Monday, March 31, 2008

KJ menang, UMNO dan BN kalah 6 wilayah


Mangkatkah sudah semangat pemuda UMNO tanpa KJ ?

Betapa gahnya pemuda UMNO sebelum pilihanraya umum kedua belas. Berkobar-kobar semangat mereka dengan adanya menantu PM Abdullah Ahmad disamping pergerakan yang sudah kelihatan tidak berperanan itu.

Sehari dua ini, cukup suram politik pemuda UMNO tanpa KJ. Apa tidaknya. Ramai yang menaruh harapan yang tinggi kepadanya, masih sugul dan ada yang masih menangis di Perak. Pemuda ini bercita-cita ‘angkasa’ dan berwawasan jauh. Ingin mencapai jawatan PM menggantikan mertuanya pada usia seawal 40 tahun.

Ramai yg tertanya-tanya dimana pemuda yang dijulang bukan sahaja oleh mereka yang sebaya dengannya malah dicium tangannya oleh menteri-menteri, menteri-menteri besar, timbalan menteri, pengampu dan kroni yang mengharapkan seribu satu ganjaran daripadanya.

Kerananya dan juga kerana Abdullah Ahmad, KJ menang di Rembau. Kerananya dan juga kerana Abdullah enam negeri termasuk Wilayah di'ratah' pembangkang. Bermakna kerusi Rembau adalah ibarat sebesar dan sepenting Kelantan, Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah.

Berlainan pula dengan pergerakan wanita UMNO. Menangnya Rafidah Aziz di Kuala Kangsar menghilangkan jawatannya dalam kabinet. Kuala Kangsar tidaklah sepenting Rembau. Apa ada pada Rafidah berbanding KJ. Mungkinkah Rafidah diibarat kaca botol kicap manakala KJ seperti intan bergemerlapan ?

Namun apakah bakti dan jasanya KJ kepada rakyat dan negara Malaysia. Misalnya, sewaktu memenangi tanpa bertanding kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Kalimullah Hassan sahabat baik dan rakan seperniagaan di ECM Libra yang dangkal politik itu telah menulis diantara lainnya, “apakah salah bagi KJ untuk merebut jawatan tersebut hanya kerana dia adalah menantu PM Abdullah Ahmad?”

Maka terpelantinglah Azimi Daim dan lain-lain yang menaruh harapan untuk merebut jawatan itu. Ketua Pemuda yang sering menghunus keris akhirnya terpaksa akur dengan tulisan “mangkak sosial” dan kehendak peminjam wang sembilan juta kepada KJ tersebut. Hilang kejantanan pemuda dan nampaklah betapa tidak konsistennya mereka dengan erti perjuangan.

Ada baiknya KJ terus berada di dalam UMNO dan politik kerajaan persekutuan supaya pada pilihanraya ketiga belas nanti, baki negeri-negeri lain dapat dikuasai PAS, Keadilan dan DAP.

Atau, KJ ingin sekali lagi meminta bantuan Kalimullah yang cacat penulisan politiknya untuk menaikkannya dan membetinakan pemuda dan sekalian veteran dalam UMNO ?

Jika tidak, KJ bolehlah meminta bantuan bapa mertua supaya UMNO dan BN dapat terus membayanginya. Ataupun, dikuburkan sahaja UMNO bersama-samanya. Kalah menjadi abu, menang menjadi arang.

Sunday, March 30, 2008

Undang-undang hutan UMNO


Kata Shahrir Samad, "baguslah Tun Dr Mahathir telah sedar bahawa beliau telah melakukan kesilapan dua puloh tahun yang lalu . Sekarang dia hendak mengadakan sistem satu ahli satu undi dalam pemilihan UMNO dan merasakan keputusannya dulu adalah silap dan tidak perlu".

Undang-undang yang digubal selepas pemilihan UMNO 1987 itu bolehlah dikira sebagai undang-undang hutan yang tidak pernah diamalkan oleh manusia bertamadun.

Cuma UMNO sahaja yang seronok dengan undang-undang seperti itu untuk melahirkan pemimpin-pemimpin ala-rimba.

Sudah sedar, baguslah.

Saturday, March 29, 2008

Kerajaan Kedah, Tambang Bot Langkawi Membebankan


Langkawi melakar sejarahnya tersendiri.

Lagendanya mengisahkan bagaimana Mahsuri dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh mertuanya yang akhirnya membawa kepada hukuman
mati. Darah putih yang mengalir dari badan Mahsuri telah membuktikan bahawa tuduhan mertuanya adalah fitnah semata-mata.

Terdapat lebih daripada 100 buah pulau di Langkawi ini. Ianya dihubungkan ke tanah besar oleh pengangkutan udara dan laut. Namun bagi 74% masyarakat biasa di sini, pengangkutan lautlah yang menjadi pilihan utama kerana murah dan menjimat masa berbanding pengangkutan udara.

Baru-baru ini kenaikkan tambang feri telah menimbulkan keresahan dan ketidakpuasan hati pengguna. Harga tiket naik pada 1 Disember 2007 dari RM18 kepada RM23. Jabatan Laut Malaysia sendiri yang mengumumkannya. Ianya sangat-sangat membebankan pengguna yang berulang-alik ke tanah besar dan sebaliknya.

Jika dengan kenaikkan tambang ini perkhidmatannya bertambah baik, maka dirasakan kemarahan orang ramai akan berkurangan. Inikan tidak.

Sistem menunggu yang diamalkan sekarang menyusahkan golongan tua, orang kurang upaya, kanak-kanak dan penumpang feri secara keseluruhannya. Untuk masuk ke dalam perut feri sahaja adakalanya mengambil masa lebihkurang 20 minit berjalan kaki.

Kedua, pernah beberapa kali tiket yang dibeli dari syarikat yang berlainan mempunyai nombor kerusi yang sama. Mencelarukan pengguna ketika mencari tempat duduk.

Ketiga, tandas sekitar jeti dan di dalam bot kurang selesa. Difahamkan perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan namun tindakannya masih minima.

Keempat, pengguna feri dikehendaki menunggu lebih lama sebelum feri bergerak kerana terpaksa menunggu sehingga penumpang penuh.

Kelima, perjalanan mengikut jadual tidak dapat diharapkan lagi dengan perkhidmatan seperti ini. Pekerja yang berulang-alik samada ke Langkawi atau tanah besar terpaksa menggigit jari akibat ketidaktentuan masa ini.

Keenam, terdapat hanya satu pintu untuk keluar masuk ke dalam bot (tidak termasuk pintu kecemasan). Ianya mengambil masa yang lama untuk masuk dan keluar dari bot. Papan atau tangga yang menghubungkan pelantar dan bot sudah ketinggalan zaman. Dua minggu yang sudah, saya melihat sendiri bagaimana seorang warga tua terjatuh ketika hendak keluar dari bot tersebut. Kejadian seperti ini difahamkan telah berlaku berulang kali.

Ketujuh, terdapat beberapa tiang di dalam bot yang diletakkan rapat dengan kerusi pengguna. Ianya mengganggu dan tidak selesa untuk diduduki. Sepatutnya kerusi ini diberikan secara percuma atau separuh harga sahaja.

Kerajaan seharusnya memikirkan pelan kecemasan atau alternatif bagaimana harga atau tambang bot ini dapat dikurangkan. Desakkan bertalu-talu pengusaha feri tidak sepatutnya dilayan.

Bagi saya, perkhidmatan feri yang lebih kecil dan kerap boleh memberikan manafaat dari segi kos. Kerajaan negeri boleh melalui anak syarikatnya menjadi pesaing kepada syarikat-syarikat sedia ada dengan menyediakan feri/ bot sendiri sebagai menjalankan tanggungjawab sosialnya.

Semua orang tahu bahawa ‘tahi’ ini telah ditinggalkan oleh Mahdzir Khalid dan BN. Walaupun pada 8 Februari yang lalu, bekas MB itu menyatakan “rasa kesal dan tidak berpuas hati dengan tindakan pengurusan Jeti Kuala Kedah yang gagal menguruskan jadual perjalanan feri dengan baik”. Ianya dianggap sebagai satu sandiwara Mahdzir.

Sebelum ini Bakar Taib, Nawawi Ahmad, Mahdzir Khalid, UMNO dan BN diberikan undi dan disokong oleh pengundi di Langkawi . Apa yang mereka lakukan untuk mengurangkan penderitaan ini ?

Lebih menyakitkan hati ialah apabila Nawawi yang buta fakta itu seolah-olah menuduh kerajaan "dua hari" PAS punca kenaikkan harga feri. Sedangkan, surat Jabatan Laut jelas menunjukkan kenaikkan tambang dipersetujui oleh Mahdzir sebelum November 2007 lagi. Cuma pelaksanaannya sahaja ditangguhkan. Mahdzir bimbang jika tambang dinaikkan sebelum pilihanraya sudah tentu ianya akan membawa implikasi kepada UMNO dan BN pada ketika itu.

Itupun, masih ada pengundi di Langkawi memberikan mandat baru kepada Nawawi.

Peristiwa pertembungan bot pada 6 Disember 2006 harap tidak dilupakan. Kekhuatiran orang ramai terhadap mutu perkhidmatan pengusaha bot ada benarnya.

Kerajaan baru PAS di bawah kepimpinan Ustaz Azizan boleh mengambil iktibar dari kisah Mahsuri. Buktikan bahawa tahi yang ditinggalkan oleh Mahdzir Khalid, UMNO dan BN adalah benar-benar 'lagenda sumbang' dan biar juga rakyat Kedah tahu bahawa Nawawi, UMNO dan BN ibarat mertua Mahsuri yang menjadi penabur fitnah semata-mata.

Monday, March 24, 2008

Jika DUN Terengganu dibubarkan lagi ?

Pilihanraya umum kedua belas membuatkan saya rasa sedikit kesal dengan landasan berfikir pengundi Melayu di Terengganu.


Kenapa ?


Rupanya mereka menongkah arus. Tidak bersama dengan kebangkitan seluruh rakyat Malaysia. Mungkin juga bagi mereka soal politik adalah hal peribadi. Tidak perlu diganggu sesiapa. Atau, itulah demokrasi. Benar juga jika demikian alasannya.


Namun, apakah soal Idris Jusoh atau seperti yang dihebohkan di Terengganu berkaitan Syarikat Jusoh tidak menimbulkan apa-apa hal kepada orang Melayu di Terengganu. Patrick Badawi diibarat seperti kaum keluarga yang mulia atau Robbin Hood agaknya.


Ahh! Apa ada dengan moonsun-cup. Biarlah wang rakyat beratus juta dibelanjakan. Biarlah hasil petroleum hilang dilautan. Asalkan penduduk Terengganu boleh mendapat makanan harian. Begitukah ?

Abdullah seronok Shahidan diperbodohkannya ?


Dahulu, UMNO mengatakan Lim Kit Siang penderhaka. Tidak sampai dua minggu pun selepas itu, UMNO berdiam diri apabila Shahidan Kassim menderhaka kepada istana. Kini, UMNO mengambil tindakan terhadap orang yang taat kepada istana Terengganu. Apakah ajaran yang cuba disampaikan oleh parti UMNO yang kini sedang mengelupur seperti ayam berak kapur.


Diajaknya sama pihak Polis yang kelihatan dicucuk hidung. Peristiwa Batu Burok diwayangkan sebagai demonstrasi beruk jalanan dan ‘perhimpunan ganas’ yang bukan budaya kita.


Apa kata Musa Hassan Ketua Polis yang dicucuk hidungnya tentang peristiwa tunjuk perasaan di KOMTAR Pulau Pinang, di Ipoh Perak dan di Selangor ? Layanan VIPkah untuk mereka ?


Polis menggunakan dua Akta yang berlainankah ? Mungkin Nazri Aziz yang menggelarkan Ahli Parlimen pembangkang sebagai 'wayar putus' mempunyai jawapannya.


Biar Polis Malaysia bertukar pelbagai slogan. Mereka tetap sama jika mentaliti dan sikap kekal seperti itu juga. Lebih-lebih lagi di bawah Musa Hassan pakar usung tilam yang kini ibarat cacing kepanasan.


Kemelut politik di Terengganu kini mencerminkan dua wajah. Wajah mana yang kelihatan menyebelahi dan memperjuangkan hak rakyat. Istana ? Tetapi, pastinya bukan wajah Idris Jusoh dan kunco-kunconya.


Apa kata orang Terengganu jika Dewan Undangan Negeri Terengganu ditakdirkan dibubarkan sekali lagi ?


Menongkah arus lagi atau melakar sejarah membuat perubahan.

Sunday, March 23, 2008

Abdullah perlu meletakkan jawatan, 75% setuju

"Mukhriz Mahathir mahu Abdullah Ahmad meletakkan jawatan"

Soal selidik tersebut yang dijalankan di blog kecil alkerohi membuahkan hasil seperti berikut:

1.Biak pi lah kat depa (bermaksud, tidak mahu campur urusan mereka. Biarkan mereka) 20%
2.Kami sayang Abdullah (bermaksud, Abdullah masih diperlukan. Ramai yang sayangkannya) 4%
3.Betoi sangat kata Mukhriz (bermaksud, Abdullah perlu meletakkan jawatan) 75%.

Saturday, March 22, 2008

Razaleigh Hamzah : Tidak relevan lagi

Samada Presiden UMNO perlu ditukar atau tidak ianya adalah urusan dalaman parti UMNO.

Lebih-lebih lagi calon yang menawarkan diri untuk bertanding seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan calon yang mempunyai cita-cita tersembunyi seperti Rafidah Aziz masing-masing dikatakan mempunyai konflik dalam parti mereka sendiri.

Lihat sahaja kenyataan Musa Aman, Hishamuddin, Khalid Nordin, Rafidah dan beberapa tokoh UMNO. Mereka sependapat bahawa ini bukan masanya bagi Razaleigh menonjol diri menggantikan Abdullah.

Razaleigh 71 tahun Ahli Parlimen Gua Musang pernah menjadi Naib Presiden UMNO pada tahun1974 mempunyai cita-cita besar yang belum pernah padam untuk mengepalai UMNO.

Beberapa hari yang lalu, beliau bertemu Tun Dr Mahathir untuk mendapatkan restu bukan sahaja bagi diadakan EGM UMNO tetapi rata-rata dihebohkan untuk mendapat restu Tun mengadakan ‘peperangan’ dengan Abdullah Ahmad PM Malaysia yang paling lembam itu.

Agaknya, Tun masih belum lupa peristiwa 1987 bilamana Razaleigh cuba mempelantingkannya dari kedudukan Presiden UMNO dan juga PM. Tun seperti mati hidup semula apabila hanya 43 undi penyelamat nyawanya pada ketika itu . Jika tidak, Razaleigh sudah menguasai kedudukan politik negara dan me'nyah'kan Mahathir yang digelarnya sebagai ‘keling’.

Razaleigh yang menjadi regu juga kepada pembakar jambatan Rais Yatim, akhirnya kecewa dengan UMNO Baru dan mengalih perhatian penyokongnya dengan mewujudkan Parti Semangat 46 pada tahun 1988.

Ketika mengetuai Semangat 46 Razaleigh meng'ada'kan gagasan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Pada saya, cukup banyak masalah yang dihadapi oleh PAS ketika mengambil seorang seperti Razaleigh yang mempunyai kerangka fikrah yang berlainan dengan perjuangan PAS.

Sahabat kepada Ananda Krishnan ini akhirnya membakar kesemua jambatan hubungan dengan gerakan Islam PAS, lalu menjalinkan hubungan cintanya dengan UMNO dan BN pada 1996.

Betulkah kerana faktor Razaleigh yang mengetuai APU akhirnya membuatkan BN berjaya ditumbangkan pada pilihanraya ke 8 pada 1990 ?

Bekas Menteri Kewangan Malaysia ini sebenarnya sudah tidak mempunyai kuku dalam arena politik Malaysia. Sekejap menyokong UMNO dan BN, sekejap menyokong PAS, sekejap berkecuali dan kerap menyendiri. Percakapannya yang tidak konsisten membuatkan masyarakat tertanya-tanya ke mana arah tuju politiknya

Ramai yang mengatakan bahawa di Kelantan sendiri Razaleigh banyak bergantung kepada faktor istana. Jika tidak, kenapa Kelantan tidak dapat ditawan oleh UMNO sedangkan beberapa bulan sebelum pilihanraya, Razaleigh menyertai Awang Adek dan kepimpinan BN membelasah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan PAS.

Sesama UMNO Kelantanpun, Annuar Musa bimbang jika Razaleigh diletakkan sebagai calon DUN. Apakah kerana ketokohannya sangat atau kerana 'sayap' ghaib yang mungkin memanyunginya ?

Apapun bagi penyokong parti rakyat, Tengku Razaleigh sudah sepatutnya menjadi musuh utama politik mereka.

Rakyat tidak mahu Abdullah Ahmad. Rakyat juga tidak mahu Najib dan Rafidah. Walaupun adanya Razaleigh, ia juga seharusnya diketepikan oleh ahli-ahli UMNO lebih-lebih lagi jika agenda perjuangan Islam diutamakan.

Thursday, March 20, 2008

Kedah : Kenderaan Exco dirosakkan ?

Alor Star, 20 Mac - Sejumlah lima buah kenderaan rasmi kepunyaan Kerajaan Negeri Kedah dipercayai telah dirosakkan oleh pihak tertentu.

Kenderaan jenis Perdana kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco) yang sentiasa diletakkan di dalam bangunan Wisma Darul Aman Alor Star didapati tidak dapat berfungsi seperti biasa.

Ada yang telah ditukarkan tayarnya, ada yang tayarnya tidak sama saiz, ada yang tidak dapat dihidupkan enjin dan bermacam lagi.

Menurut laporan dalaman, beberapa orang Exco Kerajaan Negeri Kedah yang baru dilantik masih belum dapat menggunakan kenderaan rasmi mereka.

Salah seorang Exco yang ditemui mengaku kenderaannya dicadang untuk dihantar ke bengkel kereta bagi diperbaiki.

Beberapa kakitangan Wisma Darul Aman yang ditemui melahirkan rasa kehairanan bagaimana kenderaan yang diletakkan di tempat meletak kereta di bangunan tersebut boleh rosak serentak lima buah sekaligus.

Mereka berharap punca kejadian dapat disiasat dan jika ada dalang yang terlibat, haruslah dibawa kemuka pengadilan.

Wednesday, March 19, 2008

Maulidur Rasul

Maulidur Rasul disambut setiap tahun di Malaysia. Kali ini sirah kelahiran Rasulullah saw, perjuangan dan ajaran yang dibawa Rasul sehingga mewujudkan satu tamadun kemanusiaan di seluruh pelusok dunia, dapat didengar dan dilihat secara langsung di lima negeri yang dimenangi oleh Barisan Rakyat.

Lihat di Pulau Pinang seperti yang ditulis Pak Tuan.

Manakala di Kedah, iaitu di Stadium Sultan Abdul Halim, akan diadakan ceramah sempena sambutan tersebut yang akan disampaikan oleh YAB Ustaz Azizan Razak, YAB Tuan Guru Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat dan YB Tuan Guru Ustaz Abdul Hadi Awang.

Tarikh : 20 Mac 2008 jam 9.00 malam.

Manakalanya pada 21 Mac 2008, khutbah Jumaat di Masjid Al Bukhary dijangka akan disampaikan oleh YAB Tuan Guru Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sesungguhnya sifat pengasih dan penyanyangNya ada di mana-mana.

Rafidah mempersoalkan Abdullah Ahmad

Hampir 33 tahun dalam politik dan 22 tahun dalam kerajaan, Rafidah Aziz seperti tidak dapat menerima keputusan Abdullah Ahmad yang tidak melantiknya semula kejawatan menteri.

Dalam sidang akhbarnya hari ini, Rafidah mempersoalkan tindakan Abdullah yang melantik Ng Yen Yen dari MCA sebagai menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedangkan dirinya yang menang di Kuala Kangsar diketepikan.

Rafidah juga memaklumkan bahawa, sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita BN beliau tidak diberikan apa-apa jawatan.

Kata Rafidah lagi, inilah kali pertama dalam sejarah, wanita UMNO tidak diberikan kerusi di dalam kerajaan.

Rafidah sepatutnya bersyukur kerana 22 tahun baginya adalah jangkamasa yang sama seperti dilalui mantan PM iaitu Tun Dr Mahathir. Sepatutnya Rafidah sudah di'buang' lebih awal.

Mungkin agaknya Rafidah sedang berkira-kira, kenapa agaknya kekalahan BN dalam PRU ke 12 ini menjadikan dirinya sebagai mangsa.

Apakah makcik UMNO ini mahu mengikuti jejak Mukhriz Mahathir, Radzi Sheikh Ahmad, Tengku Razaleigh atau hanya 'testing the market' agar Abdullah mengubah fikiran dan memberikan jawatan yang serupa seperti yang diberikan kepada Shahrizat Abdul Jalil ?

Surat Rafidah kepada Abdullah tidak ada di dalam pasaran. Apakah agaknya isi warkah tersebut yang ditujukan kepada Abdullah ?

Rafidah memendam perasaan dengan membawa cucunya bersama di dalam sidang akhbar tersebut. Beliau memberitahu, cucunya gembira setelah mengetahui erti persaraannya yang kini membolehkan Rafidah dan cucu tersebut bersama setiap hari.

Persaraan untuk bersama cucunya sepatutnya sudah difikirkan dan diputuskan Rafidah beberapa tahun yang lalu.

Atau, dalam situasi ini jika tidak diberikan apa-apa jawatan, Rafidah ingin dan akan mengajak Abdullah untuk bersama-samanya mengecapai erti persaraan sebagai ahli dan ketua BN yang gagal menyelamatkan parti UMNO dan BN yang lebih lama diwujudkan berbanding penglibatan mereka berdua di arena politik ?

Apakah isi warkah Rafidah kepada Abdullah?

Alahai Abdullah ! Semua jari-jemari menuding ke arah Perdana Menteri Malaysia kelima. Belum lagi kedengaran suara Samy Vellu memanggil PM dari persemadian keranda politiknya.

Berapa lama lagikah jangka hayat PM dan kerajaan BN, jika anai-anai sudah mula mengerit dari pelbagai sudut?

Tuesday, March 18, 2008

Kabinet Malaysia 2008 - Sementara ?

Pilhanraya berlalu sepuloh hari yang sudah. Maka PM Abdullah Ahmad mengumumkan senarai kabinetnya tengahari ini.

Tidak seperti pilihanraya pada tahun 2004. Ketika itu Abdullah sangat bangga dan gembira dengan pengumuman kabinetnya. Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dan juga "kerja bersama saya" menjadi kata-kata keramatnya.

Entah, tahun 2008 mungkin merupakan tahun dipanah petir dalam politiknya. Tidak semesra dulu. Suara-suara dari partinya sendiri UMNO, memintanya meletakkan jawatan.

Berapa lamakah kabinetnya mampu bertahan? Barisan rakyat yang dikepalai Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang sudah memulakan kabinet bayangan dan sedang menanti sesuatu yang sukar untuk diramalkan.

Apapun, untuk sementara waktu, senarai kabinetnya adalah seperti berikut.

Perdana Menteri : Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Timbalan Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Razak

JABATAN PERDANA MENTERI
Menteri :
Tan Sri Bernard Dompok Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (senator) , Datuk Amirsham A Aziz (senator)
Timbalan : Datuk Johari Baharum, Datuk Dr Mashitah Ibrahim (senator), S K Devamany, Datuk Hasan Malek

KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Menteri : Datuk Seri Syed Hamid Albar
Timbalan : Datuk Chor Chee Heung , Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (senator)

KEMENTERIAN KEWANGAN
Menteri : Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Menteri II : Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
Timbalan : Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Datuk Kong Cho Ha

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
Menteri : Datuk Ong Tee Keat
Timbalan : Datuk Anifah Aman

KEMENTERIAN KERJA RAYA
Menteri : Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed Timbalan Datuk Yong Khoon Seng

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Menteri : Datuk Peter Chin Fah Kui Timbalan A Kohilan Pillay (senator)

KEMENTERIAN TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI
Menteri : Datuk Shaziman Abu Mansor Timbalan Datuk Joseph Salang Gandum

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI
Menteri : Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Datuk Liew Vui Keong Timbalan , Datuk Jacob Dungau Sagan

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI
Menteri : Datuk Mustapa Mohamed Timbalan Datuk Rohani Abdul Karim

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA
Menteri : Datuk Shahrir Abdul Samad Timbalan Jelaing anak Mersat

KEMENTERIAN PELAJARAN
Menteri : Datuk Hishammuddin Hussein Timbalan Datuk Dr Wee Ka Siong Timbalan, Datuk Razali Ismail

KEMENTERIAN PENERANGAN
Menteri : Datuk Ahmad Shabery Cheek Timbalan Datuk Tan Lian Hoe

KEMENTERIAN PERPADUAN, KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN
Menteri : Datuk Mohd Shafie Apdal Timbalan Teng Boon Soon

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Menteri : Datuk Dr S Subramaniam Timbalan Datuk Noraini Ahmad

KEMENTERIAN SAINS TEKNOLOGI DAN INOVASI
Menteri : Datuk Dr Maximus Ongkili Timbalan Fadillah Yusof

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN
Menteri : Datuk Ong Ka Chuan Timbalan Datuk Robert Lau Hoi Chew, Datuk Hamzah Zainudin

KEMENTERIAN PERTAHANAN
Menteri : Datuk Seri Najib Razak Timbalan Datuk Wira Abu Seman Yusop

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH
Menteri : Tan Sri Muhammad Muhd Taib Timbalan Tan Sri Joseph Kurup Timbalan, Joseph Entulu Belaun

KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Menteri : Datuk Seri Dr Rais Yatim Timbalan Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
Menteri : Datuk Ismail Sabri Yaakob Timbalan Wee Jeck Seng

KEMENTERIAN KESIHATAN
Menteri : Datuk Liow Tiong Lai Timbalan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI
Menteri : Datuk Noh Omar Timbalan Datuk Saifuddin Abdullah

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA,KELUARGA DAN MASYARAKAT
Menteri : Datuk Dr Ng Yen Yen Timbalan Noriah Kasnon

KEMENTERIAN PELANCONGAN
Menteri : Datuk Seri Azalina Othman Said Timbalan Menteri Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN
Menteri : Datuk Zulhasnan Rafique Timbalan Menteri Datuk M Saravanan

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
Menteri : Datuk Seri Khaled Nordin Timbalan Menteri Datuk Dr Hou Kok Chung , Datuk Idris Haron

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
Menteri : Datuk Douglas Uggah Embas Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh

-Bernama

Monday, March 17, 2008

Kedah:Cukai tanah 30%, tonton bola percuma, elaun dipotong

Pembaharuan di Kedah.

1.Penurunan cukai tanah 30%;

2.Tiket menonton bola tanpa bayaran, dan

3.Pemotongan elaun Menteri Besar dan semua Exco

Terperincinya akan menyusul.

MB Perak yang kesepuloh


Ir Mohamad Nizar Jamaludin, ADUN PAS dari kawasan Pasir Panjang hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baru negeri Perak dihadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Beliau merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak.

Bagi penduduk negeri Perak, Dato' Tajol Rosli Ghazali, bekas Menteri Besar yang juga ADUN Pengkalan Hulu (Keroh), perlu disingkirkan dari kerusi DUNnya itu. Gerakan perlu dimulakan dari sekarang.

Tajol sama seperti pemimpin UMNO di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Selama ini mereka tidak melakukan apa-apa kepada bangsa Melayu. Seperti kata Naib Presiden PAS Malaysia Mohamad Sabu, "orang Melayu Pulau Pinang sudah hidup berpindah-randah ke Sungai Petani, Kulim dan Lunas".

Apa yang dilakukan oleh UMNO Pulau Pinang ? Berapa kerat orang Melayu yang menjalankan perniagaan di KOMTAR ? Berapa ramai yang berniaga di bazar Butterworth ? Berapa ribu penduduk Melayu mempunyai rumah di tanah kepulauan itu ?

Abdullah Ahmad dan pemimpin UMNO Pulau Pinang perlu dihapuskan dari peta politik Pulau Pinang. Begitu juga, Tajol Rosli 'lalang' yang juga pelakon air mata politik tidak sepatutnya kelihatan di arena politik Malaysia.

Tajol dikatakan hanya menjadi wakil rakyat kepada lima individu di Keroh. Desas desus juga mengatakan, dalam pilihanraya yang lalu, ada yang terhutang beberapa juta dalam kempen membantunya. Betulkah ?

Lima indidividu ini perlu membantu untuk mengangkat Tajol yang sudah rebah. Jangan biarkan ia menangis bersendirian.

Berat mata memandang, berat lagi hati mahu menerima mereka!

Saturday, March 15, 2008

Seribu tahun lagi BN tidak akan berkuasa jika...

Belum sampai satu minggu, UMNO sudah gelabah. Apakah demonstrasi jalanan yang dahulunya dikatakan kerja beruk kini telah diamalkan oleh beruk-beruk dalam UMNO?

Orang Penang tidak perlu ikut rentak UMNO yang gundah akibat dimalukan. Negeri yang Abdullah Ahmad sebagai Ketua Perhubungan UMNO dan juga sebagai Perdana Menteri menjadi ketua, sudah disapu bersih parti pembangkang. Sudah tentu rasa malu pun ada, rasa hendak membunuh diri pun ada. Ini perkara biasa di dalam politik.

Baru satu minggu UMNO tidak berkasut. Parti rakyat sudah lama tidak berkaki kerana telah digergajikan oleh BN.

