menyalahkan pihak lain termasuk mahkamah, pegawai pendakwa, menyalahkan peguam defendant, saksi-saksi, jawapan dari agensi kerajaan , klien sendiri dan sebagainya.
  4. Apa-apa bayaran yang dibuat hendaklah dikeluarkan resit beserta dengan maksud bayarannya. Contoh: khidmat peguam, wang stem, bayaran kaveat, bayaran daftar di mahkamah dan lain-lain lagi. Amalan sekarang – ada yang tidak nyatakan dan kemudiannya meminta wang dengan memaklumkan kepada klien bahawa wang tambahan ini tidak termasuk dalam perjanjian awal.
  5. Selepas aduan di buat kepada MP, mereka hendaklah menghantar wakil ke pejabat peguam dengan serta merta. Photostat segala dokumen dan minit yang terdapat di dalam fail tersebut. Bantuan MP negeri boleh diminta. ( dalam kes saya langsung tidak ada) . Kemudian tunggu maklum balas peguam tersebut . Semata-mata meminta peguam memberikan laporan, maka senang banyaklah dia mengubah segala nota, catitan, surat menyurat, dokumen dan sebagainya. Dikembalikan dokumen melalui kawan dan dipos kepada saya dengan alasan “seperti yang diminta tuan”. Sehinggakan ada yang tarikhnya dikebelakangkan.
  6. Dalam hal klien yang berkesempitan wang untuk membuka fail aduan atau kes ke mahkamah terhadap peguam semasanya, MP hendaklah memberi kemudahan peguam sukarela dengan dikenakan bayaran minima atau bayaran pendaftaran sahaja dan sebagainya. Ini merupakan tanggungjawab sosial MP. Jangan hanya mengira keuntungan sahaja. Gantirugi akibat penipuan ahli MP hendaklah dibayar oleh persatuan yang mereka naungi.
  7. Saya kira jawatankuasa siasatan MP hendaklah juga terdiri dari orang awam yang ada pengetahuan undang-undang. Membiarkan MP dengan ahlinya sahaja menjalankan inquiry dalaman adalah tidak adil langsung.
  8. Dedahkan nama peguam yang pertama kali menipu. Membiarkan mereka menelan seorang demi seorang pelanggan merupakan satu tindakan tidak demokratik. Ada peguam ternama sangat gembira dengan laporan media terhadap lawannya walaupun ianya kes pertama kali berlaku. Apa salahnya ?

Ketelusan MP dalam memberikan statistik dan nama ahlinya sejak 15 tahun kebelakangan ini yang digantung kerja, dibuang kerja dan dipenjarakan adalah sangat-sangat diharapkan.


Peguam yang diadukan, bukan sahaja akaun mereka dibekukan, nama dan alamat mereka disiarkan secara besar-besaran, digantung kehadiran mereka ke mahkamah dan dalam apa jua urusan guaman, dirampas harta sejumlah penipuan mereka, tetapi juga mereka hendaklah didakwa dan dipenjarakan. Mereka ini laksana , "harapkan pagar, pagar makan padi dan seperti haruan makan anak".

Dabik dada mereka sebagai bijak undang-undang hendaklah dikendurkan. Selepas itu sahaja MP boleh menghirup angin demokrasi tulin dan bangga sepenuhnya dengan keluhuran undang-undang yang diperjuangkannya selama ini.

Monday, May 28, 2007

Jenayah Dan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Di Malaysia

Anak jiran anda yang berusia di bawah 18 tahun ditahan pihak Polis kerana terlibat dengan jenayah ? Atau adakah kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut diabaikan atau didera ? Adakah kanak-kanak berkenaan sedang didorong untuk melakukan apa-apa perbuatan seksual ?


Ramai yang tidak tahu tentang adanya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di Malaysia. Mahkamah ini diwujudkan selari dengan peruntukkan seksyen 11 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Akta ini terpakai di seluruh Malaysia. Dahulunya mahkamah ini dikenali dengan nama Mahkamah Juvana.


Kanak-kanak mengikut definisi akta ini adalah mereka yang di bawah usia 18 tahun. Bidangkuasa mahkamah ini adalah untuk mendengar, memutuskan dan membereskan apa-apa pertuduhan terhadap seorang kanak-kanak kecuali kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman mati. Dalam ertikata lain, kes yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan dan kes-kes yang memerlukan perlindungan dan pemulihan akan melibatkan akta ini.


Keahlian mahkamah ini terdiri dari seorang majistret kelas pertama dengan dibantu oleh dua orang penasihat. Pegawai Kebajikan Masyarakat hadir dalam prosiding di mahkamah kanak-kanak untuk memberikan apa-apa syor kepada mahkamah tentang kepentingan dan masa hadapan seorang kanak-kanak yang dipertuduhkan.


Mahkamah akan dikendalikan secara tertutup dengan kehadiran Majistret, penasihat, kanak-kanak, keluarganya, Pegawai Kebajikan Masyarakat, Pegawai Pendakwa, peguam jika ada, saksi-saksi dan mana-mana pihak yang dibenarkan.


Laporan dan penyiaran media tentang pendedahan identiti kanak-kanak adalah dilarang sama sekali kecuali di atas permintaan Pegawai Pelindung dari Jabatan Kebajikan Masyarakat menurut seksyen 15(3) akta berkenaan. Mana-mana pelanggaran tentang seksyen ini jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.


Apa-apa perintah yang dibuat oleh mahkamah ini tidak akan dicatitkan sebagai rekod jenayah. Menurut seksyen 95 akta ini, di atas apa-apa kekhilafan atau terkilannya pihak-pihak yang terlibat dengan perintah dari mahkamah ini boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi.


Apa-apa keterangan lanjut tentang Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang terdapat dikebanyakkan daerah di Malaysia boleh diperolehi di sini.

Saturday, May 26, 2007

Debat Dua Budak Oxford - Bila Lagi ?


Inilah masanya bagi 'menantu negara' KJ menerima cabaran penasihat ekonomi Lim Kit Siang, Tony Pua. Bukan semata-mata untuk survival politik mereka tetapi juga untuk membuktikan apa yang didakwa itu ada kebenaran dari segi fakta. Apa kata budak Oxford pertama ? Jangan baling batu dan sorok tangan.

Pejabat ini agaknya boleh dijadikan gelanggang jika mahu.

Friday, May 25, 2007

Nasi Mamak : Turun Harga 30%

Akhbar hari ini menyiarkan restoran nasi kandar ini tak akan menaikkan harga dalam tempoh lima tahun lagi.
Jika dibandingkan, harganya masih tinggi..... Tidak naik lima tahun lagi pun tidak mengapa. Sudah untung berlipat ganda.

Lihat di bawah - Sedutan laporan dari alkerohi pada 26 April 2007.

Thursday, April 26, 2007

Nasi Mamak : Ibarat Makan Keringat Orang

TIADA PEMANTUAN DARI AGENSI BERKENAAN

........Bezakan harganya. Nasi sepinggan RM1.00, ayam seketul RM4.00, teh-o ais segelas RM1.60, roti telur RM2.00 , murtabak RM7.00 dan ais kosong RM0.30 sen. Harga di kedai lain. Nasi RM0.60, ayam RM2.50-RM3.00, teh-o ais RM1.00, roti telur RM1.20 dan murtabak RM2.50-RM3.00.

Jabatan Kastam Malaysia pula mengistiharkan cukai perkhidmatan 5% mulai 1 September 2005 dan ini menaikkan ‘lemak' tuan punya kedai mamak. Kenapa kenaikkan di kedai mamak sahaja ? Ibarat “makan keringat orang”. Apabila ditanya senarai harga barangan (tidak dipamerkan - diletakkan di atas meja sahaja ) pekerja-pekerja di kedai mamak mengangguk dan menggeleng sahaja. Rupa-rupanya tidak mengerti bahasa di sini.

Sudahlah ketulinan pekerjanya tidak diketahui, kebersihannya pula meragukan. Ditambah pula dengan kenaikkan harga tanpa pemantauan agensi kerajaan. Dengan tiada kenaikkan harga beras, harga ayam, harga tepung, harga telur dan lain-lain lagi, kenaikkan harga makanan di kedai mamak menjadikan pengguna di Malaysia umpama pisau di tangan kanan, timun pula di tangan kiri.



Wednesday, May 23, 2007

Samy Vellu Ibarat 'Ayam Hitam Terbang Malam'

Kebalkah Samy Vellu Sangalimuthu ?


Bila Sayonara


Samy satu nama lama dalam arena politik di Malaysia. Kini Menteri Kerjaraya ini berusia 71 tahun. Mengambilalih jawatan Presiden MIC selepas kematian Tan Sri V Manickavasagam pada tahun 1979. Sudah 28 tahun – masih memeluk jawatan itu dan tidak nampak apa-apa isyarat bahawa Samy akan meninggalkannya sepertimana rakan sezamannya yang sudah berundur. Ling Liong Sik, Tun Dr Mahathir dan Lim Keng Yaik sudah melafazkan sayonara.


Kluang Man


Ramai yang berpendapat, ‘Kluang Man’ yang berasal dari Johor ini sangat kebal kerana tidak ada sesiapa yang berani menyentuh kredibilitinya walaupun bermacam-macam skandal, tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.
Rentetan peristiwa saham MAIKA yang jadikan isu oleh golongan India Malaysia, masalah kulat di Hospital Sultanah Aminah Johor, keretakkan lingkaran MRR2, lebuhraya Ampang, pertelingkahannya dengan Pandithan, permusuhan terbukanya dengan S Subramaniam bekas orang nombor dua MIC, kelewatan siapnya Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star, kebocoran pejabat Imigresen di Putrajaya, isu Parlimen bocor, pendiriannya yang sentiasa menyebelahi kontraktor berbanding rakyat sebagai pengguna, kedegilannya yang masih mahukan V Saravanan di Kedah, isu lebuhraya timur ke Terengganu, isu Nanban dan Subra, isu bayaran tempat letak kereta di Batu Caves, isu kediamannya, isu EPU-JPM dan kenaikkan harga tol dan berpuluh isu lain.


Handset Samy Rosak


Malah Samy pernah dengan bangganya memberikan nombor talian tangannya supaya masyarakat dapat melaporkan terus apa-apa aduan kepadanya. Akhirnya menyalahkan handsetnya yang rosak kerana terlalu banyak menerima pesanan SMS.


Samy Menuding Jari


Samy didapati tidak habis-habis menuding jari kepada pihak lain. Malah bekas bossnya, Tun Dr Mahathir juga didakwa menjadi sasarannya walaupun Samy menafikannya.


Adakah masyarakat India tidak mempunyai pemimpin pelapis ? Jika ya, mereka patut berasa malu. Sejak tahun 1979 mereka seperti tiada pilihan. MIC parti milik siapa ?


Malah dalam isu sekolah Tamil, Samy mampu menyalahkan kerajaan Barisan Nasional dengan berkata "How do you expect people like that to build schools? Furthermore, education is the government’s responsibility."


NST Tersungkur Di hadapan Samy?


Kumpulan media NST juga pernah kelihatan cuba mendedahkan kelemahan Samy. Isu MRR2 dibawa ke Parlimen dengan disokong kuat oleh Shahrir Samad. Kritikan dan hentaman dibuat bukan sahaja dengan sokongan Ketua Pengarang NST ketika itu, Kalimullah Hassan tetapi dengan sokongan kuat Khairy Jamaluddin. Akhirnya mereka didapati tersungkur di hadapan Samy.


Isunya - adakah Samy seperti belut ?. Sentiasa terlepas dan bersih?. “Saya telah dibersihkan oleh BPR” megah Samy.


Samy Ibarat Ayam Hitam Terbang Malam ?


Berapa lama lagi UMNO dan Barisan Nasional sanggup menonton gelagat Samy ? Immunity apa yang ada padanya ? Di pentas politik Malaysia, Samy ibarat ‘ayam hitam terbang malam’.




Monday, May 21, 2007

Kakitangan Perkhidmatan Awam Perlu Bermutu

Bangunlah

Berita gembira buat kakitangan perkhidmatan awam.
Siang tadi Perdana Menteri mengumumkan kenaikkan gaji 7.5% hingga 42% yang berkuatkuasa mulai Julai 2007. Kenaikkan ini termasuk gaji bagi Angkatan Tentera dan Polis. Perbelanjaan tambahan sejumlah RM6.8 billion diperuntukkan bagi tujuan ini. Kadar pemberian Cola juga dinaikkan 100%.


Syabas diucapkan kepada Presiden baru CUEPACS, Hj Omar Osman kerana berjaya memecahkan kebuntuan berbelas tahun tuntutan kesatuan sekerja. "Terimakasih kepada kerajaan" kata Hj Omar Osman menyambut pengumuman tersebut.
Kepada Menteri dan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna - anda perlu bangun dari tidur. Jika tidak, apalah makna kenaikkan gaji tersebut. Bukan sahaja kakitangan awam tetapi juga masyarakat kampung akan menderita dengan lebih teruk.

Dengan ganjaran ini, masyarakat sangat-sangat mengharapkan agar kakitangan kerajaan dapat mempertingkatkan sistem penyampaian dan mutu perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih cekap dan berkesan.

Saturday, May 19, 2007

Jika Shahrizat Di tempat Fong Po Kuan


Mohon Maaf ? Kat Sapa ?

Badut Parlimen Malaysia akhirnya memohon maaf. Kepada siapa ? Ibarat orang lain yang dirogol, kepada seluruh wanita diminta maaf. Mangsa rogol dibiarkan.
Dalam berita ini bukan begitukah khabarnya ? Jika Shahrizat di tempat Fong Po Kuan, nescaya melompatlah segala JKKKK cawangan sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

Kehormatan sibadut berdua akan melonjak jika maaf dipohon bukan sahaja kepada seluruh wanita tetapi yang paling utama adalah kepada mangsa 'gangguan seksual' di Parlimen.

Tidak malukah Islam Hadhari kepada penganut Islam dan penganut pelbagai agama di Malaysia ?

Friday, May 18, 2007

Harga Barang Naik, Hisap Darah Malaysia

Biasa isteri Datuk Mohd Shafie Apdal, Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata bahawa suaminya sebelum masuk politik dulu suka berpidato di hadapan cermin. Mungkinkah ia mahu petah bercakap seperti Sukarno ? Atau mungkin mahu tahu apa orang lain melihat dan menilai tentang dirinya ? Biarkan . Itu dulu. Sekarang Shafie pemantau kerenah kepenggunaan. Perlu berpidato dan berhujjah dua pihak. Tidak lagi dengan bayangan wajahnya.


Harga petrol naik, tepung naik, minyak masak naik, tambang bas naik, tarif elektrik naik, air naik, telefon naik, pos naik, tambang haji naik, tol naik, harga daging, ikan, cabai dan banyak lagi yang naik. Indeks komposit pun turut naik.


Sudah menjadi adat di Malaysia , selepas sahaja kenaikkan gaji , harga barang turut naik. Hari ini gaji kakitangan awam belum naik tetapi harga barang sudah naik. Trend baru ini akan menjadi adat kerana menteri berkenaan dan kementeriannya tidak ada mekanisma pemantauan kenaikkan harga barang.

Harga tepung naik kerana bahan tersebut diimport dari Amerika . Kos bahan di sana naik dan kita perlu menerima hakikat kenaikkannya di sini. Harga petrol naik kerana harga pasaran dunia naik walaupun Malaysia sebuah negara pengeluar minyak dengan keuntungan tahunan berpuluh billion. Harga petrol di pasaran dunia turun tetapi di Malaysia masih kekal.


Menteri Rafidah Aziz pernah menyarankan , bila harga susu naik, kita boikot membeli susu. Bila harga pakaian naik, bila tarif elektrik naik, bila tarif air naik, bila harga makanan naik, bila harga ubat naik, apa pula idea dan saranan Rafidah ?


Lihat perangkaan Baitul Mal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pemohon bantuan kewangan jabatan berkenaan semakin bertambah atau berkurang ?


Indeks Komposit melonjak melebihi 1300 mata . Nilai seunit saham masih seperti tahun 1997. Apa yang rakyat Malaysia perolehi ? Selesakah ekonomi Malaysia ?


Shafie Apdal dan menteri lain perlu berdiri semula di hadapan cermin . Jangan fikirkan tentang tanggapan masyarakat terhadap diri anda. Fikirkan jika cermin itu boleh bersuara, nescaya dia akan mengatakan anda tidak mampu mengawal kenaikkan harga barangan, anda bijak bermain kata-kata, anda bersandiwara dan “anda penghisap darah rakyat Malaysia”.