Saturday, September 29, 2007

Ketua Pengarah Kesihatan, Letak Jawatan la..

Jika saya di tempat Ismail Merican Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, sudah lama saya meletak jawatan kerana tidak mampu mengubah mentaliti kakitangan bawahan saya.

Begitu jua, sebagai seorang yang bermaruah, sumpahan orang ramai mengatakan saya makan gaji buta, sudah tentu akan membuatkan saya berfikir tentang tanggungjawab dan amanah bukan sahaja daripada masyarakat tetapi daripada Allah swt.

Begitu banyak kecuaian kakitangan Jabatan Kesihatan, tiada satu tindakan yang diambil. Lihat apa pula yang berlaku di Klinik Kesihatan Tasek Gelugor.

Semasa baru hendak memegang jawatan Ketua Pengarah, terlalu banyak idea dan visi, tetapi setelah berada di kerusi itu, baru kita nampak apa yang boleh dia lakukan.

Jika sudah tidak malu kepada orang lain, malulah kepada isteri dan anak-anak !

Thursday, September 27, 2007

Bebaskan Kehakiman

Lebih 1000 peguam, parti politik, badan sukarela dan individu menyertai perarakan ke Pejabat Perdana Menteri Malaysia dengan tuntutan "Bebaskan Kehakiman".

Hebat !

Mereka boleh. Sami Buddha di Myanmar boleh. Kenapa tidak kita menzahirkan kemelut kehidupan di Malaysia secara aman seperti mereka juga ?

Mulakan dengan isu kenaikkan harga barangan pengguna yang kerajaan Malaysia hilang kawalan ke atasnya.

Tuesday, September 25, 2007

Khairat Kematian : JKM Tiada Peruntukan

Pelbagai jenis bantuan kewangan yang disalurkan oleh JKM kepada penerima bantuannya.

Diantaranya, bantuan bencana alam, bantuan untuk orang tua, untuk orang kurang upaya, ibu tunggal, orang sakit, keluarga banduan, bantuan sekolah, membaiki rumah dan bermacam-macam lagi.

Namun apa yang menyedihkan ialah, ketika penerima bantuan tersebut meninggal dunia, tiada peruntukan khas yang diterima oleh penjaganya untuk menguruskan mayat.

Ramai yang berpendapat sudah tiba masanya JKM dan YB Datuk Shahrizat Bt Abd Jalil, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat memikir dan meluluskan bantuan segera khairat kematian diantara RM300.00-RM400.00 kepada keluarga simati yang benar-benar miskin bagi tujuan menguruskan jenazah.

"Semasa hayatnya sudah dibantu. Apa salahnya di waktu kematiannya. Bantuan JKM ini akan memberikan sedikit keselesaan kepada mereka" kata Muhammad Hussin penduduk Kampung Makam, Pulau Pinang.

Bawa belayar pisang emas

Masak sebiji di atas peti

Boleh dibayar hutanglah emas

Hutang budi dibawa mati.

Monday, September 24, 2007

Kemiskinan : Ahli Parlimen dan ADUN sebagai 'bapa angkat'

Kemiskinan bandar atau kemiskinan luar bandar merupakan satu masalah yang perlu dilihat dari pelbagai sudut. Banyak strategi yang dapat dilaksanakan untuk meminimakan fenomena ini.

Satu strategi jangka pendek yang dikenalpasti sebagai mujarab dalam menangani kemiskinan ialah dengan menjadikan Ahli Parlimen (AP) dan ADUN sebagai bapa angkat. Pada hari ini didapati kebanyakkan kes dikendalikan secara melepaskan batuk ditangga sahaja. AP dan ADUN merujuk kes ke agensi tertentu dan kemudiannya tidak menoleh semula untuk mengetahui apa yang terjadi kepada kes berkenaan.

Setiap AP dan ADUN bagi satu-satu kawasan hendaklah mengambil sekurang-kurangnya 5-8 kes ‘kurang upaya’ setiap tahun. Kes kurang upaya yang dimaksudkan adalah dari kalangan dhaif dalam pelbagai segi yang membawa kepada kemunduran dan keciciran keluarganya. Bukan kurang upaya ‘cacat’ sahaja.

Sebagai contohnya, kes yang kurang berkemampuan kewangan dari keluarga yang miskin. Biasanya disebut dan dikenali sebagai kes miskin. Sudah tentu banyak masalah yang mereka hadapi. Diantara lainnya ialah:

1.Kehimpitan kewangan ekoran pendapatan harian yang rendah

2.Perbelanjaan rumah yang tidak dapat diuruskan dengan sempurna

3.Anak-anak tercicir dari persekolahan

4.Tiadanya sijil lahir, tiada kad pengenalan

5.Keadaan rumah yang bocor, pecah di sana-sini, menumpang di tanah orang dan sebagainya

6.Ketua keluarga atau pembantuya yang sedang sakit, berpenyakit kronik, meninggal, dipenjarakan atau hilang

7.Pembelian alat tiruan, perubatan, vitamin yang diluar kemampuan keluarga

8.Menanggung orang kurang upaya (cacat) yang memerlukan perbelanjaan dan penjagaan

9.Kenakalan anak-anak yang memerlukan kaunseling dan bimbingan

10.Perbelanjaan sekolah seperti wang saku, tambang bas, basikal, yuran asrama dll

11.Masalah pengangguran, penderaan, penceraian, gantung tidak bertali, hamil di luar nikah dan berkaitan dengannya

12.Keterlibatan dalam dadah

13.Mereka kurang berpengetahuan ke agensi mana perlu masalah mereka dirujuk atau dibawa

Maka, setiap AP dan ADUN berkenaan hendaklah menubuhkan satu jawatankuasa peringkat daerah yang melibatkan Pegawai Kebajikan Masyarakat, Pegawai Kesihatan, Pegawai Pendidikan, Polis, Penghulu, Pegawai Daerah, Imam, Pegawai Agama, Pegawai AADK dan dari agensi-agensi yang berkaitan.

Mesyuarat mempastikan senarai tindakan yang telah diambil hendaklah diadakan paling kurang dua bulan sekali. Setiap tindakan, keputusan dan perbelanjaan hendaklah dicatitkan.

Saya maksudkan AP dan ADUN baik dari parti pemerintah atau parti pembangkang. Jika satu pihak sahaja yang diberikan peruntukan, bermakna satu kawasan sahaja dicegah manakala satu lagi kawasan dibiarkan menderita berpenyakit.

Akhirnya, penyakit dari kawasan tadi akan kembali menular ke kawasan yang telah dihapus atau dibersihkan. Usaha pencegahan seperti ini tidak akan membawa apa-apa makna dan bakal merugikan masyarakat.

Peruntukkan kerajaan hendaklah disalurkan kepada semua AP dan ADUN melalui tabung khas ‘anak angkat AP dan ADUN’ untuk membangunkan keluarga ini. Jangkamasa 1-3 tahun hendaklah dijadikan sebagai kayu pengukur membangkitkan kemajuan keluarga angkat masing-masing.

Saya pasti, dengan adanya AP dan ADUN sebagai bapa angkat, projek jangka pendek ini akan membawa banyak manafaat kepada keluarga angkat. Kegagalan berlanjutan keluarga angkat ini boleh disifatkan kegagalan bapa angkat dan jawatankuasanya mentadbir dan menguruskan ahlinya.

Untuk mempastikan kejayaannya, senarai keluarga tegar boleh diperolehi dari kes-kes Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bukannya secara langsung dari mana-mana parti politik.

Jika hendak- seribu daya.

Saturday, September 22, 2007

Nurin Jazlin : Siapa Gagal


Nurin Jazlin Jazimin sudah disemadikan semalam. Tamat sudah pencariannya sejak 20 Ogos yang lalu. Harapan dan doa akhirnya mengembalikan Nurin kepada keluarganya namun tidaklah dalam keadaan bernyawa. Walaupun itulah yang diharap dan didoakan. Manusia merancang, Allah jua penentunya.

