Monday, October 6, 2008

Bahan api turun: Harga barang, TNB bila lagi


Harga bahan api dinaikkan secara mendadak baru-baru ini oleh kerajaan Malaysia pada kadar RM2.70 seliter manakala harga runcit diesel kepada RM2.58 seliter dengan alasan bahan petroleum tersebut mencecah AS137 di pasaran dunia pada ketika itu.

Sejak beberapa hari yang lalu harga bahan tersebut berada pada harga AS98 dan kebawah tetapi kerajaan Malaysia masih gagal menurunkan harga bahan api tersebut.

Di dalam tulisan yang lepas saya menyatakan bahawa tindakan kerajaan dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Di Malaysia, apa yang sudah naik tidak pernah turun. Maksud saya dari segi harga barang-barang, kos perkhidmatan dan sebagainya.

Saya tidak faham bagaimana pakar ekonomi di Malaysia yang menjadi penasihat kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad boleh memberikan cadangan yang sedemikian rupa kepada kerajaan.

Apa tidaknya. Apabila harga petroleum naik di pasaran tempatan, segala barang keperluan pengguna akan turut naik harganya. Baik barang makanan, perkhidmatan dan lain-lain keperluan akan membebankan pengguna.

Beras, tepung, susu, pakaian, bahan binaan, alat pengganti kenderaan dan bermacam-macam lagi seolah-olah berpesta harga.

Tambang bas sekolah dinaikkan, tambang bas berhenti-henti dinaikkan dan tambang bas ekspres dinaikkan. Bayangkan tambang bas sehala dari Alor Star ke Kota Bharu sebelum ini R26.00 sudah menjadi RM36.00.

Ini setelah kerajaan memberikan subsidi minyak, memberikan jaminan tambang tidak akan dinaikkan dan pemantauan sedang dilakukan. Kelihatan seperti segala-galanya berada di luar kawalan kerajaan dan agensi-agensinya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta menterinya seperti tidak wujud.

Rakyat Malaysia berharapkan agar harga bahan api itu akan diturunkan segera dan dibawah paras RM2.00 seliter.

Itu sahaja tidak mencukupi. Kerajaan hendaklah mempastikan bahawa harga barang-barang yang telah dinaikkan diturunkan pada harga lama.

Peniaga-peniaga yang degil termasuk pemborong hendaklah dikenakan tindakan yang tegas supaya 'kemarahan' rakyat dapat dibendung. Kesilapan yang berpunca dari kerajaan hendaklah diperbetulkan oleh kabinet Malaysia.

Kita tidak mahu rintihan pengguna bertukar menjadi satu lagi peristiwa Baling seperti yang berlaku pada tahun 1975.

Bila lagi Tenaga Nasional Berhad akan menurunkan kadar tarif elektriknya ? Begitu ghairah mereka memberikan alasan kenaikkan harga petroleum ketika meningkatkan kadar tersebut tempoh hari.

Pengguna menuntut supaya TNB prihatin dan bertanggungjawab kepada masyarakat pengguna di Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

TNB cekik darah

AFRAR YUNUS said...

sdra
syarikat-syarikat besar di malaysia perlu memiliki sikap tanggungjawab sosial. jangankan harga minyak naik 10 sen, semuanya dinaikkan.apabila harga minyak turun semula 3o sen, habuk pun tak da. masalahnya, dengan kenaikkan tarif, gaji eksekutifnya dinaikkan sama. rakyat malaysia masih baik.jika di negara lain, apabila jalan baik tidak memberikan apa-apa perubahan, jalan 'degil' digunakan.