Tuesday, January 20, 2009

Lebai yang macamana ?

Mengikut tafsiran Kamus Dewan, 'lebai" adalah gelaran bagi orang yang mengetahui hal-hal agama atau orang yang taat kepada agama. Untuk mengenal lebai dengan mudah, definisi itu dilebarkan pula kepada, bibirnya bergerak-gerak bagai lebai membilang tasbih.

Ada juga ikan dan daun yang bernama 'lebai'.

Ada juga 'lebai kelarah' - lebai yang busuk hati dan suka mengumpat. Pun begitu kamus tersebut mendefinisikan 'lebai ketayap ' kepada mereka yang menyangka dirinya mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama tetapi sebenarnya tidak.

'Lebai malang' pula ialah orang yang selalunya sial. Lebai yang suka menerima jemputan kenduri tetapi enggan datang untuk beribadat pula digelar 'lebai pulut' atau 'lebai tembolok'.

Polis di Kelantan menahan seorang remaja bernama Ahmad Nasir Darus berusia 28 tahun dan mendakwanya menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. Nasir cuma mengenakan serban 'lebai'nya.

Mahkamah di Kota Baharu menjatuhkan hukuman denda RM90.00 atau dua hari penjara. Nasir berpandangan bahawa memakai serban adalah sunnah Rasulullah dan oleh itu ia tidak patut mengaku salah di mahkamah.

Oleh itu Nasir memilih untuk dipenjarakan selama dua hari.

Sebenarnya, undang-undang Reid di Malaysia tidak mempunyai roh. Ia berjalan seperti mayat yang diusung. Terpulanglah kepada siapa pengusung mayat itu.

Dalam hal ini, polis di Kelantan menjadi pengusung mayat. Agaknya dia tidak dapat membezakan Nasir tergolong dalam kumpulan lebai yang mana ?

Lebai agama, lebai ikan, lebai daun, lebai ketayap, lebai malang atau lebai tembolok.

Atau polis tersebut merasakan bahawa ini merupakan kes baru iaitu kes 'lebai motosikal'.

Mahkamah Majistret di Kota Baharu berpandukan tafsiran 'lebai' mengikut pandangan pendakwa dan pembela di mahkamah itu.

Apa pula kata Ketua Polis Negara Musa Hassan:

KUALA LUMPUR 20 Jan. — Tindakan polis menyaman seorang pelajar pondok di Kota Bharu, Kelantan yang tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal bagi mengelak wujudnya trend pelajar sekolah menjadikan alasan sama untuk tidak memakai topi keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, semakin ramai pelajar khususnya dari sekolah agama yang cenderung untuk tidak memakai topi keledar dengan alasan memakai serban.

Beliau berkata, seharusnya perkara tersebut tidak berlaku kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa pengguna semasa di jalan raya. - Utusan Malaysia.

Di Kedah, Ketua Agamanya, Sultan Kedah memberikan kelonggaran kepada jamaah Jumaat yang menunggang motosikal dari memakai topi keledar pada waktu pergi dan balik solat Jumaat.

Dahulu, kecoh isu seperti ini di England dan di beberapa negara lain bilamana kaum Sikh memakai 'turban' dalam hal yang sama.

Akhirnya mereka menang di mahkamah negara-negara tersebut.

Agaknya definisi agama, ikan, daun, turban, malang atau tembolok tidak ada dalam kamus di negara-negara itu.

Apapun, kita tunggu mahkamah yang lebih tinggi di Malaysia membuat keputusan tentang definisi atau istilah 'lebai' ini. Bukankah Malaysia diwar-warkan sebagai negara Islam ?


Membiarkan polis menafsirkan undang-undang sudah tentu akan membawa kerosakkan dalam perjalanan negara.

2 comments:

Anonymous said...

Tuan,
Bukankah keselamatan itu adalah penting. Memakai topi keledar pada pandangan kerajaan akan menyelamatkan mangsa perlanggran. Yang mana perlu diberi keutamaan ?

AFRAR YUNUS said...

salam sdra,
sebenarnya saya terlepas pandang komen ini.
buat masa ini tidak ada statistik tentang perlanggaran/ kemalangan jalanraya bagi mereka yang memakai topi keledar atau tidak.
namun isu saya di sini lebih mirip kepada definisi 'lebai'. kenapa lebai islam tidak boleh dan 'lebai sikh' (begitukah?) atau lebai bukan islam boleh ? kepala lebai islam lembikkah ?