Wednesday, December 3, 2008

Kedaulatan Samy Vellu

Samy Vellu yang sudah disemadikan di perkuburan politiknya pada 08 Mac 2008 yang lalu oleh pengundi di Sungai Siput Perak, kini cuba bangun dari perbaringannya.

Suaranya yang sudah tidak diambil peduli lagi bukan sahaja oleh masyarakat India Malaysia tetapi juga oleh masyarakat bukan Tamil kini mahu diperdengarkannya kepada pemimpin negara yang diketuai oleh Umno dan BN.

Kini dia mahukan semua pihak berkuasa tempatan mendapatkan restu dan keputusannya sebelum merobohkan mana-mana kuil Hindu di Malaysia. Samy bercakap seperti Ketua Negara.

Katanya, mana-mana PBT yang merobohkan kuil seperti itu, adalah melakukan kesalahan kerana ianya bertentangan dengan arahan kerajaan.

Samy bertindak sebagai penguatkuasa undang-undang, pendakwa dan juga seorang hakim dalam kes ini. Dia yang sudah tidak laku dalam pasaran politik orang Tamil mencuba nasibnya sekali lagi untuk menjadi juara kaumnya dalam isu agama ini.

Kata Samy lagi, semua PBT di Malaysia perlu merujuk kes merobohkan kuil kepada MIC sebelum melakukannya.

Seolah-olah kedaulatan negara Malaysia berpusat kepada MIC dan Samy Vellu. Seolah-olah Samy mengatasi segala undang-undang yang ada.

Malang bagi penduduk Tamil India di Malaysia. Adakah mereka sudah tidak mempunyai kreadibiliti dalam memilih pemimpin atau mereka tidak mempunyai pemimpin pelapis?

Malang lagi rakyat Malaysia apabila Dr Mahathir dan Abdullah yang ditunjangi oleh Umno memberikan muka kepada orang seperti Samy yang sepatutnya sudah diterajang keluar dari peta politik Malaysia.

Berdaulat sungguhkah Samy dimata Umno, Abdullah dan BN ?

No comments: