Saturday, November 29, 2008

Peristiwa Mumbai : Perancangan tukang masak hotel ?

Saya tidak ingin melihat Peristiwa Mumbai di India yang bermula pada 26 November 2008 dan berakhir pada hari ini dari kacamata agama, hubungan kenegaraan, perkauman atau perasaan pemimpin dan rakyatnya yang boleh dikategorikan sebagai politik meluas.

Lihat politik kecilnya. Perancangannya - tanpa kerjasama kakitangan dalaman hotel Taj Mahal, mana mungkin setiap lokasi hotel itu seperti di rumah sendiri para penyerangnya.

Tiadakah kelihatan peranan penyambut tetamunya, tukang masak, pemandu, juruwang, penyelia dan kakitangan lain ? Malah hotel itu telah digunakan untuk menyimpan senjata yang agak banyak. Sejak bila dan siapa disebalik gerakan dalaman itu ?

Kita bimbang episod seperti ini bakal dijadikan ikutan. Keselamatan hotel-hotel di Malaysia juga tidak terlepas dari risiko semacam ini dan ianya perlu diberi perhatian yang serious.

Namun seperti biasalah. Perang dingin diantara India dan Pakistan pada tahun 1965 ibarat luka lama yang masih berdarah.

Pastinya tudingan jari akan diarahkan kepada pelampau Islam, Taliban, Al Qaeda, Pakistan dan Islam itu sendiri.
(Foto: TOIndia)

Thursday, November 27, 2008

Nur Kasih

Album : Damba Kasih
In-Team

Bagaikan permata di celahan kaca
Kedipnya sukar untuk dibezakan
Kepada-Mu Tuhan ku pasrah harapan
Moga tak tersalah pilihan

Nur Kasih Mu mendamai di kalbu
Jernih setulus tadahan doaku
Rahmati daku dan permintaanku
Untuk bertemu di dalam restu

Kurniakan daku serikandi
Penyejuk di mata penawar di hati
Di dunia dialah penyeri
Di syurga menanti… dia bidadari

Kekasih sejati teman yang berbudi
Kasihnya bukan ketepaksaan
Bukan jua kerana keduniaan
Mekar hidup disiram Nur Kasih

Ya Allah…
Kurniakanlah kami
Isteri dan zuriat yang soleh
Sebagai penyejuk mata

Kurniakan daku serikandi
Penyejuk di mata penawar di hati
Di dunia dialah penyeri
Di syuga menanti… dia bidadari

Kekasih sejati teman yang berbudi
Kasihnya bukan keterpaksaan
Bukan jua kerana dunia
Mekar hidup ini disirami Nur Kasih

Di tangan-Mu Tuhan ku sandar impian
Penentu jodoh pertemuan
Seandai dirinya tercipta untukku
Relaku menjadi miliknya…

Lagu : Putra Aiman
Lirik : ITO Lara

Tuesday, November 25, 2008

Akar umbi PAS Kedah mahu Majlis Syura

Ramai yang ketawakan PAS terutama sekali apabila ia kehilangan pemerintahan di Terengganu selepas pilihanraya kesepuloh yang lalu.

Namun kesakitan itu sedikit sebanyak terubati selepas 8 Mac 2008 apabila Pakatan Rakyat yang ditunjangi sama oleh PAS dapat menawan lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Diantara lima negeri tersebut, Kedah juga berjaya ditawan walaupun kepimpinan parti itu di sini tidak menaruh apa-apa harapan kearah itu sebelum pilihanraya kedua belas yang lalu. Malah kemenangan di Kedah telah mengejutkan beberapa kepimpinan PAS negeri dan kebangsaan.

Seperti yang saya kerap menulis, ini telah menimbulkan trauma sebaik sahaja kerajaan negeri diwujudkan. Mujurlah pada ketika itu istana Kedah tidak menimbulkan apa-apa masalah seperti mana yang terjadi pada Terengganu dan Perlis.

"Titik permulaan"nya dimana ? Bagi saya, perubahan yang sepatutnya dilakukan sudah bermula dan kelihatan beberapa hari selepas PAS memerintah. Diawalnya, bukan perubahan yang besar dan drastik yang dituntut. Namun Menteri Besar dan Exco-exconya mengambil masa yang panjang untuk berbulan madu.

Masyarakat di Malaysia semakin berpendidikan. Era globalisasi dimanafaatkan oleh golongan muda. Dunia semakin kecil dengan kecanggihan sistem komunikasi. Kepupusan satu demi satu sistem yang ada sepatutnya membuka mata.

Jika sistem pemerintahan yang mengambil masa 51 tahun boleh dirobek-robekkan pengundi, apakah masa lima tahun dari Mac 2008 merupakan awalan hijrah dari Kota Makkah ke kota Madinah ?

Anggaplah ia satu masa ujian daripada mereka yang mengalihkan arah baik di atas faktor apa sekalipun ketika pilihanraya yang lalu. PAS dan Pakatan Rakyat perlu lulus peperiksaan tersebut lebih-lebih lagi dengan layaknya dua juta pengundi baru di seluruh negara untuk menghalatujukan negara.

Memorandum lebih dua puloh mukasurat kepada kerajaan negeri di Kedah bukanlah tanda kiamat atau berkahirnya politik pemerintahan yang ada. Anggaplah ianya sebagai 'laungan azan' untuk mendirikan solat kepada mereka yang alpa.

Batu nisan politik PAS pasti akan terpacak di Kedah sekiranya laungan itu diabaikan, sekiranya penyokong-penyokong PAS syok sendiri dengan kenyataan mantan Perdana Menteri, sekiranya exco-exco yang diamanahkan mengikuti jejak langkah kerajaan yang lepas, sekiranya beberapa kakitangan perkhidmatan Kedah diberikan muka dan apabila istana dibabitkan sebagai punca kelemahan aktiviti negeri.

Bukan itu sahaja, apa yang paling penting ialah Menteri Besar sebagai ketua pentadbir perlu tegas dan bijak mengurus negeri. Malah dilihat mendapat sokongan bukan sahaja dari rakyat tetapi juga exco-exconya. Bukan ditakuti tetapi dihormati dan dikasihi.

Kini akar umbi di Kedah mahukan Majlis Syura. Rakyat Kedah mahu pemantauan dilakukan oleh satu badan yang diiktiraf oleh agama terhadap 'kesemua institusi' yang ada. Bukan badan yang diwarisi dari Umno dan Barisan Nasional.

Rakyat faham, akal tak sekali datang. Tidak kira ia pemimpin atau rakyat biasa. Oleh itu biarlah bertawakkal sesudah habis akal.

Saturday, November 22, 2008

Teori pacat Azizan Razak MB Kedah

Saya tertarik dengan posting Pak Bakaq di sini.

Teori Ustaz Azizan MB Kedah dan pacatnya telah saya tuliskan dalam posting saya, Kedah simpan peluru untuk membunuh diri beberapa bulan yang lalu bilamana ramai penyokong PAS syok sendiri dengan pengisian program kerajaan negeri yang pada saya tiada kelihatan yang barupun.

Rakyat Kedah kini rata-rata menyatakan, pemimpin PAS Kedah tidak bersedia untuk menjadi kerajaan selepas pilihanraya kedua belas kerana mereka mewarisi kepimpinan kerajaan yang lalu sahaja.

Apakah Kerajaan Negeri Kedah kini sedang membasuh muka dengan air liur mereka sendiri ?

Friday, November 21, 2008

Pusat Rawatan Cakra Alam menipu ?

(Terkini : Hospital Kangar dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star disaman)

Beberapa orang kawan memberitahu saya tentang Pusat Rawatan Cakra Alam yang terletak di Jalan Jejaka, Taman Maluri Cheras , Kuala Lumpur.


Kata mereka, pusat rawatan ini sudah lama beroperasi. Apa yang diadukan ialah, pemiliknya dikatakan ‘mencekik darah’ pelanggan yang datang menerima rawatan. Bayaran sekali rawatan bermula dari RM150.00 sehinggalah boleh mencecah beribu ringgit.


Entah ia atau tidak ? Siapa yang memantau pusat ini ?


Pemilik pusat ini Mohd Arief dibantu oleh isteri dan beberapa pekerja. Mereka mengiklankan perkhidmatan seperti produk kecantikan, tenaga dalaman, rawatan ternatif penagihan dadah, pertahanan diri dan pemantapan minda.

Cara rawatan adalah menggunakan kaedah ghaib melalui jarak dekat dan jauh.

Dikatakan mereka mengesan penyakit melalui getaran tenaga .

Malalui laman webnya, diiklankan, “Cara pengubatan yang berbeza dan boleh dirasakan dengan serta merta akan kemasukkan getaran elektrik semulajadi tubuh yang disalurkan ke dalam tubuh pesakit tanpa adanya sebarang kesan sampingan melainkan kesegaran dan kelegaan”.

Terlalu banyak jenis penyakit yang dapat mereka merawati. Ini termasuklah masalah rezeki, jodoh dan lain-lain lagi.


Apa yang membimbangkan ialah mereka juga menggunakan nama orang kenamaan tertentu seperti nama bekas menteri Sulaiman Mohamad dan sebagainya.


Saya pernah menemani seorang kawan yang menerima rawatan di pusat tersebut. Bayaran yang diminta untuk sekali ialah RM250.00. Saya diberitahu oleh kawan ini, ia berulang tiga kali kesana. Habis hampir RM1000.00. Dia diminta membawa ayam putih, kain putih, kunyit, bawang dan bermacam-macam bahan lagi.


Apakah pusat ini berada di bawah pemantauan mana-mana agensi seperti Jabatan Agama Islam? Ramai yang mengadu tentang bayarannya. Apakah ada kaedah pemantauan harga di sini ? Betulkah seperti kata pengadu, impaknya tersangat kurang atau tiada langsung ? Apakah kelayakkan pengendali pusat ini ? Adakah ianya dijalankan mengikut kaedah syarak ?


Sila lihat klip video yang di’alert’kan oleh seorang kawan kepada saya. Jika ianya mengikuti kehendak syariah dan undang-undang negara maka adalah wajar ianya dibiarkan meneruskan operasinya.


Jika tidak - dakwa dan penjarakan kesemua pekerja di situ yang mengutip wang di atas penderitaan orang lain.

Tuesday, November 18, 2008

Hospital Sg Petani membahayakan


Walaupun pernah bekerja disatu tempat namun kerana kesibukkan, masing-masing kami jarang berjumpa.

(Gambar :Hiasan sahaja)


Sahabat sekelas saya ketika di ITM itu memberitahu bahawa suaminya telah beberapa kali masuk keluar wad. Suaminya mempunyai masalah jantung. Bukan sahaja Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani Kedah, malah beberapa hospital swasta termasuk Institut Jantung Negara juga pernah dihuninya.

Terbaru apabila muka dan beberapa anggota badan suaminya itu menjadi kebiru-biruan, seperti mahu dijemput ajal, dikejarkan ke HSAH Sg Petani untuk kesekian kalinya.

Olehkerana mempunyai rekod sakit jantung, ECG dilakukan dan pernah ditahan di wad hospital canggih itu. Asyik-asyik ubat penahan sakit diberikan walaupun kesakitannya berulang setiap masa.

Walaupun suami sahabat saya itu memberitahu tidak tahan sakit diabdomen dan dibahagian belakang, pegawai perubatan tidak segan-segan memberikan ubat yang sama.

"Hospital elok. Mesin pengimbas yang canggih. Tetapi mereka malas untuk melakukan pemeriksaan lanjut. Hanya bergantung kepada rekod sedia ada" merungut sahabat saya itu.

Akibat tidak tertahan, suaminya dibawa ke hospital swasta yang terletak jaraknya tidak jauh dari HSAH. Dalam beberapa jam sahaja didiagnosis penyakitnya itu. Suami sahabat itu bukan masalahnya dijantung tetapi ada batu karang dihempedu.

Akhirnya hempedu itu dibuang.

Sekali bawa ke hospital swasta sudah diketahui penyakitnya. Berulang hampir sepuloh kali di HSAH, mungkin keluarga sahabat saya itu boleh membayangkan muka penumpang-penumpang perkhidmatan awam yang kehulu-kehilir di sana tanpa dapat mengurangkan kesakitan orang kesayangannya.

Saya malas nak cerita panjang-panjang cerita hospital kerajaan ini. Biar berapa Menteri Kesihatan , KSU dan Ketua Pengarah menduduki singgahsananya, mentaliti kakitangan hospital kerajaan masih seperti mentaliti kelas ketiga.

Selagi mereka yang seperti ikan busuk dikepala masih dijadikan penumpang di Kementerian Kesihatan, belilah ubat dan alat secanggih manapun, pesakit tetap akan dijadikan mangsa.

Sesuatu perlu dilakukan secara agresif di Kementerian Kesihatan supaya masyarakat di Malaysia dapat diselamatkan.

Sunday, November 16, 2008

Menarik : Demonstrasi bogel di Selangor

Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) bercadang mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai tanda bantahan kepada kerajaan negeri Selangor supaya tidak melakukan kerja yang merugikan rakyat.

Apa yang luar biasanya ialah, seperti yang dilaporkan, gerakan NGO yang berasal dari negera timur itu dan lebih-lebih lagi dari Malaysia bercadang melakukan bantahan tersebut dalam keadaan telanjang.

Mereka tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Selangor yang menaikkan sewa rumah kos rendah dari RM124.00 kepada RM250.00 sebulan.

Saya bersetuju benar dengan cadangan ini. Jika boleh bawa anak isteri, adik dan kakak sekali dalam sesi bogel berkenaan.


Saya juga mencadangkan AJKnya yang memulakan dulu sebagai tanda kepimpinan melalui teladan.

Saturday, November 15, 2008

NC Universiti Malaya : Mahu lanjut lagi?

Rafiah Salim menuntut supaya Timbalan Menteri, Idris Haron memohon maaf di atas kenyataannya di parlimen bahawa prestasi kerja bekas Naib Canselor Universiti Malaya itu kurang memuaskan.

The Star melaporkan, "Rafiah said that her two-and-a-half year term was not sufficient to ensure the success of UM’s transformation plan".

“I have several more projects to be implemented and would have needed at least two more years to see them through".

Pengalaman saya mengutus surat kepada Rafiah pada tahun 2006 berkaitan pembedahan yang dilakukan terhadap isteri saya di PPUM masih belum dijawab beliau.

Mungkinkah pada pandangan beliau, jika disambungkan perkhidmatannya itu, beliau boleh dan akan mempunyai masa untuk melihat kembali, membaca dan menjawab surat yang sudah hampir dua setengah tahun diutus kepadanya.

Dalam kes ini, kami seperti bak kata pepatah, sudah dahaga sampai pula telaga kering.

Beliau bagaimana ?

Friday, November 14, 2008

Apabila Tun M puji MB Kedah


Apabila Tun Dr Mahathir Mohamed mantan Perdana Menteri Malaysia berkata , “di Kedah, orang ini (Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak ) tidak cuba menjadikan Kedah seperti Kelantan. Beliau begitu berhati-hati, agak pintar dan beliau mahu memenangi hati rakyat”.


Maka ramai penyokong PAS gembira dan syok sendiri. Seolah-olah PAS dan Kedah sudah selamat untuk selama-lamanya.


Pernahkah Tun Mahathir melepaskan musuh politiknya begitu sahaja ? Baik di dalam UMNO dan BN apatah lagi diluar partinya.


Jika didalam UMNO sendiri, Abdullah Ahmad, Musa Hitam, Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh dan beberapa tokoh lain pernah dikerjakannya, sudah tentu PAS tidak akan terlepas dari 'gigitannya'.


Sudah lupa agaknya apa yang telah terjadi dengan Kelantan dan Terengganu.


Atau, PAS Kedah menganggap kata-kata Tun itu sebagai perangsang untuk Kedah terus sejahtera?



Friday, November 7, 2008

ISA Hamid Albar mencium pipi, bibir digigit

Keputusan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Raja Petra setelah menerima permohonan habeas corpus blogger Malaysia Today itu merupakan satu tamparan kepada Syed Hamid Albar, Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang sejak akhir-akhir ini begitu ghairah mengarahkan polis menahan rakyat Malaysia tanpa bicara.

