Tuesday, July 31, 2007

Bodoh, Monkey dan Goblok


Siapa Mereka Bertiga Ini ? Memperkenalkan, dari kiri:

1.Bodoh Bodoh Bodoh

2.Monkey Monkey Monkey

3.Goblok Goblok Goblok

Tiga kanak-kanak nakal ? Tiga juvana ? Tiga orang dewasa yang belum mumaiyyiz ? Dari Umphh!No atau Umm!No.

Diambil dari mob1900.blogspot.com/

Sunday, July 29, 2007

Hang ampunkan aku, aku terimakasih kat hang


Musa Hassan berterimakasih kepada BPR. Zulkifli pun terimakasih kepada Musa. PDRM juga tak lupa terimakasih kepada BPR. BPR pun apa lagi, terimakasih kepada PDRM. Johari Baharom gembira dan terimakasihkan BPR. Balik-balik luar negeri, Pak Lah besaq hati, terimakasih dan ucap tahniah kepada Johari, PDRM, BPR, Musa Hassan dan Zulkifli.

Katanya selesailah semuanya. Jangan sapa-sapa dok ungkit lagi.

Posa dekat dah. Tak lama lagi nak raya. Bermaaf-maafanlah. Jika ada silap dan salah, hang ampunkan aku, aku ampunkan hang. Selesailah, 0-0.

Seronok tengok depa. Lagu tu la....

Takdak apa. 0-0. Hampa yang dok baca ni, jangan lagi mengata. Nganga bagi besaq-besaq...

Sapa pula nak terimakasih kat Gani Patail ?

Saturday, July 28, 2007

Virus menyerang, undang-undang negara tidak jalan

Semuanya tak jalan. Virus apa menjangkiti sistem perundangan negara. Huru-hara akan jadinya jika tidak dapat di'detect' (kesan). Ibarat CPU yang dijangkiti virus. Habis tunggang-langgang segala fail di dalamnya. Silap-silap habis terpadam semua yang mendiaminya.

Virusnya kebal-kebal belaka.

Virus Rahim Tamby Chik, virus Samy Vellu, virus ECM Libra, virus penganiayaan Tun Salleh Abbas, virus Eric Chia, virus Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan virus bekas Ketua Pengarah BPR, Dato' Seri Zulkifli Mat Noor dan bermacam-macam virus berprofail tinggi akhirnya seperti diserang sakit jantung, membuatkan virusnya bukan mati mengejut tetapi 'hilang ditutup mengejut".

Semua pakar software dan hardware seolah-olah gagal dan hilang kawalan untuk mencari puncanya . Apalagi pengguna biasa - iaitu pengguna komputer dari kampung. Jadinya, seperti tetikus dilenyek besi.

Friday, July 27, 2007

Sapa pelaghi anak pompan sapa

Apa ?

Jadi, kenapa pula heboh sangat.

Kasihan Mike Tyson. Dia cuba menyerang Malaysia Today, akhirnya segala tak ketentuan peribadinya pula dijadikan bacaan umum.

Orang kampung Kepala Batas Pulau Pinang terkejut dan berkata, "takkanlah pula Muhammad tu lagu tu. Bawa laghi puteri sultan? Nama Muhammad. Aiihh..dak kot. Depa silap oghang tu. Ada duit berjuta tapi nak bayak hutang RM80.000.00 kepada kerajaan takdak duit? Nuat (Anwar Ibrahim) pi tulong dia. Ehh!! Mak Long tak caya eh. Takkan menteghi besaq lagu tu".

"Tok Guru takdak kes seropa tuka. Hampa besa dengaq ka tok guru bawa pelaghi duit apalagi anak pompuan. Allahhuakbar.... aku penin" kata Mak Leha, 93 tahun bekas penyokong kuat BN dari Pokok Machang, Pulau Pinang.

Wednesday, July 25, 2007

Akta Kanak-Kanak 2001 tidak tentukan perintah

Akta Kanak-Kanak 2001 tidak menentukan bentuk perintah terhadap kesalahan kanak-kanak?

PUTRAJAYA 25 Julai - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan membebaskan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati bersalah membunuh anak perempuan guru tuisyennya kerana mendapati tiada peruntukan hukuman untuk dijatuhkan terhadapnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Doktrin pengasingan kuasa atau separation of power diantara badan eksekutif, badan lageslatif dan badan kehakiman sepatutnya menjadi persoalan.

Apakah akan terjadi dengan kes yang mengguna pakai akta tersebut sebelum ini ? Apakah Akta Mahkamah Juvana 1947 yang dimansuhkan menggunakan kaedah yang sama ?

Kenapa dalam soal ini pihak kehakiman diabaikan dari membuat keputusan?

Monday, July 23, 2007

Sunday, July 22, 2007

UMNO terus memerintah, DAP seronok lihat keris

Sebenarnya saya bersimpati sungguh dengan parti-parti pembangkang di Malaysia. Baik PAS, Keadilan atau DAP. Pendengar setiap ceramah mereka ramai tetapi asyik-asyik kalah dalam pilihanraya. Apatah lagi dalam pilihanraya kecil. Parti pemerintah gembira kerana pengundi menyebelahi mereka walaupun beratus kelemahan mereka ditonjolkan untuk menjadi bahan rujukkan dan perbandingan politik.


Kenapa agaknya?


Pengundi terutama sekali pengundi Melayu mudah termakan dengan sogokkan. Wang RM50.00, kain batik, gula dan lawatan sambil belajar diantara sogokkan yang ‘memabuk dan mengasyikkan’ mereka. Keduanya, kebanyakkan pengundi Melayu tidak suka membaca. Pengetahuan mereka agak kurang berkaitan isu-isu semasa. Ketiganya, bagi mereka kekalkan sahaja apa yang ada asalkan tidak memomok dan menghina agama Islam dan bangsa Melayu. Keempat, pemimpin parti pembangkang gagal memanafaat dan menjuarai isu-isu kelemahan pemerintah. Kelima, kerjasama sesama parti pembangkang sangat rapuh.


Lihat sahaja DAP. Pantang mendengar nama ‘Islam’. Mereka solah-olah phobia. Islam seperti menggigit mereka. Entah berapa ramai pemimpin dan pengikut DAP sudah di gigit. DAP gagal membandingkan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dengan kerajaan sekular lain. Berapa ramai orang Cina dan India dibunuh ketika pemerintahan kerajaan ulama Kelantan. Berapa ramai orang Cina dan India Kelantan yang dihalau dan berapa ramai orang Cina dan India yang dimasuk jawikan. Berapa banyak kedai Cina ditutup. Berapa kali keris dihunus dan ditikam. Berapa patung Buddha dimusnahkan di sana. DAP seperti takut kepada bayang-bayang sendiri. Adakalanya pemimpin DAP seperti kanak-kanak. Takut berbincang dan berdailog tentang Islam yang mereka 'hantukan'. Satu hakikat tentang Islam yang mereka tidak pernah tahu dan difahamkan.


Bagi UMNO pula pada hemat saya, mereka hendaklah menggunakan apa cara sekalipun untuk terus kekal berkuasa sepertimana ia sedang mengamalkan melalui prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’. Jangan sampai pembangkang yang ada sekarang menang. Jika UMNO dan BN menjadi pembangkang bermakna untuk seratus tahun akan datang, ia bukan sahaja akan hilang segala-galanya termasuk kekuasaan, kekayaan, pengaruh dan martabat tetapi juga akan menjadi satu parti politik yang ‘ghaib’. Satu lagenda tanpa nisan. Sukar bagi anak cucu mengingati atau untuk menjadikan bahan rujukkan di masa hadapan.


Kenapa begitu ?


Percayalah, jika ditakdirkan BN kalah dalam pilihanraya, ia tidak akan dikembalikan kepada kuasanya oleh rakyat. Rakyat pelbagai kaum akan gembira dengan kerajaan baru pada ketika itu sepertimana apa yang sedang dirasai oleh penduduk di Kelantan. Pada masa itu, kita akan lihat pemimpin UMNO, MCA, MIC dan lain-lain kerabat komponen BN akan hilang arah manakala ahli parti-parti tersebut akan gembira dengan teriakkan, "kami pernah ditipu oleh pemimpin kami demi politik mereka".


Malah ketika itu juga, satu persatu empayar kegagahan, kekuasaan, kemewahan projek dan sebagainya - hasil anugerah akan jatuh dan berkecai. Ramai orang-orang besar daripada bekas kerajaan BN akan tumbang dan bergelimpangan .


Kecuali sesuatu yang luar biasa atau sesuatu yang tidak diduga berlaku di kalangan parti pemerintah baru ketika itu seperti rasuah, segala masalah sosial, penyelewengan, perebutan harta negara dan pemusnahan manusia.


Lim Kit Siang dan DAP seharusnya memberanikan diri mencuba sesuatu yang baru dan lebih baik. Perubahan dan pembaharuan akan menentukan masa hadapan orang Melayu, Cina, India dan lain-lain untuk terus hidup dengan lebih aman, harmoni dan adil. Pemimpin dan parti DAP seharusnya keluar dari kepompong 'lama'.


Kemerdekaan Malaysia ke 50 sudah di hujung sana namun bagi DAP isu social contract, negara Islam, negara sekular, negara demokrasi, negara Hadhari dan sebagainya masih kabur dan terawang-awang.


Atau, adakah peristiwa menghunus keris sesuatu yang disukai DAP dan pemimpinnya - lalu ingin berulangkali melihatnya seperti pertunjukkan 'silap mata' ?

Friday, July 20, 2007

Lal Masjid: Pervez Musharraf Sepatutnya Sudah Pergi


Peristiwa berdarah Lal Masjid atau Masjid Merah di Islamabad Pakistan pada 10 Julai 2007 yang lalu mengingatkan kita kepada kedayusan Musharraf yang sanggup menjual maruah bangsanya demi bersujud di hadapan Bush ketika berlakunya serangan ganas Amerika terhadap Afghanistan.

Musharraf bimbang Pakistan dijadikan padang jarak padang terukur lalu sanggup bekerjasama dengan pengganas Bush menghancurkan Afghanistan.

Bukan itu sahaja, selepas peristiwa 11 September, untuk memenangi hati Bush, Musharraf sanggup pula menutup madrasah dan sekolah agama di seluruh negaranya. Ia menangkap dan menahan ulama dan guru-guru agama di atas nama fanatik Islam. Demi untuk mengekalkan kuasa, ia sanggup bertelagah dan memecat Ketua Hakim Negara Pakistan Iftikhar Chaudry.

Terkini, bukan hanya tangannya tetapi seluruh badannya bermandikan darah umat Islam kerana mengerahkan tentera menceroboh dan membunuh di Masjid Lal. Statistik kematian melebihi 100 orang. Majoritinya pelajar sekolah agama.

Sudah sampai masanya, Musharraf, 64 tahun yang merampas kuasa secara coup d'etat pada 12 Oktober 1999 dan mengistiharkan dirinya sebagai Presiden Pakistan yang ke 12 pada 20 Jun 2001, pergi meninggalkan politik Pakistan. Perjuangannya hanyalah untuk mempastikan bahawa dia dan keluarganya terus hidup.

Biar rakyat mati di atas apa nama pun.

Akur dan tunduk kepada desakkan Amerika bukan kerana rakyatnya disayangi atau perlu diselamatkan. Tetapi kerana dirinya perlu dikekalkan sebagai pemerintah. Jika tidak, takkanlah Lal Masjid menjadi saksi kerakusannya.

Tuesday, July 17, 2007

We Are Malaysian. Adakah ?

Terlalu ramai yang menulis tentang blogger Nat. Terlalu ramai yang membuat bantahan terhadap tangkapan polis itu. Ramai sangat yang nampak betapa malapnya prosidur polis dalam menjalankan tugas mereka. Adakalanya tangkap dulu dan siasat kemudian. Adakalanya siasat dulu tangkap kemudian. Ada masanya tangkap dan dilepaskan. Ramai juga yang ditangkap tanpa dibicarakan. Lalu disumbat di 'Guantanamo Malaysia'. Adakah ?

Nat bukan menggadai atau menjual negara. Bukan merompak harta negara. Bukan membunuh. Bukan juga memperkosa anak gadis sesiapa. Bukan rasuah. Semuanya bukan.

Oghang Penang kata, "cukup sighu dan mangkuk ayon punya prosidia. Tak bulih ka bagi salam dulu. Habak tujuan mai. Nak ajak pi pekena nasi kandaq ka.. nak pi mana ka, bagitaula kat tuan rumah. Kedai mamu mana . Senang hati semua..."

Apapun kita bersyukur Nat dilepaskan.

Apa yang paling penting disebalik peristiwa tersebut adalah jangkaan, risiko, permuafakatan, jaringan sokongan dan persahabatan sesama warga Malaysia atau Malaysian.

Syabas dan tahniah !

Pembaharuan Kerajaan Ulama Kelantan


Kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulama akan memperkenalkan 'cuti iddah' kepada kakitangan awamnya. Jika tidak ada aral ianya akan dilaksanakan pada awal tahun 2008.

Pembaharuan yang tidak terfikir oleh kerajaan persekutuan ?

Cuti dua hari hujung minggu, cuti bersalin, balik awal pada Ramdhan untuk beribadat dan beberapa pembaharuan lain dalam pentadbiran awam dicetuskan oleh kepimpinan ulama yang mana diakui dan diterima majoriti kakitangan perkhidmatan awam.

Jangan menjadikan diri kita 'mangkak politik' dalam membuat penilaian dan pemilihan.

Monday, July 16, 2007

Bila Istana Mula Berpolitik

Apabila penghuni istana mula berpolitik lebih-lebih lagi dalam suasana negara kita, maka putera dan puterinya akan terdedah kepada pelbagai masalah. Dengan kehidupan yang serba mewah dan jurang hubungan yang sangat ketara adakah warga istana dapat melalui liku-liku kehidupan sebagai politikus sebenarnya?

Pada hemat saya biarlah istana kekal dengan status-quonya non partisan agar kedudukan mereka di sisi perlembagaan Malaysia terjamin dan dihormati. Biarlah putera dan puteri ini terlibat di dalam badan kebajikan sukarela di pelbagai peringkat samada sebagai aktivis atau penaung. Ianya lebih bersesuaian dengan ciri-ciri raja berperlembagaan.

Kedudukkan raja sudah tentu akan terusik apabila ada pro dan kontra dalam pandangan dan perjuangan politik. Apakah tanpa menjadi ahli parti politik warga istana tidak dapat memainkan peranan mereka ?

Sebenarnya warga istana dapat memberikan sumbangan yang lebih bermakna dengan menjadi payung kepada aktiviti semua parti politik dan badan sukarelanya. Putera dan puteri ini akan lebih dikasihi dan diterima oleh 'rakyat' secara keseluruhannya.

Tetapi dengan minat yang ada untuk menjadi politikus pula, seperti beberapa orang kuat istana di Malaysia yang sudah ternama, sudah tentu dibolehkan dengan peranan yang difahami dan dapat dibezakan kedudukan sebagai rakyat biasa atau anak raja.
Atau boleh juga jika lebih banyak mendiamkan diri agar tidak menjadi sasaran kumpulan penentangnya. Namun dengan minat yang mendalam tetapi lebih mendiamkan diri, adakah sumbangan dan kepuasan akan dicapai atau dinikmati?

Saya bimbang jika ada warga istana tidak dapat menyesuaikan diri atau tidak berpuas hati dengan cara rakyat biasa, situasi mendatang akan mengheret rakyat di atas nama arahan istana atau ingkar titah memungkinkan demokrasi tidak dapat hidup subur malah ianya boleh membawa negara menuju kepada pemerintahan bermonarki. Jika trend ini berleluasa akhirnya rakyat akan tertekan impak dari tindakkan menderhaka kepada raja atau menghina institusi raja di kemudian hari.

Saturday, July 14, 2007

Siapa Kata Yahudi Dibunuh Di Iran

DUNIA
Adakah sama catatan yang ditulis di sini dengan yang ini.

Sila lihat di sini.

TEHERAN: Masyarakat Yahudi Iran menolak tawaran wang tunai lumayan sebanyak £5,000 (RM35,000) seorang sehingga £30,000 (RM210,000) bagi sekeluarga untuk berpindah ke Israel.


Akhbar Guardian melaporkan semalam, penolakan itu membuktikan kesetiaan masyarakat terbabit kepada musuh ketat Israel, iaitu Iran.

Sebenarnya, ramai Yahudi hidup senang lenang di Iran. Satu negara teokrasi yang mengamalkan ajaran tuhan mereka, Allah.

Friday, July 13, 2007

Blogger Nat Ditahan Polis

Diharap blogger Nat yang ditahan polis Bukit Aman akan disoal siasat menurut prosidur biasa seperti seorang manusia yang berada di dalam tahanan negara demokrasi dan bertamadun.

Isu rasuah Di Malaysia : Bisunya Islam Hadhari

Saya diberitahu oleh seorang AJK UMNO Kubang Pasu bahawa beliau telah diberikan sejumlah wang dan telah juga diminta untuk tinggal di dalam rumah sehinggalah mesyuarat pemilihan G7 di Kubang Pasu selesai. Katanya beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkenaan dalam UMNO bahagian tersebut, namun tidak dilayan.

Kemudian, Johari Baharom Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu didakwa menerima wang sogokkan membebaskan dua penjenayah telah dibebaskan pula bukan sahaja dari kemelut rasuah di bahagiannya dalam menghadapi G7 tetapi juga dibersihkan oleh BPR dari tuduhan menerima sogokkan wang sejumlah RM5 juta.

Pada pagi sebelum Johari dibersihkan, beliau memaklumkan kepada media bahawa pihaknya ada membuat laporan kepada BPR meminta Musa Hassan Ketua Polis Negara pula disiasat berkaitan isu rasuah RM2.1 juta.

Apa kesudahannya ?

Mengikut pengalaman atau predict kes Johari sudah tentu nanti Peguam Negara tidak akan mendapat kerjasama dari pihak penyogok. Penyogok akan memberitahu kepada Peguam Negara bahawa mereka tidak pernah menyogok. Maka akan selesailah satu lagi kes dakwaan rasuah di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad PM Malaysia.

Di mahkamah Malaysia - bolehkah semua yang dituduh bersalah meminta bantuan satu pihak lagi untuk tidak memberikan kerjasama kepada pihak pendakwa atau Peguam Negara untuk memudahkan kes mereka juga ditutup sepertimana kes Johari Baharom?

Kadangkala seronok meneliti perjalanan aktiviti agensi kerajaan negara ini dalam hal-hal yang berkaitan politikus dan VIPnya. Adakalanya berasa sedih kerana tidak ada rasa amanah dan tanggungjawab pihak-pihak yang terbabit menguruskan kepimpinan pelbagai peringkat.

Di negara Cina, mereka yang terlibat dalam kes rasuah akan dihukum mati. Di Korea, India, Jepun dan banyak negara lain, menterinya akan meletakkan jawatan dan ada yang sampai bunuh diri. Di kebanyakkan negara bertamadun lain, mereka yang terlibat akan dihukum dengan setimpalnya menurut undang-undang negara yang adil.

Di Malaysia, undang-undangnya akan cuba mendapatkan kerjasama dan bertanya dengan penyogok terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan boleh diambil. Dalam banyak hal dan keadaan, Islam Hadharinya mengambil sikap membisu tentang rasuah seperti sikap membisu Imam Besarnya.

Islam Hadhari bertujuan untuk mencapai sepuluh prinsip utama:

  1. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi.
  2. Kerajaan adil dan beramanah.
  3. Rakyat berjiwa merdeka.
  4. Penguasaan ilmu pengetahuan.
  5. Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.
  6. Kehidupan berkualiti.
  7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.
  8. Keutuhan budaya dan moral.
  9. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.
  10. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan.

Wednesday, July 11, 2007

Khir Toyo Benar Dalam Isu Anugerah Cemerlang

Beberapa orang rakan dalam sektor perkhidmatan awam memberitahu supaya Presiden CUEPACS dimaklumkan tentang apa yang dicakapkan oleh Khir Toyo itu adalah benar.