Terbujur kaku jasad anak kesayangan Jazimin dan Norazian. Anak kedua pasangan ini pergi meninggalkan mereka untuk selamanya. Dengan berbalutkan sehelai kain putih pergi meninggalkan semua yang dikasihi.

Ia ! Setiap insan pasti akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Takziah kepada keluarga Nurin.

Biarlah Allah swt menentukan nasib sutera putih itu di tempat barunya. Sebagai makhluk yang terlalu kerdil, saya mendoakan semoga Nurin menjadi tetamu Allah penghuni syurga.

Kepada pemerintah, carilah dia atau mereka yang berhati dan bernafsu binatang itu. Carilah mereka yang bertopengkan manusia itu. Mereka yang sanggup ‘mengerjakan’ kanak-kanak tidak berdosa ini.

Bayangkan jika jasad diperbaringan itu anak kita. Jasad yang kemaluannya dirobekkan, jasad yang didera, jasad yang lebam dan jasad yang telah dipisahkan dari rohnya. Cukupkah sekadar ucapan takziah, linangan air mata dan iringan ke perkuburan.

Polis – redanya keluarga dan masyarakat dengan keputusan Allah tidak semestinya bermakna mereka bersetuju dengan tindakan anda. PDRM satu pasukan yang diiktiraf kecekapannya tetapi satu bulan berlalu tanpa apa-apa yang dapat dilakukan. Saya yakin, anda sibuk dan terlibat dalam banyak aktiviti lain yang menjaga kepentingan pemimpin negara.

Cadangan menggunakan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk mencari kecuaian keluarga sangatlah mudah bagi anda. Bagaimana jika saya katakan jabatan anda bertanggungjawab terhadap setiap peningkatan kes dalam indeks jenayah di Malaysia. Anda gagal dan cuai menangani kes-kes kecurian, rompakan, rogol, penderaan, pembunuhan, rasuah dan sebagainya.

Anda mempromosikan kehebatan anda di media dalam kes politik menindas pembangkang sahaja. Sebenarnya anda akan kelihatan berjaya jika Nurin dikembalikan kepada keluarganya dalam keadaan selamat. Bukan Nurin sahaja, ramai lagi kanak-kanak dan orang dewasa yang menjadi mangsa jabatan anda.

Pelbagai keperluan, kemudahan dan wang disalurkan kepada agensi anda oleh rakyat demi mengawasi keselamatan Malaysia dan penduduknya.

Namun, keselamatan di Malaysia sudah mulai dirasakan kepupusannya.

Thursday, September 20, 2007

Ketua Hakim Negara : Pagar Makan Padi

Hebatnya mereka !

Rakaman perbualan peguam Dato' VK Lingam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dikatakan antara yang hebat kerana mengejutkan dan bertentangan dengan keluhuran perlembagaan.

Selama ini pembangkang mendedahkan satu demi satu penyelewengan yang membabitkan badan kehakiman tetapi kurang dipercayai orang ramai kerana tiadanya bukti kukuh.

Nah ! Baca dan lihat di sini.

Berkabunglah wahai manusia yang bergelar hakim di Malaysia. Ketua anda telah menunjukkan contoh yang 'terbaik' kepada anda.

Mahkamah di Malaysia sepatutnya sudah mengibarkan bendera separuh tiang sehingga perlantikan Ketua Hakim Negara yang baru.

Harapkan pagar, pagar makan padi.

Tuesday, September 18, 2007

BPR dan BPA wajar ditutup

Dua agensi kerajaan ini sepatutnya berfungsi dengan cemerlang selaras dengan perubahan Malaysia menuju negara maju. Malangnya, agensi ini gagal memberikan komitmen yang diharapkan rakyat dan negara.

BPR bukan sahaja bermasalah dengan Ketua Pengarahnya malah seluruh jabatan tersebut gagal berfungsi dengan sepenuhnya akibat kongkongan Jabatan Perdana Menteri sendiri. Beribu aduan yang dibuat, gagal diselesaikan.

Biro Pengaduan Awam (BPA) ini pula hidup pada nama sahaja. Fungsinya tidak lebih dari seorang posmen. Orang ramai mengadu kepada mereka. Aduan itu dipanjangkan kepada si kena mengadu. Apabila ada masa terluang, si kena mengadu akan 'kelentong' BPA ini. Apabila BPA menerima kelentongan si kena mengadu, maka BPA akan memaklumkan pula kepada pengadu. Itu sahaja kerja mereka.

Jadi, apa kerjanya BPA ini ? Menghabiskan wang rakyat dan menambahkan masalah negara.

Pada hemat saya, jika kedua-dua agensi ini tidak diberi kuasa 'rakyat'melalui parlimen, adalah lebih baik ditutup sahaja. Setiap hari mereka yang berurusan dengan agensi ini untuk menyelesaikan masalah menghadapi pula masalah ketidakpercayaan dan ketidaktelusannya.

Memberi faedah tidak, merugikan negara ada !

Thursday, September 13, 2007

Batu Buruk : Sistem Penyampaian Media Pelacur ?


Peristiwa polis mengganas di Batu Buruk Terengganu mengingatkan saya pada tahun 1985. Ketika itu saya bersama wartawan Utusan Malaysia sedang membuat liputan peristiwa Memali di Baling, dan kami dikejar penyokong PAS kerana terlalu marahkan dengan berita yang disiarkan media arus perdana.

Rupa-rupanyanya setelah balik ke rumah dan saya mengambil masa untuk berfikir, merenung, membandingkan cerita-cerita orang awam dan empati dengan penyokong PAS itu, tiba-tiba hilang rasa 'geram' terhadap mereka.

Peluru hidup yang digunakan oleh pihak polis untuk menembak kediaman As Syahid Ibrahim Libya kemudian dihebohkan media sebagai 'peluru getah'. Pertuduhan yang dibuat adalah seperti biasa - polis cuba diserang, mempertahankan diri, menggunakan pelbagai senjata, mengancam keselamatan negara dan sebagainya oleh pihak polis setelah pelbagai pihak mengecam tindakan biadap mereka. Saya merakamkan sendiri gambar rumah Ibrahim Libya yang ditembusi peluru. Saya juga merakamkan gambar kereta perisai yang diletakkan di tepi rumah As Syahid itu. Namun buat masa ini tidak dapat mencari gambar tersebut. Entah dimana terletak.

Sebenarnya, pengalaman kami membuat liputan adakalanya membuatkan berita kami diedit sebegitu rupa sehinggakan berita 'hitam' menjadi 'putih'. Hilang keasliannya bukan beberapa peratus tetapi seratus peratus. Mana tidaknya menimbulkan kemarahan kumpulan sasar .

Pernah kami sesama sendiri membincangkan tentang etika kewartawanan ini. Ada yang marah dan menyatakan wartawan media perdana ini ibarat pelacur. Sesiapa yang ada wang, ada kuasa dan keinginan, boleh melanggan wartawan. Wartawan ini kemudiannya dikehendaki menurut kemahuan tuannya. Jijik sungguh. Cuma, di negara yang mengamalkan demokrasi yang agak bebas, 'pelacuran etika kewartawanan' ini mungkin kurang dan berada pada paras rendah.

Ada kalangan wartawan juga yang bertanya, "...di Malaysia ini, biasakah dengar wartawan merogol, biasakah wartawan mendera, biasakah mereka mencuri, biasakah mereka dikenakan tindakan mahkamah dan biasakah mereka menghumban orang tua mereka ke rumah orang tua?..".

"Tidak pernah. Aku rasa wartawan media perdana menganggap diri mereka maksum. Bebas dari kesalahan. Mereka jarang memperbetulkan kesilapan fakta dan apalagi memohon maaf kepada mereka yang dimangsakan. Aku bimbang satu hari nanti, Allah swt menurunkan bala dan balasanNya tidak akan menjurus kepada wartawan itu sahaja, malah ibubapa, anak-anak dan ahli keluarga mereka juga akan terlibat" kata seorang lagi yang membuatkan saya tersentak.

Berbalik kisah polis mengganas di Batu Buruk Terengganu. Selama ini saya tidak pernah pun mendengar mana-mana aktiviti PAS menimbulkan masalah. Malah kawan-kawan di dalam PDRM memuji pengendalian majlis seumpama itu oleh PAS.

Tanpa arahan, tanpa perancangan, tanpa provokasi dan 'mala-fide' (berniat jahat), peristiwa tembakan ini tidak akan berlaku biar apapun dakwaan PM dan media arus perdana.

Lihat apa kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam keterangannya kepada SUHAKAM, "Polis memegang pistol sambil mengejar orang awam" Inikah yang dikatakan mempertahankan diri ?

Alasan PM, dalih Johari Baharom, dalih Muhammad Taib (Mike Tyson), temberangan Ketua Polis Terengganu, Timbalan KPN dan mereka yang cuba mengatakan orang awam atau pendengar ceramah sebagai punca, menjijikkan dan memalukan Islam Hadhari.

Mana peluru getahnya dan kenapa kes Memali tergantung begitu sahaja?

Selepas beberapa tahun peristiwa Memali berlalu meninggalkan kita, anggota tertinggi PDRM yang terlibat secara langsung membisikkan kepada saya, "arahan pihak atasan, hidup atau mati. Biar Baling bermandikan darah" Entah ya entah tidak. Jika tidak, takkanlah polis menamakannya Operasi Hapus.

Kita sangat-sangat bimbang bilamana tindakan polis seperti ini boleh mencetuskan tindakbalas rakyat. Huru-hara akan dibuatnya negara ini. Rakyat mendesak kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat tragedi Batu Buruk.

Apalagi yang kerajaan mahu ? Islam tidak, demokrasi pun tidak. Mahu menyogokkan sistem dan etika penyampaian pelacurkah?

Wednesday, September 12, 2007

Ramadhan Mubarakh

13 Mei 2007 / 1 Ramadhan

Semua sahabat-sahabat dan pelawat blog ini termasuk diri dan keluarga, saya mengucapkan selamat menyambut Ramdhan Shariff. Semoga Allah swt memberikan kekuatan, kesihatan dan memberkati kita, InsyaAllah.

" Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa."
Surah Al Baqarah, ayat 183


Rasuah : Tun Haniff Di'belasah'

Apa kata Badruddin B Amiruldin, Ahli Parlimen Jerai mengenai komen Haniff Omar, bekas Ketua Polis Negara tentang rasuah:

(dari screen shots - Jeff Oii)

“Are you telling me Hanif is not corrupt? He is the deputy chairman of Resorts World Bhd in Genting, a gambling hotel. Is this right? What kind of a Muslim is he? A Malay, Muslim would not do all this things,” he said.

“If I was him, even though I don’t have food, I will not do it. If he wants to talk about corruption, where is his integrity?”

"As a Muslim, I have the right to criticize him. The hotel ( Resorts World) is a gambling organization. What kind of a Muslim is he?”

“When he was the IGP, the police officers under him suffered. Their welfare was neglected. Are you championing this guy?” he asked Lim.

Sebenarnya beberapa hari yang lalu apabila Haniff bercakap mengenai rasuah dan integriti, saya dan beberapa orang kawan sudah nampak bahawa ia akan di'belasah' terutama sekali berkaitan 'periuk nasinya'.

Apakah ini yang ingin disampaikan oleh YB Jerai:

Pecah-pecah sepak raga
Tentang sepak kusepak juga
Tujuh bilah keris di dada
Tentang kulekuk kulekuk juga.

Nah! Terasa pedih cuping telinga. Apa lagi yang masih ada ?

Sunday, September 9, 2007

Pendidikan T.Jawab Sosial Pemerintah

Negara-negara di dunia seperti Sweden, Finland, Norway dan sebagainya merupakan pengamal tanggungjawab sosial terhadap masyarakatnya. Bukan sahaja pendidikan rendahnya iaitu sekolah rendah dan menengahnya tidak dikenakan sebarang bayaran malahan pendidikan tingginya juga diberikan secara percuma.

Malaysia
sebuah negara yang masih dalam kumpulan negara membangun sewajarnya memikirkan keperitan rakyatnya yang mana kedudukan ekonomi mereka masih diparas yang rendah. Pendapatan perkapita penduduknya hanyalah RM12,700.

Bajet 2008 sewajarnya menterjemahkan falsafah pendidikan percuma sehingga ke tahap ijazah pertama dengan mengambilkira sebab-sebab kemanusiaan, ekonomi, kebajikan dan pendidikan warganya.

Falsafah yang dicadangkan adalah untuk melahirkan masyarakat yang berpendidikan tinggi bukan sahaja untuk negara Malaysia tetapi juga untuk keuntungan agama, bangsa dan demokrasi itu sendiri.

Sudah sampai masanya dengan pendapatan negara yang tinggi dalam bidang petroleum, warga Malaysia diberikan hak dan manafaat menikmati kemakmuran bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam soal rawatan kesihatan.

Sewajibnya dalam negara seperti di Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah tidak ada. Ianya ibarat, 'rumah kata pergi, kubur kata mari". Kewujudannya tidak dikehendaki. Susah lagi menyusahkan.

Bajet 2008 menjadi cacat dan kurang upaya dalam menegakkan keadilan masyarakat di Malaysia selagi dua perkara utama ini tidak diperbetulkan semula oleh kerajaan.

II. Yuran Sekolah Dihapuskan ?

Lihat di sini. Yuran apa lagi yang sedang menunggu.

Yuran PIBG, Komputer, Kelas Tambahan, Alat Tulis, Yuran Ceria, Yuran Kertas Ujian, Yuran Majalah, Yuran MSSM, Yuran MSSD, Yuran Kebersihan, Yuran Pelapis, Yuran Gerko dan berbelas jenis yuran lain bukanlah termasuk dalam yuran yang ditentukan kerajaan.

Saya bimbang isu ini dikeluarkan dari mulut buaya lalu masuk ke mulut naga pula.

Kita juga bimbang anak bangsa kita hilang keyakinan terhadap diri sendiri. Manakan tidak. Diusia yang awal mereka tercicir dari sekolah akibat kemiskinan. Diusia pertengahan mereka gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau ijazah hanya kerana keluarga tidak berkemampuan dari segi kewangan.

Persaingan dalam kehidupan yang melibatkan ekonomi sudah tentu membawa tekanan. Tekanan menuju akhir usia dikhuatiri menjadi luka dendaman yang dibimbangi pula membawa perubahan menuju anti sosial.

Perubahan sebegini biasanya akan mengubah dasar politik negara.

Masih belum terlewat jika kerajaan ingin balik ke pangkal jalan menuju legasi yang dibawa oleh Bapa Kemerdekaan, Bapa Pembangunan dan Bapa Perpaduan Malaysia - Pendidikan percuma atau biasiswa. Itu yang dituntut rakyat.

Tetapi bukan yang mematahkan bahu ketua keluarga dan meremukkan emosi ahli keluarga seperti sekarang.

Wang, wang dan wang !

Friday, September 7, 2007

Shahrir Samad Datang Lagi

Ramai yang berpendapat Shahrir Samad Pengerusi PAC kembali lagi dengan terkejut dan ketidakgembiraan tiruannya. Rata-rata ramai yang sudah menjangkakan apakah keputusan yang bakal dibuat olehnya. Dahulu 'hangat-hangat tahi ayam'nya ditunjukkan di dalam kes ECM Libra yang melibatkan rakan baiknya, Kalimullah Hassan dan Nor Mohamed Yakcop Menteri Kewangan Kedua.

Kini, orang yang dikatakan menyimpan cita-cita untuk kembali menjadi ahli kabinet Malaysia menyuarakan pula kekhuatirannya dalam kes Port Klang Free Zone (PKFZ).

Hebat !

Monday, September 3, 2007

Hospital Kerajaan Masih Warisan Penjajah

Di e mel kepada:
Perdana Menteri Malaysia
Menteri Kesihatan Malaysia
Ketua Pengarah KKM
Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Sistem penjajah di hospital-hospital kerajaan masih diteruskan selepas 50 tahun merdeka.

Bukan soalnya anda sakit apa. Soalnya siapa yang anda kenal di hospital itu. Bukan soalnya apa yang anda bincang dengan pegawai perubatan di hospital. Soalnya apa yang telah dilakukan oleh kakitangan hospital kepada anda sebagai mangsa.

Pembantu Perubatan boleh 'menyunatkan' pesakit tanpa mengikuti garis panduan yang ditetapkan. Pakar boleh memberikan arahan dari rumah. Bukan pertama kali berlaku. Pegawai Perubatan Pelatih boleh memberikan suntikan tanpa prosidur. Anda menerima ubat yang tidak sepatutnya. Anda dilayan secara kasar di hospital. Pegawai Perubatan boleh menggelarkan dirinya pakar tunggal di Malaysia. Sesiapa yang ada kenalan di hospital, boleh diberikan keutamaan dalam semua perkhidmatan hatta jika mengenali pemandu ambulan atau attendannya.

Apa reaksi mereka yang bertanggungjawab ? Kanak-kanak luruh tangan akibat disalah suntik.

Sudahlah Chua Soi Lek. Jika di negara Cina, anda sudah ditolak keluar dari peta politiknya kerana gagal melaksanakan tanggungjawab.

Kita tidak ingin melihat sandiwara anda. Beritahu kami apa tindakan yang telah diambil terhadap Pakar yang memberikan arahan dari rumah. Beritahu kami apa tindakan yang diambil terhadap Pegawai Perubatan Pelatih tersebut.

Bayangkan jika anak anda diluruhkan tangan itu. Bayangkan jika anak PM diluruhkan tangan tersebut. Bayangkan tiub getah ditinggalkan di saluran buah pinggang atau rahim Rafidah Aziz. Bayangkan darah HIV digantikan kepada Samy Vellu. Bayangkan perbincangan tertutup yang dibuat oleh pegawai perubatan dengan pesakit tanpa adanya hitam putih yang akhirnya memangsakan pesakit.

Bayangkan Jean Denker tidak dilayan secara sepatutnya di hospital kerajaan. Bayangkan Jean keguguran akibat ambulan kehabisan minyak.

Kami ingin mendengar dari Menteri Kesihatan Malaysia. Berapa ramai Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, ADUN, dan pengurusan tertinggi agensi kerajaan yang menerima rawatan pintu depan di hospital kerajaan. Berikan kami maklumat tersebut.

Berapa ramai dari mereka yang menjadi mangsa kelemahan pihak hospital berbanding rakyat biasa.

Berapa banyak kes yang telah menuntut ganti rugi dari kerajaan Malaysia sepanjang 10 tahun yang lalu ? Berapa banyak kes kecuaian hospital yang telah diselesaikan di luar mahkamah ?

Rombak segera pentadbiran hospital kerajaan di Malaysia. Gantikan dengan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD) di hospital-hospital kerajaan. Terlalu banyak masalah dengan pentadbiran warisan penjajah ini.

Kami pernah membangkitkan perkara kroni di hospital kerajaan dengan Prof Kamaruddin Kacha sewaktu beliau di Biro Tata Negara tetapi ianya hanya bagai menuang air didaun keladi.

Jika dahulu penjajah tidak mengambil berat akan risiko akibat rawatan yang diberi kepada warga Malaya, apakah kerajaan Malaysia ingin meneruskan sistem mereka ? Dahulu penjajah tidak menubuhkan jawatankuasa siasatan awam, mereka tidak membenarkan pentadbiran mereka disaman dan mereka membunuh di atas nama perubatan.

Chua Soi Lek - kita sudah merdekakah dengan mengekalkan sistem penjajah yang mana penjajah sendiri sudah tidak mengamalkan kepada penghuni di negara mereka.

Saturday, September 1, 2007

Rakam Percakapan Dengan Kakitangan Kerajaan

Kakitangan kerajaan tempatan akan ditukarkan tempat kerja bagi memantapkan perkhidmatan. Berita dari Kedah pada 31 Ogos 2007.

Pertukaran pegawai mampu mantapkan khidmat PBT


Sistem baru bukan hukuman tetapi elak wujud kakitangan tepu, ‘little Napoleon: Mahdzir Khalid

ALOR STAR: Kerajaan negeri bercadang memperkenalkan sistem yang membolehkan pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya yang sudah berkhidmat di tempat sama sejak lebih 20 tahun, bertukar tempat kerja bagi memantapkan perkhidmatan agensi itu.

Perubahan sistem itu kali pertama dilakukan kerajaan negeri sejak merdeka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang sebelum ini pernah mencadangkan sesetengah peraturan tidak relevan kerajaan diubah untuk memantapkan sistem penyampaian, berkata langkah itu juga akan mengelakkan seseorang pegawai atau ketua jabatan majlis daerah atau perbandaran memegang jawatan di tempat sama terlalu lama sehingga ‘tahap tepu’ dan ketandusan idea.


Saya bersetuju sangat agar ianya dapat dilaksnakan segera. Bukan sahaja di Kedah tetapi di seluruh Malaysia. Bukan sahaja yang 20 tahun bekerja tetapi selepas 5 tahun bekerja. Sudahlah gaji naik, kerja masih ditakok lama. Menyusahkan orang ramai. Tambahan pula kakitangan awam di Kedah. Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain mereka adalah diantara yang paling 'slow' dari segi mutu kerja.


Jika ditanya hal ini, mereka sering menuding jari kearah kelembapan kerja politikus di negeri mereka.


Oleh itu, bukan pertukaran mereka sahaja dapat meningkatkan cara kerja cemerlang, pilihanraya kerajaan tempatan juga hendaklah diwujudkan semula supaya tidak ada lagi lantikan politik atau 'little Napoleon dari kalangan politik"yang duduk dikerusi Ahli Majlis dan sibuk menjaga perut mereka sahaja.


Akhir sekali, saya juga hendak bertanya kepada KSN, adakah setiap kali berurusan dengan kakitangan perkhidmatan awam, kita perlu membawa alat perakam?


Kebayakkan kakitangan awam pandai bercakap. Ramai daripada mereka tidak tahu prosidur jabatan sendiri. Seringkali mereka memberitahu “tidak boleh” apa yang mereka “tidak tahu”. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang ramai.


Jika setelah orang ramai dimangsakan, ditanya semula dengan kakitangan tersebut, pasti ia tidak mengaku apa yang dicakapkannya.


Lihat sahaja aduan orang ramai. Saban hari mereka ditipu. Terutama oleh kakitangan hospital kerajaan. Diikuti oleh jabatan-jabatan lain.


Saya sendiri mempunyai pengalaman ditipu oleh pegawai perubatan di PPUM (Hospital Universiti Malaya) dan kemudian oleh Pengarahnya dalam soal pembedahan. Akhirnya mereka tidak mengaku apa yang kami bincangkan.

Oleh itu wajarkah selepas setengah abad merdeka, orang ramai yang berurusan dengan jabatan merakam perbualan dan perbincangan dengan kakitangan kerajaan?