ISA digunakan seperti undang-undang keluarga Syed Hamid Albar. Ikut suka Hamid siapa yang mahu ia perosokkan ke Guantanamo Malaysia.

Itu belum lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia. Syed Hamid dan Bush kelihatan seperti ada persamaan dalam hal-hal tertentu. Diatas nama keselamatan, Hamid boleh melakukannya. Sepertimana diatas nama keselamatan Afghanistan telah dimusnahkan oleh Bush.

Samada faktor keselamatan itu yang betul-betul keselamatan jadinya atau Hamid berpura-pura dan bersandiwara. Hanya dia dan polis sahaja yang tahu. Rakyat bimbang kerana tindakan itu kelihatan seperti ada udang disebalik batu.

Mid! Jangan pula tindakan itu mahu kau tunjukkan seperti kasih sayang pipi dicium, bibir pula kau gigit. Engkau selamatkan mereka menggunakan ISA, lalu kau dera mereka di Guantanamo itu?

Kata orang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.

Syed Hamid mati meninggalkan apa ? Pastinya meninggalkan ISA.

Thursday, November 6, 2008

Binatang dan anak haram dalam Parlimen

Selagi "peraturan" itu dibuat oleh manusia, maka selagi itulah ianya boleh digunakan secara berbeza-beza mengikut pemikiran mereka.

Tidak kira peraturan itu sepatutnya diguna pakai pada peringkat kampung, daerah, negeri atau negara.

Biarpun parlimen telah diiktiraf dan disahkan sebagai badan pembuat undang-undang tertinggi pada peringkat negara, peraturan didalamnya masih dibuat oleh manusia. Ia bukan menggunakan kaedah atau sistem teokrasi.

Lebih-lebih lagi di dalam Parlimen Malaysia. Di dalamnya dikhuatiri ada monyet, babi, mereka yang kurang ajar dan anak-anak haram seperti yang selalu penghuninya mengungkapkan kata-kata seperti itu.

Kelmarin di Parlimen Malaysia, seorang wakil rakyat yang menganggap dirinya bukan anak haram, Datuk Tajudin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) telah melemparkan perkataan 'bastard' kepada M. Kulasegaran (AP-Ipoh Barat) , seorang lagi wakil rakyat dari parti pembangkang. Begitukah ?

Samada menyalahi peraturan mesyuarat atau tidak, itu perkara lain. Bukankah manusia yang membuat peraturan itu. Tambahan pula majoriti yang menguasai parlimen adalah dari kelompok satu parti pemerintah.

Jadi, biar mesyuaratnya itu dipengerusikan oleh Yang Dipertua, Timbalan atau Perdana Menteri sendiri, ianya ibarat seorang pemandu dijalanraya yang melepasi lampu isyarat merah. Selagi Polis atau JPJ tidak menahan, bukanlah boleh dibuat apa-apa pertuduhan.

Kaedah atau sistem disiplin dan undang-undang jalanraya diketepikan. Begitulah halnya di dalam parlimen.

Hal-hal remeh, memalukan dan tidak bertanggungjawab seperti ini seringkali menjadi keutamaan dan dibincangkan oleh sekumpulan wakil rakyat berbanding maslahat rakyat.

Adakalanya mereka 'by-pass' undang-undang dan kehendak pengundi tetapi tiada tindakan diambil.

Adakah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di Malaysia ?

Tidak berfungsi, berfungsi mengikut tafsiran sendiri atau tidak wujud?

Monday, November 3, 2008

Siapa Presiden Amerika

Pilihanraya Amerika ke55 akan diadakan pada 04 November 2008. Siapa bakal Presiden Amerika yang ke 44 ?

Barack Hussein Obama 47 tahun dari Demokrat atau John Sidney McCain 72 tahun dari parti Republikan.

Apa untungnya negara-negara Islam, negara-negara dunia ketiga dan negara seperti Malaysia dengan kemenangan salah seorang daripada mereka ini.

Apa yang pasti, sudah tentu dasar luar negara Amerika akan memberikan tempias kepada negara-negara lain termasuk Malaysia.

Januari 2009 pasti melakarkan sejarah apabila George Walker Bush Presiden Amerika sekarang akan meninggalkan rumah putih.

Semasa pemerintahannya, salah satu dari dasar luar Bush ialah memerangi keganasan. Afghanistan dihancurkan di atas nama keganasan. Iraq yang penghuni buminya melambai-lambai memanggil tentera Amerika untuk me'nyah'kan Saddam juga kini meratapi nasib malang mereka. Osama Bin Laden dikatakan masih menjadi tetamu diperkampungan Pakistan.

Iran, Syria dan Korea Utara hampir menjadi mangsa kerakusan kuasanya. Negara-negara paksi kejahatan seperti yang digelar Bush ini mendapat sokongan rakyatnya.

Bush seperti bapanya dikatakan gagal dalam usaha memerangi keganasan ciptaan mereka. Musuh-musuh politik menuduhnya sebagai ketua penjenayah paling besar yang masih hidup dan aktif. Mana mungkin dunia akan aman dengan kewujudannya.

Kem Guantanamo merupakan 'istana keganasan' diatas nama demokrasi Amerika yang pasti akan diingati oleh generasi Amerika sekarang dan akan datang.

Rakyat dan negara Amerika sepatutnya malu dengan dasar Presidennya sekarang. Dasar berat sebelah dan cuba menjadi polis dunia.

Presiden barunya menyambung dasar menyanyangi Israel ?

Saturday, November 1, 2008

Siapa pula minta tarif elektrik dikurangkan. UMNO?

Siapa lagi jika wakil rakyat bukan Umno.

Lihat di sini.
31 Oktober 2008

Yang Berbahagia Dato’ Seri Che Khalib bin Mohamad Noh
Presiden dan Ketua Pegawai Ekskutif
Tenaga Nasional Berhad.

Melalui;

Pengurus Besar,
TNB Negeri Sembilan.

Dato’ Seri,

MEMORANDUM UNTUK MEMINTA TNB MENGKAJI SEMULA TARIF ELEKTRIK

Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

2. Saya bagi pihak wakil rakyat-wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan yang mewakili suara rakyat ingin mengemukakan memorandum ini kepada pihak pengurusan tertinggi TNB supaya mengkaji semula dan menurunkan tarif elektrik yang dikenakan ke atas pelanggan-pelanggan TNB. Kenaikan di antara 12% hingga 26% tarif elektrik ke atas pengguna domestik dan sektor perindustrian telah meningkatkan beban pengguna dan juga kadar inflasi secara keseluruhannya.

3. Semasa tarif dinaikkan, TNB memberikan alasan bahawa kos bahan bakar meningkat dengan mendadak. Namun, rakyat secara umumnya tidak faham mengapa apabila harga minyak di pasaran dunia turun sehingga kurang daripada USD70 setong, tarif elektrik masih kekal sama dan tidak dikurangkan. TNB menyatakan bahawa 60% penjanaan elektrik ialah menggunakan gas dan 30% lagi dengan arang batu dan kos kedua-dua bahan bakar ini masih tinggi. Namun, rakyat tidak dapat menerima alasan tersebut kerana sepatutnya TNB mengambil inisiatif untuk membincangkan semula subsidi gas dengan pihak kerajaan kerana penurunan harga pasaran bahan bakar dan penjimatan tersebut sepatutnya dinikmati oleh pengguna.


Dari alkerohi

Friday, October 17, 2008

KPDNHP jaguh berbincang

Abdullah Ahmad meminta peniaga menurunkan harga barangan.

Ketika menaikkan harga minyak RM0.78 sekaligus, entah di atas nasihat pakar ekonomi yang mana, Abdullah dan kabinetnya gagal melihat risiko yang bakal rakyat hadapi.




Dari alkerohi

Wednesday, October 15, 2008

Guan Eng : TNB perlu turun tarif elektrik

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng pula mahukan Tenaga Nasioal Berhad menurunkan kadar tarif elektrik




Dari alkerohi

Monday, October 6, 2008

Bahan api turun: Harga barang, TNB bila lagi