Tuesday, March 27, 2007

Yuran Sekolah Atau Yuran PIBG Terlalu Tinggi

Setiap awal tahun ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar sekolah di seluruh Malaysia seperti phobia dengan yuran yang bakal dikenakan. Ramai yang mengajukan masalah mereka melalui media namun kurang mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kementerian termasuk menterinya sendiri.

Timbalan Menteri Pelajaran, YB Noh Omar pada hari ini menyalahkan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dalam isu yuran tidak seragam ini . Kata beliau kerajaan hanya menentukan tiga jenis yuran sahaja iaitu Yuran Khas, Yuran Tambahan dan Yuran Asrama.

Bermaksud, selain dari tiga jenis yuran tersebut, termasuklah Yuran PIBG, Komputer, Kelas Tambahan, Alat Tulis, Yuran Ceria, Yuran Kertas Ujian, Yuran Majalah, Yuran MSSM, Yuran MSSD, Yuran Sekolah, Yuran Kebersihan, Yuran Pelapis, Yuran Gerko dan berbelas jenis yuran lain bukanlah termasuk dalam yuran yang ditentukan kerajaan.
Jelas Noh lagi, yuran tahunan bagi Darjah 1-Darjah 5 ialah RM31.50. Bagi Darjah 6 ialah RM33.50. Manakala bagi Tingkatan 1,2,4 dan 6 Bawah ialah RM39.00. Bagi Tingkatan Tiga ialah RM49.00, Tingkatan 5 RM52.00 dan Tingkatan 6 Atas ialah RM54.00.

Ibu bapa di kampung yang dibebani dengan kenaikkan harga barang harian gelisah dengan kenaikkan yuran yang di luar kawalan kementerian berkenaan. Adakalanya pertanyaan demi pertanyaan guru kelas di hadapan rakan-rakan membuatkan pelajar enggan ke sekolah.

“Orang politik apa tahu. Mereka sudah ada banyak projek di sana-sini. PIBG kini dianggotai oleh puak yang tiada masalah kewangan” merungut Mak Cik Habsah yang ditemui di Pandan Jaya.

“Tengoklah dapur kami. Kadangkala terpaksa jimat bersungguh-sungguh. Saya mempunyai enam orang anak. Seorang sampai RM100.00 lebih. Mana nak cari” kata Pak Hassan seorang buruh kasar di Mak Mandin Pulau Pinang.

“Ini tak termasuk duit beli buku tulis, alat tulis, pelapik meja guru dan sebagainya” jelas Ananda dari Alor Setar Kedah.

Kepada siapa lagi hendak mengadu jika bukan kepada wakil rakyat ? Setiap awal tahun masalah yang sama ? Sampai bila lagi ?