SELAMAT UNTUK PEKERJA
1 MEI 2007
Boleh dikatakan negara-negara hampir di seluruh dunia meraikan 1 Mei sebagai hari pekerja. Gerakkan pekerja melalui kesatuan-kesatuan sekerja telah bermula sejak tahun 1886 lagi. Di Malaysia ia bukan sahaja merupakan hari cuti umum tetapi juga disambut sebagai hari kejayaan pekerja dalam mengangkat martabat mereka yang gigih, berdedikasi dan bekerja secara berpasukan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti serta produktiviti negara.
Dalam pada itu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), memohon kepada kerajaan supaya mempertimbangkan kenaikan gaji asas kakitangan awam antara 10 hingga 40 peratus. Kata Omar Osman Presiden CUEPACS, ‘‘tuntutan itu dibuat bukan untuk membebankan kerajaan tetapi memandangkan kos sara hidup kakitangan sektor awam, terutama golongan berpendapatan rendah yang semakin meningkat". Difahamkan semakan gaji kali terakhir yang dilakukan kerajaan adalah pada tahun 1991.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga memperjuangkan gaji minima , elaun sara hidup dan beberapa insentif lain untuk pekerjanya berlandaskan kepada faktor ekonomi juga. Hampir 900,000 kakitangan awam sokongan menanti pengumuman yang bakal dibuat Perdana Menteri.
Terlalu banyak cabaran-cabaran baru sedang menunggu. Apapun kita mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja-pekerja di Malaysia dan di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment