Thursday, January 22, 2009

Kes Ananthan : Angkara 'athma' atau 'binatang'


Matinya Kugan Ananthan 22 tahun pemuda India di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya ketika dalam tahanan polis Malaysia menimbulkan pelbagai tandatanya.

Kata ibu mangsa, kematian mengerikan anaknya itu masih belum membuatkan keluarga mereka untuk menerima alasan Ketua Polis Selangor.

Gambar pun sudah ada. Kesan penderaan pun sudah dirakamkan.

Matinya dikatakan oleh Khalid Abu Bakar Ketua Polis Selangor itu sebagai "setelah minum segelas minuman dan setelah diserang 'athma'". Bermaksud dikala 'athma' menyerangnya, seluruh badannya menjadi seperti dihiris-hiris menggunakan benda tajam dan seperti dihentam menggunakan sesuatu. Begitukah ?

Hebat sungguh diagnosis KP Selangor itu.

Andaikan diagnosis itu tidak betul, siapakah binatang yang cuba merobek dan mengoyakkan badan Kugan ?

Bukan sahaja Abdullah Ahmad Perdana Menteri, malah Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Selangor adalah orang yang bertanggungjawab dalam malapetaka ini.

Penafian awal polis tanpa siasatan sangat-sangat memalukan rakyat Malaysia. Polis cuba mengibaratkan rakyat Malaysia sebagai 'orang utan' yang tidak mempunyai pemikiran.

Jika diagnosis KP Selangor adalah salah, rakyat Malaysia wajib mencari binatang mana yang melakukan kerja ini ?

Wednesday, January 21, 2009

Tuesday, January 20, 2009

Lebai yang macamana ?

Mengikut tafsiran Kamus Dewan, 'lebai" adalah gelaran bagi orang yang mengetahui hal-hal agama atau orang yang taat kepada agama. Untuk mengenal lebai dengan mudah, definisi itu dilebarkan pula kepada, bibirnya bergerak-gerak bagai lebai membilang tasbih.

Ada juga ikan dan daun yang bernama 'lebai'.

Ada juga 'lebai kelarah' - lebai yang busuk hati dan suka mengumpat. Pun begitu kamus tersebut mendefinisikan 'lebai ketayap ' kepada mereka yang menyangka dirinya mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama tetapi sebenarnya tidak.

'Lebai malang' pula ialah orang yang selalunya sial. Lebai yang suka menerima jemputan kenduri tetapi enggan datang untuk beribadat pula digelar 'lebai pulut' atau 'lebai tembolok'.

Polis di Kelantan menahan seorang remaja bernama Ahmad Nasir Darus berusia 28 tahun dan mendakwanya menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. Nasir cuma mengenakan serban 'lebai'nya.

Mahkamah di Kota Baharu menjatuhkan hukuman denda RM90.00 atau dua hari penjara. Nasir berpandangan bahawa memakai serban adalah sunnah Rasulullah dan oleh itu ia tidak patut mengaku salah di mahkamah.

Oleh itu Nasir memilih untuk dipenjarakan selama dua hari.

Sebenarnya, undang-undang Reid di Malaysia tidak mempunyai roh. Ia berjalan seperti mayat yang diusung. Terpulanglah kepada siapa pengusung mayat itu.

Dalam hal ini, polis di Kelantan menjadi pengusung mayat. Agaknya dia tidak dapat membezakan Nasir tergolong dalam kumpulan lebai yang mana ?

Lebai agama, lebai ikan, lebai daun, lebai ketayap, lebai malang atau lebai tembolok.

Atau polis tersebut merasakan bahawa ini merupakan kes baru iaitu kes 'lebai motosikal'.

Mahkamah Majistret di Kota Baharu berpandukan tafsiran 'lebai' mengikut pandangan pendakwa dan pembela di mahkamah itu.

Apa pula kata Ketua Polis Negara Musa Hassan:

KUALA LUMPUR 20 Jan. — Tindakan polis menyaman seorang pelajar pondok di Kota Bharu, Kelantan yang tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal bagi mengelak wujudnya trend pelajar sekolah menjadikan alasan sama untuk tidak memakai topi keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, semakin ramai pelajar khususnya dari sekolah agama yang cenderung untuk tidak memakai topi keledar dengan alasan memakai serban.

Beliau berkata, seharusnya perkara tersebut tidak berlaku kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa pengguna semasa di jalan raya. - Utusan Malaysia.

Di Kedah, Ketua Agamanya, Sultan Kedah memberikan kelonggaran kepada jamaah Jumaat yang menunggang motosikal dari memakai topi keledar pada waktu pergi dan balik solat Jumaat.

Dahulu, kecoh isu seperti ini di England dan di beberapa negara lain bilamana kaum Sikh memakai 'turban' dalam hal yang sama.

Akhirnya mereka menang di mahkamah negara-negara tersebut.

Agaknya definisi agama, ikan, daun, turban, malang atau tembolok tidak ada dalam kamus di negara-negara itu.

Apapun, kita tunggu mahkamah yang lebih tinggi di Malaysia membuat keputusan tentang definisi atau istilah 'lebai' ini. Bukankah Malaysia diwar-warkan sebagai negara Islam ?


Membiarkan polis menafsirkan undang-undang sudah tentu akan membawa kerosakkan dalam perjalanan negara.

Sunday, January 18, 2009

Keputusan rasmi : P 36 Kuala Terengganu


Sila klik
Keputusan rasmi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu (P36).
(Malaysiakini)

Saturday, January 17, 2009

PAS menang pilihanraya kecil Kuala Terengganu


Sesuatu yang memang sudah dijangka walaupun sedikit kegusaran sentiasa ada tentang keputusan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu (P36) pada hari ini.


Rakyat Terengganu berjaya membawa paradigma apabila memberikan sokongan dan menghargai kerja keras PAS, Keadilan dan DAP.


Lebih-lebih lagi bersedia menerima kepimpinan dan manifesto Pakatan Rakyat.


Kemenangan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut terhadap Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoiriti 2,631 undi ini sudah dikira membawa harapan baru kepada Pakatan Rakyat.


Pada pilihanraya kedua belas yang lepas, Dato’ Hj Razali B Ismail dari Barisan Nasional berjaya memperolehi 32,562 undi mengalahkan Mohamad Sabu (PAS) yang memperoleh 31,936 undi dan Maimun Yusof (Bebas) 685 undi. Undi majoriti adalah 628.


Pada ketika itu 66,132 dari 80,325 orang yang keluar mengundi iaitu kira-kira 82.45% yang mendaftar sebagai pengundi. Undi rosak ialah 931.


Menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pilihanraya kecil ini menyaksikan peratusan yang keluar mengundi ialah lebih 79%.


Dengan kepuutusan ini bermakna PAS menambah satu kerusi parlimen dari 23 kepada 24. Secara keseluruhannya Pakatan Rakyat menambah satu kerusi iaitu dari 82 kepada 83 kerusi.


Apapun seperti kata Dr Mahathir, menang satu undi pun dikira menang.


Namun bagi parti pemerintah yang hampir 52 tahun menerajui kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, yang mendakwa parti Islam yang terbesar, parti yang mendapat sokongan pelbagai kaum, parti yang dibarisi oleh ketua-ketua yang berpengalaman, melimpahkan projek di sana-sini dan sebagainya - Umno dan BN sepatutnya insaf dan sedar bahawa ‘rumah sudah kata pergi, kubur kata mari’.


Fahamilah erti gundah gulana orang lain. Tertarung kaki boleh diinai, tertarung hati susah ubatnya.

(Peta :Mypolitician)

Friday, January 16, 2009

Tun Dr M tidak mahu Farid di KT

Apa kata Tun Dr Mahathir mantan Perdana Menteri tentang calon Umno di Kuala Terengganu bagi pilihanraya kecil yang bakal diadakan esok - 17 Januari 2009 ?


"UMNO pula tak tahu pilih calon. Yang dipilih ialah bekas Setiausaha Politik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jelas pilihan calon UMNO tidak memperdulikan sentimen rakyat" kata Tun.

Tun memberitahu calon Umno ini cumalah pilihan Abdullah Ahmad Perdana Menteri sekarang. Calon ini bernama Farid. Ia tidak disokong oleh orang Umno, orang bukan Umno dan termasuk dirinya yang tidak mempunyai parti.

Tun mengatakan bahawa Farid yang menjadi pilihan Abdullah terkenal sebagai seorang yang sombong dan tidak tahu beramah mesra dengan orang.

