Saturday, January 17, 2009

PAS menang pilihanraya kecil Kuala Terengganu


Sesuatu yang memang sudah dijangka walaupun sedikit kegusaran sentiasa ada tentang keputusan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu (P36) pada hari ini.


Rakyat Terengganu berjaya membawa paradigma apabila memberikan sokongan dan menghargai kerja keras PAS, Keadilan dan DAP.


Lebih-lebih lagi bersedia menerima kepimpinan dan manifesto Pakatan Rakyat.


Kemenangan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut terhadap Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoiriti 2,631 undi ini sudah dikira membawa harapan baru kepada Pakatan Rakyat.


Pada pilihanraya kedua belas yang lepas, Dato’ Hj Razali B Ismail dari Barisan Nasional berjaya memperolehi 32,562 undi mengalahkan Mohamad Sabu (PAS) yang memperoleh 31,936 undi dan Maimun Yusof (Bebas) 685 undi. Undi majoriti adalah 628.


Pada ketika itu 66,132 dari 80,325 orang yang keluar mengundi iaitu kira-kira 82.45% yang mendaftar sebagai pengundi. Undi rosak ialah 931.


Menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pilihanraya kecil ini menyaksikan peratusan yang keluar mengundi ialah lebih 79%.


Dengan kepuutusan ini bermakna PAS menambah satu kerusi parlimen dari 23 kepada 24. Secara keseluruhannya Pakatan Rakyat menambah satu kerusi iaitu dari 82 kepada 83 kerusi.


Apapun seperti kata Dr Mahathir, menang satu undi pun dikira menang.


Namun bagi parti pemerintah yang hampir 52 tahun menerajui kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, yang mendakwa parti Islam yang terbesar, parti yang mendapat sokongan pelbagai kaum, parti yang dibarisi oleh ketua-ketua yang berpengalaman, melimpahkan projek di sana-sini dan sebagainya - Umno dan BN sepatutnya insaf dan sedar bahawa ‘rumah sudah kata pergi, kubur kata mari’.


Fahamilah erti gundah gulana orang lain. Tertarung kaki boleh diinai, tertarung hati susah ubatnya.

(Peta :Mypolitician)

No comments: