Friday, December 11, 2009

Rakyat Malaysia susah, pemimpin senang-lenang

Sudah lebih 5o tahun negara mencapai kemerdekaan, namun banyak prosidur pentadbiran dan kewangan jabatan-jabatan kerajaan warisan penjajah masih diamalkan.

Kerenah birokrasi rasanya tidak dapat diubah selagi kerajaan yang ada masih memerintah. Tidak nampak jalan keluar. Seolah-olah rakyat Malaysia dijajah dan perlu melalui proses penapisan yang cukup ketat.

Bukan sahaja masyarakat kampung, malah kakitangan kerajaan sendiri merungut dengan kelemahan yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Cuba bayangkan, seorang pesakit kronik diminta tunggu berbulan-bulan di hospital-hospital kerajaan dengan pelbagai alasan yang sangat 'bangang'.

Mesin tidak ada, mesin tidak cukup, peralatan belum sampai, pekerja mahir untuk mengendalikan alat tidak ada, kakitangan berkenaan bercuti, budget tak dapat , kerenah 'biasa' tabung penyakit kronik dan sebagainya.

Kroni pemimpin dapat projek berpuloh juta seorang. Untuk kesihatan rakyat, kerajaan tidak ada wang.

Bagi mereka yang ada kenalan atau saudara-mara di hospital kerajaan, prosidur sebegini jarang dilalui.

Ramai yang maut ketika berada dalam senarai menunggu. Banyak kali saya menulis, orang Melayu lebih suka menyerahkan perkara seperti ini kepada qada dan qadar. Sampai bila ?

Seorang pesakit jantung di Hospital Sultanah Bahiyah memberitahu saya, beberapa bulan yang lalu, beliau dirujuk untuk membuat MRI di Hospital Pulau Pinang. Sampai sahaja temu janji selepas tiga bulan itu, ia pun ke sana lalu diberitahu mesin MRI rosak.

Dia terpaksa balik ke Alor Setar dalam keadaan kerugian wang, masa dan keletihan, biarpun sebelum ini ada meninggalkan nombor telefon rumah dan tangan kepada pihak hospital.

Ia diminta menunggu lagi tarikh baru pula.

Beberapa pesakit dari Hospital yang sama dirujuk untuk menjalani engiogram di Hospital Pulau Pinang (HPP). Dimasukkan ke wad sehari awal. Keesokkan harinya, mereka diminta pulang ke rumah masing-masing di Alor Setar dan Kangar kerana pihak HPP cuma dapat menjalankan rawatan pemeriksaan untuk lima atau enam pesakit sahaja.

Masalahnya, pesakit yang dipanggil pada hari berkenaan mencecah sehingga 14 - 16 orang.

Ketika menghubungi pihak Hospital Sultanah Bahiyah kelmarin, saya diberitahu sudah ada unit kardiologi di sana sejak dua bulan yang lalu tetapi pengendali mesin tertentu pula masih belum ada.

Berlainan pula dengan beberapa orang kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman kenderaan melalui jabatan masing-masing memberitahu terpaksa menunggu sehingga enam bulan untuk mendapat wang membeli kenderaan.

"Berbanding dengan bank, hanya memerlukan masa tiga hari. Kita mohon pinjaman untuk kenderaan jenama A, tetapi boleh beli jenama B kerana kerenah birokrasi jabatan yang terlalu lama sehingga ada jenama baru yang keluar" kata kakitangan Jabatan Pembangunan Negeri Kedah.

Masyarakat sebagai pelanggan jabatan-jabatan kerajaan terutama sekali di hospital-hospital dilayan seperti peminta sedekah di negara merdeka. Kenapa boleh jadi begini ?

Perdana Menteri, kabinet, politikus BN dan mereka yang kroni - tidak pernah menjejakkan kaki ke hospital-hospital kerajaan. Apa yang mereka tahu. Menteri Kesihatan tak habis-habis dengan politik dalaman MCA. Mana ada masa memikirkan soal kebajikan rakyat.

Kasihan penjawat awam yang dedikasi. Mereka juga terpaksa melalui kerenah birokrasi zaman penjajah yang memerlukan 'scanning' yang ketat.

Satu Malaysia pasti mengalami kenangan pahit bila berurusan dengan birokrasi Malaysia yang bebal ini.

3 comments:

Anonymous said...

Salam.

Cuma nak tambah, bukan sahaja rakyat, malah kakitangan kerajaan juga ramai yang tidak berpuas hati terutama dengan golongan pemimpin2 politik dan ketua2 jabatan.

Sebagai contoh, di RISDA baru2 ini dibuka lebih kurang 30 jawatan kosong untuk gred 41 dalam perbagai jawatan. Tetapi kakitangan RISDA yang memohon untuk tujuan kenaikan pangkat hanya 1 orang sahaja yang berjaya mendapat jawatan berkenaan. Yang lain semua diambil budak2 baru yang masih muda dan belum terbukti kemampuan mereka. Kakitangan RISDA yang telah lama berkhidmat, pernah dianugerahkan Anugerah Khidmat Cemerlang, sentiasa mencapai nilaian prestasi lebih 80% setiap tahun, selalu berjauhan dengan keluarga kerana desakan tugas, pernah diberi tugas menanggung tugas gred 41 sebelum ini malah mendapat sokongan kuat dari ketua mereka tidak terpilih langsung untuk mengisi jawatan tersebut. Saya yakin bahawa ada ramai kakitangan RISDA yang mempunyai kelayakan yang jauh lebih baik dalam semua segi berbanding mereka2 yang telah diterima untuk jawatan tersebut.

Campur tangan Ketua Pengarah RISDA iaitu Dato' Izat Hasan diyakini telah mengganggu proses pemilihan kakitangan baru ini. Jika kata akhir datang dari mulut Ketua Pengarah maka kenapa perlu diadakan proses temuduga dan sebelum itu juga telah diadakan RISDA Accessment Center (RAC) yang menelan belanja kira2 RM100,000.

Untuk makluman, RISDA adalah satu badan berkanun persekutuan dan menggunakan skim perkhidmatan tertutup iaitu kakitangan RISDA hanya boleh ditukarkan di dalam perkhidmatan RISDA sahaja dan tidak boleh sewenangnya ditukar ke agensi lain. Maka sewajarnyalah kakitangan RISDA diberi keutamaan untuk meningkatkan kerjaya mereka di RISDA.

Maka, jika sebegini yang berlaku dalam semua agensi kerajaan, adakah mutu perkhidmatan akan dapat ditingkatkan. Bagaimana pula pencapaian hendak diutamakan jika kebajikan kakitangan tidak dijaga. Impaknya pasti akan dirasai oleh rakyat.

AFRAR YUNUS said...

salam sdra,
nampaknya kita semacam kenal satu sama lain. saya faham perasaan sdra. semoga sdra berjaya.
MBJ dan kesatuan sekerja adalah saluran penting untuk memperjuangkan nasib pekerja. tidak salah mencubanya.
tk

Anonymous said...

Kesatuan Sekerja di sini kurang berkesan. Saya sendiri sudah kira-kira 2 tahun ditukarkan ke Kuala Lumpur dan terpaksa meninggalkan isteri dan anak di Kuala Kangsar semata-mata akur kepada arahan yang diterima. Setiap minggu terpaksa bergegas balik untuk menjenguk keluarga. Bukan saya hanya nak suarakan hal berkenaan diri saya tetapi ada orang lain yang memang tidak dapat dinafikan patut diberi jawatan yang lebih tinggi namun akhirnya tidak juga berjaya. Saya kesal sangat kerana dalam bidang-bidang tertentu, orang lama seperti kami yang sudah ada pengalaman seringkali diminta untuk membuat sesuatu kerja dek kerana orang baru tak tahu apa-apa. Patutkah macam ni? Saya hanya harap dapat menghebahkan perkara ini setakat yang boleh.