Mampukah Anwar Ibrahim Melakukannya
Anwar Ibrahim pada hemat saya dikira pemimpin yang masih memiliki karisma. Pemimpin zaman 70'an yang masih evergreen semacam juga penyanyi Sharifah Aini, DJ Dave atau kumpulan Alleycats. Anwar, yang akan berusia 60 tahun pada 10 Ogos ini merupakan bekas anak emas Tun Dr Mahathir. Terlibat dengan gerakkan pelajar dan merupakan jawatankuasa penaja Angkatan Belia Islam Malaysia pada 1971. Pernah masuk keluar penjara. Di"ISA"kan pada tahun 1974 akibat peristiwa Baling, Kedah.
Saya yang ketika itu berada di darjah lima berkesempatan menaiki bas dari Keroh ke Baling (lebihkurang 9 km - tambang sehalanya RM0.25 sen) melihat sendiri tunjuk perasaan di perkarangan Masjid Baling. Bersemangat sungguh saya melihat mahasiswa memperjuangkan nasib rakyat ketika itu. Datuk Musa Hitam Menteri Perdagangan Malaysia pada masa itu diterbangkan khas dari Kuala Lumpur untuk berbincang penyelesaian masalah pada peristiwa tersebut.
Selepas beberapa tahun iaitu pada 1982, Anwar masuk UMNO dan bergiat cergas dalam parti yang ia momokkan sebelumnya. Ramai yang kecewa dengan tindakan Anwar. Terutama sekali ahli ABIM dan pendokong gerakkan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Kini, Anwar tidak dibenarkan bergiat dalam politik selama lima tahun selepas keluar penjara.
Pada pilihanraya Ijok yang lalu, Najib Tun Razak Timbalan Perdana Menteri Malaysia dijadikan sasaran kempennya. Ramai yang tertanya-tanya, kenapa Abdullah Ahmad PM Malaysia dan 'menantu negara' Khairy Jamaluddin terlepas dari tikaman politiknya.
Apakah ada pakatan politik diantara Anwar, Pak Lah dan KJ untuk menumbangkan Najib dan seterusnya membuka jalan Anwar menyertai semula UMNO. Anwar terus dan sentiasa menafikan hal ini.
Saya ingat-ingat lupa kiasan yang Tan Sri Sanusi Junid, bekas Menteri Besar Kedah yang ketika itu mendakwa menyimpan berguni-guni surat aduan orang ramai tentang kejelekkan Tan Sri Osman Aroff, seorang lagi bekas MB Kedah sebelumnya bahawa Anwar yang diibaratnya (sebagai tikus atau...apa?) yang berkawan dengan harimau (Tun Dr M) . Kata Sanusi, oleh kerana berkawan dengan orang besar dan ada kuasa, walaupun Anwar tidak sehebat mana, tidak sekuat mana dan bermacam lagi kiasannya, tetapi Anwar tetap digeruni kerana faktor dipertahankan oleh orang besar tersebut. Ini menyukarkan orang biasa me'nyah'kan Anwar kata Sanusi.
Apa pun itu semua adalah andaian politik. Masih ada harapan dan kekuatankah untuk Anwar gemilang dalam karier politiknya ? Jika Anwar dan parti pembangkang utama negara, PAS dan juga parti DAP dapat bekerjasama biarpun tidak dapat menumbangkan kerajaan BN, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kuasa atau kemenangan majoriti BN dalam pilihanraya ke 12 ini, maka Anwar sudah tentu akan dapat mewarnai semula persada politik negara.
Tetapi jika berlaku di sebaliknya, untuk menunggu lima tahun lagi bagi pilihanraya yang ke 13, sudah tentu Anwar akan letih dengan kerenah dalaman kepimpinan parti politiknya sendiri. Walaupun masih ada karisma seperti yang saya katakan, rebah kali kedua akibat pukulan politik orang-orangnya sendiri sudah pasti menyukarkan Anwar untuk bangun dan berlari semula.
No comments:
Post a Comment