Kita menyokong NGO (Badan Kebajikan Sukarela) dan pressure group (kumpulan pendesak) memainkan peranan menegakkan nilai-nilai demokrasi di Malaysia. Kita juga menyokong Majlis Peguam (MP) memainkan peranan aktif membangkitkan isu-isu awam dan mengenakan tekanan terhadap kerajaan dalam hal-hal sebegini. Namun, kita tidak dapat menerima alasan MP apabila mereka memberitahu kepada masyarakat Malaysia bahawa MP tidak mempunyai kuasa mengenakan tindakan terhadap ahli-ahlinya yang menipu dan memecah undang-undang.
KUALA LUMPUR, May 27 (Bernama) -- Bar Council Vice-President Ragunath Kesavan said no action can be taken against the errant lawyers on a police wanted list for alleged criminal breach of trust as they have been struck off the roll of legal practitioners, had quit the profession or did not renew their practising certificates.
Bilakah pelanggan mula ditipu oleh ahli Majlis Peguam ? . Semasa bekerja atau selepas berhenti kerja. Semasa masih dalam pejabat atau sesudah pejabat mereka 'bungkus'. Kenapa terlalu lama masa diambil oleh MP untuk melakukan siasatan ? Kenapa MP tidak menghebahkan perkara ini dan tidak melaporkan kepada pihak Polis?
Seperti mereka sahaja yang mengetahui dan pihak lain adalah dungu undang-undang. Sebagai organisasi yang dipimpin oleh manusia, MP juga mempunyai banyak masalah dalaman.
Kelemahan peguam atau MP ?
Apa tidaknya. Pengalaman melaporkan kes seorang peguam yang saya kira cuba menipu ibu saya sendiri. Kes ini telah saya laporkan kepada MP hanya setelah ibu saya meninggal dunia kerana pada waktu itu saya dilantik memegang kuasa pentadbiran pesaka keluarga. Saya tidak pasti samada MP sekarang sama seperti MP dahulu atau ianya sudah lebih cekap dan bermutu. Ibu saya berurusan dengan peguam berkenaan hampir 22 tahun lamanya. Kesnya cuma adalah untuk memindahmilikkan nama di geran tanah. Setiap kali ibu saya ke pejabat peguam itu untuk bertanyakan khabar, yuran perkhidmatan akan dikenakan. Kerjanya tidak juga berganjak .
Apa tindakan MP selepas aduan saya ? Mereka menghantar surat kepada peguam berkenaan dan meminta penjelasan. Surat itu disalinankan kepada saya. Seolah-olah memberikan peluang kepada ahlinya untuk bersedia dengan apa-apa yang boleh, menukar dan merancang apa-apa tindakan pembetulan yang perlu. Itu yang saya anggap dalam kes saya.
Kenapa ? Mereka tidak bertindak pantas seperti yang mereka mahu kepantasan dari pihak lain. Seperti kepantasan yang mereka desak dari kerajaan . Seperti yang mereka mahu Badan Pencegah Rasuah pantas menjejaki segala aduan dan bukti. Seperti yang mereka teriak sebelum ini seolah-olah teriakkan ‘malaikat’.
Apabila peguam berkenaan mengetahui bahawa aduan ada difailkan terhadapnya oleh saya, maka mulalah ia mengembalikan satu persatu dokumen-dokumen yang ibu saya pernah serahkan kepadanya dengan memberikan alasan "seperti yang tuan minta”. Sedangkan saya tidak pernah meminta apa-apa dokumen darinya. Apa yang saya mendesak dan ingatkan kepada peguam ini adalah, saya mahu kes saya segera diselesaikan . 22 tahun bukan satu masa yang singkat. Jika isteri peguam itu melahirkan anak, sudah tentu anak itu telah tamat pengajian peringkat ijazahnya.
Adakah kita diminta untuk mempercayai bahawa MP tidak menerima aduan dan tidak mengetahui bahawa ahlinya menipu semasa mereka masih bekerja dan membuka pejabat. Apakah tindakan mereka ketika itu. Kenapa sampai ahli mereka tutup pejabat dan kenapa setelah pihak PDRM membongkarkan masalah mereka ini baru ada tindakbalas memaklumkan kepada masyarakat.
Majlis peguam perlu memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap badan itu. Saya kira sudah lama mereka mengetahui kepincangan dalaman mereka. Takkanlah KLCC di depan mata mereka tidak nampak tetapi pejabat buruk peguam di Baling Kedah kelihatan dari KL. Mereka boleh nampak penyelewangan Polis, mereka nampak ketidakcekapan BPR, mereka nampak kerajaan tidak betul dalam hal kebebasan agama, mereka boleh nampak indeks rasuah, mereka tahu tribunal yang membicarakan Tun Salleh Abbas tidak mengikut peraturan, kempen kesedaran tentang salahlaku polis, mendesak penubuhan IPCMC, tahu kepincangan kerajaan tempatan, kelembapan agensi kerajaan, memberikan pandangan tentang 'sexist remarks unconstitutional', masalah pertukaran agama, malah mereka seperti superior dalam hal orang lain – tetapi ahlinya yang menyeleweng, mereka kelihatan seperti bisu, pekak dan buta. Adakah mereka menjadi organisasi cacat apabila melibatkan ahli MP?
