Friday, December 19, 2008

Penswastaan IJN : Pemimpin Malaysia belum boleh

Apabila British memerdekakan Malaya pada tahun 1957, banyak dasar-dasarnya ditinggalkan kepada warisnya iaitu Parti Perikatan di Malaysia.


Diantara dasar pasca kemerdekaan yang diamalkan sehingga sekarang ialah ‘dasar mengisi tembolok pemimpin parti pemerintah’. Dasar ini telah membuatkan jurang ekonomi sesama kaum dan diantara kaum menjadi tidak stabil.


Pada tahun 1983 Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr Mahathir Mohamed telah memperkenalkan Dasar Persyarikatan dan Dasar Penswastaan Negara.


Memang baik hasrat mewujudkan dasar itu. Diantara lain tujuannya ialah untuk dikongsi bersama agensi kerajaan dan syarikat swasta dalam memainkan peranan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.


Dasar penswastaan dilaksanakan secara separa, kontrak, terpilih, urusniaga dan sebagainya.


Maka pada ketika itu kerajaan meuar-uarkan bahawa matlamat penswastaan adalah untuk meningkatkan kecekapan, menambahkan mutu pengeluaran, meningkatkan penjanaan pertumbuhan ekonomi negara, meramaikan golongan usahawan dan meringankan bebanan rakyat.


Hari ini setelah 25 tahun dasar ini dilaksanakan, apakah ada persaingan dan dayamaju hasil dari dasar ini yang boleh meringankan bebanan dan dapat memanafatkan rakyat ?


Tenaga Nasional adalah syarikat yang lahir dari adunan kerajaan dan swasta. Apabila harga minyak dipasaran naik, mereka dengan cepat-cepat menaikkan kadar tarif elektrik di seluruh Malaysia.


Apabila harga bahan api tersebut turun sehingga ke paras bawah USD40.00, TNB memberikan alasan ia bergantung pula kepada harga pasaran arang batu.


Senangkah rakyat dari penswastaan sebegini ? Belum lagi melihat gaji dan elaun eksekutifnya yang mencecah berpuloh ribu seorang setiap bulan.


Lihat pula kacukan kerajaan dan swasta yang melahirkan Lembaga Lebuhraya Malaysia. Tidak ada tanggungjawab sosial yang kelihatan dimainkan oleh badan ini. Dari Alor Star ke Kuala Lumpur kadar tolnya mencecah RM60.00 sehala.


Masuk akalkah ? Ringankah bebanan rakyat hasil penswastaan ?


Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang memonopoli perkhidmatan feri. Setelah dikahwinkan swasta dan kerajaan, kadar tambang ferinya menokok.


Kurangkah bebanan rakyat ?


Perkhidmatan air dibeberapa negeri diswastakan. Harganya meningkat mendadak. Tempat letak kereta dibeberapa kawasan kerajaan tempatan diswastakan. Bayarannya naik berkali ganda.


Untungkah rakyat ? Beberapa bulan yang lalu, Pakatan Rakyat mnengadakan tunjuk perasaan membantah kenaikan seperti ini di Kuala Lumpur.


Kutipan sampah diswastakan dibeberapa kerajaan tempatan. Cukai pintu dinaikkan kerana alasan itu. Perkhidmatannya masih ditakok lama. Sampah berlonggokan dan busuk sehingga beberapa hari.


Ringankah bebanan pengguna ?


Kemasukan ke universiti diswastakan juga ? Pelajar berhutang beribu-ribu dari PTPTN dan beberapa agensi lain. Hilanglah sudah tanggungjawab sosial dan negara untuk rakyat. Senangkah pelajar dan rakyat ?


Belum lagi dilihat impak perkahwinan agensi kerajaan dan swasta yang melahirkan Telekom Malaysia, Pos Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam, KTM, pengangkutan awam yang lain dan sebagainya.


Lena sungguh Unit Peranccang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri yang diberikan tugas mencetus dan melaksanakan dasar penswastaan ini. Bahagiakah UPE melihat penderitaan rakyat ?


Sepatutnya UPE memantau dan melaksanakan garispanduan yang perlu dibayar rakyat kepada setiap perkhidmatan yang diberi hasil pernikahan agensi kerajaan dan swasta yang melahirkan penswastaan tersebut.


Kelihatan unit ini berpeluk tubuh melihat perjalanan dasar penswastaan yang sedang memperkosa hak pengguna Malaysia.


Strategi kerajaan Barisan Nasional di bawah Mahathir Mohamed sehinggalah sekarang dalam dasar penswastaan dilihat gagal dalam matlamat asalnya.


Saling lengkap melengkapikah dasar penswastaan dengan DEB ?


DEB itu sendiri memecah-mecahkan rakyat kepada pelbagai kelompok.


Datang pula Dasar Penswastaan yang memindahkan kuasa kawalan, kepentingan kerajaan kepada sektor swasta yang dikuasai oleh kroni yang mengaut keuntungan yang berlebih-lebihan hasil keringat berdarah rakyat Malaysia.


Kini, Hospital juga mahu diswastakan. Institut Jantung Negara juga mahu diswastakan. Tanah-tanah kerajaan juga diswastakan.


Bila lagi mahu swastakan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, masjid-masjid, sekolah-sekolah dan agensi-agensi berkepentingan awam yang lain ?


Jabatan Perdana Menteri Malaysia juga sudah diswastakankah ? Ramai bapa-bapa menteri sudah diswastakan. Masakan tidak.


Mereka seharusnya bersuara mewakili rakyat. Olehkerana telah diswastakan, lidah mereka mewakili korporat.


Umno dan BN adalah warisan penjajah yang diswastakan minda mereka oleh kerajaan British melalui dasar pecah dan perintahnya. Pada Umno dan BN tanggungjawab sosial sudah tidak ada. Semuanya sudah perlu diniagakan.


Tanggungjawab sosial juga perlu diniagakan. Ibarat ada isteri tetapi perlu dilacurkan kerana dasar penswastaan .


No comments: