Monday, May 28, 2007

Jenayah Dan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Di Malaysia

Anak jiran anda yang berusia di bawah 18 tahun ditahan pihak Polis kerana terlibat dengan jenayah ? Atau adakah kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut diabaikan atau didera ? Adakah kanak-kanak berkenaan sedang didorong untuk melakukan apa-apa perbuatan seksual ?


Ramai yang tidak tahu tentang adanya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di Malaysia. Mahkamah ini diwujudkan selari dengan peruntukkan seksyen 11 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Akta ini terpakai di seluruh Malaysia. Dahulunya mahkamah ini dikenali dengan nama Mahkamah Juvana.


Kanak-kanak mengikut definisi akta ini adalah mereka yang di bawah usia 18 tahun. Bidangkuasa mahkamah ini adalah untuk mendengar, memutuskan dan membereskan apa-apa pertuduhan terhadap seorang kanak-kanak kecuali kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman mati. Dalam ertikata lain, kes yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan dan kes-kes yang memerlukan perlindungan dan pemulihan akan melibatkan akta ini.


Keahlian mahkamah ini terdiri dari seorang majistret kelas pertama dengan dibantu oleh dua orang penasihat. Pegawai Kebajikan Masyarakat hadir dalam prosiding di mahkamah kanak-kanak untuk memberikan apa-apa syor kepada mahkamah tentang kepentingan dan masa hadapan seorang kanak-kanak yang dipertuduhkan.


Mahkamah akan dikendalikan secara tertutup dengan kehadiran Majistret, penasihat, kanak-kanak, keluarganya, Pegawai Kebajikan Masyarakat, Pegawai Pendakwa, peguam jika ada, saksi-saksi dan mana-mana pihak yang dibenarkan.


Laporan dan penyiaran media tentang pendedahan identiti kanak-kanak adalah dilarang sama sekali kecuali di atas permintaan Pegawai Pelindung dari Jabatan Kebajikan Masyarakat menurut seksyen 15(3) akta berkenaan. Mana-mana pelanggaran tentang seksyen ini jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.


Apa-apa perintah yang dibuat oleh mahkamah ini tidak akan dicatitkan sebagai rekod jenayah. Menurut seksyen 95 akta ini, di atas apa-apa kekhilafan atau terkilannya pihak-pihak yang terlibat dengan perintah dari mahkamah ini boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi.


Apa-apa keterangan lanjut tentang Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang terdapat dikebanyakkan daerah di Malaysia boleh diperolehi di sini.

1 comment:

Anonymous said...

Informasi yang berguna.