Wednesday, August 22, 2007

Common Law Wajar Dipinda

Cadangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bahawa rujukan kepada Common Law Inggeris perlu dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara perlu diberi sokongan.

Untuk mengharapkan Majlis Peguam memberikan cadangan sebegini adalah di luar pemikiran warga Malaysia. Kata Ketua Hakim Negara lagi, "minda pengamal undang-undang tempatan masih terjajah"akibat merujuk Common Law ini.

Tambah beliau lagi, "Kegagalan memartabatkan perundangan sendiri seolah-olah memperlihatkan Malaysia sudah ketandusan kepakaran sehingga terpaksa meminjam daripada Common Law Inggeris sejak tahun 1957".

Apa yang lebih menarik ialah, beliau menyarankan bahawa sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.

Hampir 50 tahun merdeka, pada hemat saya bukanlah masanya bagi Ketua Hakim Negara berpolitik. Saya pasti kenyataan Ketua Hakim berkenaan datangnya dari kesedaran yang mendalam terhadap masa depan negara.

Tunggu dan lihat apa kata pakar undang-undang di Malaysia yang pro-barat dan sekian lama bergelumang dengan Common Law yang mereka ibaratkan sebagai undang-undang tinggi "dunia".

Perkara sebegini tidak patut dilengahkan lagi. Memang akan ada suara sumbang yang tidak bersetuju sepertimana di awal cadangan penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah.

Namun kini semuanya berjalan lancar. Mana patut orang yang tidak bertanggungjawab mengaturkan disiplin di dalam rumah kita.

Sesungguhnya apa yang lebih menakutkan ialah kemungkinan adanya ahli di dalam rumah kita yang bertindak seperti api di dalam sekam berbanding orang yang tidak bertanggungjawab tetapi sudah dikenali.

No comments: