Ketua Hakim : Zaki pula membawa malapetaka ?
Sebelum ini Najib Tun Razak menjadi bahan perbualan atau menjadikan dirinya kontoversi sebelum dilantik ke jawatan Perdana Menteri.
Kini tiba giliran Tan Sri Zaki Azmi yang disebut-sebut akan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Abd Hamid Mohamed.
Zaki dikatakan mempunyai hubungan dengan parti pemerintah terutama sekali dengan Umno. Zaki pernah menjadi penasihat undang-undang dan Jawatankuasa Disiplin parti Umno.
Difahamkan persidangan Majlis Raja-Raja di Kuala Terengganu telah bersetuju diatas nasihat Perdana Menteri untuk melantik Zaki sebagai Ketua Hakim Negara.
Kita berharap isu perlantikan ini jika ianya benar tidak akan membawa malapetaka sekali lagi pada badan kehakiman di negara ini.
Terlalu banyak krisis yang terpaksa dihadapi, dikepung dan digarap hasil perbuatan sendiri dan dengan keadaan sedar pula.
Rakyat menerima musibah kerana keadaan ekonomi terus mencengkam. Harga barang-barang makanan, perkhidmatan dan sebagainya yang telah naik terus naik. Tiada kelihatan lorong untuk mengurangkan bebanan rakyat di dalam hal seperti ini.
Atau, apakah kerajaan sengaja mencipta isu-isu seperti ini supaya rakyat lupa untuk sementara waktu penderitaan mereka ?
Malaysia sebuah negara yang kaya. Hasil buminya melimpah-limpah. Kakayaannya dikaut oleh segelintir orang. Pemimpin negara, kaum kerabat, saudara-mara dan kroni mereka berada seolah-olah pada "kasta" yang paling atas.
Bukan sahaja kaum Cina, India, Kadazan dan Murut menderita. Orang Melayu sendiri seperti pengemis setelah dibahagikan menurut falsafah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Barisan Nasional, Dasar Umno, Dasar Kronisma dan pelbagai dasar yang menyempitkan pembahagian ekonomi negara.
Pemimpin dan anak mereka belajar di luar negara, menerima rawatan di luar negara, membeli-belah di luar Malaysia, bercuti di merata pelusok dunia tetapi rakyatnya menderita dan terlalu sukar untuk bercuti-cuti di Malaysia.
Wah ! Cemerlang, gemilang dan terbilangnya pemimpin tanah airku.
No comments:
Post a Comment