Monday, July 16, 2007

Bila Istana Mula Berpolitik

Apabila penghuni istana mula berpolitik lebih-lebih lagi dalam suasana negara kita, maka putera dan puterinya akan terdedah kepada pelbagai masalah. Dengan kehidupan yang serba mewah dan jurang hubungan yang sangat ketara adakah warga istana dapat melalui liku-liku kehidupan sebagai politikus sebenarnya?

Pada hemat saya biarlah istana kekal dengan status-quonya non partisan agar kedudukan mereka di sisi perlembagaan Malaysia terjamin dan dihormati. Biarlah putera dan puteri ini terlibat di dalam badan kebajikan sukarela di pelbagai peringkat samada sebagai aktivis atau penaung. Ianya lebih bersesuaian dengan ciri-ciri raja berperlembagaan.

Kedudukkan raja sudah tentu akan terusik apabila ada pro dan kontra dalam pandangan dan perjuangan politik. Apakah tanpa menjadi ahli parti politik warga istana tidak dapat memainkan peranan mereka ?

Sebenarnya warga istana dapat memberikan sumbangan yang lebih bermakna dengan menjadi payung kepada aktiviti semua parti politik dan badan sukarelanya. Putera dan puteri ini akan lebih dikasihi dan diterima oleh 'rakyat' secara keseluruhannya.

Tetapi dengan minat yang ada untuk menjadi politikus pula, seperti beberapa orang kuat istana di Malaysia yang sudah ternama, sudah tentu dibolehkan dengan peranan yang difahami dan dapat dibezakan kedudukan sebagai rakyat biasa atau anak raja.
Atau boleh juga jika lebih banyak mendiamkan diri agar tidak menjadi sasaran kumpulan penentangnya. Namun dengan minat yang mendalam tetapi lebih mendiamkan diri, adakah sumbangan dan kepuasan akan dicapai atau dinikmati?

Saya bimbang jika ada warga istana tidak dapat menyesuaikan diri atau tidak berpuas hati dengan cara rakyat biasa, situasi mendatang akan mengheret rakyat di atas nama arahan istana atau ingkar titah memungkinkan demokrasi tidak dapat hidup subur malah ianya boleh membawa negara menuju kepada pemerintahan bermonarki. Jika trend ini berleluasa akhirnya rakyat akan tertekan impak dari tindakkan menderhaka kepada raja atau menghina institusi raja di kemudian hari.

No comments: