Friday, September 18, 2009

Tun M : Jangan letak Isa Samad


Jangan calonkan Isa Samad, kata Tun Mahathir

PUTRAJAYA: Jangan letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang keskes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," katanya dalam temuramah dengan Bernama.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura Isa turut disenarai sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Dr Mahathir berkata walaupun Umno bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri mahukan dirinya bertanding, mereka perlu ingat bahawa pilihan raya kecil itu bukan melibatkan wakil dari Umno bahagian itu sahaja yang bertanding.

Ini kerana rakyat akan melihatnya sebagai mewakili Umno dari seluruh negara dan menggambarkan pendirian Umno, katanya.

"Macam satu orang boleh menang jadi Presiden Umno tapi tak bermakna dia boleh menang pilihan raya," katanya.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Okt dan penamaan calon pada 3 Okt. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional pada 4 Sept akibat jangkitan dalam darah. Mengenai kemelut MCA, Dr Mahathir berkata ia boleh selesai sekiranya para pemimpin parti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Mereka, katanya, perlu sedar yang utama parti dan bukannya mereka.

"Seorang pemimpin tidak akan membuat sesuatu untuk merosakkan parti," katanya.

"Kalau you (pemimpin) tahu you dah tak layak kerana apaapa. You berhenti. Jangan nak pegang (jawatan) saja," katanya.Beliau berkata pemimpin harus sedar kerana partilah, mereka mendapat kedudukan.

Sehubungan itu, kata Dr Mahathir, mesyuarat agung luar biasa MCA boleh menyelesaikan kemelut parti itu jika para pemimpin parti itu mengutamakan kepentingan parti.

Kemelut MCA itu menjadi hangat apabila timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipecat kerana masalah disiplin berhubung isu skandal seksnya. BERNAMA

No comments: