Sunday, November 29, 2009

BTN : Siapa menggadai maruah ?

Biro Tata Negara (BTN) perlu dan boleh diteruskan. Saya setuju sangat dengan Noh Omar itu bahawa Lim Kit Siang tidak memahami apa itu BTN. Hanya UMNO dan BN sahaja yang memahaminya.

Jauhari sahaja yang mengenal manikam.

Bagi saya, masalah perpaduan di Malaysia kini, punca perbalahan, penyangak besar, penipu, pengkhianat dan segala macam haprak adalah dari kalangan pemimpin parti politik dan bukannya dari masyarakat atau rakyat.

Oleh itu saya setuju sangat BTN di khaskan untuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional iaitu parti politik yang memerintah.

MIC berselerak dengan pergaduhan Samy Vellu dan Subra. MCA tak habis-habis dengan Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek. PPP bersamurai diantara Keveas dan Murugaiah.

UMNO berkelahi di merata tempat dan di merata bahagian. Cantas mencantas sesama mereka.

Sabah dengan isu wang berjuta-juta. Sarawak dengan mencuri tanah kerajaan.

Di menara gading, berperang merebut jawatan tertinggi dan melaksanakan Akta ISA (AUKU) kepada siswanya.

Kelihatan semua pemimpin BN dan tali barut mereka bermasalah. Baru satu penggal menjadi wakil rakyat, kantong dan tembolok sendiri dan keluarga melimpah-limpah.

Eloklah BTN memanggil Najib, Muhyiddin, Samy, Tee Keat, Chua, Keveas, ahli kabinet Malaysia, pemimpin-pemimpin parti politik BN, PDRM, SPRM, SPR, Naib-naib Canselor dan satukan mereka di BTN.

Supaya Samy boleh bertanya, 'saya tarak faham, itu bumi dipijak milik siapa?".

BN dan fasilitator BTN lupa memberitahu peserta kursus bahawa pengkhianat dan penjual bumi Malaysia sebenarnya adalah dari kalangan parti yang memerintah.

"Maruah peribadi dah hilang". Maruah siapa ?

Fasilitator-fasilitator yang kebanyakkannya syok sendiri ada jawapannya. Adakalanya mereka sendiri tidak tahu apa yang disampaikan.

Saya pernah terlibat dalam kursus BTN. Sudah terang lagi bersuloh.

Teruskan BTN dengan mengumpulkan pengkhianat ini di bawah satu modul yang lebih bersepadu.

Kita sudah tiada masa !

Saturday, November 28, 2009

Siapa lebih ganas : Chin Peng atau Polis Perlis

Jika betul laporan ini, apakah Chin Peng lebih ganas dari Polis Perlis atau kedua-duanya sama ganas atau Polis lebih ganas ?

Dahulu, Parti Komunis Malaya diketuai oleh Chin Peng. Kini PDRM diketuai oleh Musa Hassan. Jangan biarkan rakyat samakan cara mereka berfungsi.

Oleh itu , untuk mengetahui betul atau tidak kejadian tersebut, satu Suruhanjaya Bebas perlu diwujudkan untuk 'mewangikan' nama polis yang sudah 'bangar'.

Friday, November 27, 2009

Salam Eidul Adha



Maaf zahir dan batin.

Foto Aljazeera

Thursday, November 26, 2009

Kelantan dan Islam : Ada sesuatu yang perlu dikorbankan

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi Menteri Besar Kelantan kerana senioriti serta hiraki di dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan.

Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz pula di dalam blognya membidas Husam dan seolah-olah menyebelahi iparnya Ariffahmi. Conflicts of interest di mana ?

Syed Azidi baru sekarang dibidas. Sedangkan sudah lama Azidi di Kelantan.

Begitu jua Tuan Guru Nik Aziz berkata Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan berada di dalam majlis ketika nama Ariffahmi dicadangkan oleh Tuan Guru sebagai Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan tetapi tiada bantahan daripada mereka.

Semua itu adalah politik. Ada yang berani menegur dihadapan manakala ada yang berbisik-bisik dibelakang sahaja. Di dalam Islam itulah siasah namanya. Nama lain bagi politik.

Apapun diharap sempena menyambut hari pengorbanan ini, masing-masing individu yang terlibat ada sesuatu yang dapat dikorbankan di atas nama Islam.

Begitu juga dengan kita.

Selamat Hari Raya Qurban.

Wednesday, November 25, 2009

Santokh lagenda bola negara semakin pulih

Disebut sahaja nama Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Isa Bakar, Shukor Saleh, Arumugam dan pemain bolasepak yang seangkatan dengan mereka pada tahun 1970an dan 1980an, sesungguhnya menarik minat orang ramai termasuk saya sebagai peminat mereka.

Kebanyakkan daripada mereka pernah beraksi di padang sekolah saya, Sekolah Menengah Tun Saban Keroh Perak.

Pemain dahulu berjuang untuk negara. Wang, ganjaran dan anugerah merupakan pilihan kedua.

Jika berminat, berita Santokh 57 tahun yang dijangkiti kuman di bahagian otaknya, semakin pulih boleh dibaca di sini.
(Foto:NST)

Monday, November 23, 2009

MB Kedah sampaikan 346 ekor lembu korban


YAB Menteri Besar Kedah Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak hari ini menyerahkan lembu-lembu kepada Jabatan-jabatan Kerajaan, kawasan DUN, kawasan parlimen, dan NGO dalam Majlis Penyerahan Lembu Korban Bagi Tahun 1430 Hijrah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti Alor Setar pada pagi tadi.

Sejumlah 346 ekor lembu yang disumbangkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan beberapa badan koporat termasuk individu pada majlis tersebut disampaikan terus kepada penerimanya.

"Ini adalah pemberian hasil keuntungan GLC berkenaan" kata Menteri Besar.

Dalam ucapannya beliau berkata, "pengorbanan manusia dinilai melalui ketaqwaan dan taqw
a inilah yang sampai kepada Allah swt".

[Gambar alkerohi : Lori-lori yang membawa 346 ekor lembu]

Sunday, November 22, 2009

UMNO Kedah : Mukhriz lawan Misai Segak

Betulkah selain nama Dr Mahathir dicalonkan untuk jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah ada satu nama klasik dicadangkan.

Depa kata kerja dia tak jadi, tapi misai mau kemas, rapi dan segak.

Dia adalah ahli kumpulan 22 ADUN Kedah yang pernah dipanggil mengadap oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dr Mahathir Mohamed berkaitan isu mereka tidak mahu menerima Sanusi Junid sebagai Menteri Besar Kedah bagi menggantikan Osman Aroff.

Mereka bermati-matian mahukan Abdul Rahman Ibrahim menggantikan Osman.

Dengaq cerita, puak ni tak mau Mukhriz Mahathir berperanan di Kedah apalagi ada ura-ura mahu meletakkan anak mantan PM tu sebagai calon di Kota Siputeh jika jadi pilihanraya kecil di situ.

Hampa gaduh puas-puas. Misai kemas kah, rapi kah, dengaq cerita UMNO Kedah aman dan bersatu.

Kasihan Mahdzir Khalid. Depa buang terus dari arena politik Kedah. Orang Pak Lah katakan.

Buatlah apa yang patut. Cuba pula berketuakan misai segak ! Sahih hampa bungkuih lagi awai.

Saturday, November 21, 2009

Kota Siputeh : SPR dan BN pulas tangan rakyat Kedah

Di dalam mana-mana mahkamahpun jika membabitkan dua pihak, akan ada hujjah-hujjah yang dibentangkan untuk hakim membuat kesimpulan dan seterusnya menghakimi kes dihadapannya itu.

Penghujjahan bagi kes DUN Kota Siputeh Kedah oleh Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili SPR dan Sulaiman Abdullah, peguam bagi Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail menarik perhatian banyak pihak.

Keputusan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) telah dibuat pada 16 November yang lalu dimana SPR dikatakan telah menjalankan tugas melampaui bidang kuasanya.

Permohonan penangguhan telah difailkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan tersebut yang mana akan diketahui pada hari Isnin ini.

Hujjah SPR di dalam permohonan penangguhan tersebut adalah seperti berikut :


  • Jika permohonan penangguhan itu ditolak, satu lagi pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Ia membabitkan wang yang banyak.
  • SPR telah pun membelanjakan RM200,365 pada pilihan raya umum lepas di DUN Kota Siputeh.
  • Ini merupakan pembaziran wang pembayar cukai selain akan mengakibatkan ketidakadilan kepada SPR.
  • SPR minta agar mahkamah menggunakan kebijaksanaannya dalam membenarkan penangguhan itu atas dasar terdapat keadaan khas dalam permohonan itu.
  • Terdapat kemungkinan dua wakil rakyat bagi kerusi berkenaan sekiranya mahkamah membenarkan rayuan SPR selepas pilihan raya kecil itu.
  • Selain SPR, agensi kerajaan lain akan turut terbabit dalam pilihan raya kecil itu dan mereka terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri.

Pada hemat saya, rayuan SPR seperti dalam hujjahnya mirip kepada menarik simpati mahkamah, emosional, imaginasi dan tanpa berlandaskan peruntukan undang-undang.

Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah seperti yang digunakan oleh Speaker Kedah adalah jelas maksudnya.

Hujjah SPR sangat remeh dan mengganggu perjalanan mahkamah.

Seolah-olah SPR tidak pernah meneyediakan peruntukan untuk pilihanraya kecil sebelum ini. Malah majoriti pengundi di kawasan itu mahu supaya ADUN yang ada sekarang digantikan.

YAB Ustaz Azizan Abd Razak Menteri Besar Kedah telah memberitahu, biar kerajaan rugi wang untuk mengadakan pilihanraya kecil dari rugi wang dengan membayar gaji dan elaun ADUN yang tidak membuat kerja termasuk tidak hadir persidangan dewan yang merupakan tugas hakikinya.

SPR seolah-olah mewakili Barisan Nasional mempertahankan kebusukan ADUN berkenaan.

Mereka seolah-olah mahu memaksa kerajaan Kedah dan rakyatnya membayar gaji dan elaun berjumlah kurang lebih RM5,000.00 sebulan, atau RM60,000.00 setahun atau RM300,000.00 bagi sepenggal kepada Abu Hassan Sarif tanpa ADUN itu menjalankan tugasnya.

Memulas tangan rakyat Kedah dengan kasar dan paksaan. Begitu ?

Selama inipun SPR bersekongkol dalam banyak hal bagi mencapai matlamat menghalalkan cara. Pengerusi dan SPR sendiri kelihatan sebagai satu organisasi yang tidak halal dimata rakyat.

Thursday, November 19, 2009

Dakwa Lingam : Nazri Aziz jantan lagikah


Masih adakah 'jantan' pada Nazri Aziz Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Peguam Karpal Singh sudah bersuara minta izin Peguam Negara untuk mendakwa Lingam.

Apa lagi ? Beri sahaja izin jika Nazri dan Gani Patail hilang jantan.
(Foto: Harakahdaily)

Wednesday, November 18, 2009

Kubang Pasu : Hendak lari malu, nak hambat tak lalu

Jika tiada halangan atau campur tangan pihak tertentu dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap permohonan Speaker DUN Kedah, dikira pilihanraya Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba datang khabar bahawa Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Kubang Pasu tidak mahu Johari Baharom dikekalkan di Parlimen Kubang Pasu.

Sumber dalaman pemudanya berbisik, "kita mahu Mukhriz Mahathir mewakili bapanya di parlimen berkenaan sebagai ketua bahagian"

Johari dikatakan sudah kurang aktif. Selepas isu rasuah RM5 juta yang dibabitkan sama Musa Hassan dan Polis Di Raja Malaysia tempoh hari, Johari seperti 'koma politik'.

Kata wakil pemuda itu, banyak majlis-majlis yang diadakan tidak mendapat sambutan. Wakil peribadinya di Jitra Hj Shuib juga sudah mandom.

Begitu juga dengan Cik Gu Zul yang menjadi wakilnya di Kementerian, seperti sudah tidak bertenaga dan kelihatan bersedia ke garisan untuk 'cabut'.

Apakah bisikan ini betul di saat UMNO Jerlun yang bersempadan dengan Kubang Pasu bersiap menghadapi pilihanraya Kota Siputeh ?

Jika betul, ia bakal merupakan 'advantage' pertama kepada PAS di Kota Siputeh. Keduanya, Abu Hassan Sarif ADUN sekarang dikatakan sudah bersedia untuk 'mencantas' calon penggantinya. Ketiganya, ramai pemimpin UMNO Kedah mahu Abu Hassan pergi meninggalkan DUN tersebut.

Keempatnya, banyak muka-muka baru ternganga mahu mereka dicalonkan di tempat itu. Sudah tentu akan berlaku perebutan.

Kelima, Shafie Apdal Pengerusi UMNO Kedah pula dihebohkan akan terlibat dalam rombakan kabinet.

Keenam, Ahmad Bashah Timbalan Pengerusi disifatkan oleh ahli UMNO ada serupa tiada.

Apapun, keputusan Suruhanjaya Pilihanraya pasti dinantikan biarpun Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah menjadi senjata pemusnah terakhir membersihkan Abu Hassan Sarif.

"Bersesak berundur-undur, hendak lari malu, hendak menghambat tak lalu"

Siapa ?

Orang Kedah kata, "siapa lagi jika bukan UMNO"