Monday, September 28, 2009

Bagaimana Saddam dan Osama dilayan

Dizaman kegemilangannya Saddam Hussein Presiden Iraq yang telah mati di gantung pada 30 Disember 2006 oleh pengganas Bush dari Amerika, pernah digelar sebagai wira bangsa Arab lebih-lebih lagi ketika berlakunya perang Iran-Iraq pada tahun 1980-1988 yang disokong oleh Amerika.

Malang bagi Saddam apabila dua orang anak kesayangannya Uday dan Qusay turut menjadi mangsa pembunuhan biarpun di alam remajanya, banyak kezaliman yang telah mereka lakukan terhadap bangsa mereka sendiri.

Lebih malang bagi Saddam ialah apabila tempat persembunyiannya di Tikrit telah dibocorkan kepada tentera musuh hasil maklumat saudara Saddam sendiri yang berbangsa Arab.

Kini saudaranya itu telah memperolehi berpuloh juta hasil 'titik peluhnya' itu dan hidup senang lenang di negara lain.

Berkali-kali malang bagi Saddam apabila tenteranya dari pangkat bawah sehinggalah kepangkat atas dengan mudah dibeli oleh Amerika. Tentera Iraq menjadi pengkhianat dan pembelot kepada pemimpin dan rakyat biarpun mereka mengatakan ada alasan untuk berbuat demikian.

Gamitan penduduk Arab Iraq memanggil tentera Amerika ke bumi mereka, kini meninggalkan detik hitam. Senyuman ketika lambaian dahulu, kini menitiskan air mata darah.

Lain pula dengan Osama B Laden. Dia menjadi tetamu kepada penduduk di perkampungan yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang.

Saya difahamkan penduduk atau penghuni perkampungan itu sangat menghormati, melayan, sayang dan menjaga tetamu mereka.

Lebih dari itu mereka sanggup berkorban untuk menjaga adat, tuntutan agama dan maruah komuniti dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai golongan 'Ansar'.

Apa yang diyakini, mereka bukanlah bangsa Arab biarpun tetamu mereka - Osama adalah Arab.

Banyak pengajaran yang boleh diambil dari mereka. Ada yang boleh dijadikan teladan dan ada yang boleh dijadikan sempadan.

(Foto Aljazeera)

Saturday, September 26, 2009

Isa Samad : Kerja Presiden UMNO orang lain buat

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Isa Samad berkata, "kerja-kerja Presiden UMNO, orang lain yang hendak buat".

Siapa yang dimaksudkannya sebagai orang lain itu.

Adakah orang lain itu Rosmah Mansor atau Mahathir Mohamed dan adakah Najib sudah tidak berkuasa sepenuhnya ?

Thursday, September 24, 2009

Calon Bagan Pinang : Jantankah Khairy Jamaludin

Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan akan diadakan pada 11 Oktober 2009. Namun Presiden, Timbalan dan Majlis Tertinggi UMNO masih belum membuat keputusan calon mana yang hendak diletakkan.

Najib Tun Razak Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dikatakan bercelaru dalam membuat keputusan setelah adanya pandangan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang tidak mahukan Isa Samad sebagai calon yang mewakili UMNO.

Dr Mahathir berkata, UMNO dan BN perlu meletakkan calon yang kelihatan bersih dari sebarang isu yang boleh menjejaskan perolehan undi.

Setakat ini nampaknya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaludin belum memberikan apa-apa reaksi terhadap pandangan Tun Mahathir sedangkan Pemuda kawasan Telok Kemang tetap mahukan Isa Samad.

Silap-silap KJ masuk gelanggang, akan musnahlah karier politiknya yang masih berbaki. Abdullah Ahmad sudah dipancung. Samy sedang menunggu masa untuk dikenali sebagai mendiang setelah 'hukuman bunuh dalam politik' dilaksanakan terhadapnya.

Sanggup dan bersediakah Najib dan Muhyiddin meletakkan leher untuk dipancung oleh kuasa luar biasa Mahathir sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat ini.

Apatah lagi bagi KJ. Boleh bersuarakah dia dalam isu ini mewakili seluruh pemuda UMNO ?

Kita tunggu keberanian dan kejantanannya jika masih ada !

Wednesday, September 23, 2009

Isa Samad : Pemuda UMNO lwn Tun M ?

PORT DICKSON, 23 Sept (Bernama) -- Ketua Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang Mohd Faizal Ramli mempertahankan keputusan perwakilannya untuk menamakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Okt ini.

Walaupun ada ura-ura yang menyatakan Isa tidak cukup kredibel kerana pernah diambil tindakan disiplin parti atas tuduhan politik wang, perwakilan melihat hanya Isa yang boleh menyatu-padukan masyarakat Port Dickson, katanya.

"Kami tidak melihat sebarang masalah yang timbul jika beliau dicalonkan kerana ini merupakan komitmen pada peringkat jentera parti dan komitmen yang diberikan oleh peringkat akar umbi kerana beliau mesra dengan masyarakat," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Beliau mendakwa bahagian itu sudah pun membuat tinjauan dan mendapati para penduduk termasuk dari keturunan bukan Melayu menerima Isa.

"Saya tak nampak bahawa isu-isu yang menjadi rekod Isa akan menjadi satu liabiliti kepada Umno dan BN dalam menghadapi pilihanraya kecil Bagan Pinang ini," katanya.

Beliau memberi contoh mantan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah diambil tindakan disiplin oleh Allahyarham Tuanku Abdul Rahman kerana menulis buku Malay Dilemma.

"Akibat desakan yang kuat dari akar umbi, Perdana Menteri kemudian Allahyarham Tun Abdul Razak membawa masuk Mahathir kembali dan beliau akhirnya muncul sebagai pemimpin yang hebat," katanya.

Katanya, pemilihan Isa sangat tepat kerana tokoh itu telah membuktikan kesetiaannya kepada parti walaupun telah diambil tindakan disiplin dan ini merupakan contoh yang baik kepada ahli lain.

Ini membuktikan kesetiaan itu merupakan satu perkara yang perlu kita utamakan, jadi bagi saya selaku Ketua Pemuda malah mungkin mewakili sebahagian Pemuda inilah yang patut menjadi idola kerana kita hendak mencari orang yang benar-benar setia pada parti," katanya.

Jika parti menolak suara perwakilan, beliau khuatir Umno akan melakukan kesilapan yang sama seperti parti LDP yang telah memerintah Jepun selama lebih dari 50 tahun tetapi akhirnya tewas.
-- BERNAMA

Rais dan isu Datuk yang dibeli

Apabila Rais Yatim mendedahkan tentang pembelian gelaran Datuk dan ijazah doktor falasafah (PhD) secara ekspres, maka ia seolah-olah memukul anak menyindir menantu.

Jika berani, Rais sepatutnya mendedahkan istana mana yang mudah sangat menjual pingat dan bintang mereka.

Juga dedahkan nama budak-budak berhingus yang tidak ada jasanya kepada sesiapapun yang telah diberikan gelaran ini.

Barulah rakyat tahu dan dapat membantu agar tujuh wasiat raja Melayu dapat dipraktikkan dalam masyarakat secara adil dan bersih.

Agaknya Rais malu hendak berbuat demikian kerana dikhuatiri ramai ahli parti politik, kroni dan kaum peniaga yang ada kaitan dengan mereka sedang ber'gumbira' dengan gelaran ini.

Bukan sahaja yang ada gelaran seronok dan berkhayal, malah isteri, anak-anak, cucu cicit dan piut turut beraya selama sembilan puloh hari dan sembilan puloh malam.

Baca jika rajin:
Apalah makna datuk atau dato'
Aku dapat bintang kerana Sultan kenal aku
Dicadangkan Tan Sri tapi..

Monday, September 21, 2009

Mukhriz MB Kedah kesebelas ?

Sejak isu Kota Siputeh tercetus , UMNO khabarnya bukan sahaja termimpi-mimpikan tetapi mengigau untuk meragut Kedah.


Dengan kedudukan kerusi PAS 16 , BN 14, PKR 4, DAP 1 dan Bebas 1 – ramai calon UMNO mahu mandi bunga mencuba nasib.


Apa tidaknya. Abu Hassan Sarif ADUN Siputeh sangat banyak masalahnya. Ia sedang uzur. Banyak mesyuarat UMNO dan juga DUN diabaikannya. Pengundi kawasan merungut sukar menemuinya.


Ada kakitangan kerajaan yang memberitahu, jika berkesempatan, ia akan hadir mesyuarat tindakan Daerah Kubang Pasu. Di sana nanti, ia akan mengambil kesempatan melanggar kromo jabatan-jabatan yang pada fikirannya tidak betul.


Ramai kakitangan kerajaan melahirkan kekesalan terhadap sikapnya itu.


Itu sebabnya, Mukhriz Mahathir , Shafie Apdal dan lain-lain pemimpin UMNO dan BN mendiamkan diri sehingga ke saat ini. Mereka laksana burung diam dalam sangkar – tiada faedah membela Ab u Hassan.


Mereka mahu Abu Hassan pergi meninggalkan Kota Siputeh tanpa merasakan dirinya tidak dikehendaki oleh parti. Bagi UMNO yang yakin untuk menang kerusi itu dengan nyahnya Abu Hassan, harapan mereka agar ayam dapat, musang pun dapat.


Malangnya SPR telah mencampur mulut urusan yang tidak patut ia buat keputusan.


UMNO meracau-racau siang dan malam mahukan tempat Abu diganti. Ada yang mencadangkan supaya Mukhriz Mahathir diletakkan di DUN tersebut sebagai persediaannya menjadi Menteri Besar Kedah yang kesebelas.


Mahadzir Khalid anak emas Abdullah Badawi yang penyombong itu sudah tentu tidak akan kembali ke politik Kedah. Lebih-lebih lagi apabila Tun Mahathir beberapa hari yang sudah mengatakan bahawa dia salah seorang yang cuba mengusirnya keluar dari UMNO satu masa dahulu.


Bashah Hanipah ADUN Bakar Bata merangkap Timbalan Pengerusi UMNO Kedah yang sentiasa kemas dari segi pakaiannya, dikatakan cukup selekeh dari segi kerjanya. Beberapa penggal menjadi ADUN dan Exco, habuk pun tarak.


Apapun untuk Mukhriz menjadi MB Kedah dalam waktu terdekat, beberapa ADUN Pakatan Rakyat perlu menyeberang ke Barisan Nasional. Siapa yang agaknya bercadang melintas jambatan atau membuat lompatan jarak jauh itu ?


Jika setakat bermimpi sahaja, tidak akan ada yang tahu. Inikan riuh rendah sewaktu tidur didengar pula orang, seperti ayam di Jitra bertelur sebutir, riuh pula senegeri Kedah.


Pastinya Khairy Jamaludin sedang menanti perkembangan ini. Jika Mukhriz diletakkan di negeri, KJ dapat bangun, mengembangkan sayapnya ke peringkat kebangsaan dengan lebih selesa.


Itupun jika Najib memberikannya ruang.


Percaturan politik Kedah semakin menggelojak. Ustaz Azizan Abd Razak dan PAS ibarat air yang tenang meneropong perkembangan ini.


UMNO harus berwaspada, jangan-jangan semua umpan habis dimakan - seekor ikan pun tak kena!


Sunday, September 20, 2009

Samy, taroh gear P saja

Ibarat kereta auto, nak boh gear D kena jalan ke hadapan. Siapa pun tak mahu dia ke hadapan dan tidak ada orang yang hendak menumpang dia lagi kecuali perwakilan MIC yang buta sejarah tu.

Perwakilan MIC yang mengundi baru-baru ini seperti mencurah minyak ke dalam api. Melawan arus. 'Mahu angkat' Samy sebagai ketua sampai dia mati.


Jika Samy mahu letak gear R bermakna kena gostan – berundurlah. Berundur bermakna masih jalan dalam parti. Boleh kacau - kaki di atas kepala di bawah.


Jadi, yang sesuai adalah taroh gear P. Letak sahaja diri di mana-mana tanpa bergerak. Kakukannya. Senang Pihak Berkuasa Tempatan, JPJ, Polis atau ahli keluarga termasuk ahli parti nak tentukan mana nak letak, semadi atau campakkan.


Berbuih mulut cakap fasal Samy The Kluang Man ini. Tapi bila Tun Mahathir ‘kasi taroh’ sama dia, maka terbukalah mulut orang-orang MIC sendiri.


Baca apa kata Devamany di Utusan.


Naib Presiden MIC, Datuk S.K Devamany berkata, Samy Vellu perlu meletak jawatan kerana beliau menjadi liabiliti kepada MIC dan juga Barisan Nasional (BN) selepas hilang kepercayaan daripada sebahagian besar masyarakat India.


Nah! Padan muka Samy.


Sementara itu, bekas Naib Presiden MIC, Datuk V.K.K Teagarajan menyokong kenyataan Dr. Mahathir yang mahu Samy Vellu meletak jawatan dalam MIC.


Lagi cerita Samy di UM.


Palanivel mahu Samy menyusukannya sampai ke jawatan Presiden MIC. Aiyo yo Palani.


Palanivel pun boleh ikut Samy taroh gear P juga. Perwakilan yang mahu Samy dalam MIC sampai mati, boleh ikut Samy dan Palanivel taroh gear P.


MIC perlu beri peluang kepada S Subramaniam mantan Timbalan Presiden taroh gear D.


Apa macam Samy? Mau turun banyak susah. Tuntu (tentu) ada sakit mana-mana !

Saturday, September 19, 2009

Eid Mubarak


Salam Eidul Fitri kepada pengunjung dan followers blog alkerohi juga kepada saudara mara, sahabat handai, para blogger dan kenalan:

"Taqabbalallahu minna wa minkum"
“Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu"

Maaf zahir batin dari saya dan keluarga

Selamat Menyambut Eidul Fitri pada 20 September 2009 @ 1 Syawal 1430H

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah il hamd.



Al Quds dilupakan kata Mat Sabu

Selagi pemimpin negara bangsa Arab seperti sedia ada - jangan harapkan perubahan besar. Malaysia juga tidak berperanan dalam isu ini.

KUALA LUMPUR: Seluruh dunia Islam sebenarnya tidak serius memperingati Hari Al-Quds dan menjadikannya sebagai pemangkin kebangkitan ummah untuk membebaskan bumi Palestin yang dijajah Yahudi, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Kerajaan Iran sendiri saya lihat tidak benar-benar serius untuk menyebarluaskan konsep Hari Al-Quds walaupun banyak perubahan yang berlaku sejak Mahmoud Ahmadinejad menjadi presiden.

"Malah dalam soal bantuan kepada Palestin pun, kita mendengar bantuan yang lebih besar disumbangkan di zaman Ahmadinejad menjadi presiden berbanding pentadbiran sebelum beliau.

"Perdana Menteri Palestin dari Hamas, Ismail Haniyeh sendiri pernah mengumumkan bantuan US$250 juta dari Iran kepada kerajaan Hamas dan rakyat Palestin di samping membentangkan rancangan bantuan ekonomi dan kewangan secara langsung kepada pentadbiran Hamas dan rakyat Palestin," katanya.

Para pemimpin negara-negara Arab pula, katanya, tidak ada locus standi untuk mengambil bahagian dalam Hari Al-Quds walaupun dianjurkan di dalam negara mereka sendiri oleh rakyat mereka.

"Mereka sama zalim dengan regim Zionis. Penindasan regim-regim Arab terhadap rakyat mereka sendiri tidak banyak berbeza dengan kekejaman Israel terhadap pribumi Palestin," katanya.

Lantaran itulah mereka tidak boleh diharapkan untuk memerangi kezaliman regim Yahudi, katanya.
"Kezaliman tidak akan menjatuhkan kezaliman malah saling berkerjasama antara satu sama lain," kata Mohamad lagi.

Menurut beliau, Nabi Muhammad telah menunjukkan teladan bahawa kezaliman mesti dihadapi oleh keadilan ketika beliau berusaha menjatuhkan kuasa besar Rom dan Parsi di zamannya.
"Nabi berbuat demikian dengan membawa panji-panji keadilan sehingga sejarah mencatatkan bahawa kedatangan tentera Islam dialu-alukan oleh rakyat serta jajahan takluk kedua-dua kuasa besar itu dan akhirnya kuasa rakyat di bawah kekuasaan kedua-dua kuasa besar itulah yang sebenarnya menjatuhkan mereka," katanya.

Kuasa rakyat menghakis kekuasaan kedua-dua kuasa besar itu, katanya, apabila tidak lagi menyebelahi pemerintah mereka sebaliknya mengalu-alukan kedatangan tentera Islam.
Beliau juga menyalahkan konsep negara bangsa (nation state) yang turut menjadi pegangan negara-negara umat Islam kini.

"Konsep tersebut bertentangan sama sekali dengan konsep membebaskan manusia dari penguasaan sesama makhluk apabila rakyat di dalam negara bangsa dikehendaki memberikan ketaatan kepada negara atau menjadi hamba negara atas nama patriotisme.

"Konsep nation state tidak ada pendirian untuk membebaskan manusia dari memperhambakan diri kepada sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah," kata beliau. Sebab itulah, katanya, umat Islam tidak boleh menaruh harapan kepada negara-negara bangsa untuk memperingati Hari Al-Quds.

"Umat Islam mesti kembali kepada sistem nilai mereka sendiri dan tidak lagi menjadi pak pandir kepada norma-norma yang menguasai sistem kerajaan dan hubungan antarabangsa hari ini.

"Sekurang-kurangnya kita memulakan usaha untuk mendidik ummah ke arah itu dengan membentuk sistem persaudaraan yang tidak mengiktiraf konsep negara bangsa di mana memperingati Hari Al-Quds hendaklah menjadi sebahagian dari agendanya," katanya.


Hari Al-Quds diperingati sejak kira-kira 30 tahun lalu di mana kerajaan Iran selepas kemenangan Revolusi Islam mengajak umat Islam seluruh dunia menjadikan hari Jumaat terakhir pada bulan Ramadhan sebagai Hari Al-Quds.
(Dari : Siasah)