Saturday, July 5, 2008

Kedah simpan peluru untuk membunuh diri

Hari ini hampir empat bulan PAS dan Pakatan Rakyat memerintah Kedah. Pecinta kerajaan ini gembira kerana terlalu banyak peluru yang disimpan untuk menyerang balas kerajaan BN yang kalah apabila diperlukan.

Sebelum pilihanraya kedua belas, banyak yang diperkatakan bukan sahaja oleh masyarakat tetapi juga pemimpin Pakatan Rakyat tentang penyelewengan demi penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional di Kedah di bawah kepimpinan Mahdzir Khalid.

Pada masa ini juga, pemerhati politik menyifatkan Kedah ibarat sebutir bom berani mati. Kenapa?

Keputusan pilihanraya kedua belas menunjukkan perubahan ketara pengundi Cina, India dan Siam. Mereka beralih menyokong Pakatan Rakyat di atas pelbagai faktor.

Manakala trend pengundi Melayu penyokong Barisan Nasional menampakkan sedikit sahaja perubahannya. Pakatan Rakyat menerima undi mereka di atas sikap memprotes dan bukannya sokongan. Malah, protes mereka adalah satu percubaan.

Saya tidak mahu mengatakan bahawa kuasa PR di Kedah berada dihujung tanduk. Namun beberapa isu penting melibatkan rakyat perlu diperhalusi dan diselesaikan.

Pertama, jentera kerajaan negeri Kedah termasuk kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih berbulan madu. Sedangkan kenaikkan harga petroleum telah membuatkan rakyat Kedah mula gelisah dan bersuara.

Cubaan rakyat menghubungi wakil rakyat termasuk exco kerajaan negeri melalui telefon umpamanya kerapkali gagal. Samalah jika dikatakan mewarisi perangai tidak bertanggungjawab pemimpin UMNO dan BN dulu. Bilik pejabat exco di Wisma Darul Aman ditinggalkan tanpa penghuni. Panggilan telefon pejabat tidak terjawab.

Saya telah mencubanya sendiri beberapa kali. Mahu disebutkan nama exco berkenaan ?

Sungguhpun harga petroleum bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, penduduk Charok Nau, penduduk Wang Tepus, penduduk Sungai Ular dan kawasan pedalaman kurang pasti tentang itu.

Apa yang mereka mahu ialah, harga barang makanan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.

Rakyat dikampung kurang mendapat berita terkini. Ceramah-ceramah menemui rakyat seperti diadakan sebelum pilihanraya boleh dikatakan sudah lapan puluh peratus berkurangan. Mungkin kerana keadaan dianggap ‘selesa’.

Kakitangan pejabat MB seperti Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Pegawai Khas dan lain-lain pegawai masih belum bangun untuk mendekati rakyat.

Atau, apakah wakil rakyat PR dan pegawai-pegawai ini berada di dalam tekanan atau sedang menanti arahan pihak-pihak tertentu.

Keduanya, masyarakat pelbagai kaum di Alor Star merungut dengan kadar bayaran meletak motosikal dan kenderaan yang agak tinggi. Apakah tindakan kerajaan negeri dalam memperbetulkan kegelisahan masyarakat ?

Sudahlah tempat meletak kereta tersangat kurang, tindakan Majlis Bandaraya Alor Star merantai dan mengangkut motosikal kelori-lori mereka sangat merunsingkan pengguna.

Bukan setakat itu, parit dan longkang masih tersumbat di sana-sini. Sampah berselerak di hadapan rumah-rumah. MBAS ditakuk lama. Apa cerita dengan Taulan Rasul Exco Kerajaan Tempatan ?

Mahu rakyat mengikuti langkah Hj Mahfuz Omar – melonggok sampah di hadapan MBAS ?

Alasan banyak penyelewengan kerajaan dahulu tidak dapat diterima.Kenapa tidak diambil tindakan?

Ketiganya, kegagalan kerajaan persekutuan Abdullah Badawi mengawal kenaikkan harga barangan memaksa penduduk Kedah menuding jari kearah Kerajaan Negeri yang mengambil sikap membisu yang hampir sama sikapnya seperti si kaki lena itu.

Sikap membisu ini telah menumbangkan empat kerajaan negeri Barisan Nasional. Apakah Kedah masih belum memahami dan mengambil iktibar dari situasi ini.

Tidak salah saya katakan, PR sebenarnya terkejut dengan keputusan pilihanraya yang mereka sendiri tidak jangkakan. Masih traumakah ?

Rakyat mengharapkan perubahan. Jika tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya manifesto pilihanraya, lakukanlah sesuatu untuk memperbetulkan apa yang menjadi rungutan orang ramai.

Apapun, sesuatu perlu berubah. Jangan tunggu keputusan rakyat untuk mengubah apa yang sudah ada. Jentera penerangan Kerajaan Kedah gagal menyampaikan maklumat ke peringkat akar umbi. Buat masa ini, rakyat disogokkan berita media perdana.

Tindakan Dr Ismail Salleh Exco Penerangan belum menampakkan apa-apa hasil.

Keempatnya, desas-desus mangatakan tentang keuzuran Ustaz Azizan Abd Razak Menteri Besar sekarang. Timbul pula ramalan-ramalan yang dibuat tentang kepimpinan baru dan sebagainya. Jika perkara seperti ini dibiarkan melimpahi pemikiran rakyat, apakah kesudahan yang bakal diharapkan ?

Kelimanya, jangan seronok sendiri menyimpan banyak peluru di pihak PR untuk menyerang balas apabila diperlukan. Strategi sepatutnya bermula dari sekarang. Serangan sudah sepatutnya dilakukan bermula tarikh 08 Mac 2008.

Keenam, kegagalan Mahdzir Khalid sebagai Ketua BN negeri merupakan satu kelebihan kepada PR. Mahadzir sebenarnya sudah tewas ketika mula-mula memegang jawatan MB Kedah. Mahadzir menggunakan Abdullah Ahmad untuk membayangi politik Kedah. Oleh itu PR tidak perlu bangga bahawa mereka berada diposisi kuat dan kebal serta BN meninggalkan banyak isu yang boleh menikam mereka.

Malah isu-isu yang ditinggalkan BN bakal menjadi penyakit kepada PR.

Ketujuh, kerajaan Selangor, Perak dan Pulau Pinang telah dan sedang diuji dengan pelbagai isu. Sudah tentu mereka lebih waspada. Dibimbangkan PR Kedah ‘syok’ sendiri yang akhirnya membiarkan anai-anai meruntuhkan apa yang ada.

Kemana pergi isu-isu yang dimainkan sebelum ini ? Apakah tindakan kerajaan negeri Kedah dalam menanganinya?

Apa terjadi dengan Marina Harbour. Chalet Pulau Sayak dijadikan tempat ternakan ayamkah ? Jambatan Pulau Bunting apa kesudahannya ? Chalet Tasik Pedu mahu dijadikan apa ? Kompleks Ikan Bakar Kuala Kedah menjadi tempat simpanan peluru politikkah ? Kompleks sembelihan haiwan di Paya Pahlawan menjadi tempat latihan tentera Pakatan Rakyatkah ? Perlantikan JKKK masih belum dibuat. Apa jadi ?

Rakyat sudah mula bertanya. Apakah projek ini dibiarkan begitu sahaja. Atau, adakah ianya dijadikan kolam mandi, menjadi restoran, menjadi medan gajah berkeliaran dsb.

Rakyat sedang menanti Skim Perlindungan Takafful, Skim Khairat Kematian, Insuran wargatua tanpa mengira kaum dan banyak lagi insentif negeri kebajikan.

Walaupun diketahui, empat bulan bukan satu masa pelaksanaan dan untuk dibuktikan kejayaan. Tetapi titik permulaannya dimana ?

Kita bimbang isu-isu ini bakal mengisi lima tahun kemenangan PR di Kedah. Diteruskan tradisi pembaziran wang rakyat sepertimana yang dilakukan oleh BN tanpa mengambil tindakan memperbetulkan keadaan yang sudah pastinya bakal memuntahkan kemarahan rakyat.

Saya juga bimbang falsafah ‘pacat akan terjatuh setelah menghisap darah’ tidak berlaku. Apa halnya jika air tuba dibalas dengan air susu tidak menjadi ?

Jangan membiarkan rakyat membuat tanggapan bahawa Kerajaan Negeri sedang membasuh muka dengan air liurnya mereka sendiri.

Biarkan undi protes berubah menjadi sokongan. Kerajaan yang ada menjadi ikutan dan contoh sepertimana Kelantan. Jangan jadikan Kedah, "biarkan, biakpila dulu..."

Atau mahu tunggu peluru-peluru itu menjadi bom berani mati rakyat yang mengorbankan kerajaan? Atau mahu mengharakirikan Kedah ?

8 comments:

BebasBersuara said...

Protes Minyak- rakyat semakin memenuhi stadium

KELANA JAYA (BebasBersuara) : Setakat jam 1.00 tengah hari ini rakyat semakin memenuhi ruang stadium kelana jaya untuk 1 tujuan, 1 matlamat iaitu menurunkah harga minyak. Dianggarkan seramai 8000 orang telah berkumpul di tempat tersebut.

Kelihatan beberapa pemimpin dari parti politik, NGO, dan pemimpim mahasiswa memberikan ucapan kepada hadirin. Antara yang turut serta ialah para pemimpin Pas, Keadilan dan Dap serta parti sosialis. Mahasiswa pula diwakili oleh pemimpin muda dari Utara yang memberikan ucapan bersemangat sebagai tanda protes dari pihak mahasiswa.

Sepanjang aktiviti sehingga tengah hari ini, ucapan berkait dengan rasa ketidakpuasan rakyat terhadap harga bahan bakar yang naik mendadak sebanyak 41% (petrol) dan 63% (diesel). Serentak dengan penarikan subsidi bahan api ini telah menyebabkan kenaikan hampir kesemua barang keperluan dan perkhidmatan. Laungan "turun-turun, harga minyak!" turut kedengaran sepanjang aktiviti berlangsung. Pintu inflasi telah dibuka oleh kerajaan BN dan kini telah menyebabkan rakyat yang berpendapatan rendah merana.

Didalam lautan manusia ini kelihatan para wartawan dari kalangan media alternatif dan beberapa blogger yang merakam gambar keadaan semasa. Terdapat juga beberapa wartawan antarabangsa yang cuba mendapatkan laporan mengenai situasi semasa daripada orang ramai.

Difahamkan para pemimpin Pakatan Rakyat dari 5 buah negeri akan hadir pada petang ini untuk bersama-sama dengan rakyat marhaen.

Desas-desus yang mengatakan tentera berkampung di sekitar stadium adalah tidak benar sama sekali. BebasBersuara telah melakukan pemantauan di sekitar Kelana Jaya terutamanya di premis-premis kerajaan persekutuan dan sehingga jam 1 tengah hari tadi mendapati bahawa perkara ini adalah tidak benar.

updated 02.32 pm [14:32]

www.kebebasanbersuara.blogspot.com

pmerbok said...

Salam
Terima kasih atas keperihatinan saudara. Perlukah semua tindakan yang dilakukan diberitahu titik permulaannya. Memang peranan penerangan di kedah yang belum bergerak sepenuhnya,yang lain insyaAllah makin baik hari ke hari. Tiada istilah exco berhaneymoon sebenarnya, sumber saudara saya was-was sebab agak teruk gambaran yang diberikan

Anonymous said...