Ini adalah maklumbalas dari kakitangan perkhidmatan awam:

Ramai ketua jabatan suka memberikan anugerah khidmat cemerlang kepada pembodek-pembodek dalam jabatan walaupun kerja mereka tidak seberapa. Jika boleh setiap tahun hendak diberikan kepada dua atau tiga orang yang sama sahaja. Olehkerana sistem ini mendapat tentangan dalaman sesama pekerja di kebanyakkan jabatan, maka dibuat giliran pula supaya semua kakitangan dapat merasakan anugerah cemerlang.

Inilah impak dari sistem saraan baru yang diperkenalkan oleh beberapa kerat pemimpin JPA dengan kerjasama kerajaan. Perkara ini dikatakan sudah berlarutan sejak beberapa tahun yang lalu. "Takkanlah pemimpin dan ahli jawatankuasa CUEPACS tidak dimaklumkan tentang hal ini" dakwa mereka lagi.

"Daripada dua tiga orang itu sahaja yang mendapat cemerlang, lebih baik dibuat giliran. Aduan kami tentang masalah ini tidak kemana. Asyik-asyik kaki bodek sahaja dapat cemerlang, yang buat kerja betul hendak diketepikan. Mana boleh?" kata mereka.

"Ada yang mendapat anugerah cemerlang persekutuan dan negeri dalam tahun yang sama. Ada yang dapat anugerah tiga tahun berturut-turut. Kita setuju mereka kerja baik. Ada yang lebih baik daripada mereka tak dapat kerana JPA memperkenalkan sistem kouta pula. Jadi, yang bodek, yang rapat, yang mesra dan yang ampu mendapat markah tambahan. Yang lebih baik terpaksa menggigit jari untuk memberikan laluan kepada kaki bodek" tegas mereka lagi.

Satu lagi maklumbalas yang diterima ialah, majoriti kakitangan perkhidmatan awam bersedia untuk memberikan markah kepada ketua jabatan mereka jika ianya dapat dilaksanakan kerajaan. Mereka berharap dengan pemberian markah tersebut, penilai pertama akan lebih berhati-hati dan adil. Majoriti kakitangan ini berharap pemarkahan mereka diambil kira oleh pegawai penilai pertama dan kedua dalam memberikan markah kepada ketua pejabat mereka pula. Baru ada check and balance.

Betulkah semua pandangan ini ? Ketua Setiausaha Negara, JPA dan CUEPACS tentu ada jawapannya.

Tuesday, July 10, 2007

Wow! , Wakil Rakyat UMNO Potong Gaji

Potong gaji ?

Ada projek lain tak pemberian kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, atau anugerah YAB Dato' DiRaja Tajol Rosli yang membawa pulangan lebih dari gaji ?

Mustahil tanpa pendapatan lain.

Friday, July 6, 2007

Mampukah Anwar Ibrahim Melakukannya

Anwar Ibrahim pada hemat saya dikira pemimpin yang masih memiliki karisma. Pemimpin zaman 70'an yang masih evergreen semacam juga penyanyi Sharifah Aini, DJ Dave atau kumpulan Alleycats. Anwar, yang akan berusia 60 tahun pada 10 Ogos ini merupakan bekas anak emas Tun Dr Mahathir. Terlibat dengan gerakkan pelajar dan merupakan jawatankuasa penaja Angkatan Belia Islam Malaysia pada 1971. Pernah masuk keluar penjara. Di"ISA"kan pada tahun 1974 akibat peristiwa Baling, Kedah.

Saya yang ketika itu berada di darjah lima berkesempatan menaiki bas dari Keroh ke Baling (lebihkurang 9 km - tambang sehalanya RM0.25 sen) melihat sendiri tunjuk perasaan di perkarangan Masjid Baling. Bersemangat sungguh saya melihat mahasiswa memperjuangkan nasib rakyat ketika itu. Datuk Musa Hitam Menteri Perdagangan Malaysia pada masa itu diterbangkan khas dari Kuala Lumpur untuk berbincang penyelesaian masalah pada peristiwa tersebut.

Selepas beberapa tahun iaitu pada 1982, Anwar masuk UMNO dan bergiat cergas dalam parti yang ia momokkan sebelumnya. Ramai yang kecewa dengan tindakan Anwar. Terutama sekali ahli ABIM dan pendokong gerakkan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Kini, Anwar tidak dibenarkan bergiat dalam politik selama lima tahun selepas keluar penjara.

Pada pilihanraya Ijok yang lalu, Najib Tun Razak Timbalan Perdana Menteri Malaysia dijadikan sasaran kempennya. Ramai yang tertanya-tanya, kenapa Abdullah Ahmad PM Malaysia dan 'menantu negara' Khairy Jamaluddin terlepas dari tikaman politiknya.

Apakah ada pakatan politik diantara Anwar, Pak Lah dan KJ untuk menumbangkan Najib dan seterusnya membuka jalan Anwar menyertai semula UMNO. Anwar terus dan sentiasa menafikan hal ini.

Saya ingat-ingat lupa kiasan yang Tan Sri Sanusi Junid, bekas Menteri Besar Kedah yang ketika itu mendakwa menyimpan berguni-guni surat aduan orang ramai tentang kejelekkan Tan Sri Osman Aroff, seorang lagi bekas MB Kedah sebelumnya bahawa Anwar yang diibaratnya (sebagai tikus atau...apa?) yang berkawan dengan harimau (Tun Dr M) . Kata Sanusi, oleh kerana berkawan dengan orang besar dan ada kuasa, walaupun Anwar tidak sehebat mana, tidak sekuat mana dan bermacam lagi kiasannya, tetapi Anwar tetap digeruni kerana faktor dipertahankan oleh orang besar tersebut. Ini menyukarkan orang biasa me'nyah'kan Anwar kata Sanusi.

Apa pun itu semua adalah andaian politik. Masih ada harapan dan kekuatankah untuk Anwar gemilang dalam karier politiknya ? Jika Anwar dan parti pembangkang utama negara, PAS dan juga parti DAP dapat bekerjasama biarpun tidak dapat menumbangkan kerajaan BN, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kuasa atau kemenangan majoriti BN dalam pilihanraya ke 12 ini, maka Anwar sudah tentu akan dapat mewarnai semula persada politik negara.

Tetapi jika berlaku di sebaliknya, untuk menunggu lima tahun lagi bagi pilihanraya yang ke 13, sudah tentu Anwar akan letih dengan kerenah dalaman kepimpinan parti politiknya sendiri. Walaupun masih ada karisma seperti yang saya katakan, rebah kali kedua akibat pukulan politik orang-orangnya sendiri sudah pasti menyukarkan Anwar untuk bangun dan berlari semula.

Wednesday, July 4, 2007

Polis, Polis. Awat la dengan hampa ni

Perlawanan akhir bolasepak di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang Sabtu lalu meninggalkan kenangan pahit kepada banyak pihak. Ialah, takkan Tuanku Sultan Kedah dan Raja Muda Perlis tak boleh jalan kaki. Kita terima itu.

Namun kata orang utara, takkanlah Polis tak dan nak pikiak jalan menghala ke stadium akan bercelaru dengan berpuluhan ribu manusia. Dahlah bulan sudah pi buat road block ataih jambatan Pulau Pinang. Waktu paling sibuk. At-last jumpa perompak tang lain. Kata Maidin penjual nasi kandak, "tak taulah depa kalot lagu mana... tu yang terajai pi ataih jambatan"

Polis ni, bab atau soal ceramah PAS atau Keadilan atau pembangkanglah, awal setengah hari lagi dah sampai dengan FRUnya, dengan Polis biasanya, dengan water canonnya dan segala jentera seperti nak berperang dengan penceramah dan pendengar ceramah.

Tapi malu sungguh, depa tak dan nak baca apa akan terjadi di Stadium Batu Kawan. Itu belum lagi kalau ada anasir jahat nak buat kerja tak ketahuan masa tu, belum lagi ada apa...apa depa kata..Al Qaedakah, belum lagi huru-hara dan belum lagi negara luak serang masuk Pulau Pinang.

Apa akan terjadi? Berak berkapurlah polis. Sibok sangat puak polis ni dengan hal-hal politik dalaman, mengampu politikus dan menongkat vip sampaikan kes-kes jenayah meningkat. Jika betul-betullah ditubuhkan jawatankuasa mengkaji keberkesanan polis ni, nescaya di daerah kecil pun mereka bermasalah dalam menyelesaikan kes. Statistik mereka tak boleh dipercayai, sepertilah yang di katakan oleh Johari Baharom, menteri Polis sendiri.

Dalam dok banyak masalah, Musa Hassan KPN yang bermasalah tu pula disambungkan perkhidmatannya. Habeh.. nak kata apa lagi ?

Monday, July 2, 2007

"Harampun boleh jadi halal"- Kem.Kesihatan Malaysia

Pelacuran adalah haram. Tetapi di Malaysia, jika premisnya dilesenkan maka ianya adalah halal. Arak adalah haram tetapi jika dilesenkan maka ianya dihalalkan. Rokok difatwakan haram tetapi apabila dilesenkan, maka ianya juga halal. Pertandingan ratu cantik juga halal setelah dilesenkan. Jom Heboh juga begitu. Judi ada juga yang haram dan ada juga yang halal. Mesin slot yang dilesenkan adalah halal. Maksud saya perlu ada lesen dan kuasa untuk menghalalkan apa yang Allah swt, Rasul dan para ulama kata ianya haram. Begitu mudah.

Minuman 'bergas' atau minuman berkarbonat yang diperkenalkan sejak tahun 1880 an lagi seperti coca-cola, pepsi, sprite, 7 up dan bermacam-macam minuman sepertinya dikatakan merbahaya kepada kesihatan manusia. Setiap hari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiklankan keburukkan minuman ini dengan belanja yang sangat tinggi. Kira-kiranya 'propaganda' KKM ini adalah sejak saya di darjah satu lagi.

Selalunya, baik KKM atau badan-badan NGO termasuk Persatuan Pengguna di merata tempat menghebahkan bahawa minuman berkarbonat mempunyai nilai pH yang tinggi atau dalam bahasa lainnya asid fosforik yang banyak yang boleh memudaratkan manusia.

Ianya dikaitkan dengan penyakit diabetes (kencing manis), osteoporosis, lemak, kolestrol dan pelbagai penyakit lain.

Dikatakan terdapat 7-8 sudu teh atau 37-39g gula dalam setiap tin minuman 300 ml. Pakar pemakanan kesihatan mengesyorkan kadar pengambilan gula keseluruhan makanan yang sepatutnya untuk seseorang bagi sehari adalah 60g.

Apa yang mengejutkan? Jika ianya dilesenkan atau dibenarkan oleh kerajaan Malaysia, maka ianya dibolehkan, sah digunakan, hilang kemudaratannya dan dakwaan 'bodoh' KKM selama ini tidak terpakai lagi.

Lihat sahaja dikebanyakkan hospital kerajaan. Mesin layan diri bagi memudahkan pembelian minuman berkarbonat bukan hanya satu, tetapi disediakan di merata penjuru. Sudah tentu dengan kebenaran kerajaan Malaysia dan dengan kelulusan Pengarah Hospital berkenaan.

Setelah dilesenkan minuman ini, maka Ketua Setiausaha KKM, Ketua Pengarah KKM, Pengarah-Pengarah dan setiap tali barut syarikat minuman bergas yang bekerja di KKM telah menghalalkan minuman ini. Maka dakwaan KKM selama ini bahawa minuman ini tidak baik, tidak selamat dan menjejaskan kesihatan adalah satu pembohongan semata-mata.

Oleh itu mulai hari ini rakyat Malaysia yang bijak dan pandai yang telah memberikan undi kepada kerajaan Barisan Nasional, boleh percaya bahawa kepimpinan di Kementerian Kesihatan Malaysia bercakap menggunakan dua mulut seperti juga politikusnya. Tidak kiralah, larangan agamakah atau larangan undang-undang Malaysia sendiri - jika dihalalkan kerajaan Barisan Nasional, boleh dan hentam saja ?