Tun juga berpendapat, "dalam Pilihanraya kecil ini pengundi Kuala Terengganu berhadapan dengan dilema" setelah Umno dan BN tersalah pilih calon yang bernama Farid.


Ramai pengundi yang ditemui mengaku akan kenyataan Tun Dr Mahathir. Mereka berpendapat calon yang dikemukakan PAS, Wahid Endut adalah pilihan yang tepat untuk semua orang.

Pengundi di Kuala Terengganu boleh menerima idea Tun Dr Mahathir untuk tidak memilih Farid yang dikatakan sombong itu.


Mukhriz juga pening kepala dengan calon ini. Najib awal-awal lagi tidak mahu Farid. Zaid Ibrahim bantu PAS dan Keadilan di Kuala Terengganu. Ramai penyokong Umno dan BN berjanji akan memberikan sokongan kepada Wahid.


Bila lagi perubahan akan dilakukan ? Lakarkan sejarah di mata dunia bahawa Kuala Terengganu boleh mencipta nama seiring dengan kebangkitan rakyat.

Tiada Elektrik : Parti dan MB Perak yang mana

Siapa tidak pernah mendengar nama Ghazali Bin Jawi di Perak. Beliau merupakan mantan Menteri Besar Perak dan ayahanda kepada Tajol Rosli, Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak sekarang yang juga bekas Menteri Besar Perak.


Tajol yang pernah menangis bersendirian selepas kekalahan partinya dalam pilihanraya kedua belas yang lalu masih merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu - N1 (Keroh).

Sejak 1 Februari 1948, Perak diperintah oleh Parti Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional. Pemerintahan mereka genaph 60 tahun 01 bulan 01 minggu sehingga pada pilihanraya 08 Mac 2008 yang lalu.

Bermula dengan Abdul Wahab B Toh Muda Abdul Aziz pada 1 Feb 1948 diikuti oleh Mohamed Ghazali B Jawi, Shaari B Shafie, Ahmad B Said, Kamaruddin Mohd Isa, Mohamed Ghazali B Jawi sekali lagi, Wan Mohamed B Wan Teh, Ramli Ngah Talib dan Tajol Rosli Mohd Ghazali yang mengakhiri zaman pemerintahannya pada 16 Mac 2008.

Kini, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan ialah Mohd Nizar Jamaluddin dari parti PAS yang mewakili Pakatan Rakyat . Beliau mewakili DUN Pasir Panjang N51 sejak 17 Mac 2008.

Baca ruangan forum akhbar BH . Masuk akalkah dengan jawapan kepada aduan pengguna dari Keroh ini:

TENAGA Nasional Berhad (TNB) merujuk laporan pada 30 Disember lalu mengenai Kampung Simpang Perak, Air Panas, Pengkalan Hulu (Keroh), Perak ketiadaan bekalan elektrik.

Walaupun penempatan itu tidak jauh dari jalan raya, ia terletak jauh dari sistem bekalan TNB sedia ada.

TNB prihatin di atas kesulitan dialami penduduk Kampung Simpang Perak, Air Panas dan sentiasa berusaha agar bekalan elektrik dapat disalurkan kepada semua masyarakat.

JURUCAKAP TNB,
Pembahagian, TNB Perak.

Enam Menteri Besar Perak dipercayai berasal dari Hulu Perak. Sesudah 60 tahun pengguna elektrik di Keroh masih belum disediakan bekalan tersebut.

Siapa yang harus dipertanggungjawabkan. TNB atau Tajol yang berjaya menjutawankan lima penduduk di Keroh ?

Tajol masih mahu kembali menduduki kerusi Menteri Besar di Perak. Untuk apa lagi Tajol ? Sudahlah !

Tuesday, January 13, 2009

Hudud : Gelagat penghuni di bawah tempurong


Dunia entah sudah ke mana, Malaysia sudah banyak meninggalkan pemikiran lama, pemimpin-pemimpin alternatifnya sudah banyak berpengalaman namun dua kawan ini masih dalam dilema tentang hudud.

Usah disalahkan mereka.

Jika pemimpin Umno yang sudah 51 tahun memerintah Malaysia, masih belum faham atau berpura-pura tidak faham tentang hudud walaupun mereka juga mengaku mengikuti peredaran zaman, inikan pula mereka.

Anak cucu pasti terpegun dengan gelagat lama mereka tetapi amat pasti tidak akan jadikan ia sebagai ikutan. Jika ragu-ragu, mereka tidak akan menjadi penghuni di bawah tempurong.

Sekurang-kurangnya anak cucu akan belajar sesuatu yang baharu walaupun bukan untuk menjadikan yang baharu itu sebagai ikutan.

Percayalah, mereka berdua bukan sahaja tidak dapat menyentuh hudud apatah lagi untuk mengapa-apakannya.

Keinginan dan usaha mereka ibarat mencurah air didaun keladi. Itu sahaja.
(Foto:MStar)

Monday, January 12, 2009

Hj Mahfuz ceria selepas pembedahan

Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap Ketua Penerangan PAS Pusat Hj Mahfuz Omar ceria selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star pada hari Sabtu yang lalu.


“Saya dimasukkan ke wad pada hari Khamis 8 Januari 2009 dan dibedah dua hari selepas itu” kata Hj Mahfuz semasa saya sampai ke bilik bernombor 25 tingkat tujuh wad Bunga Raya hospital tersebut petang tadi.


Beberapa orang tetamu yang datang menziarah turut terkejut kerana tidak tahu masalah yang dihadapinya dan mengambil peluang bertanyakan khabar beliau.


Hj Mahfuz memberitahu beliau tidak dapat hadir sesi khas parlimen petang tadi oleh kerana masalah tersebut.


Beliau dijangkakan akan keluar wad pada hari Khamis ini. Hj Mahfuz yang berada di Kuala Terengganu pada hari penamaan calon berkemungkinan besar tidak dapat hadir ke pilihanraya kecil itu pada 17 Januari akan datang.


Walaupun begitu kata beliau, “saya berharap pilihanraya akan berjalan lancar. Saya merayu kepada pengundi supaya membuat pilihan yang bijak. Berilah tanggungjawab kepada calon kita untuk berkhidmat kepada masyarakat Kuala Terengganu”.


Dalam keadaan yang memerlukan rehat, beliau masih ceria menjawab pertanyaan wartawan yang menghubunginya melalui telefon bertanyakan pandangannya tentang peristiwa di Gaza.


Beliau mengucapkan terimakasih kepada pengunjung dan sampaikan salam kepada semua ahli PAS, Pakatan Rakyat dan penyokong-penyokongnya serta berharap mereka mendoakan akan kesihatannya.

Kedah : Kes setubuh paling banyak

Statistik kes rogol membabitkan pelajar di Kedah sepanjang tahun lalu berada pada tahap yang membimbangkan dengan 226 kes direkodkan yang kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar.

Ketua Polis Kedah Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kes rogol membabitkan pelajar merupakan masalah sosial yang harus dibendung dan memerlukan pendekatan menyeluruh bukan saja dari aspek undang-undang malah perlu melibatkan institusi keluarga dan pendidikan, lapor Bernama.

Katanya daripada 226 kes itu, sebanyak 187 kes membabitkan pelajar berusia 12 hingga 16 tahun, manakala 39 kes lagi membabitkan pelajar berusia 17 hingga 18 tahun.

"Jumlah kes rogol membabitkan pelajar itu adalah kira-kira 74 peratus daripada keseluruhan kes rogol sepanjang tahun lalu di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di Alor Star hari ini.

"Jenayah rogol membabitkan pelajar itu berpunca daripada kerelaan gadis terbabit yang mengikut teman lelaki," katanya - Sumber :Malaysiakini.

Sebenarnya bukanlah kes rogol. Pada saya ianya lebih kepada kes suka sama suka atau bersetubuh.

Apabila penjaga kanak-kanak adalah tok imam, guru, tok siak, pesara kerajaan dan sebagainya yang gagal mengambil tindakan undang-undang - maka bayangkanlah jika penjaga kanak-kanak adalah orang kampung biasa yang kurang pengetahuan undang-undang.

Saya nak tanya Ketua Polis Kedah, diantara 226 kes tersebut, berapa keskah yang telah berjaya diselesaikan sehingga 'perogol' menerima hukuman ?

Saya bimbang jika kes-kes seperti ini ditutup fail ditengah jalan. Adakah ?