Saturday, August 8, 2009

CUEPACS: MINTA TIMBANG KELAS SATU UNTUK PENJAWAT AWAM

Bernama
4/8/2009

SHAH ALAM, 4 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan supaya menimbangkan penempatan di wad kelas satu bagi semua penjawat awam yang ditahan untuk rawatan di hospital.

Presidennya Omar Osman berkata satu kertas kerja mengenainya sudah disiapkan dan ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi dalam usaha menaikkan imej penjawat awam.

Beliau berkata permintaan itu dianggap wajar, dan jika diluluskan penjawat awam pasti akan merasa lebih dihargai serta mempunyai motivasi lebih baik untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang."Sekarang ini penjawat awam yang masuk hospital akan ditempatkan di wad mengikut tangga gaji, kebanyakannya hanya layak di wad kelas kedua dan ketiga sedangkan mereka juga memainkan peranan yang sama ketika berkhidmat," katanya dalam sidang media di sini.

Terdahulu, Omar hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ke-14 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Beliau berkata tuntutan itu juga dibuat memandangkan ketika ini wad kelas kedua dan ketiga biasanya turut menempatkan warganegara asing yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan.

"Sangat tidak patut untuk petugas kerajaan ditempatkan sekali dengan mereka, kami minta kelas satu pun bukan hendak satu bilik sorang, tidak kisahlah satu bilik empat orang sekalipun tidak apa asalkan ia wad kelas satu," katanya.

Selain itu Omar berkata dalam kertas kerja itu juga Cuepacs berharap elaun hotel akan dikaji memandangkan elaun RM80 yang diberikan sekarang dilihat tidak sesuai kerana kadar sewa bilik hotel terutama di ibu kota menjangkau lebih RM100."Sedih juga kadang-kadang penjawat awam duduk hotel di Chow Kit, bos-bos besar hotel lain, sedangkan nak mesyuarat hotel yang sama, mana ada sekarang ini hotel RM80," katanya.

Sementara itu Omar berkata Cuepacs akan terus mengadakan penerangan serta taklimat di semua peringkat anggotaannya mengenai enam Bidang Hasil Utama Nasional (NKRA) dan konsep 1Malaysia bagi memastikan semua penjawat awam peka dengan seruan kerajaan itu.

Beliau berkata penerangan itu penting bagi memastikan penjawat awam faham sekaligus melaksanakan seruan kerajaan terutamanya dengan mengaplikasikannya menerusi perkhidmtan yang mereka berikan.-- BERNAMA

No comments: