KEROH Sejak 20 Tahun Yang Lalu
Keroh atau nama barunya Pengkalan Hulu terletak di dalam Daerah Hulu Perak. Sesiapa yang biasa melalui perjalanan dari Baling Kedah ke Kelantan akan mengingatinya. 9 km ke utaranya terletak Betong, pekan kecil di Thailand yang bersempadankan Keroh. Ke sebelah timurnya ialah sempadan Kelantan melalui Tasek Banding.
Hulu Perak merupakan daerah terbesar di Perak dengan keluasan 2533 batu persegi. Ia merangkumi daerah kecil Gerik, Lenggong dan Keroh. Keluasan Keroh pula ialah 142 batu persegi. Penduduknya hidup dengan aktiviti pertanian. Diantaranya getah dan kelapa sawit. Selebihnya merupakan kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan.
Dahulunya Keroh dikenali dengan 'tempat jin bertendang' atau 'tempat buang daerah'. Begitu juga dengan aktiviti penyeludupan barang Siam. Tidak asing juga dengan keganasan ahli PKM . Saya masih ingat sekitar tahun 70-an, dentuman meriam dan tembakan peluru angkatan tentera kita melawan pengganas komunis jelas kedengaran sehingga ke pekannya. Biasa juga 'perintah berkurung' dilaksanakan sehingga beberapa hari. Akibat dari itu, adakalanya kami tidak ke sekolah. Saya dan adik beradik menjadi takut. Pengalaman yang jarang diperolehi kebanyakkan orang.
Tiga hari yang sudah, bersama isteri dan anak-anak ke Keroh menghadiri majlis tahlil almarhum adik yang kembali kerahmatullah 40 hari yang sudah ketika berusia 42 tahun.
Mengimbas kembali kenangan Keroh 20 tahun yang lalu, jalanrayanya sudah lebar. Jalan baru 'by-pass' dari Kupang Kedah ke Gerik telah digunakan walaupun belum dirasmikan. Masa yang singkat untuk sampai ke destinasi oleh pengguna jalanraya sudah tentu menggembirakan.
Sudah tentu laluan lama yang perlu melalui Klian Intan yang terletak di tengah-tengah perjalanan dari Keroh ke Gerik akan kurang dilintasi lagi. Sejarah mengkisahkan Klian Intan tempat keluarnya Chin Peng dari jalan bawah tanah melalui Keroh ke Baling menemui YTM Tunku Abdul Rahman di Baling. Begitu jua, sejarah pelombongan bijih timah yang menggunakan 'cable car' tentunya akan hilang dari ingatan termasuk dari kalangan anak tempatan. Apalagi peristwa peperangan suatu ketika dahulu diantara Kerajaan Perak dengan Raja Reman yang merampas Keroh dan Klian Intan.
Jalan Berkely dihadapan rumah tok wan saya menuju ke Tasek sudah lama bertukar kepada Jalan Tasek. Berkely merupakan salah satu nama penjajah yang pernah menjadi pentadbir di Hulu Perak.
Hutan belantara yang mengelilingi Keroh masih menebal. Cuacanya yang sejuk membuatkan kakitangan awam yang meninggalkan perkhidmatan awam terus menetap di Keroh. Begitu jua rata-rata pengunjung yang ditemui di Keroh sangat sukakan cuaca di sini.
YAB Dato' Sri DiRaja Mohamad Tajol Rosli Bin Tan Sri Mohd Ghazali adalah ADUN Pengkalan Hulu (N 01) dan juga merupakan MB Perak sekarang. Selain Pengkalan Hulu, Temenggor, Kenering dan Kota Tampan merupakan DUN di Hulu Perak yang berpayungkan kerusi Parlimen Gerik dan Lenggong yang diketuai oleh YB Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh dan YB Dato'Khamsiyah Yeop.
Dato'Tajol menjadi ADUN Kenering sejak 1977. Menjadi Ahli Parlimen sejak 1978-1999 dan memegang pelbagai jawatan kabinet seperti di Kementerian Luar Bandar, Kementerian Telekom, KDN dan sebagainya. Jika dibandingkan dengan Pasir Salak -Ramli Ngah Talib, Baling (Raja Ariffin hingga kini), Kepala Batas kawasan Pak Lah dan berpuluh kawasan lain - nampaknya Keroh jauh dan jauh ketinggalan. Entah untuk berapa lama lagi?
Dalam perjalanan tersebut anak saya yang berusia 11 tahun sentiasa bertanyakan soalan . "Abba, ada tak universiti di sini?" Tidak sempat saya menjawab ditanyanya lagi, "ada tak maktab cik gu di sini?" "Ada tak tempat peranginan di sini? Ada tak tempat pelancungan, ada sekolah asrama penuh tak, (seperti sekolah asrama penuh sepupunya ), ada supermarket tak", dan berbelas soalan lain. Kelu lidah saya untuk menjawab.
Dianggarkan ada 100,700 penduduk di daerah Hulu Perak dan hampir 30,000 di Keroh.
Sempat saya memberitahu dan berjenaka dengan anak saya. Jika abba yang menjadi ADUN Kenering apatah lagi MB Perak banyak yang abba akan lakukan, InsyaAllah. Diantaranya, IPTA dan IPTS boleh dibina di Keroh. Bukan sahaja akan meramaikan umat, malah akan merancakkan kegiatan ekonomi penduduk Keroh, memperkenalkan Keroh sebagai destinasi pelancungan , melahirkan lebih ramai ilmuwan dan banyak lagi.
Keduanya, telaga air panas semulajadi yang wujud di Keroh akan diperindahkan dan dipromosikan sebagai tempat perubatan herba dan pelancungan. Taman Air dengan menggunakan air sungai 'panas' boleh diwujudkan .
Ketiganya, patung gajah yang dirobohkan beberapa bulan yang lalu mungkin di atas alasan agama, akan diisikan dengan gajah-gajah asli. Gajah yang hidup sebagai tarikan orang ramai dan hubungan sejarahnya dengan Kerajaaan Siam. Gajah yang menjadikan air taseknya keroh apabila berkubang di dalamnya , lalu memberikan nama Keroh. Rumah kelahiran Tun Mahathir boleh dihidup dan dirancakkan suasananya, masakan tidak sejarah si gajah penghulu rimba ini.
Keempatnya, 'Cable-Car' yang pupus ditelan kemajuan kemodenan dalam perlombongan timah akan dihidupkan sebagai tempat peranginan dan sejarah. Lihat sahaja di Singapura dan Langkawi. Pelancungan 'cable-car'nya menjadi tumpuan. Eye On Malaysia yang berhrga RM30 juta boleh dibina, mana perancangan Dato'Tajol?
Kelimanya, semasa saya kanak-kanak, bersama kawan-kawan kami mencari jalan bawah tanah tempat pergerakkan Chin Peng ketua PKM. Apakah ini tidak boleh dilakukan oleh Dato'Tajol dan jentera pentadbirannya. Tempat pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak dan Istana Kelly di Batu Gajah sekadar contoh tempat yang dicadangkan.
Keroh terkenal dengan sejarah lombong timahnya. Kenapa ia tidak boleh diperhidupkan dalam bentuk dan suasana lagenda ?
Apakah perlu ada PM atau TPM dari Keroh untuk memikir, merancang dan melaksanakannya?
Atau adakah Ahli Parlimen, ADUN dan pentadbirnya merasakan mereka kini berada di daerah jin bertendang atau dibuang daerah lalu tidak perlu memikirkan hal sedemikian?
Atau mereka meletakkan pemikiran dan tindakan dalam satu 'perintah berkurung' yang baru? Ke manakah Keroh selepas jalan pintas Kupang- Gerik digunakan? Hanya berpuas hati dengan pembinaan satu MRSM? Atau satu kawasan perindustrian di jalan Air Panas yang masih kabur ?
Kawan-kawan sekelas saya yang menjadi AJK parti yang dianugerahkan pelbagai projek di Keroh, di Hulu Perak dan di Perak oleh Dato' Tajol mungkin tidak nampak idea ini kerana kocek mereka telah melimpah untuk diri dan keluarga. Fikirlah pula untuk masyarakat di tempat di mana kita sama-sama dibesarkan. Keroh berubah 15% sejak 20 tahun lalu. Namun ramai warganya yang aktif politik lalu dianugerahkan telah menjadi 'kayawan'.
No comments:
Post a Comment