Saturday, April 7, 2007

Kepimpinan

Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia, ada segelintir manusia berlumba-lumba mencalunkan diri mereka sebagai pemimpin. Tidak kira pemimpin kepada satu organisasi di sekolah, di universiti, di kampung, di daerah, di peringkat negeri, di peringkat kebangsaan dan juga pada peringkat kepimpinan negara.

Kata sarjana Islam, Allah swt telah mengadakan perbincangan tentang perkara ini dengan malaikat sebelum lahirnya manusia lagi. Begitu jua hadis Nabi saw ada mengatakan, “janganlah kamu meminta hak untuk berkuasa kerana jika kamu diberikan hak ini sebab kamu memintanya, kamu akan tinggal bersendirian (tanpa pertolongan Allah), dan jika kamu diberi hak itu tanpa memintanya, maka kamu akan dibantu oleh Allah dalam pelaksanaan tugas kamu”.

Manusia menyedarinya namun nafsu menguasai pemikiran mereka.
Tidak hairanlah jika manusia seperti ini berjaya menguasai sesatu kesatuan, rosaklah perjalanan dan masa hadapan kesatuan itu. Rosaklah payung berteduh yang sebelum ini digunakan oleh ahli kesatuan berkenaan. Wujudlah gerhana dan kelamnya halatuju masyarakat.

Tidak lagi adanya tempat mengadu dan apatah tempat perlindungan kecuali bagi mereka yang mengikat diri sebagai adik beradik, saudara-mara dan kroni. Musibah dalam bentuk malapetaka, kenaikkan harga barang, keresahan penduduk, kebimbangan tentang ledakkan masalah sosial, perebutan harta negara, jatuhnya imej dan prestij, pelbagai kekalutan dan ketakutan serta keaiban akan timbul.

Peraturan dan undang-undang negara akan menjadi permainan. Pegawai penguatkuasa sudah tidak lagi bimbang dengan arahan-arahan pelakun. Tanpa segan silu menghamparkan arahan bertindan dan keputusan perundangan yang memihak kepada orang tertentu manakala di satu pihak lagi menerima malu, keaiban, kerugian, kerosakkan dan kehancuran.

Ingatlah, doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan Allah.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 30)