Dalam kes ibu saya, sudahlah masa 22 tahun diambil, mahkamah disalahkan apabila pertanyaan bertubi-tubi saya gagal dijawab secara sempurna oleh peguam tersebut. Saya kemudiannya menulis kepada Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan untuk mendapatkan penjelasan. Apa yang mengejutkan saya ialah, surat Pendaftar Mahkamah dengan jelas mengkhilafkan peguam ini.
Hampir RM7000.00 wang ibu saya yang di’mentakedarah’nya juga tidak dikembalikan.
MP kemudiannya menutup kes dengan alasan tiada apa-apa bukti tentang penyelewengan peguam ini. Apa yang MP siasat ?
Kes ini sudah lama. Sudah berada di dalam lipatan sejarah. Biarlah ibu saya dipekenakan oleh peguam ini. Saya tidak mahu orang lain menjadi mangsa. Saya ingin mencadangkan beberapa perkara kepada MP supaya penipuan seperti ini boleh dielakkan. Diantaranya:
- Semasa persetujuan perlantikkan peguam, klien hendaklah dimaklumkan secara bertulis, berapakah anggaran kos khidmat peguam sehingga kes berkenaan selesai. Boleh dikatakan 85% kes sudah boleh di’baca’ perbelanjaannya. Jika ada perubahan kos, hendaklah dinyatakan secara bertulis kemudiannya.
- Klien hendaklah dimaklumkan secara hitam putih, jangkaan berapa lama sesuatu kes dapat diselesaikan. Memang kita tahu ianya tidak objektif dan jika ditanya MP - ianya sukar dilaksanakan kerana bergantung kepada banyak pihak. Tetapi hendaklah ada satu panduan mengenainya sepertimana amalan peguam secara lisan selama ini yang menjanjikan masa jangkaan sesuatu kes dapat diselesaikan
- Sebab atau kenapa sesuatu kes diubah atau ditetap kepada tarikh lain di mahkamah hendaklah dimaklumkan secara hitam putih kepada klien dengan nota ringkas. Selalunya peguam menyalahkan pihak lain termasuk mahkamah, pegawai pendakwa, menyalahkan peguam defendant, saksi-saksi, jawapan dari agensi kerajaan , klien sendiri dan sebagainya.
- Apa-apa bayaran yang dibuat hendaklah dikeluarkan resit beserta dengan maksud bayarannya. Contoh: khidmat peguam, wang stem, bayaran kaveat, bayaran daftar di mahkamah dan lain-lain lagi. Amalan sekarang – ada yang tidak nyatakan dan kemudiannya meminta wang dengan memaklumkan kepada klien bahawa wang tambahan ini tidak termasuk dalam perjanjian awal.
- Selepas aduan di buat kepada MP, mereka hendaklah menghantar wakil ke pejabat peguam dengan serta merta. Photostat segala dokumen dan minit yang terdapat di dalam fail tersebut. Bantuan MP negeri boleh diminta. ( dalam kes saya langsung tidak ada) . Kemudian tunggu maklum balas peguam tersebut . Semata-mata meminta peguam memberikan laporan, maka senang banyaklah dia mengubah segala nota, catitan, surat menyurat, dokumen dan sebagainya. Dikembalikan dokumen melalui kawan dan dipos kepada saya dengan alasan “seperti yang diminta tuan”. Sehinggakan ada yang tarikhnya dikebelakangkan.
- Dalam hal klien yang berkesempitan wang untuk membuka fail aduan atau kes ke mahkamah terhadap peguam semasanya, MP hendaklah memberi kemudahan peguam sukarela dengan dikenakan bayaran minima atau bayaran pendaftaran sahaja dan sebagainya. Ini merupakan tanggungjawab sosial MP. Jangan hanya mengira keuntungan sahaja. Gantirugi akibat penipuan ahli MP hendaklah dibayar oleh persatuan yang mereka naungi.
- Saya kira jawatankuasa siasatan MP hendaklah juga terdiri dari orang awam yang ada pengetahuan undang-undang. Membiarkan MP dengan ahlinya sahaja menjalankan inquiry dalaman adalah tidak adil langsung.
- Dedahkan nama peguam yang pertama kali menipu. Membiarkan mereka menelan seorang demi seorang pelanggan merupakan satu tindakan tidak demokratik. Ada peguam ternama sangat gembira dengan laporan media terhadap lawannya walaupun ianya kes pertama kali berlaku. Apa salahnya ?
Ketelusan MP dalam memberikan statistik dan nama ahlinya sejak 15 tahun kebelakangan ini yang digantung kerja, dibuang kerja dan dipenjarakan adalah sangat-sangat diharapkan.
Peguam yang diadukan, bukan sahaja akaun mereka
dibekukan, nama dan alamat mereka disiarkan secara besar-besaran, digantung kehadiran mereka ke mahkamah dan dalam apa jua urusan guaman, dirampas harta sejumlah penipuan mereka, tetapi juga mereka hendaklah didakwa dan dipenjarakan. Mereka ini laksana , "harapkan pagar, pagar makan padi dan seperti haruan makan anak".
Dabik dada mereka sebagai bijak undang-undang hendaklah dikendurkan. Selepas itu sahaja MP boleh menghirup angin demokrasi tulin dan bangga sepenuhnya dengan keluhuran undang-undang yang diperjuangkannya selama ini.