Thursday, September 13, 2007

Batu Buruk : Sistem Penyampaian Media Pelacur ?


Peristiwa polis mengganas di Batu Buruk Terengganu mengingatkan saya pada tahun 1985. Ketika itu saya bersama wartawan Utusan Malaysia sedang membuat liputan peristiwa Memali di Baling, dan kami dikejar penyokong PAS kerana terlalu marahkan dengan berita yang disiarkan media arus perdana.

Rupa-rupanyanya setelah balik ke rumah dan saya mengambil masa untuk berfikir, merenung, membandingkan cerita-cerita orang awam dan empati dengan penyokong PAS itu, tiba-tiba hilang rasa 'geram' terhadap mereka.

Peluru hidup yang digunakan oleh pihak polis untuk menembak kediaman As Syahid Ibrahim Libya kemudian dihebohkan media sebagai 'peluru getah'. Pertuduhan yang dibuat adalah seperti biasa - polis cuba diserang, mempertahankan diri, menggunakan pelbagai senjata, mengancam keselamatan negara dan sebagainya oleh pihak polis setelah pelbagai pihak mengecam tindakan biadap mereka. Saya merakamkan sendiri gambar rumah Ibrahim Libya yang ditembusi peluru. Saya juga merakamkan gambar kereta perisai yang diletakkan di tepi rumah As Syahid itu. Namun buat masa ini tidak dapat mencari gambar tersebut. Entah dimana terletak.

Sebenarnya, pengalaman kami membuat liputan adakalanya membuatkan berita kami diedit sebegitu rupa sehinggakan berita 'hitam' menjadi 'putih'. Hilang keasliannya bukan beberapa peratus tetapi seratus peratus. Mana tidaknya menimbulkan kemarahan kumpulan sasar .

Pernah kami sesama sendiri membincangkan tentang etika kewartawanan ini. Ada yang marah dan menyatakan wartawan media perdana ini ibarat pelacur. Sesiapa yang ada wang, ada kuasa dan keinginan, boleh melanggan wartawan. Wartawan ini kemudiannya dikehendaki menurut kemahuan tuannya. Jijik sungguh. Cuma, di negara yang mengamalkan demokrasi yang agak bebas, 'pelacuran etika kewartawanan' ini mungkin kurang dan berada pada paras rendah.

Ada kalangan wartawan juga yang bertanya, "...di Malaysia ini, biasakah dengar wartawan merogol, biasakah wartawan mendera, biasakah mereka mencuri, biasakah mereka dikenakan tindakan mahkamah dan biasakah mereka menghumban orang tua mereka ke rumah orang tua?..".

"Tidak pernah. Aku rasa wartawan media perdana menganggap diri mereka maksum. Bebas dari kesalahan. Mereka jarang memperbetulkan kesilapan fakta dan apalagi memohon maaf kepada mereka yang dimangsakan. Aku bimbang satu hari nanti, Allah swt menurunkan bala dan balasanNya tidak akan menjurus kepada wartawan itu sahaja, malah ibubapa, anak-anak dan ahli keluarga mereka juga akan terlibat" kata seorang lagi yang membuatkan saya tersentak.

Berbalik kisah polis mengganas di Batu Buruk Terengganu. Selama ini saya tidak pernah pun mendengar mana-mana aktiviti PAS menimbulkan masalah. Malah kawan-kawan di dalam PDRM memuji pengendalian majlis seumpama itu oleh PAS.

Tanpa arahan, tanpa perancangan, tanpa provokasi dan 'mala-fide' (berniat jahat), peristiwa tembakan ini tidak akan berlaku biar apapun dakwaan PM dan media arus perdana.

Lihat apa kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam keterangannya kepada SUHAKAM, "Polis memegang pistol sambil mengejar orang awam" Inikah yang dikatakan mempertahankan diri ?

Alasan PM, dalih Johari Baharom, dalih Muhammad Taib (Mike Tyson), temberangan Ketua Polis Terengganu, Timbalan KPN dan mereka yang cuba mengatakan orang awam atau pendengar ceramah sebagai punca, menjijikkan dan memalukan Islam Hadhari.

Mana peluru getahnya dan kenapa kes Memali tergantung begitu sahaja?

Selepas beberapa tahun peristiwa Memali berlalu meninggalkan kita, anggota tertinggi PDRM yang terlibat secara langsung membisikkan kepada saya, "arahan pihak atasan, hidup atau mati. Biar Baling bermandikan darah" Entah ya entah tidak. Jika tidak, takkanlah polis menamakannya Operasi Hapus.

Kita sangat-sangat bimbang bilamana tindakan polis seperti ini boleh mencetuskan tindakbalas rakyat. Huru-hara akan dibuatnya negara ini. Rakyat mendesak kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat tragedi Batu Buruk.

Apalagi yang kerajaan mahu ? Islam tidak, demokrasi pun tidak. Mahu menyogokkan sistem dan etika penyampaian pelacurkah?

2 comments:

tokasid said...

Salam Afrar:

Terima kasig atas penjelasan tentang luahanhati seorang wartawan yang terperangkap dalam jaringan media akhbar(dan TV) yg mengizinkan institiusi yg mereka pegang di lacuri oleh parti pemerintah.

Memang amat menyedihkan bila PDRM di guna oleh pemerintah untuk menundukkan oposisi terhadap mereka, dengan menggunakan kezaliman hingga mengorbankan nyawa
(mungkin bagi PDRM, nyawa org2 ini tidak bernilai).

Selepas kezaliman oleh PDRM, pihak akhbar arus perdana meneruskan kezaliman dengan mengubahsuai kebenaran dan adakala memfitnah terhadap mangsa yg dizalimi.Pengarang atau Ketua Pengarang tanpa rasa malu dengan pembohongan ini atau tanpa rasa berdosa memfitnahkan org yg kena zalim, merasa bangga kerana telah membuat jasa kepada pemerintah.
Mereka lupa bahawa waris-waris mangsa pasti akan menuntut keadilan di Mahsyar nanti. Na'uzubillahi min zalik.

Saya telah menghadiri ribuan sesi ceramah dan perhimpunan PAS dan PKR. Walaupun FRU mengelilingi kami, tidak pernah ada kekecohan yg berlaku apalagi merusuh! Pernah seorang anggota FRU memberitahu, kami ke sini menjaga kalau-kalau ada pihak lain datang membuat provokasi terhadap majlis ini.
( Tapi bila ada provokasi yang FRU kejar dan pukul dgn cota hanya org pembangkang saja!!)

Nyata lah PDRM memang tugas menjaga keselamatan. Tapi keselamatan siapa? Nampaknya keselamatan beberapa golongan yang mempunyai kuasa sahaja.

AFRAR YUNUS said...

salam Dr
di negara Cina, kakitangannya yg rasuah dihukum mati. di jepun, perdana menterinya & menteri lain 'bertali arus' meletakkan jawatan akibat ketidakserasian dasar, akibat tidak dapat menjalankan tugas, akibat gagalnya orang-orang atau agensi di bawah mereka menjalankan amanah. di malaysia, semua itu tidak bermakna. selagi bekuasa, boleh buat apa sahaja. jika ditanya kpd polis, polis akan berkata mereka melakukan kekejaman dan penindasan serta membunuh (di memali) kerana diarah. bagi saya sepatutnya sudah sampai masa ulamak dan mufti (yg makan gaji bulanan) mengeluarkan fatwa tentang kezaliman spt ini. kita perlu tahu apa hukumnya jika tdk menerima arahan spt ini. apakah kita mahu orang spt syed idid, bekas hakim mahkamah tinggi yg meletakkan jawatan, atau perlu hakim macam hakim coklat hacks yg patuh kpd arahan luar. dua-dua bertugas. siapa yg benar dr segi agama? yg arif dlm hal ini - mufti membisu, kenapa ?

tentang wartawan, ketua pengarang dan kakitangan media di malaysia, tiada banyak berita dan cerita mengenai mereka di media yg dpt diketahui orang awam. kerana merekalah para pelapor berita dan cerita. sudahlah mengaibkan orang, mereka tidak mengerti utk meminta maaf.

saya biasa jumpa wartawan yg tulis cerita dimedia ibarat malaikat menasihatkan orang tetapi, ada dari mereka
1.kaki judi
2.kaki minum (yg islam ni..)
3.mabuk dan terlentang dikaki lima pejabat akhbar mereka
4.melanggan pelacur
5.hutang beli air-cond tak bayar.diheret ke mahkamah (takdak berita dia orang ni)
6.menggertak pekerja sukarela kerana enggan memasukkan bapanya ke rumah orang tua
7.takut bini yg amat sangat sampai lupa ibu dan bapa
8.bila baik dgn menteri, dapat projek, hutang sana-sini sampai dikenakan tindakan

macam-macam lagi....

tapi bila mereka tulis, ibarat malaikat , kemudian jatuhkan air muka orang, sedangkan org tu akhirnya didapati tak bersalah, apa sudahnya ?

sekarang bila blogger mula menulis tanpa editor dan rentak'bangang' mereka, mereka bimbang dan hilang arah.