Monday, October 29, 2007

YB Jerai mengaku silap..

Akhirnya Badruddin Amiruldin, Ahli Parlimen Jerai, Kedah memohon maaf kepada Karpal Singh dan juga kepada mereka yang tersinggung dengan kenyataannya.

Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Fong Po Kuan, Ahli Parlimen DAP dari Batu Gajah kepada YB Jerai tersebut, "You have just set a very good example . I will certainly pass the message to Karpal".

Saya juga tertarik dengan apa yang dikatakan oleh YB Jerai baru baru ini. “Are you telling me Hanif is not corrupt? He is the deputy chairman of Resorts World Bhd in Genting, a gambling hotel. Is this right? What kind of a Muslim is he? A Malay, Muslim would not do all this things”.

“If I was him, even though I don’t have food, I will not do it. If he wants to talk about corruption, where is his integrity?”

"As a Muslim, I have the right to criticize him. The hotel ( Resorts World) is a gambling organization. What kind of a Muslim is he?”

Bagi saya, kedua-dua situasi di atas adalah yang sepatutnya. Mohon maaf dan tegurannya adalah tindakan yang betul.

Jangan bila sudah tidak berkuasa, baru kita sedar bahawa tindakan lampau adalah satu penghinaan kepada orang lain.

Sunday, October 28, 2007

Apalagi yang Fairuz dan VK Lingam mahu

Bukankah segalanya telah didedahkan. Mahu sokongan PM dan Nazri Aziz ? Untuk apa ? Nazri seperti kanak-kanak yang dalam usia perkembangan. Sedang mencari identiti.

Golongan dalam UMNO sendiri muak dengan kenyataan-kenyataannya. Hatta mantan PM Tun Dr Mahathir sendiri berkata baginya Nazri 'takdak apa-apa'.

Lupakan Nazri yang berakal pendek dalam politik itu. Biarkan dia berteriak kesana-kemari.

Kelmarin, satu petisyen yang diusahakan oleh The People’s Parliament dan telah diserahkan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong meminta baginda campur tangan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja menyiasat kesahihan pita video Lingam.

Diantara lain rayuan petisyen tersebut adalah :

1.Masyarakat Malaysia kian meruncing dan bimbang dengan situasi ini

2.Satu perbualan telefon di antara peguam kanan VK Lingam dan seorang lagi, yang dikatakan mengatur pelantikan hakim-hakim kanan yang ‘mesra’ hendaklah disiasat.

3.Difahamkan perbualan tersebut ternyata adalah di antara VK Lingam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan ianya berkaitan perlantikan dan kenaikan pangkat para hakim. Beberapa hakim yang lain turut dinamakan dalam perbualan tersebut.

4.Skandal ini kini menimbulkan kesangsian yang mendalam terhadap kesesuaian Tun Ahmad Fairuz untuk mengetuai badan kehakiman, dan kesesuaian pelantikan serta kenaikan pangkat beberapa Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan and Mahkamah Persekutuan yang telah dibuat berdasarkan cadangan dan syor asal daripada Tun Ahmad Fairuz.

5.Petisyen tersebut juga menyatakan, beberapa orang Hakim yang berpangkat lebih rendah telah dinaikkan pangkat sementara beberapa orang Hakim yang lebih kanan sering diketepikan dalam proses kenaikan pangkat.

6.Terdapat laporan akhbar yang menyatakan bahawa sekurang-kurangnya seorang Hakim, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, yang telah gagal menyediakan keputusan mahkamah secara bertulis bagi sekurang-kurangnya 35 kes. Ini mengakibatkan banyak kes-kes rayuan yang difailkan oleh tahanan dan banduan yang telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan tidak dapat diadili atau diulangbicara seterusnya.

7. Juga, pemetisyen melahirkan kebimbangan terhadap keputusan Mahkamah berkaitan beberapa kes berprofil tinggi dan samada keputusan-keputusan ini telah ‘diatur’ oleh Tun Ahmad Fairuz, dan jika benar ianya telah berlaku, apakah implikasinya terhadap Hakim-hakim lain di Mahkamah-mahkamah Tinggi khasnya.

8. Juga dinyatakan tindak-balas Perdana Menteri, beberapa ahli Kabinet yang lain serta Peguam Negara terhadap isu klip video ini langsung tidak memberikan rakyat Malaysia keyakinan bahawa skandal ini akan disiasat dengan adil dan telus sehinggakan mungkin kita tidak akan tahu apa yang sebenarnya berlaku.

9. Pada 26/9/2007 satu panel yang terdiri dari 3 orang akan menyiasat skandal ini, yang mana ketua Panel tersebut terlibat dalam pemecatan Tun Salleh Abas pada tahun 1988.

Para pemetisyen mahu agar DYMM Yang DiPertuan Agong menitahkan pembentukan sebuah Suruhanjaya Penyiasat di bawah Akta Suruhanjaya Penyiasat (Commission of Enquiry Act) 1950.

Fairuz. Apa lagi ? Berundurlah !


Saturday, October 27, 2007

Musa Hassan, Ini Balasan Tuhanlah


Apa kata jika Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memohon peruntukkan tambahan untuk kursus mendisiplinkan kakitangannya. Lebih dari itu memohon juga peruntukkan untuk mengenal pasti cara siasatan yang lebih baik. Dan juga peruntukkan untuk mengenal penjenayah termasuk pembunuh dalam kes Nurin Jazlin dan lain-lain lagi.

Musa Hassan kena minta dan kabinet akan meluluskannya. Itu kata PM Malaysia.

Hebat! Pak Lah sudah bangunkah ?

Hebatnya PM! PDRMpun hebat. Pandai menggunakan suasana.

Dahulu, rumah untuk Polis dihebahkan tidak cukup. Mereka menyuarakannya melalui pelbagai sudut. Pelbagai projek perumahan untuk mereka sudah diluluskan. Kenderaan Polis pula tidak mencukupi. Pelbagai jenama kenderaan untuk PDRM sudah dibekalkan. Lepas dari itu, gaji pula dikatakan tidak munasabah. Sudah dinaikkkan gaji mereka.

Kini, baju kalis peluru pula tidak mencukupi. Jika tidak mati dua anggotanya di Sungai Buloh, tiada siapa yang tahu hal baju tersebut. Lebih-lebih lagi baju kalis peluru untuk 'dua' anggota yang tidak dapat diperolehi dari PDRM seluruh Malaysia.

Orang utara kata, “pandai hang Musa. Kes tak banyak mana yang hampa uruih. Peruntukkan cukup banyak yang hampa minta. Hari-hari kes rogol, bunuh, dadah, culik, mencuri, merompak dan sebagainya. Berapa banyak yang selesai?”

Esok lusa, ditakdirkanlah polis jatuh atau mati tergelincir ketika mengejar penjenayah. Bagi pula alasan kasut tidak sesuai. Musa Hassan hebahkan pula dalam media, “kasut tak sesuai dan tak cukup”.

“Awat Musa ? Apa yang tak cukup lagi. Cuba hang senarai mai. Pak Lah tengah sedak tu. Dia nak bagi” kata orang utara lagi.

Takkanlah setiap kali ada kelemahan atau sesuatu yang buruk berlaku, pihak pengurusan PDRM baru menyedari kekurangannya.

Stoking? Gunting misai? Kerusi, meja, motosikal, pistol, peluru, gari dan beratus alatan apa yang tidak cukup lagi yang menyukarkan Musa Hassan dan polis bekerja?

Minta Musa, minta. Akan diluluskan segera!

“Satu lagi Musa. Cuba hampa kurangkan berpolitik. Hapuskan penderaan, penganiayaan dan kerja biak bagi betoi. Aku bimbang wakil Jerai nanti kata, hampa patah kaki, mati dan sebagainya kerana balasan tuhan” kata orang utara lagi.

Hari tu Jerai kata jika orang Islam tidak ada duit untuk makan pun, tidak akan bekerja di tempat Haniff Omar bekerja. Dua hari sudah dia kata Karpal Singh guna kerusi roda kerana balasan tuhan.

"Aku bimbang nanti Jerai kata, ‘semua dah bagi, nak apa lagi. Hasil PDRM tidak nampak-nampak juga. Ini balasan tuhanlah!” sambung orang utara menutup cerita.

Tuesday, October 23, 2007

Peguam: 92 dipecat 103 digantung kerja

Pengerusi Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara Tan sri Khalid Ahmad Sulaiman memberitahu, sepanjang lima tahun lalu, seramai 92 peguam dipecat kerana salahlaku manakala 103 yang lain digantung jawatan dalam tempoh yang sama.

Apabila Majlis Peguam membisu.

Saturday, October 20, 2007

Alor Star : Longgok Sampah Di Pejabat Kerajaan Tempatan

Saya menerima panggilan telefon dan pesanan ringkas daripada beberapa orang kawan mengatakan bahawa esok (Ahad) 21 Oktober 2007 pada jam 10.30 pagi di Jalan Kolam di Alor Star, Kedah akan diadakan satu majlis khas menyerahkan bungkusan sampah oleh pembayar cukai kepada pejabat Majlis Bandaraya Alor Star sebagai tanda protes kegagalan pihak Kerajaan Tempatan membersihkan sampah sarap yang semakin mengotorkan Alor Star.

Bukan itu sahaja, kekotoran ini telah menyebabkan kes denggi bertambah dan menyebabkan beberapa kematian di sekitar Alor Star.

Alor Star pernah dikenali dengan nama Alor Star Bandaraya Dalam Longkang.

Ada yang memberitau, aktiviti sebegini sudah tentu dapat membuka mata Datuk Bandar yang sedang lena.

Dalam pada itu, ramai dari kalangan penduduk menyarankan agar bungkusan sampah ini dilonggokkan pula di hadapan kediaman Datuk Bandar dan kediaman Menteri Besar Kedah sekiranya tiada tindakan selepas tarikh 21 Oktober ini.

Friday, October 19, 2007

Kecuaian dan Keganasan Polis, Rakyat Perlu Membayar ?

Wang sejumlah RM2.5 juta bukanlah sedikit. Setiap kali kerajaan diperintah oleh mahkamah untuk membayar wang kepada sesiapapun, maka wang itu adalah wang rakyat. Bukan wang individu Perdana Menteri, wang peribadi ahli kabinet atau kutipan wang sesama anggota polis.

Kecuaian mengurus dana awam bukan sahaja berlaku di dalam pentadbiran awam seperti yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara baru-baru ini malah jumlah yang lebih besar disalah urus oleh orang politik terutama sekali oleh mereka yang memerintah.Berita kelmarin dari Kuala Lumpur menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Hashamudin Mohd Yunus memerintahkan agar bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abd. Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta atas penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari pada tahun 1998.

Menurut mahkamah, Polis gagal mengemukakan bukti, penahanan yang dibuat adalah berniat jahat, soal siasat bertujuan politik dan tidak kena mengena dengan soal keselamatan negara. Malek juga telah didera semasa berada di dalam tahanan.

Soalanya ialah, kenapa tindakan tatatertib tidak diambil terhadap anggota polis berkenaan yang melakukan tugas tanpa mengikut peraturan. Alasan mahkamah jelas memberikan tafsirannya. Kakitangan kerajaan termasuk polis terikat dengan peraturan dan perintah tertentu yang jelas memberikan deifinisi berkaitan tindakan disiplin.

Mana perginya Suruhanjaya Polis. Mana perginya IPCMC ?

Sudah sampai masanya pendera dari kalangan polis dikenakan hukuman yang setimpal. Musa Hassan pandai mencadangkan agar keluarga Nurin Jazlin dikenakan tuduhan cuai. Bagaimana pula dengan polis yang mengganas dan mendera ? Bukan setakat itu sahaja, kerajaan terpaksa menghabiskan duit rakyat kerana kesalahan dan kecuaian polis. Bukan seringgit dua tetapi berjuta.

Sudahlah permintaan mereka untuk memenuhi kekurangan anggota, kekurangan rumah, kenderaan dan sebagainya dipenuhi kerajaan dengan menggunakan wang rakyat. Takkanlah ganti rugi akibat kecuaian, keganasan dan sikap tidak bertanggungjawab polis pun rakyat yang perlu membayarnya?

Wednesday, October 17, 2007

Pemimpin Alternatif : Kendurkan Ego

Biarpun Tun Dr Mahathir sentiasa mengatakan beliau tidak dapat bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, anak didik politiknya, namun masih ada jalan lain yang boleh mereka bina dan lalui.

Tun dan Anwar masing-masing telah melakukan banyak kesilapan ketika di puncak kuasa. Perasaan dan hati yang telah mereka lukakan bukanlah sedikit jumlahnya. Sistem negara yang mereka rosakkan juga tidaklah sedikit. Ini termasuk meliwat sistem kehakiman negara, memperkenalkan rasuah dalam pemilihan parti politik dan beratus yang lain lagi. Jika diimbau kembali, tidak termuat untuk dituliskan di sini.

Apa yang sedikit mengendurkan kemarahan rakyat terhadap dua politikus ini ialah, pengakuan kesilapan demi kesilapan yang diluahkan mereka dari masa kesemasa sekarang ini.

Anwar cuba memperbetulkan kemusnahan yang dilakukannya melalui perjuangan pembangkang. Tun M pula menyerang kepimpinan Abdullah dari dalam UMNO.

Kebimbangan menyelubungi pemerhati politik di Malaysia jika faktor kesilapan ini lambat diambil tindakan. Pilihanraya kedua belas sudah hampir tiba.

Kesediaan pembangkang untuk bertarung dengan BN memang diakui. Tetapi, kesepakatan dan visi mereka masih kabur.

Terkini, Tun Dr M sudah seperti hilang dominasi terhadap politik di Malaysia. Faktor semakin dimamah usia, menghadapi masalah kesihatan, media arus perdana yang tidak bekerjasama, hilang sokongan kawan-kawan dan pengakuan beliau untuk tidak terlibat dalam politik di hujung persaraannya sebagai PM sudah tentu menjadi penghalang.

Apapun, beliau masih diharap dan dikatakan berupaya membuat kejutan dalam pilihanraya akan datang.

Untuk menggayang Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia kelima tidaklah semudah yang disangka pembangkang. Abdullah mempunyai 'telinga' dan jentera kerajaan yang besar walaupun tidak mempunyai apa-apa rancangan masa depan politik untuk memakmurkan rakyat.

Beliau boleh digolongkan sebagai PM Malaysia yang paling kurang upaya.

Seperti juga Tun Dr M dan Anwar yang pernah menggunakan jentera kerajaan untuk menindas demokrasi yang sudah sedia lemah di Malaysia pada ketika itu, Abdullah, Khairy dan kuncu-kuncu mereka baik di media perdana dan di arena politik tidak akan malu untuk menyeleweng dan menindas rakyat dengan menggunakan taktik yang sama atau lebih teruk.

Jika dibiarkan oleh segala yang ada di dalam UMNO, budak muda menantu negara yang bercita-cita besar mahu menjadi Perdana Menteri pada usia 40 an, akan merobekkan lagi fitrah dan masa depan politik rakyat Malaysia. Haru biru akan dibuatkannya Malaysia nanti.

Untuk meminta Tun Dr M berbaik semula dengan Anwar adalah tidak mustahil. Tapi untuk Dr Mahathir berbaik dengan Anwar adalah sangat musathil. Biar apapun, saya pasti Anwar bersedia berbaik semula bukan sahaja dengan Tun Dr M malah dengan UMNO sendiri demi survival politiknya.

Begitu juga untuk TG Abdul Hadi Awang dan DAP menjadi pemerintah adalah juga tidak musathil jika mendapat kerjasama Keadilan dan NGO apatah lagi dari orang seperti Tun. Ahli PAS dan penyokongnya sangat statik dengan komitmen dan perjuangan mereka. Undi mereka tidak pernah ‘lari’ kepada yang lain.

Undi kaum Tiong Hua boleh berubah mengikut isu semasa tidak kira mereka dari parti pemerintah atau pembangkang. Undi kaum India 50-50. Undi Melayu UMNO dan BN di Sabah dan Sarawak boleh menjadi penentu pemerintah akan datang. Itupun jika mereka sedia berubah.

Bagi saya, Tun sepatutnya sudah mula menebus dosa yang dari masa kesemasa beliau sendiri mengakui kesilapannya dengan sedikit berlembut dan bertolak ansur.

Parti Islam seMalaysia boleh dijadikan rakan politik sealiran atau selandasan biar bukan rakan se'parti'.

Kedua, Tun boleh menggerakkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai proksi ke medan hadapan bertempur dengan Abdullah Ahmad. Jika perlu sokongan, idea Musa Hitam boleh diadunkan bersama. Itupun apabila Musa masih berminat dan tiada kepentingan peribadi.

Jika TG Hj Hadi Awang, Lim Kit Siang, Anwar, Tun atau Tengku Razaleigh beranggapan bahawa tanpa kerjasama sesama mereka, parti atau penyokong mereka boleh membawa kejayaan dalam pilihanraya ke 12 ini, maka ianya adalah sesuatu yang luarbiasa dan khayalan - ibarat pungguk rindukan bulan.

Seperti biasa, ramai yang beranggapan PRU ke 12 akan dimenangi oleh Abdullah dan BN kerana minda politik masyarakat kita terutama sekali orang Melayu yang menyokong UMNO di Johor, dan penyokong BN di Sabah dan Sarawak sudah boleh menentukan majoriti undi walaupun beribu isu sedang menerajang mereka kecuali sesuatu yang ajaib dapat dilakukan oleh pembangkang di Sabah dan Sarawak.

Pengundi seperti itu sudah diajar untuk memangkah dacing. Itulah pula yang sedang diasuh kepada mahasiswa kita di menara gading. Esok dan lusa, kita akan lihat ramai 'mahasiswa kencing manis' akan dilahirkan oleh BN. Lemah, lesu, tidak bermaya dan bergantung kepada orang lain biarpun kenaikkan harga barang makanan, rasuah, penyelewengan, isu sosial, penindasan dan sebagainya mengelilingi mereka.

Jadi mustahilkah ketua-ketua alternatif seperti TG Hj Hadi Awang, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Tun Dr M serta yang seangkatan dengan mereka walaupun tidak sehaluan politik, mampu sepakat dan membebaskan sementara fahaman masing-masing demi mengajar Abdullah Ahmad PM Malaysia yang paling lemah itu.

Apakah idea dan slogan, ‘undi di tangan kita, jika tidak secocok, kita pangkah dan gantikan yang lain’ hanya untuk diamalkan oleh rakyat biasa sahaja. Bukan untuk pemimpin-pemimpin kita ?

Jika mahu seribu keegoan boleh dikendurkan. Jika tidak mahu, biarkan saja rakyat Malaysia didera oleh Abdullah Ahmad dan kuncu-kuncunya di atas perjuangan palsu dan penuh keegoan mereka.

Atau, biarkan Abdullah terus memerintah rakyat Malaysia dengan jenaka yang tidak berkesudahan dalam mencari Al Ghazali dan As Shafie. Dan biarkan juga Abdullah Ahmad berseronok melihat ketidaksepakatan dan ego segelintir pemimpin alternatif yang menentang kelemahan dan ketidakupayaan pentadbirannya.

Friday, October 12, 2007

Eid Mubarakh


Assalammualaikum wbr

Sahabat dan para pengunjung blog alkerohi, saya dan keluarga mengambil iktibar dari Ramadhan yang berlalu, mengucapkan Eid Mubarakh untuk anda sekeluarga.
"Taqabbalahhu minna wa minkum"
[“Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu"]
Maaf zahir dan batin.
Wassalam.

alkerohi dan sekeluarga.

Sunday, October 7, 2007

PM Malaysia tidak tahu, lena atau bersandiwara

PM Malaysia sedang mencuba menyakinkan orang ramai bahawa 'ada masalah' yang rakyat Malaysia sedang hadapi dan masalah itu berada di luar pengetahuannya. Oleh yang demikian beliau meminta "pemimpin politik dan ahli kabinetnya" memaklumkan atau memberitahu perkara sebenar kepadanya".

PM juga berkata, beliau sedia mendengarnya walaupun ianya berkaitan negara atau dirinya.

“Saya tidak mahu kita berpura-pura bahawa segala-galanya baik belaka" tambahnya lagi.

“Mereka ini cuba nak bagi saya tenang, kasihan kepada saya dan tak bagi saya susah hati. Beritahu kebenaran walaupun ia menyakitkan kerana seorang Perdana Menteri mesti mempunyai keberanian untuk mendengarnya,” katanya.

Saya tidak pasti samada PM sedar atau tidak dengan kenyataannya itu. Atau adakah beliau sengaja dan berpura-pura cuba mengkhabarkan kepada rakyat bahawa beliau perlu diberitahu tentang kemelut yang dihadapi rakyat seperti mana beliau pernah menyarankan agar "kerja bersama saya" tetapi apabila rakyat mula mencari beliau, maka beliau tidak kelihatan dan selalu berada di luar negara.

Apakah PM tidak sedar bahawa rakyat sedang menderita dengan kenaikkan harga barang makanan, barang keperluan harian, masalah hubungan antara kaum, masalah perpaduan, kenaikkan tol, kenaikkan tarif elektrik, air, gas, kenaikkan kos menunaikan haji, masalah sistem kehakiman yang mula diragui, masalah peranan polis dalam mencegah jenayah, hubungan polis dengan masyarakat khususnya pembangkang dan orang ramai, masalah pendengar ceramah ditembak dengan peluru hidup, masalah kepincangan dalam pembahagian kekayaan negara, rasuah yang berleluasa, kes jenayah yang semakin membimbangkan, masalah sosial yang menjadi-jadi, mahasiswa dikongkong dengan akta 'dracula' dan berpuluh masalah lain.

Sandiwarakah PM kita ?

Dalam membuat kenyataan tersebut, beliau juga cuba menunjukkan bahawa jaringan dan rangkaian pengetahuannya sangat luas dengan mengatakan pula, "saya mempunyai telinga yang besar".

Apa guna telinga besar, jika pada masa yang sama mempunyai hati yang kecil, minda yang sempit, jangkauan kerja yang terbatas dan sentiasa terkeluar dari kerangka realiti sehingga membuatkan budak-budak berhingus menjadi penasihat dalam semua hal peribadi dan negara.

Apa guna pemimpin yang besar dengan pendapatan negara yang berbillion jika rakyat terus kerdil dihimpit kemiskinan rohani dan material. Rakyat tidak dapat merasakan kelazatan ekonomi Malaysia. Isi dan kelazatan dirasakan oleh pemimpin parti politik pemerintah manakala tulang dan kuah dilemparkan kepada rakyat jelata.

Sebenarnya Malaysia diberi kekayaan oleh Allah swt. Pelbagai sumber kekayaan yang ada di Malaysia. Namun rakyatnya miskin kerana kekayaan negara dibolot oleh kepimpinan parti pemerintah dan kuncu-kuncu mereka.

Tidak tahu lagikah wahai PM. Atau masih lena. Atau masih ingin bersandiwara ?

Atau beliau sekadar hendak menyeronokkan kaum Cina dari parti Gerakan yang menjemputnya dalam majlis mereka.

Lupakah PM bahawa kaum Cina dari mana-mana parti pun samada pemerintah atau pembangkang tidak selemah yang disangka. Mereka boleh bersatu di atas kepentingan kaum tanpa mengira kepentingan politik sepertimana mereka bersatu dalam isu babi di Melaka.

Lenanya orang Melayu Melaka bersama pemimpin mereka dan babi-babi sejak 50 tahun lalu membiarkan isu babi bertali temali.

Lena dan sandiwara PM jika dibiarkan akan mengkhayalkan pula orang Melayu UMNO seMalaysia. Mereka ini adalah tulang belakang kerajaan yang memerintah.

Jika isu babi di Melaka, negeri yang diperintah Barisan Nasional dengan bertulang belakangkan UMNO, diheret selama 50 tahun dan lebih, beratus isu lain sampai bila lagi ?

Thursday, October 4, 2007

Bila Hakim Diajak Berpolitik

Mahkamah di Pakistan boleh dan telah mengeluarkan perintah agar Ketua Polis Islamabad, Marwat Shah digantung dari menjalankan tugas ekoran keganasan yang timbul ketika menyuraikan penunjuk perasaan anti Musharraf.

Bermaksud, penunjuk perasaan di Pakistan meluahkan ketidakpuasan hati terhadap Presiden mereka sendiri yang kemudiannya dikasari oleh pihak Polisnya.

Akhirnya, mahkamah telah memainkan peranan yang sepatutnya dengan menjadi orang tengah dan sudah tentu selepas ini akan mengadili kes berkenaan.

Bagaimana jika di Malaysia ?

Mahkamahnya sudah menjadi semacam 'rubber-stamp'. Dengan pelbagai kerenah tawar-menawar jawatan kehakiman, menjadi kaki pengampu pemerintah, sehingga menampakkan kurang kewibawaan dan akhirnya rakyat mula mempersoalkan peranannya.

Adakah mahkamah di Malaysia bijak dalam mengadili golongan bawahan sahaja ?

Sesungguhnya keluhuran undang-undang sesebuah negara terletak kepada ketinggian mutu dan ketelusan badan kehakimannya.

Bila badan kehakiman diajak bermain politik, maka tunggu dan lihat saat-saat kejatuhan sistem kenegaraan yang sudah sedia wujud.