Biarpun Tun Dr Mahathir sentiasa mengatakan beliau tidak dapat bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, anak didik politiknya, namun masih ada jalan lain yang boleh mereka bina dan lalui.
Tun dan Anwar masing-masing telah melakukan banyak kesilapan ketika di puncak kuasa. Perasaan dan hati yang telah mereka lukakan bukanlah sedikit jumlahnya. Sistem negara yang mereka rosakkan juga tidaklah sedikit. Ini termasuk meliwat sistem kehakiman negara, memperkenalkan rasuah dalam pemilihan parti politik dan beratus yang lain lagi. Jika diimbau kembali, tidak termuat untuk dituliskan di sini.
Apa yang sedikit mengendurkan kemarahan rakyat terhadap dua politikus ini ialah, pengakuan kesilapan demi kesilapan yang diluahkan mereka dari masa kesemasa sekarang ini.
Anwar cuba memperbetulkan kemusnahan yang dilakukannya melalui perjuangan pembangkang. Tun M pula menyerang kepimpinan Abdullah dari dalam UMNO.
Kebimbangan menyelubungi pemerhati politik di Malaysia jika faktor kesilapan ini lambat diambil tindakan. Pilihanraya kedua belas sudah hampir tiba.
Kesediaan pembangkang untuk bertarung dengan BN memang diakui. Tetapi, kesepakatan dan visi mereka masih kabur.
Terkini, Tun Dr M sudah seperti hilang dominasi terhadap politik di Malaysia. Faktor semakin dimamah usia, menghadapi masalah kesihatan, media arus perdana yang tidak bekerjasama, hilang sokongan kawan-kawan dan pengakuan beliau untuk tidak terlibat dalam politik di hujung persaraannya sebagai PM sudah tentu menjadi penghalang.
Apapun, beliau masih diharap dan dikatakan berupaya membuat kejutan dalam pilihanraya akan datang.
Untuk menggayang Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia kelima tidaklah semudah yang disangka pembangkang. Abdullah mempunyai 'telinga' dan jentera kerajaan yang besar walaupun tidak mempunyai apa-apa rancangan masa depan politik untuk memakmurkan rakyat.
Beliau boleh digolongkan sebagai PM Malaysia yang paling kurang upaya.
Seperti juga Tun Dr M dan Anwar yang pernah menggunakan jentera kerajaan untuk menindas demokrasi yang sudah sedia lemah di Malaysia pada ketika itu, Abdullah, Khairy dan kuncu-kuncu mereka baik di media perdana dan di arena politik tidak akan malu untuk menyeleweng dan menindas rakyat dengan menggunakan taktik yang sama atau lebih teruk.
Jika dibiarkan oleh segala yang ada di dalam UMNO, budak muda menantu negara yang bercita-cita besar mahu menjadi Perdana Menteri pada usia 40 an, akan merobekkan lagi fitrah dan masa depan politik rakyat Malaysia. Haru biru akan dibuatkannya Malaysia nanti.
Untuk meminta Tun Dr M berbaik semula dengan Anwar adalah tidak mustahil. Tapi untuk Dr Mahathir berbaik dengan Anwar adalah sangat musathil. Biar apapun, saya pasti Anwar bersedia berbaik semula bukan sahaja dengan Tun Dr M malah dengan UMNO sendiri demi survival politiknya.
Begitu juga untuk TG Abdul Hadi Awang dan DAP menjadi pemerintah adalah juga tidak musathil jika mendapat kerjasama Keadilan dan NGO apatah lagi dari orang seperti Tun. Ahli PAS dan penyokongnya sangat statik dengan komitmen dan perjuangan mereka. Undi mereka tidak pernah ‘lari’ kepada yang lain.
Undi kaum Tiong Hua boleh berubah mengikut isu semasa tidak kira mereka dari parti pemerintah atau pembangkang. Undi kaum India 50-50. Undi Melayu UMNO dan BN di Sabah dan Sarawak boleh menjadi penentu pemerintah akan datang. Itupun jika mereka sedia berubah.
Bagi saya, Tun sepatutnya sudah mula menebus dosa yang dari masa kesemasa beliau sendiri mengakui kesilapannya dengan sedikit berlembut dan bertolak ansur.
Parti Islam seMalaysia boleh dijadikan rakan politik sealiran atau selandasan biar bukan rakan se'parti'.
Kedua, Tun boleh menggerakkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai proksi ke medan hadapan bertempur dengan Abdullah Ahmad. Jika perlu sokongan, idea Musa Hitam boleh diadunkan bersama. Itupun apabila Musa masih berminat dan tiada kepentingan peribadi.
Jika TG Hj Hadi Awang, Lim Kit Siang, Anwar, Tun atau Tengku Razaleigh beranggapan bahawa tanpa kerjasama sesama mereka, parti atau penyokong mereka boleh membawa kejayaan dalam pilihanraya ke 12 ini, maka ianya adalah sesuatu yang luarbiasa dan khayalan - ibarat pungguk rindukan bulan.
Seperti biasa, ramai yang beranggapan PRU ke 12 akan dimenangi oleh Abdullah dan BN kerana minda politik masyarakat kita terutama sekali orang Melayu yang menyokong UMNO di Johor, dan penyokong BN di Sabah dan Sarawak sudah boleh menentukan majoriti undi walaupun beribu isu sedang menerajang mereka kecuali sesuatu yang ajaib dapat dilakukan oleh pembangkang di Sabah dan Sarawak.
Pengundi seperti itu sudah diajar untuk memangkah dacing. Itulah pula yang sedang diasuh kepada mahasiswa kita di menara gading. Esok dan lusa, kita akan lihat ramai 'mahasiswa kencing manis' akan dilahirkan oleh BN. Lemah, lesu, tidak bermaya dan bergantung kepada orang lain biarpun kenaikkan harga barang makanan, rasuah, penyelewengan, isu sosial, penindasan dan sebagainya mengelilingi mereka.
Jadi mustahilkah ketua-ketua alternatif seperti TG Hj Hadi Awang, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Tun Dr M serta yang seangkatan dengan mereka walaupun tidak sehaluan politik, mampu sepakat dan membebaskan sementara fahaman masing-masing demi mengajar Abdullah Ahmad PM Malaysia yang paling lemah itu.
Apakah idea dan slogan, ‘undi di tangan kita, jika tidak secocok, kita pangkah dan gantikan yang lain’ hanya untuk diamalkan oleh rakyat biasa sahaja. Bukan untuk pemimpin-pemimpin kita ?
Jika mahu seribu keegoan boleh dikendurkan. Jika tidak mahu, biarkan saja rakyat Malaysia didera oleh Abdullah Ahmad dan kuncu-kuncunya di atas perjuangan palsu dan penuh keegoan mereka.
Atau, biarkan Abdullah terus memerintah rakyat Malaysia dengan jenaka yang tidak berkesudahan dalam mencari Al Ghazali dan As Shafie. Dan biarkan juga Abdullah Ahmad berseronok melihat ketidaksepakatan dan ego segelintir pemimpin alternatif yang menentang kelemahan dan ketidakupayaan pentadbirannya.
No comments:
Post a Comment