Saturday, September 22, 2007

Nurin Jazlin : Siapa Gagal


Nurin Jazlin Jazimin sudah disemadikan semalam. Tamat sudah pencariannya sejak 20 Ogos yang lalu. Harapan dan doa akhirnya mengembalikan Nurin kepada keluarganya namun tidaklah dalam keadaan bernyawa. Walaupun itulah yang diharap dan didoakan. Manusia merancang, Allah jua penentunya.

Terbujur kaku jasad anak kesayangan Jazimin dan Norazian. Anak kedua pasangan ini pergi meninggalkan mereka untuk selamanya. Dengan berbalutkan sehelai kain putih pergi meninggalkan semua yang dikasihi.

Ia ! Setiap insan pasti akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Takziah kepada keluarga Nurin.

Biarlah Allah swt menentukan nasib sutera putih itu di tempat barunya. Sebagai makhluk yang terlalu kerdil, saya mendoakan semoga Nurin menjadi tetamu Allah penghuni syurga.

Kepada pemerintah, carilah dia atau mereka yang berhati dan bernafsu binatang itu. Carilah mereka yang bertopengkan manusia itu. Mereka yang sanggup ‘mengerjakan’ kanak-kanak tidak berdosa ini.

Bayangkan jika jasad diperbaringan itu anak kita. Jasad yang kemaluannya dirobekkan, jasad yang didera, jasad yang lebam dan jasad yang telah dipisahkan dari rohnya. Cukupkah sekadar ucapan takziah, linangan air mata dan iringan ke perkuburan.

Polis – redanya keluarga dan masyarakat dengan keputusan Allah tidak semestinya bermakna mereka bersetuju dengan tindakan anda. PDRM satu pasukan yang diiktiraf kecekapannya tetapi satu bulan berlalu tanpa apa-apa yang dapat dilakukan. Saya yakin, anda sibuk dan terlibat dalam banyak aktiviti lain yang menjaga kepentingan pemimpin negara.

Cadangan menggunakan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk mencari kecuaian keluarga sangatlah mudah bagi anda. Bagaimana jika saya katakan jabatan anda bertanggungjawab terhadap setiap peningkatan kes dalam indeks jenayah di Malaysia. Anda gagal dan cuai menangani kes-kes kecurian, rompakan, rogol, penderaan, pembunuhan, rasuah dan sebagainya.

Anda mempromosikan kehebatan anda di media dalam kes politik menindas pembangkang sahaja. Sebenarnya anda akan kelihatan berjaya jika Nurin dikembalikan kepada keluarganya dalam keadaan selamat. Bukan Nurin sahaja, ramai lagi kanak-kanak dan orang dewasa yang menjadi mangsa jabatan anda.

Pelbagai keperluan, kemudahan dan wang disalurkan kepada agensi anda oleh rakyat demi mengawasi keselamatan Malaysia dan penduduknya.

Namun, keselamatan di Malaysia sudah mulai dirasakan kepupusannya.

No comments: