Friday, October 31, 2008

Wakil Rakyat Melayu Umno sudah terlondeh

Wakil Rakyat Melayu dari UMNO sudah hilang suara. Dahulu mereka seperti ayam betina. Bertelur sebutir riuh sekampung.

Sekarang, mereka masih mahu terus mencuba cara ayam betina ini tetapi sudah tidak dipedulikan oleh masyarakat. Kerana sudah diketahui oleh rakyat yang diriuhkan dahulu oleh ketua-ketua mereka adalah untuk hak dan kepentingan tembolok sendiri dan kroni.

Pilihanraya umum kedua belas yang lalu, baru 'sedikit' mengajar ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin ini .

Hatta kenaikkan tambang menunaikan fardu haji disuarakan Pemuda Gerakan, apalagi yang boleh diharapkan dari UMNO yang sudah hilang pedoman.

Bagi saya suasana politik Malaysia sekarang kelihatan meriah. Pemimpin-pemimpin dan balaci-balaci dalam UMNO dan Barisan Nasional sungguh sibuk.

Bukan memperjuangkan hak dan kepentingan serta ekonomi rakyatnya tetapi berlumba-lumba untuk mendapat tempat dan mengekalkan kuasa dalam parti. Mana tahu tempoh hayat itu jika diperkenankan, masih boleh terus hidup di atas penderitaan rakyat.

Ada yang sanggup menentukan masa depan anak cucu dan negara dengan perkiraan wang dua ratus ringgit sahaja.

Bagi mereka yang bergelar ketua dan pemimpin , ekuiti Bumiputra 30% itulah yang menjadi agenda mempertahankan diri . Isu inilah ditontonkan kepada masyarakat 'makmum' Melayu yang ianya sedang diperjuangkan untuk mereka sejak 51 tahun yang lalu.

Entah kenapa tidak menjadi-jadi. Dimana muskyilnya ?

Sebenarnya ramai Melayu telah melepasi kuota 30%. Mereka adalah dari kalangan keluarga, kaum kerabat, kroni dan tali barut. Bukankah ini juga boleh dibanggakan ?

Apabila orang Cina dan India bertanya tentang impak pelaksanaan DEB dan kenapa orang Melayu terbatu dinisan yang tidak berubah, mereka dikatakan mempertikaikan kontrak sosial.

Kenapa selepas 51 tahun Melayu masih tidak banyak berganjak. Adakah kerana Perdana Menterinya orang Cina dan India ? Atau, kekayaan pasca kemerdekaan diisi oleh hanya segelintir ketua-ketua orang Melayu ?

Lalu untuk menutup malu dan kedangkalan mereka, diprovokkan bahawa orang Melayulah patut dan mesti bangun menentang segala kecelaruan, pertanyaan-pertanyaan dan kekhuatiran orang bukan Melayu. Bukan ketua-ketua atau pemimpinnya.

Sampai bila ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin orang Melayu dari parti kerajaan yang memerintah di Malaysia mahu terus bersandiwara?

Sampai bila DEB mahu mencarik-carikkan bukan sahaja diantara Melayu dan bukan Melayu, malah sesama Melayu sendiri. Dimana kedudukan orang Melayu di luar BN, Melayu di luar UMNO, Melayu di luar kroni dan Melayu di luar kita.

Mungkin sehingga sampai masanya nanti makmum Melayu sudah mula bangun dan melondehkan ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin mereka secara totalnya.

Thursday, October 23, 2008

RM1.5 juta untuk 11 lawatan kerja Datuk Bandar KL

Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur membelanjakan RM1.5 juta untuk sebelas perjalanan ke luar negara sejak mengambil alih tugasnya pada tahun lepas.

Dalam jawapan bertulis kepada Tan Kok Wai (DAP-Cheras), Menterinya Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata perjalanan Datuk Bandar itu adalah di atas jemputan rasmi rakan sejawatannya dari bandaraya lain terutama sekali dari Asia.

Tempat-tempat yang dilawati oleh Datuk Abdul Hakim Borhan : (Sumber Sun2Surf)


Travelling expenses

Allowance

Tokyo

paid by Tokyo Metropolitan Govt

RM12,309.46

Perth

RM199,526

RM16,822.56

Dubai

RM 45,171

RM22,214.12

Istanbul

RM219,225

RM13,608.03

Stockholm, Helsinki, London

RM240,625

RM23,202.70

South Korea, Japan

RM166,134

RM13,433.80

Manila

RM 25,297

RM 3,405.53

Shanghai

RM 43,586

RM 3,903.71

Bangkok

paid by KL Sports Council

nil

Canada, UK, Germany

RM370,315

RM19,873.50

Beijing

RM 19,318.04

RM 4,717.50

Shah Rukh, Daim, Ali dan Melaka

Shah Rukh menjadi mangsa 'Datuk" ?

Shah Rukh Khan aktor kacak Bollywood kegemaran ramai di Malaysia termasuk idola kepada Ali Rustam dan Daim Zainuddin, mantan Menteri Kewangan Malaysia sebenarnya lahir dalam satu keluarga pejuang 'pathan' dari Pakistan.

Berusia 43 tahun. Seorang yang beragama Islam dan berkahwin dengan Gauri seorang penganut Hindu. Hasil perkahwinan mendapat dua orang cahaya mata. Aryan Khan anak lelaki yang sudah berusia 11 tahun dan Suhana anak perempuan yang baru berusia 8 tahun.

Apa kata Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN – Kalabakan) tentang Shah Rukh. Sila lihat di sini.

Apapun Shah Rukh bersetuju untuk menerima pingat "Datuk" dari Melaka ini pada bulan hadapan.

Sejarah pasti akan terpahat di Melaka sekali lagi. Dahulunya, saudagar-saudagar India menjalin hubungan bukan sahaja dalam bidang perniagaan, tetapi juga hubungan persaudaraan.

Sekali lagi, jutaan penonton tv dunia dan pelayar internet akan dapat melihat A Famosa. Tetapi dalam hubungan perfileman diantara kerajaan dan pelakon. Tentu akan membanggakan Ketua Menteri, Gabenor Melaka, Daim dan siapa lagi ?

Sudah tentu juga penduduk Melaka.
(Foto: Flickr.dom)

Wednesday, October 22, 2008

Naikkan harga petrol dan harga barang makanan

Harga minyak dinaikkan oleh kerajaan Barisan Nasional sehingga RM0.78 seliter sekaligus ketika harga pasaran dunia berada pada harga US140.00. Harga seliter minyak petrol dinaikkan dari RM1.92 kepada RM2.70.

Kini harga minyak dunia berada pada harga US73.00. Hampir separuh harga US140.00.

Kerajaan BN yang begitu prihatin dengan masalah rakyat telah tergesa-gesa menurunkan harga minyak sehingga begitu banyak menjadikan harga seliter petrol RM2.45.

Rakyat gembira dengan penurunan harga ini dan berterimakasih kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Peradagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan seluruh kabinet.

Rakyat menjangka sudah tentu pakar-pakar ekonomi yang menasihati Abdullah adalah dari kalangan yang luar biasa pemikiran mereka. Seperti bijaknya pentadbir cerdik pandai di UPM.

Rata-rata orang kampung seronok kerana telah bersama-sama menikmati kenaikkan harga makanan yang mereka sifatkan sebagai "pesta kenaikkan harga". Ada yang berkata, "biarlah kami susah sedikit, asalkan pemimpin seronok dan bahagia. Kami tidak marah kepada kerajaan. Inilah dikatakan tempias ekonomi dunia".

"Dia datang macam penyakit. Nak sembuh kena perlahan-lahanlah. Kena banyak bersabar. Ubah gaya hidup dan banyak berdoa supaya kegawatan ekonomi pulih sendiri" kata mereka lagi.

"Mana ada kerajaan yang menindas rakyat. Lebih-lebih lagi kerajaan seperti Barisan Nasional. Harga barang tak turun lima belas tahun lagi pun takpa. Kita faham masalah kerajaan" kata salah seorang daripada mereka sambil ketawa seronok.

Masa nak naik, semua naik melambung-lambung. Macam pemimpin jugalah. Dah naik, payah nak turun.

"Kita tak kisah. Jika harga bahan api dunia berada pada paras US30.00 sekalipun, dan kerajaan Malaysia masih bercadang untuk mengekalkan pada harga sekarang iaitu RM2.45 atau nak naikkan sedikit lagi pun takpa, itu hak mereka. Bukankah kita yang melantik mereka menguruskan ekonomi negara".

Salah seorang tua yang juga rakyat yang gembira dengan ekonomi sekarang menyarankan agar, "Abdullah dan kabinet perlu teruskan kegawatan sekarang. Tak perlulah dengar apa yang rakyat biasa yang minda mereka rendah. Jika harga barang-barang perlu dinaikkan lagi, kami sokong belaka". Ia berkata sambil berguling-guling keseronokkan.

Seronok melihat gelagat orang kampung yang gembira dengan kenaikkan harga barang-barang makanan.
(Baca dan hayati walaupun dianggap jenaka)



Tuesday, October 21, 2008

Khir Toyo menang di Gerik, Azeez di 'boo' di Baling

Ramai yang berkata, rasuah dalam politik Umno dimulakan ketika era Mahathir-Anwar. Ditanam, dibaja dan dijaga secara terhormat. Maksud saya, pada ketika itulah.

Biar apa orang lain berkata, rasuah pada zaman itu bukan sahaja berlaku secara tersorok, malah telah mula dilakukan secara terang-terangan.

Namun, Perdana Menteri ketika itu yang juga Presiden Umno gagal menanganinya dan gagal meminta Badan Pencegah Rasuah mengepung dan mengurangkannya.

Hari ini apabila rasuah di'pasarkan' secara berleluasa ke dalam politik Umno, masing-masing menuding jari diantara satu sama lain.

Pada 19 Oktober yang lalu, Umno Bahagian Gerik telah bermesyuarat di MRSM Keroh untuk memilih wakil peringkat bahagian. Diberitahu, satu daripada kumpulan yang mati-matian mahukan bekas setiausaha sulit Menteri Besar Perak dipilih sebagai naib ketua bahagian. Namun, ada satu kumpulan lain yang telah berjaya memenangi ke jawatan naib ketua itu.

Dikatakan kumpulan kedua ini berjaya memberikan 'hadiah' yang lebih baik. Itu apa yang dimaklumkan sendiri oleh mereka yang menerima 'hadiah' tersebut.

Juga dimaklumkan, kumpulan Khir Toyo berjaya menyelusup ke bahagian ini. Ada 'hadiah' juga kah ? Kata salah seorang RM200.00 seorang. Betulkah ?

Saya singgah di Baling. Adik seorang ADUN memberitahu, Azeez Rempit telah di'boo' dalam mesyuarat perwakilan di sana. Kata adik ADUN itu, Azeez silap strategi lagi apabila memulakan ucapannya dengan memperlecehkan Mukhriz Mahathir.

Oleh kerana Azeez tidak disenangi di Baling, dan tambahan pula dengan sikapnya menyebelahi satu lagi pihak dengan memperbudakkan Mukhriz, Azeez terpaksa berhenti berucap disekerat jalan akibat gangguan dari perwakilan.

Akhirnya perwakilan memilih Mukhriz sebagai calon Ketua Pemudanya.

Disaat-saat talian hayat, Umno semakin senang dengan dua perkara berikut. Pertamanya, hadiah yang diberi dan diterima. Keduanya, baling membaling kerusi meja dan FRU terpkasa dipanggil dalam mesyuarat Umno cawangan dan bahagian.

Apa nak jadi ?

Harapkan panas sehingga ke petang, hujan pula ditengahari.

Sunday, October 19, 2008

Mahathir mendahului, Abdullah U TURN

Nampaknya Mahathir sedang mendahului Abdullah.

Kata Tun, usir orang-orang Abdullah dari dalam Umno. Tun mahu Shafie Apdal dan Rais Yatim. Tun juga mahu Mukhriz. Tun juga mahu tempoh kempen dipendekkan.

Sudah bagi siku nak lengan, sudah bagi betis nak paha.

KJ mahu diletak dimana. Azeez rempit hilang arah. Azeez, hang dimana ? KJ mengelupok, hang tak nampakkah ? Memang dasar Umno lagutu dah.

Satu cara untuk kumpulan Abdullah menyelamatkan diri. Apa kata Abdullah buat U TURN ?

Baru nampak tinggi rendahnya langit.

Saturday, October 18, 2008

Bekas Datuk Bandar mengetuai Taliban

Bekas Datuk Bandar Afghanistan kini mengetuai Taliban sebagai Komander perangnya.

Ghullam Yahya Akbari memberitahu Al Jazeera mereka tidak akan bertolak ansur dengan kerajaan Afghan selagi tentera asing berada di bumi Afghanistan.

"Saya akan terus berjihad sehingga ketitisan darah terakhir menentang Amerika yang menakluki bumi kami" kata Askar seorang pejuang Afghan.



Bumi Afghanistan masih menitiskan darah penghuninya.

Amerika terus bermaharajalela. OIC pula masih berbincang dan akan terus berbincang.

Friday, October 17, 2008

KPDNHP jaguh berbincang

Abdullah Ahmad meminta peniaga menurunkan harga barangan.

Ketika menaikkan harga minyak RM0.78 sekaligus, entah di atas nasihat pakar ekonomi yang mana, Abdullah dan kabinetnya gagal melihat risiko yang bakal rakyat hadapi.

Apabila harga minyak naik, semua peniaga-peniaga baik yang besar atau kecil berpesta menaikkan harga barang-barang perniagaan mereka. Biarpun naik sepuluh sen mereka akan berkata, "naik sekupang pun semua naik".

Apabila harga minyak turun sepuluh atau lima belas sen mereka akan berkata, " turun sikit saja, pemborong tak turun lagi harga".

Sebelum turun takhta kerajaan, Abdullah bercadang menurunkan harga barang-barang dengan "menyeru" kepada penjual supaya 'menurunkan' apa yang telah dinaikkannya di atas nasihat pakar-pakar ekonomi Perdana Menteri Malaysia.

Berita terbaru:
Untung TNB jatuh, tarif tidak boleh dikurangkan


KUALA LUMPUR 16 Okt - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tidak dapat mengurangkan tarif elektrik kerana harga arang batu, yang menyumbang 60 peratus daripada kos penjanaan tenaga, kekal melepasi AS$75 setan metrik.

Abdullah juga mengharapkan KPDNHP dan menterinya kerap berbincang dan terus berbincang supaya harga barang-barang menjadi agenda utama untuk diturunkan dan dalam masa yang sama pengguna di Malaysia menggigit jari mengikat perut menanti bulan jatuh keriba.

Jika boleh untuk menyedapkan hati kabinet, setiap kali berita di radio dan tv, hendaklah diumumkan kerajaan Malaysia sedang berbincang dan akan terus berbincang supaya sesuatu boleh dilakukan.

Jadi pengguna akan tahu kerajaan Malaysia sedang melakukan sesuatu.

Thursday, October 16, 2008

Ketua Hakim : Zaki pula membawa malapetaka ?

Sebelum ini Najib Tun Razak menjadi bahan perbualan atau menjadikan dirinya kontoversi sebelum dilantik ke jawatan Perdana Menteri.

Kini tiba giliran Tan Sri Zaki Azmi yang disebut-sebut akan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Abd Hamid Mohamed.

Zaki dikatakan mempunyai hubungan dengan parti pemerintah terutama sekali dengan Umno. Zaki pernah menjadi penasihat undang-undang dan Jawatankuasa Disiplin parti Umno.

Difahamkan persidangan Majlis Raja-Raja di Kuala Terengganu telah bersetuju diatas nasihat Perdana Menteri untuk melantik Zaki sebagai Ketua Hakim Negara.

Kita berharap isu perlantikan ini jika ianya benar tidak akan membawa malapetaka sekali lagi pada badan kehakiman di negara ini.

Terlalu banyak krisis yang terpaksa dihadapi, dikepung dan digarap hasil perbuatan sendiri dan dengan keadaan sedar pula.

Rakyat menerima musibah kerana keadaan ekonomi terus mencengkam. Harga barang-barang makanan, perkhidmatan dan sebagainya yang telah naik terus naik. Tiada kelihatan lorong untuk mengurangkan bebanan rakyat di dalam hal seperti ini.

Atau, apakah kerajaan sengaja mencipta isu-isu seperti ini supaya rakyat lupa untuk sementara waktu penderitaan mereka ?

Malaysia sebuah negara yang kaya. Hasil buminya melimpah-limpah. Kakayaannya dikaut oleh segelintir orang. Pemimpin negara, kaum kerabat, saudara-mara dan kroni mereka berada seolah-olah pada "kasta" yang paling atas.

Bukan sahaja kaum Cina, India, Kadazan dan Murut menderita. Orang Melayu sendiri seperti pengemis setelah dibahagikan menurut falsafah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Barisan Nasional, Dasar Umno, Dasar Kronisma dan pelbagai dasar yang menyempitkan pembahagian ekonomi negara.

Pemimpin dan anak mereka belajar di luar negara, menerima rawatan di luar negara, membeli-belah di luar Malaysia, bercuti di merata pelusok dunia tetapi rakyatnya menderita dan terlalu sukar untuk bercuti-cuti di Malaysia.

Wah ! Cemerlang, gemilang dan terbilangnya pemimpin tanah airku.

Wednesday, October 15, 2008

Guan Eng : TNB perlu turun tarif elektrik

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng pula mahukan Tenaga Nasioal Berhad menurunkan kadar tarif elektrik memandangkan harga minyak di pasaran dunia kian menurun.

Kenapa TNB membisu ?

Tuesday, October 14, 2008

Parti Gerakan menyebelahi pengguna dan rakyat

Satu-satunya parti di dalam Barisan Nasional yang kelihatan memperjuangkan hak pengguna dan rakyat adalah parti Gerakan.

Pernah saya menulis Gerakan memperjuangkan supaya tambang menunaikan haji ke Mekah tidak dinaikkan.

Beberapa hari sudah Gerakan meminta kerajaan mengkaji semula ISA. Begitu juga Gerakan meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan harga bahan api pada setiap minggu.

Terbaru seperi yang alkerohi menulis dan meminta beberapa hari lalu, Gerakan juga turut meminta TNB mengkaji semula supaya penurunan kadar tarif elektrik dilakukan.

Hendak harapkan Umno - tidak habis-habis menyelamatkan pemimpin dan tembolok sendiri. Sampaikan urusan tambang hajipun, Gerakan perlu bersuara.

Wah ! Harapkan hakim, hakim pandang dengan dua belah mata bagi fakta kes yang sama.

Selepas teori RAHMAN, MAHATHIR pula...

Selepas teori RAHMAN seperti yang dihebohkan, maka timbul pula teori MAHATHIR. Ada yang 'sms'kan kepada saya mengatakan teori ini sepatutnya berada dalam peta politik Malaysia untuk jangka waktu yang panjang.

M Mahyuddin
A Ali Rustam
H Hishamuddin
A Ahmad Zahid
T Taib (nama bapa pun jadilah...)
H Husam (ada tukar kerajaan)
I Idris/ Isa
R Reezal Merican

Apapun teori-teorinya, bagi saya ianya cuma rekaan dan tidak semestinya betul. Belum lagi penyokong Pakatan rakyat mengemukakan teori mereka.

Cuma bagi nama-nama di atas, jangan syok sendiri. Anda mungkin terkena tsunami politik.

Monday, October 13, 2008

Hj Mahfuz : Majlis Raja-Raja perlu tapis PM

Najib Tun Abdul Razak disifatkan oleh Hj Mahfuz Omar Ketua Penerangan PAS Pusat, satu- satunya calon yang pada pandangan sebahagian besar rakyat sebagai tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Kata Mahfuz lagi, "rakyat negara ini mahukan pemimpin yang berintegriti. Kita menuntut negara ini dipimpin oleh Perdana Menteri yang bukan sahaja bersih, tetapi dilihat bersih".

Hj Mahfuz juga berpandangan, "ketika negara malah dunia dilanda krisis ekonomi, kita tidak sanggup lagi mempunhyai Perdana Menteri yang tidak diyakini para pelabur asing".

Beliau berharap Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri selepas satu tapisan mengenai rasuah dan penyelewengan diambil kira .

Hj Mahfuz memberikan pandangan di dalam blognya Weblog Mahfuz Omar.

Sunday, October 12, 2008

Tun Mahathir selalu salah pilih orang

"Lebih baik Tun Mahathir mendiamkan diri dari memberi ulasan kepada media tentang pemilihan dalam Umno kali ini" kata seorang veteran Umno dari Bahagian Padang Terap yang kini tinggal di Jitra, Kedah.

Seorang lagi orang lama Umno yang hanya mahu dikenali sebagai Bang Ad dari Kubang Pasu pula berkata, "Tun sudah berkali-kali membuat kesilapan dalam memilih orang. Bukankah dia sendiri yang memberitahu mempunyai tabiat yang silap memilih".

"Hari itu pilih Najib. Lepas tu kata Najib penakut. Lepas tu sokong Tengku Razaleigh dan Mahyuddin. Dah patah balik kepada Najib" marah Bang Ad.

"Dua tiga hari sudah Tun gelarkan calon timbalan presiden sebagai pak lawak. Tak fahamlah dengan Tun ni.."tegas Tajuddin.

"Biarlah Mukhriz bertanding. Jangan dok campur lagi" kata veteran Umno dari Padang Terap.

Ini adalah sedikit dari ulasan kedai kopi yang dapat didengar kelmarin di Pekan Jitra Kedah.

Saturday, October 11, 2008

KJ dan Mukhriz legasi warisan untuk Umno

Abdullah Ahmad tidak akan mengekalkan jawatan presiden Umno pada Mac 2009 ini. Seperti yang dibisikkan, Abdullah mengalami tekanan dalaman yang cukup hebat supaya melepaskan pelukan jawatan presiden Umno atau tunggu sahaja Umno kehilangan apa yang masih ada.

Pada hemat saya sungguhpun Abdullah berbuat demikian, beliau tidak akan terlepas dari mendengar strategi penasihat-penasihat politik yang masih 'berhingus' disekelilingnya. Ada diantara penasihat ini yang mahu supaya Najib Tun Razak dibelasah bukan sahaja oleh pendokong Umno dan Barisan Nasional tetapi juga oleh penyokong Pakatan Rakyat.

Ketika Abdullah menerima tampuk kepimpinan secara 'faraid' daripada Tun Dr Mahathir, ramai juak-juak dalam Umno dan BN serta segelintir penyokong pembangkang melabelkan PM kelima itu sebagai 'cucu ulama' dan dikatakan mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih.

Inikan pula Najib Tun Razak. Sebelum dan selepas menjadi Timbalan Perdana Menteri , rekod kerjanya dikatakan terpalit dengan pelbagai skandal. Sehinggakan ada yang menggelarkannya Najib Altantunya, bakal Perdana Menteri Rosmah Najib, Najib Port Dickson, Najib kapal selam, Najib jet, Najib dan bini orang, anak Najib diluar kawalan dan pelbagai dakwaan yang entah betul atau tidak.

Penyokong-penyokong Abdullah sudah tentu mengharapkan Najib tidak akan mendapat apa yang dikejar malah mahu Najib keciciran apa yang ada.

Mungkinkah masa lima bulan yang mendatang ini akan digunakan Abdullah sebagai "cooling period" bagi menyelamat dan mengangkat dirinya kembali ? Abdullah seringkali kelihatan tidak pernah tegas dengan kata-katanya.

Orang yang akan paling gembira dengan terangkatnya Najib sebagai PM adalah Tun Mahathir. Tun Mahathir sangat berharap juga supaya anaknya Mukhriz dapat menewaskan Khairy Jamaludin, menantu Abdullah. Dengan satu temabakan peluru politik boleh mendapat dua habuan.

Malah masing-masing mereka sedang mencuba sedaya upaya meninggalkan legasi warisan bagi Umno. Siapa yang bakal memenangi? Mukhriz? Atau KJ?

Bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin pula ia akan dicabar oleh 'pelawak-pelawak' dari Umno seperti kata Dr Mahathir. Pelawak yang dimaksudkan itu adalah Muhammad Muhd Taib, Ali Rustam dan Nur Jazlan Mohamad.

Pemerhati politik menjangkakan lebih banyak kejutan akan berlaku di dalam Umno.

Bagi penyokong-penyokong Pakatan Rakyat pula mereka masih 'tertunggu-tertunggu' untuk merasakan perubahan dan kejutan di luar Umno dan kerajaan yang ada sekarang.

Friday, October 10, 2008

Shah Rukh Khan dapat Datuk Melaka


Shah Rukh Khan pelakon Bollywood dapat Datuk dari Melaka. Hebat. Siapa hebat ?

Sudah tentulah Melaka dan Yang Dipertua Negeri Melaka hebat. Melaka boleh.

Siapa dibelakang tabir ? Mereka lagi hebat.

Wednesday, October 8, 2008

Ramai calon Umno tanda demokrasi


Akhirnya Abdullah Ahmad Presiden Umno mengumumkan tidak akan bertanding jawatan tertinggi dalam parti yang sedang diterajuinya.

Namun beliau masih berharap agar dapat melaksanakan tiga hasrat murninya sebelum meninggalkan persada politik negara, iaitu ;

Mewujudkan: Ramainya calon ?

+Suruhanjaya perlantikan hakim secara lebih telus
+Suruhanjaya yang memberikan kuasa yang lebih besar kepada Badan Pencegah Rasuah
+Suruhanjaya Aduan Khas memperkukuhkan integriti agensi penguatkuasaan


Kita tunggu dan lihat. Bagaimana pula dengan IPCMC?
(Foto:AgendaDaily)

Tuesday, October 7, 2008

Takut Hindraf dan pejuang ISA : Selamat dan ISAkan kabinet Malaysia

Jika iapun kumpulan Hindraf berbisik-bisik ditelinga atau berpantun-pantun dengan PM Abdullah Ahmad supaya mansuhkan ISA dan bebaskan ahli Hindraf, apa salahnya ?

Bukankah mereka manusia seperti Syed Hamid Albar juga ? Sama seperti Najib dan Abdullah.

Mereka bukan membawa senjata, bahan pemusnah, letupan dan sebagainya ke kediaman PM.

Orang kesayangan mereka ditangkap dan ditahan tanpa bicara. Nak bersuara meluahkan perasaan seperti itupun tidak boleh ?

Apakah dengan bisikan seperti itu Abdullah dan menteri-menterinya sudah takut. Jika perlu, mintalah bantuan PDRM dan ISAkan Abdullah dan kabinet yang takut itu demi menyelamatkan mereka dari gangguan Hindraf dan pejuang-pejuang yang mahu ISA dihapuskan.

Apa kata PDRM ?

Monday, October 6, 2008

Bahan api turun: Harga barang, TNB bila lagi


Harga bahan api dinaikkan secara mendadak baru-baru ini oleh kerajaan Malaysia pada kadar RM2.70 seliter manakala harga runcit diesel kepada RM2.58 seliter dengan alasan bahan petroleum tersebut mencecah AS137 di pasaran dunia pada ketika itu.

Sejak beberapa hari yang lalu harga bahan tersebut berada pada harga AS98 dan kebawah tetapi kerajaan Malaysia masih gagal menurunkan harga bahan api tersebut.

Di dalam tulisan yang lepas saya menyatakan bahawa tindakan kerajaan dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Di Malaysia, apa yang sudah naik tidak pernah turun. Maksud saya dari segi harga barang-barang, kos perkhidmatan dan sebagainya.

Saya tidak faham bagaimana pakar ekonomi di Malaysia yang menjadi penasihat kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad boleh memberikan cadangan yang sedemikian rupa kepada kerajaan.

Apa tidaknya. Apabila harga petroleum naik di pasaran tempatan, segala barang keperluan pengguna akan turut naik harganya. Baik barang makanan, perkhidmatan dan lain-lain keperluan akan membebankan pengguna.

Beras, tepung, susu, pakaian, bahan binaan, alat pengganti kenderaan dan bermacam-macam lagi seolah-olah berpesta harga.

Tambang bas sekolah dinaikkan, tambang bas berhenti-henti dinaikkan dan tambang bas ekspres dinaikkan. Bayangkan tambang bas sehala dari Alor Star ke Kota Bharu sebelum ini R26.00 sudah menjadi RM36.00.

Ini setelah kerajaan memberikan subsidi minyak, memberikan jaminan tambang tidak akan dinaikkan dan pemantauan sedang dilakukan. Kelihatan seperti segala-galanya berada di luar kawalan kerajaan dan agensi-agensinya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta menterinya seperti tidak wujud.

Rakyat Malaysia berharapkan agar harga bahan api itu akan diturunkan segera dan dibawah paras RM2.00 seliter.

Itu sahaja tidak mencukupi. Kerajaan hendaklah mempastikan bahawa harga barang-barang yang telah dinaikkan diturunkan pada harga lama.

Peniaga-peniaga yang degil termasuk pemborong hendaklah dikenakan tindakan yang tegas supaya 'kemarahan' rakyat dapat dibendung. Kesilapan yang berpunca dari kerajaan hendaklah diperbetulkan oleh kabinet Malaysia.

Kita tidak mahu rintihan pengguna bertukar menjadi satu lagi peristiwa Baling seperti yang berlaku pada tahun 1975.

Bila lagi Tenaga Nasional Berhad akan menurunkan kadar tarif elektriknya ? Begitu ghairah mereka memberikan alasan kenaikkan harga petroleum ketika meningkatkan kadar tersebut tempoh hari.

Pengguna menuntut supaya TNB prihatin dan bertanggungjawab kepada masyarakat pengguna di Malaysia.

Sunday, October 5, 2008

Selepas Abdullah, siapa
Apabila Tun Mahathir yang memegang jawatan presiden selama 22 tahun mewariskan kepimpinanya cara ‘faraid Umno’ pada tahun 2003, ramai ahli-ahli Umno gembira kerana yang menjadi ketuanya ialah Abdullah Ahmad yang kerap ditonjolkan media sebagai Mr Clean atau cucu ulama.

Tidak sampai beberapa bulan sahaja, banyak kelemahan Abdullah tersembur keluar seperti tersemburnya lava gunung berapi. Abdullah dikaitkan dengan skandal oil for food, syarikat Scomi anaknya Kamaludin, master mind menantunya Khairy Jamaludin, penasihat-penasihat di tingkat empat termasuk penasihat media Kalimullah Hassan, pengaruh anak perempuannya Nori, tabiat tidurnya, sifat lembiknya dan bermacam-macam lagi.


Semburan isu-isu ini bukan sahaja memanaskan ahli-ahli partinya sendiri, malah rakan-rakan dalam komponen BN dan yang paling penting ialah apabila rakyat biasanya mula gelabah dengan isu-isu kenaikkan harga barang-barang makanan, isu rasuah, keselamatan, polis dan berpuloh masalah lain.

Abdullah mula dilihat sebagai PM paling cacat dalam sejarah Malaysia.

Kini diatas desakan rakyat dan diatas penolakan ahli-ahli di dalam partinya sendiri, adalah dijangkakan Abdullah tidak akan bertahan lama walaupun ia dilihat agak keberatan meninggalkan pejabat Perdana Menteri.

Konsep peralihan kuasanya disifatkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah Ahli Parlimen Gua Musang sebagai tidak mengikut perlembagaan.

“Umno bukan parti yang boleh diwariskan kepada keluarga atau kroni” kata seorang veteran Umno.

"Sekarang kita sedar Malaysia menjadi negara yang mempunyai prasarana dunia pertama dan politik dunia ketiga, dengan para pemimpinnya menjadikan negara ini republik pisang," kata Tengku Razaleigh.

Seorang tokoh veteran parti Umno di Kedah menyifatkan peralihan kuasa diantara Abdullah-Najib jika berlakupun tidak akan bertahan lama. “Biar ahli-ahli Umno yang memilih ketua mereka. Barulah akan ada rasa hormat dan sokongan yang kuat dan padu untuk presiden” katanya lagi.

”Jika tidak ia akan mengulangi impak konsep peralihan kuasa diantara Mahathir-Abdullah” tegas veteran Umno itu.

Abul Ala al Maududi pernah menulis, ”kekhalifahan Allah bukan hak esklusif mana-mana individu, suku atau kelas manusia. Ianya adalah hak bersama semua orang”.

”Tetapi, Umno bukanlah parti Islam” kata salah seorang bekas ADUN Umno dari Kedah.

”Peraturan berdasarkan syariah tidak ada di dalam kamusnya. Pilihanraya mengikut kehendak rakyat juga semakin pupus. Kini Umno sedang menuju kearah parti kroni yang kelihatan meredah lorong kehancuran” tegasnya lagi.

Apapun masyarakat Malaysia sedang menunggu satu keputusan yang bakal mencorakkan semula perjalanan negara.

Mungkinkah pemilihan dalam Umno selepas ini buat pertama kalinya akan meriah ?

Mampukah Umno mengekalkan tradisi peralihan kuasa atau akan ada perubahan yang mengejutkan?

Apa yang pastinya, orang-orang Abdullah termasuk KJ sedang mengira hari untuk berbungkus.