Saudara,
Saya setuju sangat dengan rencana yang saudara tuliskan. Kelmarin motosikal anak saya dibawa ke Bandaraya oleh pihak penguatkuasa. Nampaknya pihak Bandaraya kerja angkat motosikal sahaja. Parit, sampah, jalan berlopak dsb tidak menjadi hal kepada mereka. Cukup teruk. Saya berharap saudara terus menjadi pelapor yang benar.

Anonymous said...

Salam Saudara
Tulisan saudara seperti yang saya baca nampaknya lebih condong kearah bersimpati dengan kerajaan pakatan rakyat. Namun berkaitan kerajaan PAS di Kedah, ada baiknya ianya ditegur secara profesional sepertimana saudara lakukan. Mesti ada yang suka dan ada yang tidak. Teguran yang baik, perlu diterima.

HAJI MABRUR

AFRAR YUNUS said...

salam sdra pmerbok,
suatu hari dulu saya bertandang ke pejabat yab mb kedah. ketika itu tan sri osman aroff. gelisah dan marahnya rakyat pada kerajaan tika itu adalah kerana isu kerpan. su sulit osman aroff enggan membenarkan orang kampung menemui mb. pelbagai alasan diberikan termasuk mb sibuk, mb tiada, mb jumpa tuanku dll.apa jadi sdra? kemarahan rakyat telah menggantikan mb osman aroff dgn sanusi junid. mungkin sdra ingat lagi? saya yg ada hal lain menjadi tempat luahan perasaan termasuk ada yg berkata, 'talipong beratoh kali, demo tak akat, kene ma-ghi le pulok'.
cuba sdra bertanya khabar dengan taukeh-taukeh kedai cina di sekitar alor star. tetapi, buat masa ini ianya tidaklah sampai spt isu kerpan. mirip-meripnya ada. minta-minta jangan jadi seperti itu.

AFRAR YUNUS said...

salam sdra anonymous,
bab motosikal memang saya akui. bukan sahaja orang dewasa, malah pelajar ksah, pelajar smkh - ada mengadu kepada saya. motosikal mereka diangkut mbas.dikenakan denda pula. lepas tu, ada pegawai mbas minta pelajar ini menjual motosikal utk membayar denda.
sdra,
mbas sepatutnya berterimakasih. kerja kebersihan kurang. apa kata jika setiap rakyat alor star kedah menyaman mbas? mahukah budaya itu?
minta tolonglah datuk bandar. jika tidak minat bekerja, berhentilah...

tk sdra dan juga hj mabrur,
saya akan sedaya upaya memperjuangkan hak pengguna. kita mahu bikin serupa cakap. dulu bila kita tidak ada kuasa, kita berteriak kesana kemari. apabila kuasa ada di tangan, jangan buat kerja seperti "mereka yg terdahulu". berapa kali 'biakpila.'

Anonymous said...

Salam saudara,
Terima kasih kerana tulisan saudara memang berani. Ingat, berani kerana benar. Rakyat yang mengundi tidak mahu kerajaan sekarang dan dahulu sama saja. Kalau sama rakyat akan berasa silap kerana telah mengubahnya. Jangan menyesal jika rakyat kembali mengubahnya dalam pru13.

Saudara, komen la sikit isu protes sejuta rakyat yang ada show londeh seluaq tu. Buruk benar la orang kita ni, tak sepakat. Sebelum tarikh protes semua nak tunjuk juara kerana kalau berjaya lepa dapat nama. Tapi bila mai show londeh seluaq ada mereka dah mula tarik diri dan mengaku tak terlibat dan macam-macam komen untuk membuktikan mereka tidak terbabit. Apa ni??

AFRAR YUNUS said...

salam sdra,
isu londeh seluaq spt kata oghang kedah nampaknya termasuk juga dalam debat anwar dn menteri penerangan.
sudah lama pas melihat isu spt ini tidak wajar tetapi apabila ada program sebesar itu yg dilaksanakan, saya sendiri tidak terfikir bagaimana ianya dimasukkan sebagai agenda. bila dah londeh, siapa nak mengaku? tetapi nampak ada penyesalan dan kita berharap ianya tidak berulang.