Saya pernah menulis di sini beberapa bulan yang lalu, jika parti rakyat (ketika itu parti alternatif) dapat memerintah di Malaysia, nescaya UMNO dan BN tidak akan kembali kepada kuasanya untuk beratus tahun lagi.

Untuk memasang bendera, untuk dihimpunkan ke mana-mana majlis, hatta berdemo di hadapan KOMTAR kelmarin pun, mereka memerlukan wang. Tanpa wang, perjuangan bagi UMNO adalah ibarat manusia yang terlondeh.

Juga, seringkali saya memberitahu wakil rakyat UMNO yang saya kenali. UMNO tidak ada badan kebajikan sendiri. UMNO tidak seperti parti PAS, MCA, DAP dan lain-lain parti. Parti pembangkang ada badan kebajikan sendiri. UMNO hanya mengharapkan jabatan-jabatan kerajaan yang dianggap sebagai cawangan parti mereka.

Ini masanya UMNO dan BN mendesak Abdullah Ahmad, Ong Ka Ting, Samy Vellu dan pemimpin yang muka tidak malu dalam BN meletakkan jawatan. Kekalahan teruk selepas tujuh bulan menyambut kemerdekaan yang ke 50 sudah pasti akan menghiris dan melukakan.

UMNO dan BN dinasihatkan usah bermain dengan isu perkauman kerana Penang selama inipun diperintah oleh kaum Tionghua dari parti Gerakan. Tidak ada bezanya Gerakan dan DAP. Lihat sahaja proses peralihan kuasa yang sangat mesra diantara Tsu Koon dan Guan Eng. DAP bukan parti komunis.

Berikan parti rakyat satu peluang. Biar mereka memerintah lima tahun pertama dengan acuan mereka sendiri seperti mana Tok Guru Nik Abdul Aziz memimpin rakyat Kelantan.

Bukan seratus tahun lagi, InsyaAllah sampai kiamat pun BN tidak akan dikembalikan kepada kuasanya jika cara mereka memerintah seperti sekarang dikekalkan.

Friday, March 14, 2008

Jangan gabra, tsunami politik Malaysia

Hangat sungguh impak pilihanraya 2008. Abdullah Ahmad seolah-olah gagal menangani apa yang sedang berlaku lebih-lebih lagi kegagalan media arus perdana memainkan peranan yang sewajarnya.

Suasana politik Malaysia seperti berada diluar kawalan Abdullah.

Mukhriz Mahathir telah memulakannya sekali lagi. Sama seperti bapanya, beliau meminta Abdullah Ahmad meletakkan jawatan. Jika tidak bencana lebih besar boleh berlaku. Mukhriz diletakkan di parlimen Jerlun untuk dikorbankan namun kerana jasa bapanya di sana, ianya diselamatkan bukan sahaja oleh orang UMNO tetapi juga oleh orang PAS dan PKR.

NGO MIC pula mendesak Samy Vellu menyerahkan jawatan tertinggi parti kepada orang yang benar-benar berwibawa.

Chua Soi Lek dikatakan mahu Ong Ka Ting meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA. Di Pulau Pinang berlakunya tunjuk perasaan sebentar tadi (petang). Ahli UMNO yang kecewa membangkitkan isu ketuanan Melayu.

Di Perlis, difahamkan pihak istana telah menolak Shahidan Kassim dari terus memegang jawatan Menteri Besar. Istana telah merestui Dr Md Isa Sabu ADUN Bintong sebagai Menteri Besar yang baru.

Terengganu juga bermasalah. Apakah istananya mengambil langkah yang sama seperti di Perlis?

Semuanya kelam-kelibut seperti berlakunya tsunami.

Kita tunggu dan lihat apa seterusnya...

Thursday, March 13, 2008

Negara Kebajikan PAS atau Perlis?

Negara Kebajikan seperti yang diuar-uar PAS telah melahirkan kebimbangan dan kekecohan dikalangan kepimpinan BN.

Seluruh jentera kerajaan digunakan oleh Abdullah Ahmad, Najib Razak, ahli kabinet dan sekalian tali barut mereka yang tidak memahami konsep tersebut untuk menyeleweng pemikiran masyarakat.

Media perdana yang diketuai oleh pengarang-pengarang hadhari menjadi alat propaganda atau ‘barua’ dalam mempromosikan dakyah kerajaan BN. Saban hari disiarkan berita-berita yang boleh dipersoalkan kesahihannya.

Ketua Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub menjelaskan, “adalah sesuatu yang dangkal apabila seorang pemimpin cuba memberitahu rakyat bahawa Negara Kebajikan akan menyebabkan Malaysia menjadi bangkrap”.

Sabda Nabi Muhammad saw bermaksud, “kalau ada ummatku yang kelaparan, akulah orang pertama yang akan berlapar, dan jika kekenyangan dikalangan umatku, maka akulah orang yang terakhir sekali akan kenyang”.

Pilihanraya kedua belas menyaksikan Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan juga Wilayah Persekutuan kini berada dalam pentadbiran Kerajaan Rakyat.

Kejatuhan BN, sebuah kerajaan yang dipimpin oleh mereka yang sombong, angkuh dan dungu membuatkan Abdullah dan konco-konconya sedang mencari kasut baru untuk dipakai. Sedangkan parti rakyat telah lama dihina, dinafikan hak dan dipotong kaki mereka.

Bagi saya negara kebajikan harus dilihat dari dua cabang yang bermula dari pangkal yang sama.

Pertama, kebajikan yang lahir dari dalaman dan yang ada hubungan dengan Allah atau pencipta alam.

Keduanya, kerja-kerja kabajikan yang mestilah dilihat membawa kebaikkan sesama manusia dan makhluk lain.

Walaupun Perlembagaan dan pelaksanaan undang-undang di Malaysia ada hubungkait dengan manusia, ianya juga wajib diredhai dan diberkati seperti undang-undang di Madinah. Kerajaan Kelantan boleh dijadikan contoh dan ikutan.

Ulama, Imam-imam, guru-guru, kakitangan kerajaan, ketua-ketua masyarakat, pengamal media, pelajar, blogger, internet dan sebagainya mestilah berperanan mengikut acuan negara kebajikan atau negara rakyat.

Hari ini di Malaysia, bagi pemimpin BN, kebajikan bermakna mengisi tembolok kaum keluarga dan kroni mereka. Jika adapun rakyat yang mendapat faedahnya, itu adalah serpihan atau kuahnya sahaja.

Yuran sekolah RM5.00 dimansuhkan untuk rakyat jelata tetapi pelbagai yuran berjumlah RM120.00 wajib dibayar. Ini (RM5.00) adalah contoh negara kebajikan BN.

Media dikerah membohongi rakyat supaya kejelekkan pemimpin BN terlindung, hidup selesa dan selamat. Kenaikkan harga barang makanan tidak dipedulikan. Penduduk di Baling, di Gua Musang, di Bota dan sebagainya dihimpit isu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dalam masa yang sama ketika keringat berdarah rakyat Malaysia mengalir, di ketika itulah Abdullah Ahmad menerima gaji bulanan RM60,000.00. Menteri-menterinya mendapat gaji bulanan RM40,000.00. Kroni-kroni mendapat habuan beratus juta. Inilah yang dimaksudkan dengan negara kebajikan BN.

Rasuah yang berleluasa, PDRM dan BPR yang hilang arah diperkudakan pemimpin BN dan IPCMC sudah menjadi temberangan Abdullah. Semuanya menguntungkan pemimpin hadhari BN.

Penjaja kecil disaman, harga susu naik, kos rumah meningkat, Melayu India Cina yang bukan kroni dipinggirkan, sistem pendidkan negara diniagakan, rawatan kesihatan akan dilacurkan kepada kroni dengan bayaran yang tinggi, dirobohkan surau dan kuil sesuka hati, tol yang tersangat tinggi, gejala sosial yang tidak dipeduli, komisyen dalam pembelian harta negara, kronisma, nepotisma dan pelbagai masalah rakyat diperlekekhkan oleh Abdullah dan kabinet BN. Itulah negara kebajikan BN, dipayungi sistem hadhari Islam.

Koridor berbillion ringgit, projek beratus juta, pembangunan tidak seimbang, pendidikan dan kesihatan yang dimilik peribadikan menguntungkan siapa ?

Apa guna semua itu jika parit depan rumah tersumbat, elektrik, air, sekolah, jalanraya, cukai pintu, cukai tanah dan sebagainya yang menyakitkan.

Rakyat menderita dan diperbodohkan.

Bagi PAS dan parti alternatif lain, ideologi negara kebajikan bukan sahaja sepatutnya menjadi ideologi politik yang difahami oleh orang Islam tetapi juga perlu difahamkan kepada yang bukan Islam.

Negara kebajikan atau negara rakyat mesti berfungsi sebagai pelindung, pengawal dan hakim kepada aktiviti negara . Bukan hanya pelindung dari segi ketenteraan. Apa guna pagar-pagar yang kuat untuk melindungi penghuni yang rapuh dan tidak bernilai?

Penghuni negara wajib kaya dari segi akidah, mentaliti, ekonomi dan sosial.

Apa guna bangga dengan undang-undang negara seperti ISA, OSA, Akta Percetakan, AUKU dan akta dracula yang lain yang tidak ada pertalian dengan kehidupan manusia.

Kata Salahuddin, “ lihat bagaimana Kelantan menyediakan kemudahan untuk keselesaan rakyat seperti projek Jihad Ternak, Takaful Armalah, Takaful Khairat Kematian untuk warga emas, Ladang Rakyat, bantuan perubatan untuk pesakit kronik dan sebagainya. Ia langsung tidak menjejaskan negara, tetapi memberi manfaat besar kepada rakyat. Jika ia boleh menjejaskan negara sehingga bangkrap, sudah tentu negeri semiskin Kelantan sudah lama bangkrap”.

Saya mencadangkan agar Menteri Besar atau Ketua Menteri di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor menjadi exco kebajikan di negeri masing-masing . Jika tidak, melantik exco kebajikan dari kalangan mereka yang pro-aktif.

Masalah remaja, rakyat miskin, keganasan rumah tangga, pembuangan bayi, gantung tidak bertali, rempit, dadah, anak angkat, penganiayaan, kebakaran, banjir, penyakit kronik, bantuan kewangan untuk ibu tunggal, warga tua, orang kurang upaya, keluarga banduan, rumah anak yatim, rumah perlindungan OKU, rumah orang tua dan beratus masalah yang melibatkan kebajikan manusia dari lahir sehingga mati, berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kenapa selama ini Shahidan Kassim bekas Menteri Besar Perlis gagah di negeri Darul Sunnah itu? Exco Kebajikan dipegangnya sendiri.

Tuesday, March 11, 2008

Abdullah Ahmad, letak jawatan dan bawa sama penghisap darah

Abdullah Ahmad tidak seperti Koh Tsu Koon, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang. Koh sanggup meletak jawatan sebagai pemangku Presiden parti Gerakan setelah prestasinya dan prestasi parti Gerakan begitu jijik sekali dalam pilihanraya kedua belas pada 8 Mac 2008. Koh kelihatan seperti bermaruah dalam hal ini.

Abdullah sama perangai seperti Samy Vellu. Setelah orang India Malaysia memberikan markah merah dikad prestasi wakil yang mereka sokong selama ini, wakil yang mereka anggap sama seperti tuhan dan wakil yang sepatutnya membantu mereka, Abdullah dan Samy dengan muka tak malu masih mahu mengekalkan kuasa.

Sikap Abdullah dan Samy di'ciplak' oleh Tajol Rosli, bekas Menteri Besar Perak. ADUN Pengkalan Hulu (Keroh) di kampong saya. Tajol yang saya ibaratkan seperti lalang, entah dimana dia sekarang. Masih menangiskah dia?

Tajol pernah melalui stiausaha politiknya, Hasbullah Othman, marahkan saya kerana surat empat muka saya kepada beliau yang mencadangkan pembangunan di Hulu Perak. Tajol dan Hasbullah masih kekampungan. Tidak dapat menerima pandangan yang bernas.

Saya kurang mengerti kenapa masih ada pengundi di kawasan saya yang mahukan Tajol. Demokrasi agaknya.

Adakalanya saya berfikir-fikir untuk bertanding dalam pilihanraya di tempat saya . Menjadi wakil kepada masyarakat di Hulu Perak terutama sekali di Keroh. Membangunkan minda penghuni kampung’ku’. Membangunkan mereka dari segi kerohanian juga.

Apa kata AJK UMNO Bahagian Pengkalan Hulu (Keroh) dan Gerik pada ketika saya melontarkan fikiran saya itu ? Mengejutkan.

“Kalau hang takdak duit, hang jangan cuba bertanding. Sekarang masa duit. Apa yang hang boleh buat kalau setakat ayak liok(air liur) sahaja. Tak kira parti mana hang masuk”. Inilah agaknya yang diajar oleh Tajol kepada anak buahnya di Keroh dan Gerik.

Maka akan rebah dan menangislah kroni Tajol dengan runtuhnya legasi ‘UMNO dan duit” itu.

Apapun, Abdullah Ahmad, PM Malaysia sewajibnya sudah pergi. Abdullah pembawa bencana politik di Malaysia. Kata Tun Dr Mahathir, “dia sepatutnya bertanggungjawab dengan kekalahan teruk ini”.

Apa lagi Abdullah. Masih belum fahamkah ?

Berangkatlah. Bawa bersama Samy, Tajol, Shafie Afdal dan Rafidah serta konco-konco penghisap darah rakyat Malaysia selama ini.

Rumah sudah berkata pergi, kuburpun sudah berkata mari. Apakah masih mahu tunggu arahan Khairy?

(gambar dari Detikdaily)

Monday, March 10, 2008

Keputusan PRU 12 bagi negeri

Menteri Besar Kedah yang kesepuloh

Ustaz Azizan Abdul Razak dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang kesepuloh oleh Sultan Kedah petang Ahad semalam.

Azizan, 64 tahun yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah memenangi kawasan N20 Sg Limau di bawah Parlimen Jerai mengalahkan Basorri Abu Hassan (BN) dengan majoriti 3212 undi. Azizan memperolehi 12028 undi manakala Basorri 8816 undi. Peratusan yang keluar mengundi ialah 83.68%.

Istiadat menerima watikah berlangsung di Wisma Darul Aman, Alor Star Kedah.

Rakyat Kedah mengharapkan satu pentadbiran yang telus dan beretika.

Selamat menjalankan tugas.

Sunday, March 9, 2008

Kem.Wanita hilang tiga orang politiknya

Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat kehilangan tiga orang kuat politiknya dalam tsunami PRU ke 12 pada 8 Mac 2008 yang lalu..

Chew Mei Fun Setiausaha Parlimennya dibenam di PJ Utara oleh penasihat ekonomi kepada Lim Kit Siang, Tony Pua. Chew memperolehi 17,879 undi manakala Tony 37,851.

Hulu Selangor menjadi saksi kepada terjunamnya orang kuat Samy Vellu yang juga Timbalan Menteri Kementerian berkenaan iaitu G. Palanivel kepada Zainal Abdidin Ahmad (PKR) dengan majoriti 198 undi.

Manakala Shahrizat Abdul Jalil, menterinya kalah kepada Nurul Izzah dari PKR dengan majoriti 2895 undi di Lembah Pantai.

Siapakah yang akan mengisi kekosongan mereka bertiga ?

Keputusan PRU 12 - Satu renungan

KEDUDUKAN KERUSI DEWAN RAKYAT YANG DIMENANGI

NEGERI JUMLAH KERUSI BNPASDAPPKR JUMLAH

CLNMTBCLNMTBCLNMTBCLNMTB
PERAK
3 3 0 0 0 0 0 0 0 3
KEDAH
15 4 0 6 0 0 0 5 0 15
KELAN
14 2 0 9 0 0 0 3 0 14
TGANU
8 7 0 1 0 0 0 0 0 8
P PINANG
13 2 0 0 0 7 0 4 0 13
PERAK
24 13 0 2 0 6 0 3 0 24
PAHANG
14 12 0 0 0 0 0 2 0 14
SELANGOR
22 5 0 4 0 4 0 9 0 22
W.P. K.L
11 1 0 1 0 5 0 4 0 11
W.P. PJAYA
1 1 0 0 0 0 0 0 0 1
N.9
8 5 0 0 0 2 0 1 0 8
MELAKA
6 5 0 0 0 1 0 0 0 6
JOHOR
26 24 1 0 0 1 0 0 0 26
W.P. LABUAN
1 1 0 0 0 0 0 0 0 1
SABAH
25 20 2 0 0 1 0 0 0 23
SARAWAK
31 24 5 0 0 1 0 0 0 30
JUMLAH 222 1298230280310 219



Kuasa rakyat, makkal sakti atau people's power.

Syabas BA, UMNO perlu ajar Abdullah dan KJ

Pilihanraya ke 12 telah berlalu. Rakyat telah membuat keputusan. Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor berjaya menubuhkan kerajaan pembangkang. Tahniah kepada pejuang-pejuang Barisan Alternatif.

PAS memenangi 14 kerusi, DAP 1 kerusi, PKR 4 kerusi dan Bebas 1 kerusi di Kedah. Berjaya menubuhkan kerajaan alternatif.

BN Selangor berjaya mendapat 20 DUN berbanding 56 kerusi. Bermakna BN akan meninggalkan kerajaan negeri.

Di Pulau Pinang BN mendapat 11 daripada 40 kerusi DUN. Kelantan sapu bersih 38 daripada 45 kerusi.

Di Perak BN mendapat 28 DUN dari 59 kerusi.

Masih ada masa untuk menentukan masa depan Abdullah Ahmad PM Malaysia. Jika orang Melayu dalam UMNO masih ada maruah, perhimpunan UMNO perlu dijadikan medan untuk mengajar Abdullah dan menantunya Khairy Jamaludin. Nyahkan mereka dari UMNO.

Mulakan kempen dari sekarang.

Tahniah PAS, PKR dan DAP.

Saturday, March 8, 2008

Munajat...


Pemimpin dan seorang pejuang

Friday, March 7, 2008

8 Mac Hari Perubahan

Diantara yang perlu dipilih...









Thursday, March 6, 2008

Hangatnya Kedah

Analisis 2

Kata Rozai bekas spekaer Kedah, masyarakat Siam di Pendang sangat marah kepada UMNO terutama sekali kepada Suraya. Itu apa yang di 'bisik-bisik'kan oleh penduduk tempatan.

DUN Siputeh di Jerlun tiada perubahan. Abu Hasan (BN) masih ditakok lama. Pengundi mahu perubahan. Abu Hasan akan gulung tikar.

Johari Baharom bermasalah di Kubang Pasu. Jitra pula dikejutkan dengan Ku Fatimah isteri Saad Man (bekas sup Tun). Kata Fatimah, jika tanggungjawab sebagai suami tidak dapat dilaksanakan, bolehkah suaminya itu menjadi pemimpin ?

Calon Parlimen Pokok Sena, bekas guru yang cukup berpengalaman, Abdul Rahman Ibrahim dituduh terlibat dalam skandal pemalsuan 'master'nya di Universiti Utara Malaysia.

Apakah Chor Chee Heung dapat bertahan di Alor Star ? Lawannya dari PKR, Gooi Leung.

Chong Itt Chew (BN) sudah banyak penggal. Pengundi Cina memberitahu, "dia sudah boleh berhenti".

Jerai, Badruddin sahabat 'tutup mata sebelah' sudah pasti menerima tentangan hebat daripada Firdaus Jaafar (PAS).

Calon Merbok (BN) Zainuddin Maidin sudah 'lari' ke Sungai Petani. Kata pengundi Cina dan India yang ditemui, "dia tak boleh buat kerja. Kasi kacau saja. Ini kali mau ajar dia".

Krishnan calon BN dari Bukit Selambau orang baru. Kata orang kuat Saravanan, bekas ADUN di sana, "Krishnan susah. Dia ni kedekut. Macamana nak jadi wakil rakyat".

Calon PKR Gobalakrishnan di Padang Serai diramalkan akan menang. Penyokong Lim Bee Kau (bekas AP BN di Padang Serai ) berjanji akan memberikan sokongan kepada Gobala.

Kulim sangat panas ketika berita ini ditulis. Aziz Sheikh Fadzir (BN) sedang berhempas pulas menyerang balas Zulkifli Nordin (PKR), peguam Anwar Ibrahim . Begitu juga dua DUN di sana, Kulim dan Bandar Bharu diserang hebat.

Nampaknya, sesuatu yang luar biasa akan berlaku...bukan sahaja di Kedah tetapi juga di Pulau Pinang, Perlis, Terengganu dan Selangor.

Tidak sampai 34 jam lagi. Selamat mengundi.

Wednesday, March 5, 2008

Wartawan media perdana : Rezeki yang bagaimana?

Hebatnya wartawan media arus perdana. Sepanjang musim pilihanraya, banyak kerja yang perlu mereka lakukan.

Diantaranya menulis dan memapar berita yang semuanya menyokong Barisan Nasional. Dalam pada rakyat mengetahui pelbagai skandal dan rasuah kepimpinan BN, wartawan media arus perdana menerima gaji dari kerja pembohongan me'malaikat'kan BN. Cuba membersihkan kejijikan yang ada pada ketua-ketua mereka.

Gaji yang dibawa balik sudah tentu dijadikan sebahagian dari rezeki untuk ibu, bapa, isteri, anak-anak dan keluarga.

Jika ketua media hadhari menerima ganjaran beratus juta untuk melancarkan propaganda pilihanraya atau isu-isu sebelumnya, berapakah habuan yang diterima oleh wartawan dan pemberita sambilan yang malang ini ?

Adakah wartawan media arus perdana pernah dipaparkan terbabit dalam kes jenayah, merogol, tidak membayar hutang, mabuk dan terlentang di kaki lima bangunan akhbar, menghumban ibubapa mereka ke rumah orang tua, membeli ijazah dan sebagainya ?

Apakah mereka mengibaratkan diri sebagai telaga yang bersih dan sentiasa mengalirkan air yang jernih ?

Esok, di hari mereka di'tendang' keluar dari syarikat yang mereka ampu, akan kedengaran dan kelihatanlah, segala kejelekan yang akan dikatakan sebagai tidak disukai selama ini terhadap syarikat berkenaan.

Adalah lebih baik, sebelum di'halau' keluar, berhentikanlah mencari rezeki yang caranya tidak disukai oleh ahli keluarga lebih-lebih lagi yang dilarang oleh agama dan moral.

Pemimpin Contoh

Monday, March 3, 2008

Wan Azizah dan Pulau Pinang perhatian dunia

Berpeluangkah pembangkang menguasai Pulau Pinang dalam pilihanraya kedua belas nanti?

Sudah tentu 2008 tidak akan mengulang tayang senario 2004. Abdullah Ahmad ‘cucu ulama’ dan Mahathir ‘maha firaun’ bukan lagi isu utama.

Gelombang reformasi yang tercetus pada akhir tahun 1998 telah melahirkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 4 April 1999 . Parti itu kini bersama-sama PAS dan parti pembangkang lain serta badan sukarela sedang mengorak langkah bertempur bukan sahaja dengan parti politik terbesar negara, malah dengan satu sistem dan tamadun ala-Kemal Ataturk.

Idealisma Anwar Ibrahim dengan dokongan PAS dibawah kepimpinan Abdul Hadi Awang kini disokong bukan sahaja oleh orang Melayu, tetapi disangga oleh orang Cina, India, Siam dan lain-lain keturunan di Sabah dan Sarawak.

Dalam pilihanraya yang lalu di Pulau Pinang, DAP memenangi 5 kerusi dan PKR memenangi 1 kerusi. Manakala 9 kerusi parlimen lain dikuasai oleh BN.

Kawasan parlimen Permatang Pauh (P044) sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail 56 tahun, isteri mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, menjadi calon di sini.

Pirdaus Ismail, bekas Imam Masjid Negara yang dikenali sebagai ‘ustaz sepak tong’ menjadi pesaing Azizah. Pirdaus mewakili BN untuk kali keduanya manakala Azizah bertanding di sini untuk kali ketiga.

Ketika menjawab soalan CNN beberapa minggu yang lalu, Abdullah Ahmad PM Malaysia cuba mengalih perhatian dunia dengan mengatakan, “Anwar bukan penentu pilihanraya keduabelas”. Pemerhati politik percaya Abdullah sangat bimbang dengan pengaruh Anwar dan PAS. Lebih-lebih lagi DAP yang pernah impikan projek Tanjung di Pulau Pinang tidak akan melepaskan peluang keemasan ini.

Walau apapun, pilihanraya kali ini dijangka akan menyaksikan kebangkitan rakyat secara menyeluruh untuk menafikan perolehan duapertiga kuasa politik BN.

Isu utama ialah rasuah, penyelewengan dalam badan kehakiman, kepupusan integriti BPR, penipuan dan temberangan Abdullah berkaitan IPCMC, kenaikkan harga barang, kenaikkan harga petrol, isu pendidikan, isu kesihatan, Hindraf, kroni, menantu pengawal negara dan sebagainya merupakan ‘perkara’ yang masih belum basi.

Lebih mengejutkan lagi ialah kenyatan Tun Dr Mahathir ketika berkempen untuk anaknya Mukhriz di Jerlun baru-baru ini. Kata Tun, “Anwar tidak bersalah. Tapi ketika itu sukar mengawal keadaan”.

Apa yang pasti ialah pada pilihanraya 1999, Azizah mengalahkan Ibrahim Saad dengan majoriti 9077 undi. Pada pilihanraya 2004, Azizah berjaya menewaskan “ustaz sepak tong”dengan majoriti kecil. Pastinya juga, pengundi Permatang Pauh bukan seperti ‘kacang melupakan kulit’.

Penduduk Permatang Pauh bukan sahaja perlu berjanji sesuatu untuk Azizah dan Keadilan, malah kepada seluruh penduduk Malaysia dan dunia yang cintakan demokrasi.

Begitu juga, penduduk pelbagai kaum di Pulau Pinang ibarat singa yang cedera. Mungkinkah pilihanraya keduabelas ini bakal mereka terjemahkan BN sebagai mangsa?

Saturday, March 1, 2008

Mahdzir Khalid marah JK Koperasi Guru Melayu Kedah


‘Makkal Sakti’ atau kuasa rakyat bergema dimana-mana sahaja diceramah-ceramah Keadilan atau PAS. Adakah kuasa rakyat itu dapat mengubah keadaan sedia ada didalam pilihanraya kedua belas nanti?

Seperti kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Hj Mahfuz Omar, rakyat perlu bertindak supaya negara tidak dipimpin oleh orang yang korup, rendah akhlak dan hanya mementingkan diri sendiri.

Hj Mahfuz Omar yang juga calon PAS Parlimen Pokok Sena Kedah berasa hairan bagaimana beberapa orang calon dari BN yang telah ditapis oleh parti mereka dan juga BPR dapat melepasi kriteria ‘pembersihan dalaman’ seperti yang diwar-warkan oleh UMNO dan kerajaan yang lalu.

Sebagai contohnya beliau menegaskan, di kawasan utara iaitu di negerinya sendiri, calon UMNO bagi kawasan DUN Jitra, Aman Khan yang terlibat dalam kes pecah amanah telah disenaraikan pada awalnya untuk membarisi kepimpinan UMNO Kedah yang kemudiannya digantikan dengan Saad Man pada saat-saat terakhir setelah hal ini diketahui oleh orang ramai.

Begitu juga, Hj Mahfuz melahirkan rasa hairan apabila Mahdzir Khalid, Menteri Besar Kedah telah memberikan amaran keras kepada Pengerusi dan Jawatankuasa Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah yang dituduh sebagai dalang membocorkan rahsia berkaitan laporan Polis yang dibuat terhadap seorang lagi calon BN bagi kawasan Bukit Pinang di Kedah iaitu Che Omar Saad berkaitan kes pecah amanahnya yang dituduh bersama-sama Aman Khan.

Menurut Hj Mahfuz, Koperasi Guru berkenaan diberikan amaran keras oleh Mahdzir agar bertindak cepat dengan apa cara sekalipun bagi membersihkan dan menyelamatkan Omar. Difahamkan Omar dan UMNO Kedah kini sangat gusar dan bimbang dengan tindakan memprotes yang dilakukan oleh pengundi terutama sekali penyokong BN sendiri.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu juga memberitahu bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh kumpulan calon UMNO Bukit Pinang bagi menutup mulutnya. Walaubagaimanapun, Mahfuz menegaskan beliau tidak gentar dengan apa-apa gertakan atau ugutan kerana segala dokumen berkaitan dengan kes pecah amanah Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah telahpun beliau perolehi dari beberapa Balai Polis di sebelah utara Kedah.

Hj Mahfuz merayu kepada orang ramai terutama sekali pengundi di kawasan Parlimen Pokok Sena, DUN Bukit Lada, DUN Bukit Pinang dan DUN Derga agar memberikan kepercayaan kepada calon Barisan Alternatif didalam pilihanraya ini. Begitu juga beliau meminta agar pengundi memberikan sokongan kepada calon Barisan Alternatif di Kedah dan di seluruh Malaysia.

Calon kawasan Parlimen Pokok Sena adalah BN Abdul Rahman Ibrahim/ PAS Hj Mahfuz Omar, DUN Bukit Lada BN Ariffin Man/ PAS Mohd Izzat Mohd Shauki, DUN Bukit Pinang BN Che Omar Saad/ PAS Mohd Roshidi Osman dan DUN Derga BN Cheah Soon Hai/ DAP Teoh Teik Guan dan PKR Cheung Khai Yan.

Kata beliau lagi, keputusan yang bakal dibuat oleh pengundi akan menterjemahkan pasukan yang samada dapat menjalankan tugas dan memikul amanah rakyat atau sebaliknya..